Label

Isnin, 5 Disember 2016

NOVEL Di Sebalik Talian Bab16

Hari ini sudah masuk bulan Disember. Sepatutnya bulan ini adalah bulan gembira kerana Krismas hampir tiba, namun sebaliknya, bulan ini boleh dikategorikan sebagai bulan yang paling sibuk. Setiap minggu, tiga hari berturut‐turut saya ada temu janji di HMBP untuk Occupational Therapy dan juga sesi kaunseling saya. Kadang‐kadang seminggu itu ada sekali diadakan sesi terapi berkumpulan dan juga sesi terapi keluarga. Terapi‐terapi ini telah banyak membantu saya untuk mengenali lebih mendalam lagi tentang penyakit skizofrenia ini, cara-cara menghadapi penyakit ini dari pelbagai sudut, dan juga dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan saya untuk teruskan hidup seperti biasa. Suara‐suara yang selalu mengganggu saya itu sangat jarang sudah muncul, kecuali apabila saya rasa sangat stress, namun saya selalunya berjaya menghadapinya tanpa memecahkan sebarang benda di rumah saya itu. Pasal halusinasi pula, memang tiada sudah berlaku. Lagipun saya sudah sangat jarang fikir tentang Stephen Marcus itu. Namun saya tahu lama‐kelamaan saya kena berhadapan juga dengan dia suatu hari nanti.

Dan hari ini adalah satu kemungkinan ia akan berlaku, kerana hari ini saya akan ke HQE di wad
surgeri untuk melawat Makcik Solmah. Saya telah mendapat satu panggilan daripada staff nurse di sana yang Makcik Solmah mahu saya datang ke situ untuk mendengar apa yang doktor pakar surgeri itu hendak sampaikan. Mereka tidak beritahu saya perkara selanjutnya, jadi saya memang perlu datang ke sana untuk mengetahui lebih lanjut tentang keadaan Makcik Solmah sekarang. Daripada nada suara staff nurse itu pun saya dapat agak yang keadaan tidak berapa baik bagi Makcik Solmah. Mak saya tidak dapat ikut saya pergi ke hospital kerana dia mahu siapkan kerja mengecat rumah kami itu. Kami telah siap cat semua dinding di tingkat atas selama tiga minggu, jadi sekarang tiba giliran tingkat bawah pula.



Kadang‐kadang aunty Jamie pun datang membantu juga, tetapi minggu ini dia akan sibuk
menguruskan hal pertunangan dia dengan Zero yang akan dilangsungkan pada hari Sabtu ini. Selepas pertunangan itu barulah mereka berdua akan pergi semula ke Sarawak supaya aunty Jamie dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi dengan keluarga Zero. Sebelum ini dia ada juga pergi ke Sarawak tetapi sekejap saja, dalam masa dua hari gara‐gara jadual Zero yang ketat dan juga aunty Jamie tidak berjaya memohon cuti panjang atas sebab kekurangan tenaga pengajar di sekolah tempat dia mengajar itu.

Okay, this is it! Kata hati saya tatkala saya melangkah keluar daripada kereta saya yang saya berjaya park betul‐betul di hadapan hospital itu. Yelah, dah memang saya bertolak pada jam enam pagi, mestilah masih banyak tempat parkir. Saya rasa sedikit nostalgia bila melihat bekas tempat kerja saya itu. Sudah hampir empat bulan sejak kali terakhir saya pijak ke tempat ini.

Saya menghembuskan nafas panjang saya, lalu melangkah ke dalam hospital itu dan terus ke tingkat tujuh di mana terletaknya wad surgeri. Saya menggosok lengan saya, rasa kesejukan dengan hawa dingin yang kuat di sini tatkala saya melangkah keluar daripada lif. Saya mencari‐cari katil Makcik Solmah, dan akhirnya di bilik kubikel yang paling hujung, nampak kelibat Makcik Solmah yang sedang khusyuk makan di katilnya yang terletak di hujung sana. Mata dia bersinar tatkala dia nampak saya di muka pintu.

“Annie! Waduh waduh... Sini kau!” Makcik Solmah melambai ke arah saya. Saya tersenyum lebar sambil melangkah ke arahnya. Kami pun berpelukan sambil masing‐masing mengucup pipi sesama sendiri. Saya pun duduk di sebelahnya sambil memandang makcik itu. Dia masih nampak kurus namun sentiasa kemas. Walaubagaimanapun, perutnya nampak buncit dan keras. Saya mengerutkan dahi saya. Kalau saya tidak silap, masa di HMBP dulu perut dia tidak sebesar ini. Saya mula rasa risau akan keadaannya, dan rasa tidak bersedia lagi untuk mendengar apa yang doktor pakar akan katakan pada kami nanti.

“Kenapa kau diam saja, Annie?” Tanyanya sambil mengunyah nasi yang dibekalkan oleh hospital itu. Saya masih rasa kagum dengan seleranya yang tinggi bila makan makanan hospital.

“Saya rindu makcik bah. Lama sudah kita tidak jumpa, kan? Sorry, saya sibuk betul bulan lalu.
Macam‐macam yang berlaku oh.”

“Hah, yang itu yang makcik mahu dengar tu. Kau cuba cerita sama aku dari A sampai Z. Akhirnya ada juga kawan makcik bercerita di sini. Bosan betul makcik di sini tahu, berbulan-bulan tanpa teman,” makcik bermuncung panjang, membuatkan dia nampak lucu dan menyebabkan saya ketawa kuat sampai beberapa orang memalingkan kepala mereka ke arah kami. Makcik Solmah masih lawak orangnya. Sekurang‐kurang sesetengah benda masih belum berubah lagi.

Sementara menunggu doktor pakar itu, saya pun menceritakan makcik itu segala‐galanya, bermula daripada kisah Isabelle yang dengki dengan saya, sehinggalah pertunangan antara aunty Jamie dengan Zero. Makcik Solmah mengangguk beberapa kali sambil meneliti wajah saya. “Okey, pertama sekali, syukur Alhamdulillah bukan Isabelle yang akan kahwin Zero.” Hal ini membuatkan saya pecah ketawa lagi. “Kedua ialah, kau sangat gilalah, eh!”

Saya memasamkan muka saya. “Kenapa pula makcik kata begitu?”

“Sebab kau tidak mahu mengaku yang kau cintakan Zero!” Makcik Solmah menepuk belakang saya dengan agak kuat. Saya tertanya‐tanya juga orang sekurus dia macam mana boleh ada tenaga yang kuat sebegitu...

“Makcik, saya tidak cintakan dia‐”

Makcik Solmah tidak memberikan saya peluang untuk menjelaskan selebihnya. “Hish, sudah-sudahlah dengan penafian kau itu. Jangan gara‐gara si doktor bodoh itu, kau sudah putus asa dengan cinta.” Kebetulan pula nampak kelibat Doktor Stephen masuk ke bilik itu, tengah membuat round dengan doktor‐doktor yang saya agak‐agak adalah Housemen. Sempat lagi doktor itu memandang ke arah kami, dan matanya singgah ke wajah saya. Namun, saya tidak sangka yang dia akan senyum pada saya. Saya cuma mengangguk saja tanpa membalas balik senyuman dia. Dia mungkin kira tidak bersalah dalam mata orang lain, namun bagi saya, dia telah melukakan hati saya, tidak kira sama ada di alam fantasi ataupun tidak. “Huh, ada hati mahu senyum‐senyum. Aku kasih masuk belacan di dalam mulut busuk dia tu baru dia tahu! Hish!” Dia menjelirkan lidah pada doktor itu, dan doktor itu sempat blushing sebelum dia teruskan dengan kerjanya. Saya menghembuskan nafas lega. Sekurang‐kurangnya saya tidak berhalusinasi bila dia senyum pada saya tadi itu. Saya ketawa kecil mendengar kenyataan makcik itu, sambil membayangkan apa yang makcik itu cakap itu, dan ketawa saya
berpanjangan. Selepas itu, makcik itu pun ikut ketawa juga.

“Terima kasih, makcik. Saya memang perlukan itu,” bisik saya sambil mengelap air mata saya gara‐gara terlalu ketawa. Makcik Solmah melambaikan tangannya saja.

“Berbalik kepada topik kita tadi sebelum si bangsat itu kacau daun...” saya mengeluh panjang.

Saya sudah agak yang dia tidak akan lupa akan topik tadi itu. “Kalau kau betul‐betul cintakan Zero, kau pergilah confess sama dia.”

“Senang saja makcik cakap. Aunty saya pula macam mana?”

“Sepanjang kau bercerita tadi, makcik tidak pernah dengar pun kau cakap yang aunty kau itu cintakan Zero.”

“Sebab dia memang tidak pernah cerita lebih lanjut tentang itu pun.”

“Pada pendapat makciklah, aku rasa aunty kau itu setuju mahu kahwin Zero atas sebab kewajipan. Bukan atas nama cinta. Cuba kau pergi bagitahu dia pasal perasaan kau sama Zero, aku gerenti dia akan serta‐merta kasih batal pertunangan itu.”

Saya terdiam sejenak. “Makcik, kalau pun diorang tidak saling mencintai sekarang, siapa tahu nanti lepas kahwin diorang akan mula bercinta?”

Makcik Solmah mengeluh dengan kuat. “Kau ni, Annie, degil betul oh! Kau sanggup kasih lepas
jodoh kau demi orang lain. Nanti kau yang akan membujang seumur hidup.”

“Makcik, orang lain itu ialah aunty saya. Dia banyak membantu saya di kala saya dalam kesusahan baru‐baru ini. Biarlah pengorbanan saya ini membayar segala jasa baik dia.”

Tiba‐tiba makcik itu ketawa mengilai. Saya mula‐mula risau juga kalau‐kalau penyakit skizofrenia dia datang menyerang sekarang, namun mata makcik itu masih nampak siuman.

“Akhirnya kau mengaku!”

“Mengaku apa pula?”

Makcik Solmah menunding jari ke dada saya. “’Pengorbanan saya’.”

“Kenapa dengan ayat itu?”

Makcik memukul kepalanya, jelas dia rasa frust dengan saya. “Kau ni macam manalah boleh jadi terlalu naif ya? Kau cakap ‘pengorbanan saya’. Itu dalam kata lain, kau memang C‐I‐N‐T‐A dia, namun kau sanggup korbankan perasaan kau demi aunty kau!”

Saya tercegat setelah kata‐kata Makcik Solmah berjaya diproseskan dalam fikiran saya. Pengorbanan saya... Adakah saya... Tidak. TIDAK!

Sebelum saya dapat menafikan itu semua, doktor pakar beserta dengan para doktor sekalian
termasuklah Doktor Stephen pun datang ke katil kami untuk round pagi. Seperti biasa, salah seorang daripada Houseman itu membentangkan kes makcik ini, dan beberapa komen dan cadangan dibincangkan sesama mereka. Akhirnya doktor pakar itu, yang kalau tidak silap nama dia Doktor Yi yang pernah datang ke HMBP, masa saya mengamuk gara‐gara Ste itu, memandang saya. “Hello, cik Annie. Saya difahamkan bahawa Makcik Solmah yang panggil kamu datang ke sini, betul tak?” Saya mengangguk, jantung saya berdegup dengan pantas, rasa gelisah pula untuk mendengar tentang penyakit makcik kesayangan saya ini. Mereka menutup tabir di sekeliling kami untuk memastikan privasi Makcik Solmah.

“Saya Doktor Yi, pakar surgeri. Saya akan meringkaskan semula apa yang berlaku pada makcik
kamu ini, okey?” Saya mengangguk lagi. “Begini. Dia sudah kena buat CT Scan pada abdomennya, dan memang ada ketumbuhan tapi bukan di perut ya, di usus besar dia. Jadi, kami sudah bedah abdomen dia untuk keluarkan ketumbuhan itu, dan ambil sedikit isi untuk dihantar ke makmal untuk penyiasatan lanjut. Setelah seminggu menunggu, akhirnya laporan sudah keluar. Dia ada penyakit yang kita namakan sebagai Adenocarcinoma of Colon. Dalam erti kata lain, dia ada kanser kolon.”

Saya rasa pening secara tiba‐tiba, rasa sejuk di seluruh badan saya. Makcik Solmah nampak seakan‐akan berita ini biasa bagi dia. Mungkin dia sudah tahu lebih awal, sebab itulah dia berkelakuan begini. Saya rasa mahu menangis sahaja bila saya dapat tahu yang di sebalik keceriaan dan lawaknya, dia menderita sakit kanser kolon. “Doktor, dia ada harapan untuk sembuhkah?”

Doktor Yi mengeluh dengan rasa kesal. “Kami ada buat CT Scan sekali lagi, dan mendapati bahawa kanser itu sudah merebak ke otaknya. Kemungkinan sebab itulah dia ada tanda‐tanda psikotik, padahal masa dia dimasukkan ke dalam wad psikiatri, kan diagnosis dia Major Depressive Disorder sahaja...”

“Maksud doktor, kalau sudah merebak ke otak itu...”

“Bermakna dia punya kanser adalah stage 4. Kita boleh jalankan pembedahan untuk buang bahagian kolon yang terjejas itu, dan juga terapi kemo dan radiasi terapi. Namun, disebabkan usia dia yang sudah lanjut dan juga kesan sampingan daripada semua ini, saya tidak galakkan semua ini. Sebaliknya, saya galakkan rawatan paliatif. Kamu tahu paliatif, kan, di mana dia akan diberi rawatan untuk keselesaan dia, biasanya kena bagi ubat penahan sakit atau ubat tidur sebegitu. Makcik kamu pun memang menolak untuk dibedah dan terapi kemo semua itu. Dia mahu paliatif punya.”

Paliatif. Saya pernah nampak benda itu semasa saya menonton drama bersiri. Biasanya kalau sudah di peringkat rawatan paliatif, maksudnya ia adalah langkah terakhir sebelum pesakit tersebut meninggal dunia. Saya mula menangis apabila terfikir bahawa bila‐bila masa saja lagi makcik Solmah akan meninggalkan saya selama‐lamanya. Makcik Solmah memeluk saya dengan penuh kasih sayang sambil membisikkan kata‐kata yang tidak masuk akal namun berjaya menenangkan saya. Selepas beberapa minit, saya mengelap air mata saya dan menarik nafas panjang, lalu memandang Doktor Yi dengan keyakinan yang semakin luntur itu. “Saya faham semua ini, doktor. Terima kasih kerana mengambil masa untuk menerangkan semua ini kepada saya.”

Doktor Yi menepuk lengan saya dengan lembut dan penuh dengan empati. “Okey. Baguslah kalau kamu sudah faham. Jadi begini. Selepas ini kami akan panggil doktor paliatif untuk memeriksa makcik, dan akan uruskan pemindahannya ke wad paliatif di HQE 1.” Saya dengan Makcik Solmah mengangguk tanda faham. Saya menggenggam erat tangan kurus makcik itu, dan selepas itu saya tidak pernah lepaskan genggaman saya itu sehinggalah makcik paksa saya untuk balik rumah dan rehat. Dengan berat hati saya pun meninggalkan dia dengan janji padanya yang saya akan datang lawat dia setiap hari. Kalau memang takdir yang masa hidup makcik adalah singkat, saya akan bertekad untuk menghabiskan masa‐masa ini untuk bersama dengannya.

***

Saya menghembus nafas panjang sambil memandang ke arah matahari yang baru saja terbit di awal pagi Sabtu ini. Atas sebab yang tidak diketahui, hari ini saya terbangun lebih awal daripada yang selalunya. Saya cuba untuk tidur balik tetapi bermacam‐macam fikiran bermain di otak saya menyebabkan saya jadi resah, jadi akhirnya saya bergerak ke beranda rumah saya dan duduk di situ sambil menunggu matahari terbit. Saya teringat kembali kata‐kata Makcik Solmah beberapa hari lalu itu.

“Kau ni macam manalah boleh jadi terlalu naif, ya? Kau cakap ‘pengorbanan saya’. Itu dalam kata lain, kau memang C‐I‐N‐T‐A dia, namun kau sanggup korbankan perasaan kau demi aunty kau!”

Kata‐kata itu sangat menusuk di jiwa saya. Saya cuba untuk menafikan lagi namun semakin hari semakin sukar bagi saya untuk menafikan tentang perasaan sebenar saya terhadap Zero.

Baguslah tu, Annie. Di saat kau sudah mengakui yang kau mencintai dia, hari ini dia akan bakal jadi tunang orang lain. Saya menutup mata saya dengan erat‐erat, cuba untuk menutup segala kata hati saya daripada terus mempengaruhi pemikiran saya. Apa guna juga kalau saya mencintai dia? Dia tidak mungkin akan jadi milik saya. Selama‐lamanya. Saya rasa ingin saja mahu berpura‐pura sakit dan tidak perlu datang ke majlis pertunangan nanti, namun saya tidak boleh berbuat begitu terhadap mereka berdua. Mereka berdua terlalu istimewa di dalam hidup serta hati saya. Mahu tidak mahu, saya kena datang juga. Bunyi perkakas di dapur itu menandakan bahawa mak saya sudah bangun dan tengah menyediakan sarapan pagi. Sambil memberi pandangan terakhir kepada matahari yang pada masa ini sudah sempurna terbit, saya pun bangun dari tempat duduk saya dan mula bersiap‐sedia untuk majlis nanti.

***

Aunty Jamie nampak cantik sekali. Ya, dia memang cantik semulajadi, namun hari ini dengan
bermekap sederhana dan memakai gaun berwarna merah itu, dia nampak lebih cantik daripada sebelum ini, dan juga nampak elegan. Rambutnya disanggul, dengan sedikit rambut di dekat telinganya terjuntai. Dia juga memakai anting‐anting batu delima, dan rantai batu delima. Merah memang warna yang sesuai baginya. Saya berulang‐kali mengambil gambar dia sehingga dia sendiri suruh saya pergi ambil gambar orang lain pula. Ya, hari ini saya melantik diri sendiri menjadi jurugambar untuk majlis kali ini. Saya mahu sentiasa sibuk supaya saya dapat mengelakkan diri daripada bercakap dengan Zero. Selepas majlis ini, malam ini mereka berdua akan ada flight ke Sarawak dan akan berada di sana selama dua bulan begitu.

Rombongan pihak lelaki selamat tiba di sini pada jam sebelas pagi. Zero berpakaian kemeja T
berwarna merah serta vest yang berwarna hitam. Seluarnya jenis slack berwarna hitam, dengan tali pinggangnya yang berwarna hitam coklat. Rambutnya disikat dengan stail belah tengah ala‐ala Nick Carter. Dia nampak sangat segak dan kacak. Memang sepadan sangat dengan aunty Jamie. Saya mengambil gambar Zero untuk beberapa kali sambil bersembunyi di sebalik orang ramai di ruang tamu itu. Zero tidak nampak saya lagi, dan dia pun nampak tidak mencari saya saja, jadi saya agak‐agak yang dia lebih fokus dengan majlis ini.

Beberapa minit kemudian, semua orang berkumpul di ruang tamu itu, di mana Zero dan Aunty Jamie duduk bersebelahan, manakala mak saya dan saya pula duduk di sebelah aunty Jamie, dan keluarga Zero di sebelah Zero. Keluarga Zero terdiri daripada ibu bapanya dan juga adik lelaki Zero yang masih remaja itu, agak‐agak umurnya dalam lingkungan lima belas tahun.

Ucapan demi ucapan disampaikan, dan akhirnya sesi tandatangan dijalankan. Saya sebagai
jurugambar pun terus‐menerus mengklik gambar ke arah mereka, sehinggalah upacara memotong kek dijalankan. Bila mak saya panggil saya untuk bergambar dengan pasangan tunangan itu, saya menggeleng kepala saya. “Mak, saya tidak boleh tinggalkan kamera ni. Mak pergilah bergambar dengan diorang, saya tolong gambarkan.”

“Mari saya tolong gambar kamu.”

Suara itu macam pernah saya dengar saja. Saya pun menoleh ke arah pemilik suara itu, dan
agak terkejut melihat Isabelle berdiri di belakang saya dengan senyuman senget. Sebelum saya
dapat protes, mak saya pun mencapai kamera daripada tangan saya dan memberinya kepada
Isabelle, lalu dia menarik saya ke arah pasangan tunangan itu. Mak saya berdiri di sebelah
aunty Jamie, manakala saya pula terpaksa berdiri di sebelah Zero.
“Hai, Annie,” bisik Zero pada saya.
“Hai.”
Saya rasa kekok berada di sebelahnya, lebih‐lebih lagi disebabkan sekarang saya sudah mula
menerima hakikat yang saya mencintainya. Akibat daripada itu, senyuman yang saya berikan
pada kamera adalah senyuman yang keras dan terpaksa. Selepas saya memberi salam kepada
Zero dan memeluk aunty Jamie sambil mengucapkan tahniah, saya pun bergegas ke arah
Isabelle dan mengambil kembali kamera itu. “Terima kasih, Isabelle.”
Isabelle mengangguk, sambil mata memandang ke arah pasangan itu. “Sayangnya, saya sudah
terlambat untuk mendapatkan dia.” Saya tidak memberikan komen, namun setia mendengar
apa yang dia mahu sampaikan. “Bila saya sudah dilepaskan daripada wad itu, saya terus mesej
dia, ingat mahu ajak dia date, sekalinya dia jemput saya untuk datang ke majlis ini. Saya ingat
dia main‐main, jadi saya pun datanglah di sini. Rupa‐rupanya betul pula...” Dia mengalihkan
pandangannya ke arah saya. “Saya ingat kau yang bertunang dengan dia, sekalinya aunty kau
pula. Ironi betul, kan?”
Saya mengangkat bahu saya. “Tidaklah. Saya tumpang gembira pada diorang.”
Isabelle ketawa kuat mendengar kenyataan saya itu. “Gembira? Huh, kalau senyuman keras
yang kau berikan tadi masa sesi bergambar itu tandanya gembira, entahlah apa reaksi kau
kalau kau terlalu gembira.”
“Saya penat hari ini, sebab itulah senyum pun saya tidak larat.”
“Annie, stop denying yourself! Kau dan saya tahu yang kau mencintai dia,” bisiknya di telinga
saya, sambil tersenyum senget. “Sejujurnya, saya ingat dia pun mencintai kau berdasarkan apa
yang saya nampak masa kau perkenalkan dia pada saya.”
“Kalau ya pun saya mencintai dia, bukannya saya boleh buat apa‐apa juga. Diorang sudah
bertunang, jadi saya kena move on.” Saya tidak tahu dan tidak faham kenapa saya mahu
beritahu semua ini kepada Isabelle yang sebelum ini kebanyakan masanya bikin panas saya
sahaja.
“Pleaselah. Orang bertunang tidak semestinya akan gerenti kahwin. Banyak yang putus tunang
juga.” Dia dengan beraninya menepuk bahu saya, saja mahu beri penenteraman hati kepada
saya. “Jadi jangan risau, kau masih ada peluang.”
Saya menggeleng kepala saya banyak kali sambil ketawa sinis. “Kau ingat saya sanggup mahu
rampas tunang aunty saya sendirikah?”
“For once, kau kena mula fikir pasal diri kau sendiri. Macam mana kau mahu bahagia kalau kau
asyik fikir pasal orang lain punya kebahagiaan, hah?” Saya terdiam sejenak, tidak mahu
mengaku yang apa yang dia cakap itu berbaurkan kebenaraan. “Fikir‐fikirkanlah Annie. Kita
hidup ini sekali saja. Nanti di masa depan kau menyesal dan menangis air mata darah pun
tidak guna juga. By that time, anak‐anak diorang sudah besar dah.” Dengan itu, dia pun
meninggalkan saya dan menuju ke arah pasangan itu untuk mengucapkan tahniah kepada
mereka. Saya pun teruskan aktiviti menggambar ini dan buat sementara waktu saya berjaya
membuang kata‐kata Isabelle itu daripada otak saya.
***
Pada malam itu, saya, mak saya, aunty Jamie dan juga Zero berada di airport KKIA. Flight
mereka akan berlepas dalam masa sejam setengah lagi. Saya sebenarnya tidak mahu ikut sama
tetapi Aunty Jamie berkeras juga. Jadi, di sinilah saya, bakal mengucapkan selamat tinggal
kepada aunty saya dan juga kawan baik saya Zero. Kami sedang menikmati makan malam di
KFC. Saya masih teringat kembali paling terakhir saya di sini, saya dilayan teruk oleh bapa dan
adik saya. Mak saya memicit tangan saya, memahami akan arah fikiran saya pada masa itu.
Saya pun memberikan dia senyuman kecil padanya. Saya pun fokus dengan makanan saya
tanpa sekalipun memandang ke hadapan saya, di mana Zero berada. Dia pun duduk diam
juga, manakala dua adik‐beradik di sebelah kami tengah rancak bercerita. Saya tidak dapat
memberi perhatian terhadap topik perbualan mereka. Saya tahu Zero sedang merenung ke
arah saya, saya boleh merasakannya.
Handphone saya pun berbunyi menandakan ada mesej di Whatsapp masuk.
Zero: Annie, pandang saya, please?
Annie: Saya tengah makanlah. Tunggu saya habis makan dulu.
Zero: Temberang kau. Kau punya nasi begitu juga banyaknya. Kau mengelak daripada saya ni,
kan?
Saya pun terus menoleh ke arah Zero selepas membaca mesej terakhirnya, lalu renung
matanya sedalam yang mungkin. Zero punya pipi merah membara dan giliran dia pula untuk
menunduk. Tanpa berkata apa‐apa, saya pun terus membaham nasi itu dan selepas beberapa sudu sahaja, piring saya sudah licin “berkilat” tanpa sedikit tinggal pun. Zero pandang ke arah
piring saya itu dan membeliakkan matanya. Saya hantar mesej lagi padanya:
Annie: Nah, habis sudah nasi saya. Puas hati?
Zero mengerutkan dahinya membaca mesej saya itu namun dia tidak balas balik mesej itu,
sebaliknya dia pun teruskan makan.
“Annie, napa kau diam saja? Ni bakal uncle di depan kau ni, berceritalah sama dia,” kata aunty
Jamie kepada saya. Saya menyeringai, hampir terlupa yang dia masih tidak tahu langsung
tentang persahabatan saya dengan Zero. Untuk tidak mahu merenggangkan suasana saya pun
memainkan peranan saya sebagai anak buah yang prihatin kononnya itu.
“Hai, uncle Marv. Boleh saya panggil kau uncle Marv, kah?” Saya pandang ke arah Zero sambil
mengangkat dahi saya beberapa kali. Zero hampir tersedak mendengar kata‐kata saya itu, dan
saya berusaha untuk tidak pecah ketawa melihat reaksi terkejut dia itu.
“H‐hai Annie,” rungutnya dengan suara halus. “B‐b‐boleh saja kalau kau...”
“Okey, uncle Marv. Saya harap kau jaga aunty Jamie baik‐baik, kalau tidak saya tendang kau
punya “tuttsss” tu!” Saya mengenyitkan mata saya. Kali ini, dia berserta dengan mak dan aunty
saya sekali terbeliak mata mendengar kenyataan saya itu.
“Annie!” Kata mak saya sambil memukul lembut bahu saya. “Kau ni, mana boleh cakap macam
tu sama uncle kau!”
“Ala, mak. Saya main‐main saja. Takkan serius...” saya mengangkat bahu saya dengan gaya
selamba. Aunty Jamie pula ketawa sahaja sambil menggeleng kepalanya. Dia pun pandang ke
arah Zero dengan pandangan yang penuh kasih sayang, membuatkan rasa cemburu meluapluap
di dalam jiwa saya.
“Dengar tu, Yang? Anak buah saya ini protective, tahu. Kau jangan main‐main sama dia,” kata
Aunty Jamie. Zero tanpa terkata apa‐apa hanya mampu mengangguk‐angguk.
Setengah jam kemudian, saya dengan mak saya mengucapkan selamat tinggal kepada
pasangan itu. Saya hanya mengangguk ke arah Zero tanpa ada body contact dengan dia,
manakala dengan aunty saya pula saya peluk lagi dengan erat. Selepas itu, di dalam kereta
dalam perjalanan pulang, tiba‐tiba mak saya terketawa kuat. Saya pun pandang dia dengan
rasa hairan. “Kenapa, mak?”
“Lucu bah kau, Annie. Siap ugut dia mahu tendang ‘tutssss’ dia pula!” Mak saya sambung
ketawa lagi. Saya cuma tersenyum lebar sambil menutup mata saya, dan rasa penat saya
sepanjang hari ini telah menyebabkan saya terlelap terus melayan tidur saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan