Label

Ahad, 4 Disember 2016

NOVEL Darlingku Minah Angau Bab25

“Anggun..”

Satu suara perlahan menegur Anggun Danisha. Ada sentuhan lembut di bahunya seolah‐olah
menyedarkannya.

“Anggun! Anggun!”

Antara sedar dengan tidak suara itu kedengaran lagi. Kali ini lebih lantang daripada tadi. Perlahan‐lahan, Anggun Danisha menoleh dan memandang ke arah tuan punya suara. Harith Mishka sedang memandang tajam ke arahnya.

“Kau ni kerja berangan aje! Makan gaji buta!” ujarnya lagi.

Anggun Danisha pandang tempat duduk di sebelahnya. Zakiah sudah tiada di tempatnya. Sejak bila temannya itu meninggalkan bilik kuliah ini, dia sendiri tidak pasti. Anggun Danisha menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mengelamunkah dirinya tadi? Kenapa pula papa yang dia ingat sedangkan sudah sekian lama wajah itu tenggelam dari dunianya? Malah namanya sudah jarang dia ingati.

Fikirannya kembali kepada misinya. Kembali kepada Bunyamin. Entah apa yang sedang dilakukan kekasih hatinya tatkala ini.



“Hoi! Hoi! Dia boleh berangan lagi!”

Tengkingan Harith Mishka itu mengejutkan Anggun Danisha ke dunia nyata. Dia hanya mampu
menelan liur kerana keterlanjuran sikapnya itu. Kenapalah dia suka sangat berangan? Sampai depan mamat ni pun dia boleh berangan! Tak fasal‐fasal dah kena sound!

“Teringat Buaya Man dialah tu! Minah angau!”

Anggun Danisha tersentak apabila diaju bicara sebegitu. Benci! Suka sangat memperli dirinya.
Akhirnya Anggun Danisha mencebek benci.

“Bunyamin! Bunyamin! Kenapa you susah sangat nak sebut nama dia betul‐betul?” marah Anggun Danisha.

Harith Mishka hanya membalas bicara Anggun Danisha itu dengan cebikan di bibir. Perlukah dia memberitahu yang Bunyamin sebenarnya sudah berpunya? Namun dia tidak sampai hati. Untuk menghilangkan rasa bersalahnya, dia kemudiannya memandang ke arah gelagat para pelajar yang begitu tekun menyelidik sorotan literatur. Sementara Anggun Danisha memandang notanya. Cuba mengingat beberapa perkara yang telah diterangkan Harith Mishka sebentar tadi.

“Anggun!”

Anggun Danisha mengangkat wajahnya. Keningnya dikerutkan sambil memandang lelaki itu. Dia berasa pelik dengan lelaki itu. Kenapa nama pertamanya yang jarang benar dipanggil oleh sesiapa dipanggil oleh lelaki itu? Dan siapa yang menyuruhnya memanggil nama itu?

“Anggun? Sejak bila you panggil I begitu?”

“Sejak sekarang. Kenapa?” tanya Harith Mishka kembali. Wajahnya kelihatan bersahaja.

“Jarang orang panggil I begitu. Rasa pelik bila you panggil I begitu,” balas Anggun Danisha.

Lelaki itu tenang, tetapi sepasang anak matanya kelihatan bercahaya seolah‐olah sedang tersenyum kepadanya. “Yang pelik itulah yang I suka. In fact I suka nama Anggun. Unik dan manis sekali.”

Anggun Danisha ketawa. “Mama I memang suka nama tradisional macam tu. Katanya barulah
mencerminkan kemelayuan itu,” terang Anggun Danisha.

“Kemelayuan? I tak nampak pun you macam perempuan melayu terakhir,” perli Harith Mishka lagi. Dia tersenyum memandang Anggun Danisha.

“Kenapa you berkata macam tu? Sebab I jarang pakai baju kurung or kebaya?” tanya Anggun
Danisha. Dia cukup tidak berpuas hati dengan bicara lelaki itu. Ditambah dengan senyuman lelaki itu menambahkan lagi geram di hatinya. Dia tahu lelaki itu sengaja mahu memperlinya.

“Perempuan melayu penuh dengan santunnya. Ada rasa malu dalam peribadinya. In factperempuan melayu tak akan mengejar lelaki, takut dikatakan perigi mencari timba,” kata Harith Mishka lagi. Di dalam hati dia berfikir sendirian, kenapa perempuan itu terkejarkan Bunyamin. Lelaki kurus kering itu baginya tiada apa yang istimewa langsung.

Tapi itulah kuasa cinta. Cinta tidak mengenal paras rupa mahupun harta. Cinta itu datang semula jadi. Dari mata turun ke hati. Malah dia boleh mengatakan cinta itu buta! Seperti apa yang terjadi kepada Anggun Danisha tatkala ini.

Anggun Danisha mengetap bibir. Wajahnya tiba‐tiba rasa berbahang. Pandangan sinisnya cukup menyakitkan hati Anggun Danisha. Pandangnya seakan mengejek. Anggun Danisha tidak membalas. Tetapi sekadar melontarkan pandangan ke arahnya dengan wajah penuh rasa marah dan benci.

“Anggun.”

Namanya tiba‐tiba bermain sekali lagi di bibir lelaki itu. Lantas Anggun Danisha mengerutkan
dahinya. Apahal dengan lelaki ini? Kena sampuk dengan nama aku ke?

Mungkin kerana perasan dengan reaksi Anggun Danisha, dia segera menjelaskan, “Mesti kau
perasankan bila aku panggil kau begitu. Anggun. Wah anggunnya aku,” kata Harith Mishka sambil membuat gaya yang cukup menjengkelkan.

Anggun Danisha mencebek lagi. Meluatnya! Kalau bab mengata dirinya Harith Mishka memang cukup handal.

“Isha! I lebih suka you panggil I dengan nama tu!” kata Anggun Danisha sambil menjegilkan
matanya. Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia menjerit dan menengking lelaki itu. Biar wajah lelaki itu memerah dek kerana malu apabila ditengking oleh pelajarnya sendiri di hadapan mahasiswa lain. Agh kalaulah dia mampu melakukannnya!

“Nope! I prefer Anggun,” kata Harith Mishka selamba.

Anggun Danisha mengetap bibir lagi. Lelaki ini berlagak seolah‐olah namanya itu hak milik lelaki itu pula. Sesuka hatinya sahaja mahu memanggil apa!

“Nama I suka hati I lah nak suruh orang panggil apa!” marah Anggun Danisha. Sedaya upaya dia cuba mengawal nada suaranya. Tidak mahu pertengkaran antara mereka berdua ini didengari oleh pelajar lain pula.

“Suka hati aku jugalah nak panggil apa! Aku yang nak panggil!” balas Harith Mishka sambil
menjegilkan matanya.

Anggun Danisha mengeluh geram. Sikap kepala batu Harith Mishka itu memang sudah diketahuinya. Lelaki itu mana pernah mahu mengikut kehendaknya. Asyik kehendaknya sahaja yang Anggun Danisha perlu ikut. Sampai dia tidak mempunyai hak atas namanya sendiri.

Spontan, kenangan lama kembali menerpa Anggun Danisha. Bunyamin juga pernah mempersoalkan tentang namanya. Katanya namanya itu kelihatan luar biasa di halwa telinganya. Seperti juga dengan Harith Mishka. Tetapi lelaki itu tidak membantah apabila dia menyuruh Bunyamin memanggilnya Isha. Itulah sikap Bunyamin yang Anggun Danisha kagumi. Lelaki itu sentiasa berlembut dengan dirinya.

“Berangan lagilah tu! Apa nak jadi dengan kau ni Anggun? Kalau begini sampai bila‐bilalah research aku tak siap!” perli Harith Mishka lagi.

Anggun Danisha tersentak. Tanpa memperdulikan Harith Mishka terus sahaja dia memandang kepada nota‐nota yang bertaburan di hadapannya. Dia tidak mahu melayan lelaki itu. Lebih baik dia menumpukan kepada kajiannya yang tiada progress sejak dari pagi tadi. Ini semua kerana Harith Mishka yang suka mengganggunya!

“Anggun?”

Anggun Danisha merenggus. Matanya membulat memandang ke arah Harith Mishka. Wajah lelaki itu kelihatan tenang sahaja walaupun dia tahu Anggun Danisha sudah tidak mampu bersabar dengannya.

“Kau suka ke aku panggil kau Anggun?”

Anggun Danisha merenggus lagi. Geram dan marah dirinya dengan sikap Harith Mishka itu. Kenapa mahu bertanya kepadanya lagi sedangkan lelaki itu sudah pun membuat keputusannya?

“Ikut suka hati youlah. You are the bos!” kata Anggun Danisha mendatar sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan