Label

Sabtu, 19 November 2016

CERPEN Gadis Sunti Kampung Damai

Rumah papan berusia 30 tahun, bercatkan warna hijau tua, berbumbungkan biru langit. Tingkap dihiasi langsir merah jambu bermotifkan bunga‐bungaan mencantikkan lagi suasana di ruang tamu, malah pandangannya amat mendamaikan, melapangkan hati. Jelas terpancar kemerah‐merah jambuan warnanya jika dilihat dari luar. Angin mula memasuki ke ruang tamu. Tingkap yang terbentang luas membenarkan kedatangan angin. Angin mula memukul‐mukul lembut langsir merah jambu, lenggok tari langsir mula bergerak. Enam gigi anak tangga, bersimenkan batu‐bata yang kukuh terbina di bibir pintu. Pintu berwarnakan biru muda ternganga luas. Terdapat sekujur tubuh seorang gadis sunti sedang duduk di bibir pintu itu, berdekatan dengan gigi anak tangga yang terakhir.

Berbaju kurung warna putih, bercorakan bunga‐bungaan, menambahkan seri pada si pemakainya. Bertudungkan putih, mukanya bujur telur. Bibirnya nipis dihiasi tahi lalat di sebelah kanan. Manisnya gadis ini bernama Rahimah. Matanya bulat tetapi ayu. Kulitnya putih melepak. Tangannya halus bak sutera. Rahimah pujaan hati pemuda di kampungnya. Tetapi terdapat segelintir gadis seusianya mencemburui kecantikan yang ada pada Rahimah. Matanya merenung jauh ke atas awan biru, fikirannya melayang jauh. Entah, apa yang difikirkan oleh gadis kampung ini.

Kini usia Rahimah sudah mula mencecah 18 tahun. Walaupun tidak dapat meneruskan pelajaran seperti anak‐anak lain yang kini sudah melanjutkan pelajaran di bandar, yang sudah meninggalkan kampung, namun didikan agama dalam dada Rahimah tidak pernah pudar. Selain daripada membantu ibunya di sawah tinggalan arwah ayahnya, Rahimah juga merupakan seorang “guru” mengaji di kampungnya walaupun tidak diiktiraf. Tiap‐tiap malam sering kedengaran riuh‐rendah suara budak‐budak mengaji dalam rumahnya. Ibunya amat gembira dan bersyukur mempunyai anak gadis yang soleh dan mentaati agamanya. Walaupun hidup kemiskinan, amalan kesederhanan diamalkan untuk menampung hidup mereka dua beranak. Syuhaila,anak kepada ketua kampung, teman rapat Rahimah.

Berpendidikan. Kini Syuhaila menyambung pelajarannya di tingkatan enam. Seusia dengan Rahimah. Syuhaila, gadis sunti yang manis tetapi berperwatakan jantan kerana mempunyai empat orang abang dan seorang adik lelaki berusia 8 tahun. Walaupun berperwatakan seperti jantan, Syuhaila tetap ayu dan cantik tetapi tidak secantik Rahimah. Syuhaila dan Rahimah berkawan sejak dari kecil di usia enam tahun. Ketika itu ayah Syuhaila rakan baik kepada ayah Rahimah. Akibat persahabatan yang rapat, Syuhaila tidak ingin berjauhan dengan Rahimah.



“Imah...”

Nama Rahimah dipanggil di hujung dapur. Rahimah yang masih mengemaskan ruang tamu terpaksa memberhentikan tugasnya. Rahimah memulakan langkah ayunya menuju ke dapur, lenggokkan punggungnya ditarikan. Langkah demi langkah diambil. Kaki putihnya mengegarkan lantai papan dalam rumah.

Kedengaran. Rahimah menuju ke arah pintu dapur. Melihat sebentuk tubuh manusia yang sudah dimamah usia, tetapi tulang kudratnya tetap kuat, kuat seperti Badang demi meneruskan kehidupan sebagai seorang ibu tunggal. Jari jemarinya berdansa di atas badan ikan, ligat menarikan langkah tariannya. Lirikan mata Rahimah melihat sebentuk tubuh yang menghadap ke arah tingkap, membongkok, berdekatan dengan sinki. Rahimah menuju ke arah wanita yang bergelar ibu tersebut.

“Ya, ibu. Ada apa?” soal Rahimah. Ibunya memandang Rahimah. Mata ibunya yang
bulat tetapi ayu itu telah diwariskan kepada Rahimah. Tidak hairanlah orang mengatakan kecantikan Rahimah seperti ibunya dahulu. Tetapi sekarang, rambutnya beruban hanya meninggalkan beberapa rambut hitam, dahi mengerut terdapat kesan kedut, bibirnya mengering, itulah usia tua ibunya. Air peluh mengalir di dahi wanita tua tersebut dilap dengan hujung kain lengannya. Mak cik Gayah memandang anaknya.

“Ibu nak minta tolong sedikit ni, tolong belikan ibu asam jawa boleh tak? Ibu nak masak ikan gulai kesukaan Imah.” Kata ibunya terus menyiang ikan langah tari di mulakan.. Rahimah mengangguk tandanya dia faham dan akur tanpa membantah kehendak ibunya. Rahimah mengatur langkah. Mengatur tudungnya. Tengah hari itu, Rahimah cukup ringkas dan tetap cantik. Mengenakan baju kurung berwarna kuning, bercorakan bunga orkid. Mak cik Gayah menuju ke arah anaknya serta mengenggam wang sepuluh ringgit untuk anaknya membeli asam jawa nanti.

“Imah..” kata ibunya. Suara ibunya agak jelas kedengaran kegetar‐getaran.

“Nah,ambil duit ini untuk imah belikan asam jawa nanti.” Ibunya berkata lagi.

Rahimah menoleh ke belakang sejurus mendengar suara tua ibunya. Jari ibunya sedia terhulur ke arah Rahimah yang terkandung sepuluh ringgit. Rahimah menggeleng. Berkata.

“Tak apalah bu. Ibu simpan dulu duit ni. Imah ada duit simpanan ni. Imah gunakan duit sendiri, ya bu?”. Amalan berjimat‐cermat sudah lama tersemat dalam dada Rahimah. Rahimah telah didik untuk berjimat‐cermat sejak kecil lagi. Ketika itu arwah ayahnya masih hidup. Arwah ayahnya sering mengingatkan Rahimah untuk berjimat‐cermat untuk persediaan pada masa yang akan datang. Selepas habis mengajar budak‐budak mengaji, ada‐ada sahaja upah yang dibagi walaupun Rahimah mengajar mereka dengan ikhlas. Kadang‐kadang berat hati Rahimah untuk menerima pemberian mereka. Kata orang rezeki jangan ditolak. Dengan upah itulah Rahimah menggunakan sebaik mungkin duit upahan itu. Jika ada lebih Rahimah akan memberikan kepada ibunya.

Kedengaran suara di radio. Lagu P. Ramlee jelas kedengaran berdesir‐desir bunyinya. Suasana rumah mak cik Gayah amat tenang dan damai. Rahimah meminta kebenaran daripada ibunya sebelum melangkah pergi. Rahimah keluar dari biliknya, ibunya terus menuju ke dapur. Tiba di mulut pintu terbuka luas, kesegaran angin mula meniup. Rahimah dipuput angin kesegaran, rongga hidungnya mula menyedut anak‐anak angin. Betapa segarnya. Kain‐kain di badannya menarikan tarian kecil.

Rahimah mula mengatur langkah dengan menuruni anak tangga demi anak tangga.
Kakinya meninjak lantai bumi. Rahimah memasukkan kakinya dengan selipar jepun
berwarna biru. Rahimah mengatur langkah. Anak‐anak kecil berlari bekejaran sesama sendiri. Ada daripadanya bermain guli. Ada di antara mereka bermain dengan layang‐layang. Wanita separuh umur bersama‐sama yang lain kelihatan baru sahaja balik dari kebun dengan membawa bakul berisi daun ubi yang terletak di belakang sawah mereka. Anak muda yang lain belum balik dari kerja untuk makan tengah hari, kalau tidak pun mereka hanya makan di kedai. Sebuah rumah terletak sebelah kiri bertentangan dengan kebun. Di tengahnya terbentang anak jalan.

Rumah ketua kampung Damai. Rahimah menjenguk dari luar. Mencari Syuhaila. Pintu rumah tertutup selalunya terbuka. Berjalan agaknya. Rahimah berkata dengan dirinya. Rahimah meneruskan perjalananya. Kantin tauke Ah Chong agak jauh dari rumahnya. Mengambil masa 15 minit untuk ke kedai tauke Ah Chong. Rahimah ditegur beberapa budak kecil, iaitu anak muridnya.

“Selamat tengah hari,kak Imah” sapa ketiga‐tiga budak itu dengan riangnya.

“Selamat tengah hari. Ni daripada mana ni?” soal Rahimah kepada budak bertiga itu.

“Dari kantin tauke Ah Hong” kata Aima. Berusia 8 tahun,pelajar tahun dua di sekolah rendah agama. Rambut bertoncang. Menampakkan muka comelnya.

Ketidakupayaan Aima menyebut huruf “C” sering dipersendakan.

“Bukan “Ah Honglah”, ”Ah Chong”. Kata temannya, Mimi seusianya yang memperbetulkan ayat Aima. Rahimah tergelak kecil melihat gelagat anak muridnya.

Rahimah memandang seorang lagi, salah seorang anak muridnya juga.

“Ni kenapa muka sedih ni, Boboy, kak Syuhaila mana?” Tanya Rahimah. Boboy atau nama sebenarnya Azroy, adik kepada Syuhaila.

Dengan muka monyok, Azroy mengangkat mukanya.berkata. “kak Syuhaila pergi sekolah, katanya ada aktiviti. Boboy kena marah dengan ayah”. Jernih air matanya hampir terkeluar. Rahimah mengukir senyuman.

“Kenapa Boboy kena marah? Ayah boboy tak bagi duit ya? Rahimah mengagak.
Sebenarnya Rahimah faham benar dengan sikap ketua kampung mereka ,iatiu Wak Ali.

“Ya.” Kata boboy sepatah.

“Boboy ,nak beli gula‐gula, tapi ayah tak bagi pula,” tambah Boboy dengan runggutnya. Air matanya hampir terkeluar. Ditahannya.

“Dah, Boboy jangan nangis ya? Nanti kakak belikan untuk boboy. Tapi jangan beritahu pada ayah boboy tau? Biar kakak belanja. Lagipun kakak nak pergi ke kantin ni,”. Rahimah cuba memujuk. Boboy dengan wajah berserinya mengukir senyuman. Gigi rongaknya jelas kelihatan. Rahimah senyum. Itulah sikap Rahimah yang suka mengembirakan orang sekelilingnya walaupun dirinya berduka. Mereka bertiga bersorak dengan riangnya sambil mengikuti Rahimah ke kantin tauke Ah Chong.

“Tauke, asam jawa ada tak?”. Soal rahimah kepada tauke Ah Chong yang sedang mengira wangnya.

“Ada, ada. Imah pegi ujung sana. Ada itu kotak,itu acam jawa”. Kata tauke Ah Chong
dengan loghat cinanya. Tauke Ah Chong satu‐satunya sumber keperluan orang kampung Damai. Sikap Ah Chong yang bermurah hati dan mudah mesra sangat disenangi oleh penduduk kampung Damai. Kadang‐kadang ada saja yang meminta sedekah darinya.

Mak Minah, tinggal nun di hujung kampung, bersendirian. Janda beranak empat. Kini tinggal sebatang kara. Dahulu, rumahnya usang. Bumbung berlubang‐lubang, tiang yang hampir reput kini telah digantikan semuanya hasil sumbangan tauke cina itu. Anak‐anaknya pergi meninggalkan Mak Minah berkeseorangan di kampung ini.

Sibuk mencari harta. Sibuk mencari kebendaan dunia sehingga orang yang melahirkan kita, membesarkan kita, menyusukan kita, malah mendidik kita, ditinggalkan begitu saja. Materialistik langsung! Kalau harta dibawa mati tak apalah juga! Mujurlah ada segelintir masyarakat kampung Damai ini masih ada nilai kemanusiaan kalau tidak, sudah tentu Mak Minah mereput di rumah usangnya itu.

Mak minah yang sering mengurung dirinya ibarat burung merpati dalam sangkar, namun burung merpati ini tidak mencari kebebasan, hanya mencari kebahagiaan. Jelas kelihatan kerinduan Mak Minah terhadap anaknya yang lupa daratan itu. Kadang‐kadang liangan air mata sahaja sebagai peneman meneman diri Mak Minah tatkala melihat sekeping gambar yang tersimpan seribu satu cerita yang takkan mungkin dilupakan. Hanya sekeping gambar itu sajalah pengubat rindu Mak Minah terhadap anak‐anaknya, tetapi burung merpati ini tak mungkin akan bahagia.

Terhiris dan terluka. Rahimah, sering bertandang ke rumah Mak Minah. Kadang-kadang
mak Minah kelihatan seperti orang yang tidak waras. Rasa simpati sering diselubungi pada diri Rahimah setiap kali melihat keuzuran Mak Minah. Kesepian Mak Minah, apatah lagi kesengsaraan Mak minah.

Aima, Boboy, dan Mimi menuju ke arah tempat letaknya gula‐gula. Boboy mengambil gula berperisa vanilla. Manakala Aima dengan Mimi pula mengamgbil gula‐gula berperisa strawberry. Rahimah menuju ke arah tempat yang dikatakan oleh tauke Ah Chong. Rahimah meletakkan asam jawa di atas meja dan meminta yang lain untuk meletakkan gula‐gula yang telah diambil.

“Amboi, banyaknya kamu orang beli. Aima dan Mimi kan dah beli tadi. Ni beli baru ya? Nanti gigi macam Boboy baru kamu orang tahu.” Kata Rahimah sambil gelak kecilnya. Menampakkan muka jelitanya.

“Alaaa.. kakak ni. Sedaplah gula‐gula ni lagi pun kami dua ambi sikit je”. Padahal kuantiti yang mereka ambil itu banyak. Aima hanya memandang dan senyum smabil menunjukkan muka comelnya seolah‐olah memujuk Rahimah.

“Yalah‐ yalah. Awak pula boboy? Sudah?”. Soalan terarah kepada boboy yang berseri mukanya .

Boboy yang sebentar tadi muram mukanya, kini berseri apabila hajatnya yang
menginginkan gula‐gula tercapai akhirnya.

“Sudah, kak Imah” jawab Boboy dengan acuh tak acuh.

“Dah tauke, berapa semuanya?” Tanya Rahimah dengan lemah‐lembutnya kepada tauke Ah Chong.

Tauke Ah Chong memandang barang di atas meja, mengambil kalkulator usangnya.
Kesemuanya berharga lima ringgit. Rahimah menyerahkan duit seperti yang tertera pada skrin kalkulator dari tauke Ah Chong. Barang‐barang yang dibeli oleh Rahimah itu dimasukkan ke dalam plastik hitam.

“Terima kasih. Lain kali beli dekat kedai ini lagi” kata tauke Ah Chong dengan putung rokok yang telah terpadam apinya masih terlekat di bibir tua apek ini, seraya menyerah barang dibeli oleh pembelinya. Tangan Rahimah menyambut lembut barang serahan daripada tauke Ah chong. Rahimah menyambut sambil menampilkan sekuntum senyuman kepada apek yang tua itu.

“Sama‐sama, kalau tak, di mana lagi nak membeli barang kat kedai apek ni lagi?”. suara Rahimah mengusik. Mimi, Aima, dengan Boboy sudah bersedia tunggu di luar, menunggu kedatangan Rahimah keluar daripada kedai tauke Ah Chong. Rahimah melangkah keluar. Dilihatnya budak‐budak itu sudah bersedia dan menunggu.

Rahimah mengukir senyuman. Budak‐budak membalas dengan seukir senyuman.
Terbentang luas sebidang tanah yang menghijau. Dikelilingi pohon yang rendang. Ditengah‐tengah terdapat danau yang kecil tetapi amat dalam dasarnya. Sedalam kesungguhan penduduk kampung Damai ini. Kesungguhan untuk menyara kehidupan keluarga masing‐masing. Sedalam keinginan Rahimah untuk meneruskan usahanya yang telah tertambat untuk menjadi seorang yang berjaya. Namun apakah dayanya, anak petani, hidup miskin. Rahimah ingin keluar dari kebelenguan hidupnya. Kebelenguan yang membuatkan dirinya tiada berhenti di situ sahaja.

Rahimah pingin kehidupan untuk dirinya dan untuk masa depannya. Tapi nasibnya malang, hidup ini ibarat pohon kayu yang besar, kalau tumbang pohon itu, tumbanglah ia, takkan bangun lagi buat kali kedua, ketiga, dan keempat. Mereput. Matilah alamatnya. Melainkan ada keajaiban. Tetapi keajaiban itu datang dari sendiri. Namun situasi di kampung ini telah cukup mendidik Rahimah. kesusahan hidup ini telah mendidik Rahimah, malah mengajar Rahimah tentang ertinya kehidupan. Rahimah terpaksa membuang impiannya ke dasar danau itu, tiada apa yang akan berlaku. Di situlah impiannya terkubur. Tiada gunanya diimbau kembali.

Di situlah titik noktahnya. Jelas gadis ini telah musnah impiannya, tetapi perjuangan ini perlu diteruskan hanya‐Dia yang tahu. Hanya‐Dia yang menentukan segalanya. Tapi sampai bila?, sampai bila penderitaan ini akan berakhir? Sampai bila? Bertahun-tahunkah ia? Tapi bertahun itu sampai bila? Dua puluh tahun? Tiga puluh tahun? Atau selama‐lamanya? Tidak! pasti ada jalannya. Jalan menuju ke arah cahaya yang baharu. Yang terang, yang jelas untuk dirinya, dan untuk impiannya yang terkubur itu. Perlu digali. Rahimah tunduk. Rahimah faham. Rahimah mengerdipkan matanya, mengalihkan pandangannya, dan meninggalkan impiannya yang telah ditelan dalam dasar danau itu. Biarkan!

Aima, Mimi, dan Boboy mendahuluinya. Ketiga‐tiga rakan itu bermain berkejar-kejaran.
Siapa yang mendahului dari diri masing‐masing dialah juaranya. Rahimah tersenyum. Tersenyum melihat gelagat anak kampung damai itu. Kedengaran bunyi enjin kereta dari arah belakangnya. Rahimah tidak ambil peduli. Hanya melihat budak‐budak itu. Kereta itu berhenti di depannya, hanya lima langkah lagi. Budak-budak yang sedang berkejaran itu berhenti. Melihat kereta proton saga berwarna merah darah itu. Agak mewah. Langkahnya terhenti. Rahimah hampir terkejut kerana pemandu memberhentikan kenderaannya secara mengejut di hadapannya.

Debu berapungan. Rahimah mengipas‐ngipas sambil menekup hidungnya daripada
dimasuki debu. Ramli. Desis hatinya. Dia terus mengalihkan pandangannya.

“Hai, cik adik manis.. daripada mana ni? Seorang je ke? “Mak” mana?. Kata Ramli dalam kereta dengan cermin yang terbuka sambil melemparkan senyuman “macho”nya.

“Nak tumpang tak? Sian cik adik yang manis jalan keseorangan, dahlah cuaca panas. Nanti tak bertambah cantik pula. Kalau cik adik ikut balik abang boleh tolong hantarkan dengan kereta ni lagi best berbumbung lagi tu. Tak kena panas. Tambah pula ada air‐cond.” Tambah Ramli. Kali ini Ramli ketawa mengekek seolah‐olah mengejek Rahimah. Hati Rahimah membara tetapi ditahannya.

Rahimah tidak mengeluarkan sepatah kata pun mulutnya dikuncikan, malah tidak
memandang Ramli. Budak‐budak itu meluru ke arah Rahimah. 

“Kakak.. jom kita balik.” Kata Mimi. Seraya menarik tangan Rahimah. Begitu juga dengan Boboy dan Aima yang mengajak Rahimah meneruskan perjalanan. Rahimah mengatur langkah tetapi diberhentikan.

“Woi, budak! Tak hormat langsungkah? Orang sedang berbual, korang sibuk pula.”

Tengking Ramli ke arah budak‐budak itu. Boboi, Mimi, dan Aima tersentak dengan
tengkingan Ramli itu mereka terkejut. Mereka memandang Rahimah.

“Kamu bertiga pergi dulu. Nanti kakak ikut dari belakang” kata Rahimah. Budak-budak itu akur dengan arahan gurunya. Mereka bertiga meninggalkan gurunya di belakang. Meninggalkan gurunya dengan lelaki jahanam. Ramli tersenyum sambil melihat budak‐budak itu pergi meninggalkan Rahimah. Bayangan budak‐budak itu sudah tidak kelihatan lagi. “ Berjaya juga.” kata Ramli pada dirinya. Ramli keluar dari keretanya. Rahimah melangkah ke belakang. Menjauhkan dirinya dari Ramli. Takut Ramli akan bertindak. Ramli yang melihat kelakuan Rahimah itu, melangkah lagi ke hadapan.

“Tolong berdiri di sana sahaja boleh tak? Tak selesalah”. Pinta Rahimah yang agak jauh dari Ramli.

“Kenapa Pula? kenapa tak selesa? Tak ada orang nak ganggu pun.” balas Ramli sambil menjeling ke arah Rahimah. Jelingannya itu memandang susuk tubuh Rahimah. Membuatkan Rahimah tidak selesa.

“Tolonglah, Ramli. Berdiri sahaja di sana.” Kata Rahimah dengan mengeraskan suaranya. Tegas. Matanya memandang ke tempat lain. Tetapi dirinya tidak selesa dengan jelingan Ramli itu. Rahimah berpeluk tubuh.

“Baiklah. Kanda akan berdiri sahaja di sini, tapi tak usahlah dinda jauh dari kanda.” Kata Ramli dengan guraunya. Langkah Ramli diberhentikan. Kali ini Ramli memandang raut wajah Rahimah pula. walaupun Rahimah tidak memandangnya.

“Engkau memang cantik Rahimah!” kata hatinya.

Ramli anak kepada pak hamid. Anak orang kaya di kampung Damai. Menggunakan harta ayahnya untuk mendapatkan apa yang dia hendak. Kerja sering berpindah-randah. Mana tidaknya, sekejap di sana, sekejap pula di situ. Kalau tidak ada kerja, menganggu anak dara kampung yang lain. Beberapa tahun yang lepas, Ramli telah ditangkap bersama‐sama dengan rakannya oleh pihak polis di atas pertuduhan pecah rumah. Tengah hari itu, Ramli mengenakan pakaian kemeja‐t warna biru.

Berseluarkan jeans. Nak katakan orang b berkerjaya tak juga.

“Sejak bila pula Ramli bermadah klasik pula ni?” desis hati Rahimah yang tak tahan dengan sikap Ramli itu. Rahimah amat tidak selesa dengan jelingan Ramli itu.

“Apa yang awak nak dari saya ni Ramli?” soal Rahimah kepada Ramli. Fikiran Rahimah memikirkan seribu cara untuk melepaskan diri dari pandangan Ramli itu.

Rahimah gelisah dan resah. Ingin membuka langkah seribu. Tetapi ada sesuatu yang
menyekat di hadapannya, iaitu Ramli!

“Saya nak awak.” Jawab Ramli dengan senyuman sinisnya dengan memandang tepat
ke arah Rahimah.

Rahimah terkejut, tersentak dengan jawapan Ramli itu. Jantung Rahimah berdegup
kencang. Bagai dikejar oleh satu lembaga. Lembaga yang kedahagaan. Rahimah
memejamkan matanya. Plastik yang berisi asam jawa itu masih dipegangnya. Dipeluknya. Rahimah menarik nafas panjang. Meredakan degupan jantungnya itu. Dan menghembuskannya. Kepanasan matahari jelas terasa. Ditambahkan lagi dengan kedatangan Ramli tengah hari itu.

“Sudahlah Ramli. Banyak lagi gadis‐gadis di kampung ni awak pilih, hati saya tak ada
tempat untuk orang seperti awak ni.” Balas Rahimah. Mulut Rahimah tepat menyengat ke telinga Ramli.

“Rahimah tolonglah… Saya betul‐betulkan sukakan awak. Sejak dari dulu lagi. Apa yang awak hendak? Saya boleh bagi.” Pujuk Ramli dengan sedikit nada marahnya kerana Rahimah mengatakan tiada tempat untuk orang sepertinya.

“Sudah tu, sudahlah Ramli. Soal hati ni tak boleh dibeli dengan apa‐apa sekalipun. Saya memang tidak sukakan awak. Tolonglah. Jangan ganggu saya.” Sahut Rahimah dengan sedikit permintaan. Rahimah merasakan dirinya perlu berterus‐terang. Ya, soal suka atau tak, tidak boleh dibeli. Soal suka ini mesti datang dari hati yang ikhlas tetapi bukan dibeli dengan harta sekalipun. Walau tinggi manapun status diri seseorang itu, hati ini memang tidak boleh dibeli.

Ramli yang tersentak dengan jawapan Rahimah itu terus melenting.

“Baik, Rahimah!” tengkingnya.

“Kalau ini yang awak pinta, saya tunaikan! Jangan haraplah saya lepaskan awak! Awak dalam genggaman saya, Rahimah!.” kata Ramli yang panas hatinya. Tangan Rahimah mengigil, berpeluh ketakutan. Rahimah tunduk. Ramli terus masuk ke dalam keretanya dan memecut laju. Meninggalkan Rahimah keseorangan hanya meninggalkan debu‐debu yang masih menari‐nari di udara.

“Tak guna awak, Rahimah. Berani awak tolak cinta saya dengan mentah‐mentah. Ni anak pak Hamidlah!. Oh, awak ingat harta tak mampu membeli hati awak ya? Tengoklah nanti siapa yang “beli” hati awak tu, Rahimah!” kata hati Ramli. Ramli menghentakkan tangan di stereng keretanya. Rahimah membuka langkah. Rahimah bersyukur kerana tidak diapa‐apakan oleh Ramli. Jantungnya masih berdetak kencang setelah “ugutan” Ramli sebentar tadi. Rahimah tidak tahu apa yang harus dilakukan selain menolak cinta Ramli itu. Hanya itu saja yang dapat dilakukan untuk melepaskan diri daripada Ramli.

Rahimah melalui sebuah taman. Di situ, Rahimah melihat anak muridnya yang sedang bermain buaian. Manakala, Boboy bermain guli dengan kawannya yang lain. Rahimah memanggil mereka. Mereka bertiga berlari mendapatkan Rahimah.

“Kakak, kenapa lama sangat tadi?” kata anak kampung damai itu.

“Yalah, kak.. lama sangatlah… kak… gula‐gula mana?” pinta Aima sambil menadah 
tangannya. Mimi yang sedang merajuk hanya memandang sahaja.

“Ada.. pada kakak. Hurmm… kakak nak bagi pada siapa ya, kalau anak itik yang comel sedang merajuk?” Rahimah tersenyum dan katanya itu seperti mengusik Mimi yang merajuk itu. Masalah dia dengan Ramli terus dilupakan.

“Anak itik yang belakang ni nak ke tak nak? Kalau tak nak, nanti kakak makan habis
gula‐gula ni.” Rahimah mengusik dan terus mengeletek Mimi yang sedang merajuk.

Mimi yang kegelian itu ketawa. Raut wajah comelnya terpancar. Boboi dan Aima turut ketawa juga melihat mimi yang sedang kegelian digeletek oleh Rahimah.

“Kakak, sudahlah gelilah.” kata Mimi yang masih ketawa kegelian.

“Baiklah, lain kali jangan merajuk tau. Kakak lambat tadi berbincamg dengan Ramli tadi. Sebab tulah lama sangat.” Jelas Rahimah.

“Abang Ramli tu nak apa dari kakak.” soal Mimi.

“Tak ada apa‐apalah, Mimi. Dah lah jangan cakap lagi pasal tu. Ni hal orang tua. Budak‐budak kecik mana boleh tahu.” jelas Rahimah.

“Ha? Kakak dah tua ke? Sudah ada uban ya?” Sampuk boboy.

“Tak lah, boboy. Dah. Pergi balik. Dah nak dekat makan tengah hari dah ni. Tapi jangan lupa tau, malam nanti ada kelas. Jangan tak datang ya dan tolong ingatkan kepada kawan‐kawan yang lain boleh tak?” Kata Rahimah sambil mengingatkan anak muridnya. Mereka bertiga mengangguk. Dan meyalam sambil mencium tangan gurunya.

“Boboy, kirim salam pada kak Syuhaila. Kalau‐kalau kak Syuhaila dah balik nanti.”

Pintanya lagi.

“Baiklah, kak.” Sahut Boboy.

Rahimah membuka langkah. Tangannya berisi plastik asam jawa. Budak‐budak berlari berkejaran. Menuju ke rumah masing‐masing. Takut dimarahi oleh orang-orang tua. Rahimah melimpasi rumah penduduk kampung Damai. Dilihatnya seorang wanita tua yang sedang membongkok. Memegang penyapu lidi sambil menghayunkan tangannya. Membersihkan halaman rumah. Perempuan tua itu memandang Rahimah dan memberikan senyuman pada perempuan yang memandangnya itu. Rahimah tersipu malu. Dan membalasnya. Perempuan, selagi sesuatu perkerjaan itu tidak beres, harus dilaksanakan. Segala isi rumah perlu diselesaikan untuk menambat hati tuannya. Malah, ia merupakan tanggungjawab kepada perempuan yang bergelar isteri. Mak cik Gayah, dahulunya cukup bahagia dengan arwah suaminya. Tanggungjawab amat besar. Tapi kini, kebahagian itu telah dirampas selepas suaminya meninggal dunia. Namun, Rahimah, satu‐satunya anak
gadis mak cik Gayah dapat menimbulkan kebahagiaan itu semula. Dilihatnya dari jauh, rumah papan berwarna hijau mula kelihatan. Rahimah memandang rumah yang telah berusia 30 tahun itu. Hatinya tenang, bagaikan sungai yang tenang.

Hatinya amat damai sekali.

“Mak, Imah dah sampai.”

Tapi, salamnya itu tidak disambut. Rahimah memandang muka pintu yang ternganga luas. Kakinya mula dinaikkan sampailah ke anak tangga yang terakhir. Kakinya memasuki ruang tamu. Rahimah memandang sekeliling rumahnya. Hatinya menggagak bahawa ibunya tentu di dapur. Rahimah dengan membawa plastik asam jawa menuju ke arah dapur. Bau hangus ikan yang dimasak ibunya menusuk lubang hidung Rahimah. Jantung Rahimah berdetak kencang. Matanya tertumpu ke gerbang pintu dapur. Langkahnya dibesarkan lagi. Rahimah berlari anak. Bau hangus ikan amat jelas. Rahimah berhenti. Jantungnya kian pantas. Dilihatnya periuk berasap masih berapi, matanya melihat sekujur tubuh yang terbaring. Rahimah terkejut. Plastik asam jawa terlepas dari tangannya. Air matanya jatuh berderai.

Rahimah berlari mendapatkan ibunya yang tidak sedarkan diri. Api periuk dipadamkan. Dipangku ibunya itu.

“Mak! Bangun mak!.” Rahimah memandang ibunya. Jantung Rahimah berdegup dengan kencang. Mutiaranya jatuh berderai. Tangannya mengoncang tubuh ibunya.

Namun, tiada tindak balas dari ibunya.

“Mak jangan tinggalkan Rahimah, mak!” pintanya lagi. Kali ini air matanya bercucuran ke pipi. Rahimah menangis teresak‐esak.

“Mak!!.” Suaranya tergetar‐getar. Kali ini Rahimah memeluk erat tubuh ibunya itu.

Air matanya mengalir dengan deras. Rahimah memeluk erat ibunya. Kini, hidup gadis ini tinggal sebatang kara. Kini, gadis ini telah menjadi anak yatim piatu. Hilang sudah orang tersayang. Hilang sudah kasih sayang. Kini, ibunya telah tiada lagi. Air mata sebagai peneman. Peneman yang meratapi kesedihan gadis bernama Rahimah ini. Air mata yang membawa seribu satu kenangan. Kenangan yang takkan dia lupakan. Kenangan yang telah membahagiakan hidupnya dahulu. Kenangan di saat-saat bersama orang tersayang.

Rumah Rahimah dikunjungi penduduk‐penduduk kampung Damai. Rahimah yang sedang ditemani temannya itu duduk menghadap jenazah ibunya. Rahimah menangis begitu juga dengan teman rapatnya. Jelas kedengaran surah yassin dibacakan pada malam itu. Rahimah melafazkan ayat yassin. Jelas sekali kedengaran suara tangisnya itu. Tergetar‐getar. Fikiran Rhimah jelas berduka. Rahimah menyelak setiap lembaran kenangan yang terpaut dalam ingatannya. Pelbagai kenangan bermain dalam minda Rahimah tatkala Rahimah mengenang kembali nostalgia-nostalgia yang lalu.

Setiap kali Rahimah menatap kembali kehidupan ibunya, bunga‐bunga kerinduan serta‐merta mengharum di ruang hatinya. Apabila kenangan ayahnya mengambil tempat serta‐merta rasa kasih terhadap ayahnya membuak‐buak dalam dadanya. Matanya yang ayu tersingkap beribu‐ribu kenangan mengalir perlahan‐lahan menerusi kedua‐dua pipinya. Semuanya takdir dari‐Nya. Manusia hanya mampu bersabar, tabah, dan berserah kepada yang maha kuasa. Dia yang tentukan segalanya. Manusia hanya mampu menunggu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan