Label

Sabtu, 19 November 2016

NOVEL Impian Kasih Bab1

Lampu neon bergemerlapan dan suasana di persekitaran amat mendamaikan, malahan
mampu memikat hati dan memukau mata sesiapa sahaja yang bertandang ke tepian Sungai Melaka yang amat terkenal dengan nama Malacca River Cruise di seantero dunia. Para pelancong berdiri memacak kaki di bahu sungai yang dibina daripada material kayu‐kayuan, sambil membuang pandang ke hadapan. Menikmati keindahan mural‐mural penceritaan sejarah negeri Melaka yang dipancari dengan cahaya lampu bewarna warni.

Segelintir pasangan kelihatan sedang berjalan‐jalan sambil berpegangan tangan menyusuri
tepian sungai yang dilengkapi dengan pelbagai kafe dan bistro yang mewah dan megah
dengan sajian western dan buffet. Tempat yang sesuai dikunjungi oleh pasangan yang sedang hangat bercinta! Suasana yang amat‐amat romantis. Sebahagiannya pula hanya bersantai merehatkan diri di bangku‐bangku yang disediakan. Kanak‐kanak berlari riang bermain bersama ahli keluarga dan tidak kurang juga aksi pelbagai dimensi yang digayakan saat bergambar merakamkan kenangan percutian.

Sana sini kelihatan ramainya manusia bergembira dan menikmati keindahan di bandar
Melaka ini. Sesekali air di sungai itu berkocak‐kocak apabila disusuri oleh River Cruise yang
membawa pelancong mahupun anak tempatan bersiar mengelilingi sungai sambil
mendendangkan lagu‐lagu asli tradisional melayu Melaka dan Portugis. Maklumlah, Melaka ini sememangnya terkenal dengan budaya dan tatacara orang Portugis yang pernah menjadi penjajah Melaka di zaman lampau. Malahan ada sebuah kampung yang didiami oleh suku sakat keturunan penjajah Portugis yang masih menetap di Melaka. Sebuah
kampung yang dikenali dengan nama Kampung Portugis di Ujong Pasir, Melaka.

Iddya Melissa hanya memandang sepi Casa Del Rio yang terletak di seberang sungai dari
bangku yang sedang didudukinya saat ini. Sungguh, dia amat mengagumi kecantikan hotel
bertaraf lima bintang tersebut. Baginya, lampu‐lampu neon bewarna kuning yang dipasang
mengelilingi hotel tersebut ternyata berjaya menaikkan lagi seri keindahannya. Dia sering
berkunjung ke sini gara‐gara amat menyukai Casa Del Rio yang tersergam indah nun di
seberang. Sudah menjadi hobi dan kesukaannya menggilai tempat‐tempat yang dipenuhi
lampu berwarna‐warni.

Lama dia bertafakur merenung hotel tersebut. Akhirnya, satu keluhan berat dilepaskan sambil menundukkan muka memandang lantai tempat kakinya berdiam. Air mata yang bergenang segera dihapuskan. Wajah diangkat lagi, terus memandang nun di seberang, cuba mendamaikan rasa yang tidak keruan.

Angin malam yang bertiup nyaman ternyata gagal memadamkan api kemarahan yang sedang menggunung di dalam dadanya ini. Api kemarahan yang bertakhta di hatinya seakan memberontak dan membuak‐buak untuk dilepaskan seperti didihan lava gunung berapi. Makin dipandang, makin direnung, semakin dia menjadi penasaran. Bagai dirasuk suatu semangat yang ganas, dadanya berombak menahan tangis dalam kemarahan. Serentak itu dia bangun dan merentap beg tangannya, segera dia mengatur langkah ke hadapan. Menonong berjalan tanpa mengetahui arah tujuan. Diikuti rentak kaki dan hati yang kewalangan sambil matanya menyoroti keadaan sekeliling. Baru dia tersedar, persekitarannya telah lama sunyi sepi.



Dia tertanya‐tanya ke mana hilangnya keramaian sebentar tadi? Buat seketika, dia terpinga-pinga sendiri. Jam di tangan dilihat sekilas, jarum jam tertumpu di angka tiga. Maknanya sudah jam tiga pagi. Semua sudah pulang, hanya aku yang masih setia disini, desis Iddya Melissa di dalam hati.

Kesedihan kembali merajai hati. Lalu, langkah tetap diatur hingga dia tiba di bawah jambatan yang agak terpencil namun masih diterangi dengan lampu neon yang setia memancarkan cahaya menyinari kelam malam. Jambatan di atas kepalanya di pandang sekilas, jambatan yang menghubungkan bangunan merah atau Stadhuys dengan jalan Jonker Walk yang terkenal dengan penjualan barangan antik dan unik oleh peniaga‐peniaga cina di Melaka.

Diamati bunyi‐bunyian melalui deria pendengarannya, ternyata tiada langsung suara orang
berbual mahupun bunyi kenderaan bergerak. Diamati pula di kiri dan kanannya, kosong! Dia
yakin, hanya dia seorang sahaja yang masih tegak berdiri di bawah jambatan itu. Aku yakin!
bisik Iddya Melissa lagi. Matanya dipaku pada air sungai yang hitam pekat itu. Hatinya sedikit gementar, berdetak memainkan irama cemas.

Sedikit demi sedikit dia mara merapati sungai Melaka tersebut. Sedikit demi sedikit
keberaniannya dikumpul. Dia bukan seorang yang suka dan mudah berputus asa, namun
keadaan memaksa dia menjadi seperti orang gila! Dia terluka dan kecewa. Terluka yang bukan sedikit, kecewa yang bukan remeh.

Cinta yang dibina bertahun lamanya dengan lelaki dambaan yang amat dicintainya ternyata
sia‐sia dek kerana tidak direstui oleh keluarga lelaki itu sendiri. Mengapa baru sekarang
hendak dihalang? Mengapa baru sekarang tidak direstui? Kenapa tidak dari dahulu? Apa
salahnya? Apakah salah pilihan hatinya?

Di saat semuanya hendak dimetrainya, muncul pula pelbagai konflik yang cuba memisahkan cinta mereka. Bukan cubaan, tapi sudah menjadi kenyataan. Kalau dia tahu segalanya akan berakhir dengan perpisahan dek kerana cinta terhalang, dari dulu lagi pasti dia sudah menjauhkan diri. Apa guna setia menanti? Kerana terlalu menyakini, akhirnya terluka dirinya sendiri. Sungguh, dia sesal segalanya terjadi saat pelamin angannya sudah terbayang‐bayang di hadapan mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan