Label

Isnin, 12 Disember 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab24

ALHAMDULILLAH, aku bersyukur sangat bila Izz Zahrah kini sudah menjadi isteri aku yang sah.
Dia sudah menjadi milik aku. Tiada apa yang perlu aku risaukan lagi. Semalam kali pertama kami tidur sekatil. Perasaan bahagia terus meresap ke dalam jiwaku bila dapat menatap Izz Zahrah yang tidur lena di sebelahku.

Walaupun rumah Izz Zahrah bersepah bila kali pertama aku masuk ke dalamnya dan membuatkan aku tidak selesa demi perasaan sayang aku kepadanya, aku abaikan semua itu. Aku diam saja bila Izz Zahrah asyik membebel dan meminta maaf kepadaku dengan keadaan rumahnya yang bersepah.

Selepas Izz Zahrah tidur aku memulakan kerja‐kerja mengemas. Bukan sebab aku rajin tapi memang sudah jadi kepantangan aku tak boleh tengok keadaan rumah yang bersepah. Jiwa aku turut serabut dan mata aku tak akan dapat tidur lena walaupun tubuh aku terlalu letih. Aku dah biasa tinggal di dalam rumah yang sentiasa kemas dan bersih. Kalau aku sibuk, aku akan upah orang untuk datang mengemas.

Aku kuatkan hati untuk melakukan tugas‐tugas mengemas rumah kerana aku tetap nak tidur di sisi Izz Zahrah malam ini walau apa pun yang terjadi. Pukul satu pagi barulah tugas mengemas selesai dan sebelum merebahkan tubuh di tepi Izz Zahrah aku membersihkan diri terlebih dahulu. Hilang semua keletihan aku bila melihat wajah bersih Izz Zahrah yang polos tanpa sebarang solekan.

Aku angkat kepala Izz Zahrah di atas lenganku dan aku memeluk Izz Zahrah sebelum melelapkan mataku. Dapat melihat Izz Zahrah dan memeluk tubuhnya pun sudah membuatkan aku cukup berpuas hati.



Aku tertidur pulas selepas menghadiahkan kucupan di atas dahinya dan di suatu tempat yang aku idamkan selama ini setiap kali melihat dia tersenyum dan ketawa. Aku suka bila melihat dia tersenyum dan kebahagiaan aku semakin bertambah bila dia ketawa kerana aku terlalu menyayanginya.

Sebelum subuh aku sudah terjaga dan meninggalkan Izz Zahrah di atas katil. Aku pulang ke rumah untuk menunaikan solat subuh. Selepas subuh aku datang lagi ke rumahnya dan menghantar sarapan. Izz Zahrah masih tertidur pulas di atas katil. Aku pulang semula ke rumahku dan bersiap untuk ke pejabat. Aku ingat nak datang sekali lagi ke rumah Izz Zahrah dan makan sarapan bersamanya tapi bila kereta aku mula masuk ke kawasan perumahan flatnya aku melihat kereta Izz Zahrah sudah keluar dan bergerak laju di atas jalan raya.

Aku mengikut kereta Izz Zahrah daripada belakang. Bila berkesempatan aku memotong keretanya dan menuju ke pejabat. Bila melihat jam yang masih terlalu awal, aku tertanya‐tanya kepada diri sendiri kenapa Izz Zahrah datang awal hari ini? Sampai di pejabat aku naik ke tingkat atas dan menuju ke bilik pejabatku. Tiada pekerja lagi yang datang awal pagi begini.

Aku terus berfikir sambil berdiri di tepi dinding pejabat dan memerhatikan suasana di luar yang berkabus tebal. Bangunan pencakar langit masih tetap berdiri megah.

Dalam pada itu aku mengeluarkan telefon dan cuba menghubungi Izz Zahrah untuk bertanya di mana dia berada. Belum lagi mendail aku nampak tubuh seorang perempuan di hujung koridor. Bibir aku sudah tersenyum tanpa sedar. Izz Zahrah? Apa yang dia buat di atas ni di awal pagi begini? Jangan‐jangan, dia nak buat lagi kegiatan lama dia? Aku sudah meneka di dalam hati sambil terus tersenyum.

Aku perhatikan gelagat dia dan tanpa disedari bibir aku dah tak boleh nak ditutup lagi. Terasa kejang pipi aku kerana asyik tersenyum melihat gelagat isteri tersayang aku. Ingatkan dia takkan ulangi lagi gelagat dia tu tapi tak sangka masih ada lagi senaman‐senaman ringan yang mencuit hati macam tu di depan aku.

Selesai dia meregangkan tubuh dia mula mengeluarkan telefon bimbitnya. Aku semakin menghampiri dinding dan cuba mengintai apa yang dilihatnya. Aku dapat melihat dengan jelas skrin telefonnya. Dia sedang tersenyum sambil melihat gambar pernikahan kami.

Aku turut tersenyum dan terus mengintai gelagatnya di sebalik dinding kaca pejabatku. Bila dia menyentuh dahi dan bibir aku turut berbuat perkara yang sama. Tentu dia perasan aku mengucup dia semalam? Agaknya dia tidur‐tidur ayam ke semalam? Izz Zahrah isteriku. Kau memang nakal sayang! Aku berbisik di dalam hati.

Sengaja ingin menduga dan melihat kejujurannya, aku menghantar mesej melalui whatssap kepadanya. Sambil itu mata aku terus memerhatikan wajahnya bila mesej sudah aku hantar. Bahagia sungguh aku bila bibirnya tak henti‐henti tersenyum membaca dan membalas mesejku tapi sayangnya hanya seketika saja kami berbalas mesej dan dia sudah meminta diri.

Aku menghantar dia dengan pandangan mata hingga ke pintu lift. Selepas beberapa minit aku pula yang turun ke bawah dan pergi bersarapan di café bersebelahan dengan pejabat.

‘’Hai bro, takkan dah ada…’’ sebelum Zuhaimie mengungkapkan statement yang tak patut diungkap aku terlebih dahulu meletakkan jari telunjuk ke bibirku dan memberi isyarat agar dia tak meneruskan kata‐katanya. Macam tersedar sesuatu dia terus terdiam dan menarik kerusi di depanku dan duduk sambil memesan makanannya.

‘’Awal kau hari ini Awal?’’ aku tersenyum mendengar soalannya.

‘’Aku selalu saja awal walaupun datang lewat,’’ aku menjawab sambil tersenyum.

‘’Kau ni, pandai pula berloyar buruk sejak jadi dot, dot orang tu. Kau ambil kursus menjawab dengan dia ke?’’ aku tergelak spontan mendengar kata‐kata Zuhaimie. Baguslah tu, dia pun pandai mengawal situasi. Aku cuma takut kalau ada gossip yang tersebar sebab kelancaran kami berkata‐kata, Izz Zahrah yang bakal jadi mangsa. Kalau boleh aku tak mahu hati dia terluka kerana hubungan dia dengan aku.

‘’Tak salahkan saling memberi tunjuk ajar?’’ aku sengaja provok Zuhaimie dengan soalan aku sambil menjungkitkan kening.

‘’Saling tunjuk ajar tu tak salah bro, yang salah tu kalau belajar perkara yang bukan‐bukan,’’ Zuhaimie menjawab sambil menghirup teh tarik yang sudah ada di depannya.

‘’Okey apa? Lagi pun aku rasa walaupun dia lagi muda daripada aku tapi dia lebih matang bila berfikir dan membuat keputusan. Ilmu dalam dada dia pun mungkin lebih daripada aku walaupun aku pernah belajar di luar Negara. Setiap kata‐kata aku mesti dia berjaya patahkan dan aku rasa ada kebenarannya setiap kali dia berkata‐kata. Aku kadang‐kadang pun mati akal nak menjawab setiap kata‐kata dia,’’

Aku memuji Izz Zahrah tanpa sengaja. Aku memang rasa begitu setiap kali kami berbual. Izz Zahrah memang lain daripada perempuan yang pernah aku kenal. Banyak sangat syarat untuk aku mendekatinya. Dah jadi suami dia pun masih ada lagi syarat yang perlu aku patuhi.

Aku tahu, aku perlu bertegas dengan dia tapi aku rasa takkan ada salahnya kalau aku ikut semua kemahuan dia. Mungkin dia ada sebab kenapa dia nak aku tunaikan permintaan dia. Aku tak dapat baca hati dan fikiran dia jadi aku ikutkan saja agar hati dia takkan terluka.

‘’Bab tu aku setuju sangat..’’ Zuhaimie berkata sambil ketawa. Apa yang lucunya pula? Aku memandang dia sambil menayangkan wajah tak puas hati.

‘’Kalau dia tak cukup ilmu, kau rasa mampu tak dia kenakan kau semula hari tu?’’ dan ketawanya terus bersambung selepas dia menyoal aku kembali. Kepala aku terangguk‐angguk dan hati aku turut menyetujuinya. Hampir luruh jantung aku ini bila melihat seorang wanita yang mirip Izz Zahrah dalam pakaian pengantin hari itu. Tak sangka Izz Zahrah mempunyai saudara kembar yang seiras.

‘’Salah kau Awal sebab tak siasat latar belakang dia dulu. Kau main redah saja sukakan dia dan jatuh hati dengan dia. Lain kali kalau nak sukakan seseorang siasat dulu asal usul dan keturunan dia,’’ Zuhaimie sudah mengeluarkan ayat‐ayat yang membuatkan hati aku menjadi panas tiba‐tiba. Macam dia sedang mendoakan aku agar aku akan jatuh hati dengan perempuan lain pula? Kan orang selalu cakap kata‐kata itu adalah satu doa?

‘’Cukuplah sorang tu yang memiliki cinta aku. Cukup! Full stop. She’s everything for me.’’ Aku
berkata yakin. Zuhaimie terdiam seketika dan dia sudah mula menyuap roti canainya. Aku pula sambil berbual sambil menikmati milo panas dan roti bakar sardine aku.

‘’Tahniahlah, tapi aku musykil satu saja. Kau memang takkan perkenalkan dia sampai bila‐bila ke? Macam mana kalau dia dah maju ke depan? Lepas tu nak kena pergi klinik sakit puan dan sebagainya. Takkan kau tak nak pergi dengan dia?’’

Soalan Zuhaimie buat aku berjeda lama. Betul juga tu. Harap‐harap Izz Zahrah pun akan fikir perkara yang sama. Sampai bila kami nak berahsia. Kalau pekerja dalam pejabat ni tak cuba bongkarkan pun aku pasti wartawan di luar sana pun pasti sedang mencari berita untuk disiarkan.

‘’Kau jangan bimbanglah pasal tu. Aku ada wife yang bijak pandai. Takkan selama‐lamanya dia nak bersembunyi di belakang tabir? Aku cuma nak beri dia masa saja. Sampai masanya nanti, semua orang akan tahu juga. Buat masa sekarang ni, biar dia cuba suaikan diri dulu. Dengan aku pun dia malu lagi nak panggil abang,’’

Aku cuba menerangkan kepada Zuhaimie tapi bila tiba perkataan wife tu aku perlahankan sikit suara, mana tahu ada ‘radio buruk’ yang sedang mencuri dengar perbualan kami dan akan menghebahkannya.

‘’Habis tu dia panggil apa? Semalam macam mana?’’ aku tersedak mendengar pertanyaan Zuhaimie yang ini. Mataku merenung tajam ke arahnya. Perkara tu pun nak tahu ke? Atau aku yang berfikir jauh sangat?

‘’As usual. Sedikit pun tak ada perubahan.’’ Aku berkata selamba.

‘’Takkanlah?’’ Zuhaimie masih tak berpuas hati. Aku hanya menjungkit bahu. Takkan aku nak cerita semuanya kepada dia walaupun dia kawan baik aku sekali pun.

‘’Apa yang kau nak tahu sebenarnya ni?’’ aku berpura‐pura bertanya.

‘’Bukan kau tidur di rumah dia ke semalam?’’ Aku dah agak dah, itu yang akan disoalnya.

‘’Yupp,’’ aku mengiyakan sambil mengangguk dan menghabiskan minuman di dalam cawan.

Aku sudah bersedia untuk bangun bila Zuhaimie juga sudah menghabiskan sarapannya.

‘’Takkan tak jadi apa‐apa?’’ Zuhaimie bertanya perlahan sambil ketawa.

‘’Biarlah rahsia!’’ ringkas saja jawapan aku dan aku sudah mendengar Zuhaimie mengeluh hampa. Ada hati pula anak teruna orang ni nak korek rahsia rumah tangga aku? Hurm…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan