Label

Isnin, 5 Disember 2016

NOVEL Impian Kasih Bab36

Sudah dua minggu lebih Iddya Melissa keluar daripada hospital. Selama itu jugalah dia terpaksa menahan sabar dan panas hatinya apabila ibu mertuanya masih juga menetap di kediaman mereka.

Apabila digesa suaminya supaya segera mencarikan rumah sewa, jawapan yang diterima ialah masih sedang dalam pencarian. Apabila dia turut ingin membantu mencarikan rumah sewa buat ibu mertuanya, suaminya melarang kerana semenjak keluar hospital, dia mula mengalami alahan mengandung yang agak teruk.

Akibat dari itu, dia kerap pening dan muntah, selera makannya juga seakan hilang. Hampir setiap masa dia mengunci diri di dalam bilik, tidak mahu bertentang mata dengan ibu mertua yang hampir menjadi pembunuhnya dua minggu yang lalu.

Jika diikutkan hati yang panas, mahu saja dia masukkan ibu mertuanya ke dalam jeriji besi, biar wanita yang tidak punya hati perut itu menangisi perbuatannya sendiri! Tapi cukupkah dengan tuduhan membunuh untuk memenjarakan ibu mertuanya itu? Jika ditanya soal bukti, bukti apa yang dia ada untuk dikemukakan ke muka pengadilan?

“Bila kau nak mampos ha?!” Iddya Melissa tersentak dijerkah sebegitu dari arah belakang sedang dia asyik mengacau kuah spaghetti di dalam periuk. Kenal benar suara itu milik ibu mertuanya! Berderau darahnya, lambat‐lambat dia berpaling ke belakang ingin menentang mata dengan empunya suara.



“Nyawa saya bukan di tangan mummy, tapi di tangan Allah! Bukan mummy yang patut tanya bila saya nak mati, tapi saya yang patut tanya bila mummy nak berambus dari rumah saya ni?” balas Iddya Melissa sambil berpeluk tubuh. Dia mengukir senyuman yang paling sinis di wajahnya.

Tiada guna berlembut dalam bicara dengan wanita yang tidak mempunyai hati perut ini. Dia yakin benar ibu mertuanya pasti tahu akan keadaan semasa dan terpaksa akur dengan permintaan suaminya agar dia berpindah ke rumah lain.

“Jangan mimpi aku nak pindah selagi Izdham tak ikut syarat aku!” Wan Zamilah berkata angkuh. Seolah‐olah kemenangan berada di genggaman.

“Syarat? Syarat apa yang mummy tentukan?” soal Iddya Melissa bingung. Mengapa suaminya tidak mengkhabarkannya tentang syarat yang dikenakan oleh ibu mertuanya itu?

“Aku tak kan pindah selagi anak aku tak belikan aku rumah yang lagi mewah dari ini! Yang paling penting, aku tak akan pindah selagi dia tak ceraikan kau dengan talak tiga! Kau ni memang betina sundal!” Serentak dengan makian itu, Wan Zamilah mengangkat kaki, puas!

Jika diberikan syarat supaya mereka bercerai tentu sahaja boleh dirujuk pada bila‐bila masa. Tapi jika ingin memastikan menantunya itu hilang ghaib tidak dapat digapai dan hidup bersama anaknya, bercerai talak tiga menjadi syaratnya!

Jika hendak rujuk kembali, tentunya jalan yang terpaksa ditempuh amat menyakitkan, apabila menantunya itu wajib berkahwin dan menunaikan hubungan suami isteri dalam erti kata yang sebenar barulah boleh diceraikan untuk membolehkan mereka rujuk semula. Dan sanggupkah anaknya memiliki ‘bekas’ lelaki lain? Lelaki itu pula, sudikah menjadi cina buta dan menceraikan isteri yang amat rupawan? Wan Zamilah ketawa senang, otaknya memang pandai dalam mengatur rancangan! Betapa hitam hati Wan Zamilah dengan dendam akibat tamak dengan daki dunia.

Iddya Melissa yang mendengar syarat yang dikenakan oleh ibu mertuanya itu terasa seperti hendak menangis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan