Label

Jumaat, 2 Disember 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab13

Izz Zahrah, dia buat hati aku tak keruan lagi. Adakalanya aku rasa menyesal kerana telah menipu dia dengan mengatakan aku telah pergi ke Luar Negara. Aku menyesal sangat‐sangat kerana itulah hari terakhir aku dapat berbual mesra dengannya. Hari seterusnya, aku sudah tak melihat Izz Zahrah naik ke tingkat atas lagi.

Izz Zahrah sudah tidak beraksi pelik di depan aku lagi. Aku terlalu merindui gelagat lucunya itu. 
Setiap hari aku duduk bermenung di tepi dinding. Waktu rehat pula aku akan makan di meja kayu antik yang aku sediakan untuk Izz Zahrah. Kadang‐kadang Zuhaimie dan abang Am akan join aku makan dengan makanan yang telah ditempah oleh setiausahaku.

Sejak dia tak naik lagi ke tingkat atas, aku pula yang selalu turun ke tingkat bawah dan berpura‐pura membuat rondaan di bilik pejabatnya. Aku hanya pergi untuk melepaskan rasa rindu aku terhadapnya dan ketika itulah Zuhaimie memperkenalkan aku sebagai CEO syarikat ini.

Bila dah jadi CEO secara rasmi penampilan dan sikap aku berubah sama sekali. Aku sering berwajah serius dan jarang sekali aku mempamerkan senyuman aku. Cuma, aku tak tahan bila setiap kali menghadapi kerenah Izz Zahrah. Kata‐katanya sering membuatkan bibir aku ingin melebarkan senyuman dengan spontan dan seringkali aku melarikan diri daripada tertangkap olehnya bahawa aku sedang tersenyum.

Selepas aku bergelar CEO juga aku dijadikan sebagai musuh oleh Izz Zahrah kerana dia sering
mengadu kepada Zuhaimie bahawa aku ini sombong dan angkuh. Zuhaimie pula menyampaikan semua kata‐kata Izz Zahrah kepadaku.


Seringkali juga aku menyuruh Zuhaimie menguji Izz Zahrah dengan mengajak dia keluar dating. Aku gembira bila Izz Zahrah menolak semua ajakan Zuhaimie. Bukan itu saja, aku pernah mendengar ada beberapa orang lagi pegawai di syarikat ini yang cuba memikat Izz Zahrah tapi semuanya tidak berjaya. Aku kagum dengan Izz Zahrah dan rasa cintaku terhadapnya yang telah lama disemai semakin tumbuh dengan subur di dalam hatiku.

Walaupun aku sering berlagak tidak mengenali Izz Zahrah tapi aku sering mengambil tahu mengenai dirinya. Dalam diam aku mengintip setiap pergerakannya. Bila waktu malam aku akan menunggu Izz Zahrah di depan bangunan flatnya kalau‐kalau Izz Zahrah akan keluar di waktu malam.

Aku akan tunggu hingga pukul sepuluh malam. Bila kelakuan aku dihidu oleh Zuhaimie dia memberi saranan agar aku menyewa rumah di depan bangunan flat Izz Zahrah dan mengupah orang untuk memasang CCTV. Senang aku mengintai pergerakan Izz Zahrah dari jauh dan aku tahu ke mana saja Izz Zahrah pergi.

Aku sentiasa ingin menjaga keselamatan Izz Zahrah kerana aku tak mahu ada perkara buruk yang akan menimpa dirinya. Begitulah perasaanku terhadapnya, betapa aku sudah terlalu menyayangi Izz Zahrah.

HARI ini aku ingin keluar menemani Lina membeli barang‐barang keperluannya. Zuhaimie pula
membawa Umai keluar berjalan‐jalan. Sejak Umai tahu aku sudah ada Izz Zahrah dia semakin jauh dengan aku dan Zuhaimie mengambil kesempatan ini.

Lina dengan Umai kebetulan sedang bercuti semester selama tiga bulan dan pulang bercuti ke
Malaysia. Aku pula sudah berpakat dengan kak Iffa untuk menghantar rombongan ke kampung Izz Zahrah dan melamar dia untuk menjadi suri hidupku. Aku sanggup keluar menemani Lina hari ini pun kerana aku nak meminta tolong daripadanya. Aku ingin membeli sebentuk cincin untuk Izz Zahrah tapi sebaliknya yang berlaku. Kami terserempak dengan Izz Zahrah di Bandar.

Pada mulanya aku sekadar ingin menguji dirinya dan berpakat dengan Lina bagaikan kami ini
sepasang kekasih. Kami sengaja berlakon bermesra‐mesraan di hadapannya dan berpura‐pura tidak mengenalinya.

Aku kemudiannya mengintip Izz Zahrah dan merenung wajahnya dari jauh. Dia seakan keliru dengan apa yang dilihatnya. Dalam aku mengintip Izz Zahrah, dia ditegur seseorang. Aku meneka di dalam hati akan gerangan lelaki itu. Aku sangka mungkin abang atau adiknya bila melihat Izz Zahrah menyalami lelaki itu.

‘’Apa pendapat Lina? Agaknya siapa lelaki tu?’’ aku ingin mendengar pendapat Lina kerana setahu aku Izz Zahrah tak akan bersalaman dengan lelaki bukan mahramnya.

‘’Mungkin abang dia atau pak cik dia sebab dia salam cium tangan. Ataupun suami dia..’’ aku
menjeling Lina bila dia menyebut ayat‐ayat terakhir. Suami? Memang sengaja nak menguji perasaan aku agaknya?

‘’Dia belum kahwinlah.’’ Aku berkata dengan yakin. Lina sudah mencebik.

‘’Lina manalah tahu. Dah abang tanya, Lina tolonglah jawab. Kalau abang tak puas hati, pergilah tanya sendiri. Abang pun tak pening kepala. Lepas ni balik ke rumah, taklah angau sangat kalau dah dapat jawapan,’’ Lina berkata lagi sambil membuat wajah masamnya. Aku pula mengambil keputusan untuk bersemuka dengan Izz Zahrah.

Bila aku mula tegur dia, tanpa perlu bertanya dia sudah memperkenalkan lelaki yang bersamanya itu sebagai tunangnya. Aku sakit hati mendengarnya. Bila aku soal dia bertubi-tubi, pandai pula dia beri alasan.

Aku cuba menguji lelaki itu pula. Benarkah dia tunang Izz Zahrah. Aku tarik tangan Izz Zahrah dan cuba melarikan Izz Zahrah. Aku sangkakan aku bakal mendapat hadiah tumbukan maut daripada lelaki itu tapi ternyata lelaki itu hanya beriak selamba saja. Mana mungkin seorang lelaki hanya akan melihat saja tangan tunangnya dipegang di depan matanya sendiri?

Aku membuat kesimpulan sendiri bahawa lelaki itu mungkin saudara sedarah sedaging dengan Izz Zahrah tapi Izz Zahrah sengaja nak mengenakan aku dengan memperkenalkan lelaki itu sebagai tunangnya. Aku kemudiannya mengajak Lina mengekori ke mana saja mereka pergi. Aku minta Lina berlakon lagi menjadi kekasih aku dan kami sengaja makan bersuap-suapan.

Lina pula sengaja mengambil kesempatan di atas masalah yang sedang aku alami.

‘’Lina sanggup ikut apa saja kehendak abang dengan syarat, abang belanja apa saja yang Lina nak hari ini. Kalau kak Izz dapat sebentuk cincin, Lina pun nak sebentuk cincin dengan harga yang sama.’’ Syarat Lina buat aku mengangguk tanpa sedar, yang penting dia mahu menjayakan rancangan aku.

Hari ini dalam sejarah hidupku. Seumur hidupku ini tak pernah lagi aku berkelakuan begini demi seorang perempuan. Selepas keluar dari restoran mereka menuju pula ke kedai emas. Bila mereka memilih cincin kami juga memilih cincin. Aku meminta cincin dengan bentuk yang sama Izz Zahrah pilih. Aku cuba berebut dengannya. Apa saja yang dia pegang, aku akan minta. Lelaki di sebelahnya pula aku lihat sudah tergelak melihat gelagat kami. Lina pula hanya mengelengkan kepalanya berkali‐kali.

‘’Abang dengan kak Izz ni memang sepadan sangat rupanya. Patutlah abang terpikat dengan dia. Lima campur lima, sama dengan sepuluh. Satu kepala, sama‐sama sengal!’’ aku terdengar Lina membebel.

‘’Encik Awal ni dah kenapa? Kami nak pilih cincin nikahlah. Takkan semua yang saya pegang encik Awal berkenan. Lagipun banyak lagi kedai lainkan? ‘’ Izz Zahrah mula bersuara garang bila cincin ke sepuluh yang dipilihnya aku rampas.

‘’Awak diam boleh tak? Awak ingat awak sorang saja yang nak menikah. Kami pun nak menikah juga. Yang saya hairan tu kenapa tunang awak selamba saja? Sebenarnya awak nak menikah dengan siapa ni? Dengan dia ke atau dengan orang lain?’’ aku cuba mengorek rahsia mereka berdua. Sengaja menjadikan cincin sebagai isu.

‘’Kalau encik Awal nak tahu, tunang saya ni ada silat gayung, ada tali pinggang hitam taekwondo. Kalau dia nak belasah encik Awal ni dengan sebelah tangan pun boleh sebab sejak daripada tadi lagi encik Awal ni asyik menganggu tunang dia saja. Cuma dia kesiankan encik Awal saja, tak pasal‐pasal kena tempah katil hospital saja nanti. Sebenarnya cincin mana yang encik Awal nak ni? Saya dah malas nak layan peel encik Awal yang tak semenggah ni. Semua cincin yang saya pilih, encik Awal nak rebut. Letih tau tak?’’

Izz Zahrah mengeluarkan kata‐kata yang membuatkan aku kecut perut tiba‐tiba. Aku jeling lelaki di sebelahnya itu. Lelaki tadi masih beriak biasa. Tiada pula tanda‐tanda dia akan marah ataupun dia akan memberi respon dengan pandangan aku terhadapnya. Aku benar‐benar keliru tapi aku masih ingin menganggap bahawa lelaki itu bukan tunang Izz Zahrah.

‘’Izz..awak tolong pilihkan cincin untuk kami boleh tak? Saya tak dapat awak, dapat tengok cincin yang awak pilih tersarung di jari manis isteri saya nanti pun jadilah.’’ Aku buat ayat‐ayat pasrah sambil memegang tangan Lina. Aku cuba membandingkan jari manis Lina dengan jari manis Izz Zahrah. Jari mereka sama‐sama panjang dan runcing. Mungkinkah saiz cincin mereka pun sama?

‘’Jomlah abang. Mengarut saja orang di sebelah ni. Dah ada calon isteri sendiri. Ukurlah di jari bakal isteri tu..’’ Izz Zahrah berkata sambil bangun dan sekali lagi aku melihat dia menarik tangan lelaki yang bersamanya itu.

‘’Encik..tunggu sekejap!’’ aku bangun dan menghampiri mereka. Cuba menghalang mereka agar jangan pergi. Aku inginkan kepastian tentang hubungan mereka.

‘’Saya kenal Izz, dia takkan pegang tangan lelaki yang bukan mahram dia. Sebenarnya apa hubungan encik dengan dia? Tolong jelaskan sebab saya memang dah sangat sukakan Izz Zahrah ni. Kita sama‐sama lelaki dan saya percaya encik faham perasaan saya ni,’’ aku memberanikan diri dengan menyoal lelaki itu tadi. Lelaki itu teragak‐agak untuk berkata. Dia memandang Izz zahrah dan aku silih berganti. Akhirnya tanpa jawapan sekali lagi Izz Zahrah menarik dia pergi. Aku hanya memerhatikan mereka tanpa ada keinginan untuk terus mengekori mereka lagi. Hati aku dilanda taufan kerisauan yang tak sudah. Minda aku turut keliru dengan situasi ini.

BILA balik ke rumah aku dapati lelaki itu sedang keluar dari perkarangan rumah flat dan 
dikesempatan itu sekali lagi aku pergi menemuinya. Aku inginkan jawapan dengan apa yang
sedang berlaku.
‘’Boleh kita bercakap sekejap?’’ soalan pertama aku dan dia bersetuju untuk berbual dengan
aku.
‘’Siapa Izz Zahrah kepada awak?’’ aku bertanya dengan penuh keraguan.
‘’Seorang wanita yang sangat saya sayang dan saya dah lama kenal dia. Saya kenal keluarga
dia dan saya tak sanggup kehilangannya. Dialah kekasih, dialah sahabat dan dialah rakan
terbaik saya.’’ Panjang lebar jawapan lelaki itu. Aku sudah tersenyum hambar mendengarnya.
‘’Bukan awak tunang dia ke?’’ soalan aku yang seterusnya buat lelaki ini tersenyum.
‘’Yang saya tahu, impian Izz Zahrah ialah, bercinta dengan orang lain. Bertunang dengan orang
lain dan berkahwin dengan orang lain, jadi sebagai lelaki awak harus berhati‐hati dengan dia
sebab kalau dia cakap dia dah sukakan awak, hati‐hatilah kerana dia akan mencari orang lain
untuk bertunang dengannya.’’ Jawapan lelaki itu yang seterusnya membuatkan aku berfikir
panjang. Siapa Izz Zahrah ni? Dan siapa pula lelaki ini yang sebenarnya?
‘’Awak memang dah berpakat dengan dia untuk mengelirukan sayakan?’’ dia tergelak
mendengar soalan aku dan dengan selambanya dia menjungkitkan bahunya.
‘’Kalau dah berkenan tu, segeralah masuk melamar. Awak pun kenalkan dia tu macam mana?
Kalau dia cakap dia tu tunang saya, dia mungkin ada alasan tersendiri untuk cakap macam tu.
Saya takkan mengaku dan takkan menafikannya. Kalau awak nak tahu kebenarannya, baliklah
buat solat Isthikarah, kalau awak merasa tenang setiap kali menyebut namanya, itulah jodoh
awak dan berusahalah untuk mendapatkannya. Itu saja yang saya nak katakan pun.
Assalamualaikum..’’ lelaki itu memberi salam sebelum berlalu pergi. Aku terus
memerhatikannya.
‘’Terlupa pula, saya Izzhar Hasyim. Awak tak memperkenalkan diri awak lagikan?’’ lelaki itu
berpatah balik dan menghulurkan tangannya. Aku menyambutnya tanpa berfikir panjang.
‘’Saya Aswal Madri. Panggil saya Awal.’’ Aku bersuara perlahan dan dia mengangguk.
‘’Satu saja yang saya nak cakap kat awak. Pasal silat gayung dan tali pinggang hitam tu,
semuanya auta saja. Jangan percaya!’’ sempat dia berbisik ke telingaku sambil ketawa. Aku
sudah terkebil‐kebil memandangnya bila dia sudah meninggalkan aku seorang diri. Izz Zahrah!
Awak tunggu pembalasannya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan