Label

Isnin, 12 Disember 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab28

RUANG makan riuh sekejap dengan kemunculan suami Nur Idayu, Abdul Latif. Dia kelihatan
termengah‐mengah, seolah‐olah melarikan diri dari sesuatu yang menakutkan sebentar tadi. Takkan menakutkan pula kerana mereka berada di waktu siang, bersedia untuk menjamu selera seadanya sebelum Intan Nawrah pulang ke KL semula petang nanti.

“Ayu, mak, Kak Nawrah...ALHAMDULILLAH!”

“ALHAMDULILLAH. Kenapa abang?” Ucap Nur Idayu sebelum teruja hendak tahu hal apa yang
amat disyukuri suaminya itu. Abdul Latif tersenyum‐senyum, menarik kerusi di ruang makan
walaupun tidak dipelawa.

“Ada orang baik hati. Dia sumbangkan seratus enam puluh ribu ringgit untuk Naufal.” Ujarnya,
tersenyum hingga keluar air mata. Nur Idayu hilang kata‐kata. Mutiara jernihnya terbit kala
tangannya bersatu di dalam genggaman suaminya. Semenjak diberitakan anak sulung mereka
menghidap kegagalan fungsi hati, suaminya membanting tulang saban waktu, tidak mengambil cuti walau satu hari pun. Semuanya kerana hendak mencukupkan nilai seratus enam puluh ribu ringgit itu. Nur Idayu saksi perjuangan suaminya mencari duit tak kira masa. Sebab itu hanya air mata yang mampu diluahkan, sebagai rasa bersyukur.

Kali ini bukan dia sahaja yang keluar air mata kegembiraan, Intan Nawrah dan Siti Fatimah turut menangis kegembiraan. Mereka berdua saling berdakapan, berkongsi rasa gembira dengan penuh kesyukuran. Naufal yang sedang bermain di bawah didukung oleh Abdul Latif.



“Ayah tak sabar nak beritahu doktor yang Naufal dah ada duit. Alhamdulillah.”

“Ye, syukur sangatttt. Siapa yang berhati mulia tu abang? Sanggup memberi duit pada kita sebanyak itu.”

“Tak tahu dari siapa, Ayu. Abang nak ambil duit, nak beli barang dapur, tengok‐tengok baki, duit beranak‐pinak tiba‐tiba. Cukup‐cukup dengan jumlah yang kita perlukan.”

Cerita Abdul Latif, sambil mencium kepala Naufal berkali‐kali. Dia teruja sehingga barang dapur yang nak dibeli pun tak terbeli. Sebaik mengeluarkan lima puluh ringgit, dia terus bergegas balik ke rumah.

“Agaknya ada orang yang baca artikel tu. Kemudian, banyak duit untuk membantu.” Tambah Siti Fatimah. Memang sejak berita itu dikeluarkan pada hari Khamis lalu, ada beberapa individu yang berjanji hendak memberi derma, tetapi kata mereka, nak menyumbang waktu melawat Naufal nanti. Tetapi, jika sumbangan disalurkan terus ke akaun Abdul Latif, tentu susah nak tahu siapa pemberinya.

“Siapa orangnya, mak? Kalau Nawrah tahu siapa yang baik hati tu, Nawrah nak jemput dia makan di rumah kita, nak berterima kasih dengan dia sebab membantu keluarga kita, tak mengira siapa.” Kata Nawrah, teruja meluahkan perasaannya.

Perkataan syukur tak berhenti‐henti lagi disebutnya, walaupun cuma di dalam hati. Betapa ALLAH itu Maha Mengasihi, memberi ujian dan memberi bahagia di hujung ujian itu. Intan Nawrah tak mahu banyak, cukuplah Naufal dirawat segera.

“Mak pun tak tahu Nawrah. Tak apalah. Kita doakan saja, mudah‐mudahan ALLAH mempertemukan kita dengan orang ni. Kalau bukan hari ini, mungkin lain kali.”

“Amin. Saya pun begitu, mak. Nak jumpa sangat orang ni. Nak berterima kasih dengan dia. Esok pagi‐pagi saya nak ke hospital. Tak sabar betul nak beritahu doktor yang Naufal dah ada duit. Ada orang sudi memberi sumbangan untuk melihat Naufal sihat macam kanak‐kanak lain.”

“Terima kasih Ya ALLAH, sering mendengar keluhan hambaMU dan menganugerahkan pula
penyelesaian buat kami. Amin Ya Rabbal Alamin.”

Abdul Latif mengangkat tangan, membaca doa buat dirinya. Siti Fatimah, Intan Nawrah dan Nur Idayu, turuh menadah tangan kerana mereka juga sama sepertinya, berkongsi rasa syukur di atas nikmat itu.

“Dah, jom kita makan.”

“Nasi dah sejuk.”

“Tak apa mak. Sejuk pun tak apa, tetap rezeki yang ALLAH bagi pada kita.” jawab Abdul Latif,
tenang di hadapan rezeki. Mereka semua mula mengambil tempat masing‐masing. Mereka sama‐sama menadah tangan apabila Abdul Latif membaca doa makan. Naufal menjadi orang pertama yang disuapkan nasi hari itu.

PUAS mencari, akhirnya dia bertemu juga dengan apartment yang sesuai dengan kemampuannya. Itu pun dengan bantuan Kak Natrah. Sebelum benar‐benar bersetuju untuk menyewa di salah sebuah bilik di dalam apartment itu, Intan Nawrah hendak merisik terlebih dahulu. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Cukuplah merasa sekali penderitaan berkongsi rumah dengan orang yang mengikut hawa nafsu, Intan Nawrah tak mahu mencuba lagi.

“Emm...kalau saya tanya ni, harap jangan kecil hati.”

“Tanyalah. Tak tanya, tak tahu nak kecil hati ke tidak.”

“Emm...kat sini, ada yang bawa balik teman lelaki ke?” Tanya Intan Nawrah, berani. Bulat mata
Adila, terkejut agaknya dengan soalan Intan Nawrah.

“Astargfirullahhal Azim. Apartment disewa untuk perempuan aje. Orang lelaki tak dibenarkan
masuk langsung ke dalam rumah ni. Kami tak mahu tanggung dosa. Harap Intan akur, ye.” Jawab Adila yang tidak mengetahui maksud di sebalik soalannya. Intan Narwah tersenyum.

Akhirnya dia dapat menarik nafas lega. Tak kisahlah Adila nak menegur sekalipun, sekurang-kurangnya soalannya terjawab. Kalau Adila kata boleh, suka hatilah nak buat apa pun, memang
Intan Nawrah angkat kaki, tak sudi nak berkongsi dosa lagi.

“Saya tanya aje, sebab ada sebuah rumah lagi, katanya penghuni rumah tu bebas buat apa saja. Kawan‐kawan tak akan ganggu.”

Jelas Intan Nawrah, bercerita tentang pengalaman sendiri, cuma dek kerana tidak mahu mengaibkan Melia, dia tidaklah mengakuinya secara terang‐terangan.

“Astargfirullahhal Azim...Sampai begitu sekali? ALLAH, mengapa ada manusia yang masih jahil?
Masih tak tahu mana yang benar, mana yang sesat?”

“Masih ada, Dila. Sebab tu saya tanya. Saya pun tak mahu berkongsi dosa.”

“Oh...maaflah Intan! Dila ingatkan Intan tanya sebab nak bawa...emm.”

“Sebab saya nak bawa masuk teman lelaki?”
Tanya Intan Nawrah, tersenyum. Adila tersengih kerang. Rasa malu pula apabila tersalah

menembak. Lambat‐lambat dia mengangguk. Dalam hati dia berdoa, moga‐moga Intan Nawrah tidak berkecil hati. Jika jadi, Intan Nawrah akan menjadi teman serumahnya. Jadi, dia patut mengalu‐alukan Intan Nawrah mulai sekarang, belajar menyesuaikan diri dengannya.

“Tak apa, Dila. Saya okay.”

“Emm...kalau Dila tak keberatan, saya nak masuk segera. Kalau boleh hari ni jugak.”

“Eh, boleh! Tak ada masalah. Sementara tunggu Intan datang, saya siap‐siapkan bilik Intan dulu, ye. Nanti cuci kaki aje.”

“Eh, tak payah lah susah‐susah.”

Tolak Intan Nawrah, segan. Akhir‐akhir ni, kerap benar dia dipertemukan dengan insan yang baik hati dan suka menolong. Sama seperti Kak Natrah, orangnya sangat baik hati dan gemar menolong.

“Tak apa, bukan hal besar pun. Bilik Intan tu memang kami sentiasa kemas. Nanti Intan dah masuk, Intan lah yang ambil alih pulak, kan?”

“Ha ah...Tugas Intan pulak nanti.”

“Eh, dah lambat ni, Dila. Saya nak balik dulu. InsyaALLAH, saya datang semula, paling lewat, lepas Isyak nanti.”

Tambah Intan Nawrah, perasan yang dirinya mengambil masa agak lama di sini. Tentu Kak Natrah dah menunggunya lama di dalam kereta. Fikir Intan Nawrah. Dalam masa yang sama Natrah dan bakal teman serumahnya bersalaman. Mereka berpisah di pintu apartment.

Sekurang‐kurangnya satu hal dah pun diselesaikan. Intan Nawrah terus menapak hingga tiba di tapak parkir. Di situ, Kak Natrah dan suaminya masih setia menanti.

USAI solat Maghrib dan makan malam, baharulah mereka tiba di Apartment Mont’ Kiara Palma. Walaupun keletihan dengan perjalanan jauh, namun masing‐masing cuba menyelesaikan urusan itu secepatnya. Kata kak Natrah, jika bukan dia yang menolong, siapa lagi? Lagipun dia dah tahu masalah yang menimpa Intan Nawrah, jadi jika dia membiarkan hal itu berlarutan, itu menunjukkan ketidakprihatinannya pada masalah yang dihadapi oleh kawan‐kawan.

Intan Nawrah mengeluarkan kunci, sebelum memulas tombol dengan cermat. Kak Nawrah dan
suaminya ikut di belakang. Mereka ada bersama kerana mahu membantu memunggah barang. Sebaik pintu dikuak, sorotan matanya beralih pada isi dalam apartment itu. Bayang Melia diimbas tetapi tak kelihatan. Dia berpusing ke belakang, ingin menjemput Kak Natrah dan Abang Man masuk ke dalam.

“Jemput masuk dulu, Kak Nat, Abang Man. Nawrah nak mengemas dulu.”

“Okay.” Jawab Kak Natrah, ringkas.

“Nawrah!” pekik seseorang, buat Intan Nawrah, Kak Natrah dan Abang Man menoleh pada si
pelaung. Seorang wanita dengan rambut mengurai keluar dari bilik paling hadapan. Intan Nawrah hanya nampak mata Melia yang merah, bagai hendak memuntahkan rasa marah.

Tanpa disangka, tubuhnya ditolak dengan keras. Intan Nawrah yang tak sempat menjangka reaksi Melia itu terus terhuyung‐hayang. Dia terjatuh apabila kakinya tersepak sesuatu yang keras.

Terasa kepalanya keras menghentak sesuatu. Kemudian, Melia datang dengan muka yang amat bengis, menerkam ke arahnya seperti seekor harimau lapar. Perutnya dipijak‐pijak dan disepak sepuas hati tanpa belas kasihan.

“Mel, jangan Mel! Sakit!” rayu Intan Nawrah, tak dapat menahan rasa sakit itu. Suaranya
tenggelam timbul, menagih simpati.
“Tak guna punya perempuan. Kau yang buat report, kan? Kau nak sakit sangat, kan?”
Soal Melia, tak dapat menahan amarahnya lagi. Kali ini dia menarik kepala Intan Nawrah lalu
menghentaknya ke lantai. Dia nak menarik lagi kepala Intan Nawrah, tetapi tangannya ditahan
dari belakang. Terasa kedua‐dua belah tangannya dikunci dari belakang dan tubuhnya ditolak
ke lantai. Melia meronta‐ronta ingin melepaskan diri, tetapi gagal.
“Lepaslah, bodoh!” teriak Melia terus berusaha melepaskan diri lagi. Selagi tubuh Intan Nawrah
belum lunyai, selagi itu dia tak akan berpuas hati. Biar dia mampus!
“Nawrah!” Laung Kak Natrah, bagai baru tersedar dari mimpi, tetapi ketika itu Intan Nawrah
sudah tidak sedarkan diri. Darah merah mengalir di celah‐celah tudung.
“Telefon ambulans dulu, kemudian telefon polis. Lepas tu carilah apa‐apa untuk ikat tangan
budak ni. Kuat betul dia meronta.” cemas suara Abang Man memberi arahan pada sang isteri.
Ketika itu, dia masih bergelut dengan wanita itu. Pada Abang Man, tenaga Melia luar biasa
kuat. Kalau lambat bertindak, bimbang dia terlepas pula.
“Biar perempuan tu mampus! Eh, lepaslah bodoh!” ronta Melia dengan sekuat tenaga
walaupun tangannya dah dikunci dari belakang.
Isterinya, Natrah sudah berlari ke arah ruang tamu. Dia dengar panggilan dibuat, pada keduadua
pihak yang disebut tadi. Kemudian, dia melihat lagi betapa kalutnya sang isteri masuk ke
dalam bilik hujung, mencari sesuatu yang boleh dijadikan pengikat. Dua helai tudung panjang
dibawa kepadanya tidak lama kemudian.
Abang Man main peranannya dengan pantas, mengikat bahagian tangan terlebih dahulu. Dua
helai tudung panjang itu dililit dengan kemas sebelum simpulannya dimatikan.
“Kau ingat kau ikat aku, kau akan lepas? Aku dapat kau, aku cincang sampai mampus! Kau jaga
setan!” luah Melia, betul‐betul menyirap darah.
Walaupun Intan Nawrah terbaring di depan sana, dia belum betul‐betul puas hati. Intan
Nawrah telah menjatuhkan air mukanya sebagai anak Tan Sri Amir Hudson. Habis ceritanya
ditangkap khalwat tersiar di dada akhbar. Paling menyakitkan hati, Tan Sri Amir tidak lagi beri
kebenaran padanya pulang ke rumah. Semuanya angkara Intan Nawrah. Hanya dia yang busuk
hati, tega membuat laporan terhadap penguatkuasa JAWI. Jika bukan kerana laporannya, tentu
hubungannya dengan keluarga masih baik. Ah! Sampai masa hari pembalasan, Intan Nawrah
akan merasa kesakitan yang lebih daripada ini. Sumpah Melia pada diri sendiri.
“Cincang tak cincang. Tunggu polis sampai dulu.”
“Abang...banyak sangat darah keluar ni. Saya takut jadi apa‐apa pada Nawrah.”
“Mana ambulans? Lambat sangat ni!”
Sungut Kak Natrah, terus gelisah. Dia sudah melapik kepala Intan Nawrah dengan kain,
selebihnya dia tidak tahu nak buat apa. Darah mengalir di pipi, sudah menitis hingga ke lantai.
Kak Natrah gelisah dan tidak senang hati. Kejap‐kejap dia menjenguk ke arah pintu,
mengharap bantuan tiba dengan segera.
“Tenang, Nat. Kejap lagi sampailah tu.”
“Ha...ha...ha. Biar Nawrah mampus!” Ejek Melia, walaupun tangannya dah diikat kemas. Kak
Natrah menjeling tajam ke arah Melia. Kalau diikutkan hati yang kurang bersabar, mahu
dipenampar pula Melia yang gila itu.
Tuk! Tuk!
Kedengaran bunyi pintu diketuk. Kak Natrah berlari ke arah pintu, berharap agar petugas
hospital yang tiba terlebih dahulu. Malangnya ia sangkaan semata‐mata. Tiga orang lelaki
berada di muka pintu.
“Saya Inspektor Zaki dari Balai Polis Komuniti Mont Kiara. Tadi, kami ada terima panggilan
tentang serangan yang berlaku di alamat rumah ini. Betul ada serangan di rumah ini, puan?”
“Betul, Inspektor. Saya dan suami saksinya. Mangsa tak sedarkan diri, orang yang menyerang
dah diikat oleh suami saya.”
Terang Kak Natrah, menunjukkan ke arah Intan Nawrah yang terbaring, kemudian Melia yang
dikawal suaminya. Salah seorang daripadanya membantu Intan Nawrah, manakala dua yang
lain bersoal jawab dengan Abang Man sebelum membawa Melia keluar dari apartment itu. Kak
Natrah lihat Intan Nawrah diberi bantuan kecemasan. Posisi tubuhnya diubah supaya selari
antara kepala dan badan. Kak Natrah cepat membantu apabila diminta memangku kepala
Intan Nawrah. Sebaik dibaringkan dalam posisi mengiring, tangan kiri Intan Nawrah
dibengkokkan dan dilipat dibawah pipi kanannya.
“Banyak betul darah keluar dari kepalanya. Bahaya kalau tak diberi rawatan segera.” Kata
pegawai polis itu kepada Kak Natrah. Dia dan suaminya saling berpandangan. Dalam hati, doa
tak henti‐henti dipohon pada Yang Maha Esa moga bantuan tiba dengan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan