Label

Jumaat, 16 Disember 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab28

TIGA hari sudah berlalu selepas aku mengambil cuti kecemasan separuh hari. Kalau sebelum ini, aku seperti dikulikan tapi tiga hari ini aku seakan disisihkan.

Tiada kerja yang perlu aku lakukan. Setiap kali ditanya, mereka cakap tak ada kerja. Puan Salina dan Encik Amran pun sudah tak mengarah aku itu dan ini lagi. Tasya dan Erna yang selalu mendera aku pun seakan tak mempedulikan aku lagi. Aku benar‐benar tak faham apa sebenarnya yang telah terjadi. Apa salahku hingga aku dilayan begini?

Baya pula telah menghantar notis meletakkan jawatan secara mengejut atas alasan peribadi. Aku kembali canggung di dalam pejabat ini seperti aku baru mula bekerja dulu. Cuma bezanya, dulu aku diberi kerja hingga terasa aku tak terdaya untuk melakukan semua kerja. Sekarang ini, aku langsung tak diberi kerja hingga aku tak tahu kerja apa yang harus aku lakukan. Cukup tertekan perasaan aku ketika ini.

Encik Awal pula telah pergi ke Singapura bersama dengan Encik Zuhaimie untuk mempromosikan smartphone keluaran terbaru syarikat kami. Mereka terlalu sibuk mempromosikan smartphone jenama Kejora itu ke seluruh Negara. Aku terpaksa akur dengan kesibukan Encik Awal. Lagi pun, inilah pilihan aku. Menerima dia sebagai suami seadanya.



Sekali lagi langkahku diatur menuju ke tingkat atas. Tempat aku melepaskan tekanan dan beban kerja. Hari ini aku ingin melapangkan fikiranku di sini. Aku bukan berniat nak mencuri tulang. Tidak sama sekali. Berada di dalam pejabat pun, aku tetap tak diberi kerja. Untuk apa aku terus berada di antara rakan‐rakan sekerja yang sibuk membuat kerja masing‐masing.

Semakin tertekan aku dibuatnya.

Aku berdiri di hujung koridor sambil mengimbau kenangan lalu. Angin yang berhembus terasa
begitu menyegarkan tubuhku. Dalam suasana ini hatiku terasa tenang seketika. Aku cuba melupakan semua tekanan yang membelenggu diriku. Aku tarik nafas panjang-panjang dan melepaskannya. Aku cuba menjadi wanita yang tabah. Air mata yang sudah bertakung di kelopak mata cuba ku tahan agar tak gugur, namun apakan daya, tanpa sedar air mata yang cuba ditahan sejak tadi mengalir juga menuruni pipi.

Abang, apa yang harus Has lakukan sekarang? Perlukah Has berhenti kerja? Tapi, Has nak terus
bekerja di sini.

Aku berdialog di dalam hati. Aku pun tak mengerti dengan kerenah orang di dalam department kami. Apa mahunya mereka, hingga menyisihkan aku?

Sebenarnya, apa yang dah berlaku? Abang, baliklah cepat! Has perlukan abang ketika ini. Has juga terlalu rindukan abang.Aku bermonolog dalaman lagi.

Encik Awal baru dua hari meninggalkan aku dan aku kembali tinggal di rumah flat. Tak betah aku tinggal sendirian di apartment encik awal kerana wajah dia sentiasa menganggu ketenangan hari‐hariku. Apatah lagi setiap kali melihat barang‐barang miliknya. Melihat botol minyak wanginya pun seakan menyesakkan nafasku. Terasa olehku dia ada berdekatan, padahal dia tiada.

Kakiku melangkah lagi, terasa longlai langkahku menuju ke arah meja kayu. Aku mula mengeluarkan telefon bimbit dan menatap lama wajah encik Awal. Air mataku tak semena-mena merembes lagi. Aku membiarkan saja dan wajah encik Awal di skrin telefon menjadi berbalam‐balam. Aku terus menyembamkan wajahku ke meja dan melepaskan tangisku.

Ya Allah! Maafkan aku, kerana tidak mampu untuk terus tabah dengan dugaan sekecil ini.

Kenapa? Kenapa mereka semua menyisihkan aku Ya Allah? Apa salahku? Di mana silapku? Aku terus merintih di dalam hati dan esakanku semakin menjadi‐jadi. Aku mungkin nampak tabah dan kuat di luar. Sedangkan hakikatnya hati aku ini umpama agar‐agar. Lembut dan mudah hancur.

"Assalamualaikum." terdengar saja suara itu, aku mula mengesat air mataku hingga kering. Dia dah duduk di sebelah aku dan aku pula sudah memusingkan wajah ke arah lain. Salamnya hanya ku jawab di dalam hati.

"Sayang, kenapa menangis ni? Buat apa di sini sorang‐sorang? Belum masuk waktu rehat lagikan. Sayang curi tulang ya? Abang suruh akauntan syarikat potong gaji sayang 50 percent nanti. Nak ke? Baru kerja, dah pandai curi tulang ye?" aku menoleh sejenak ke arahnya dan merenung tajam kepadanya. Hanya beberapa saat aku melarikan wajahku lagi.

“Kenapa ni?” Encik Awal berkata sambil memegang daguku dan memusingkan wajahku supaya
memandangnya. Air mataku berlinangan lagi dan aku mengelapnya rakus. Aku berpusing ke arah lain dengan pantas.

“Ada orang buli sayang ke?” dia masih tak berputus asa. Kali ini dipusingkan pula bahuku dan dia memandang tepat ke wajahku.

Aku memandang wajahnya seketika, kemudian aku tundukkan wajahku dan memandang lantai. Hatiku masih sebak lagi. Tak berdaya menatap lama wajahnya. Ingin saja aku memeluk tubuhnya untuk melepaskan rinduku dan melegakan perasaanku ini. Tapi, perasaan malu yang masih menebal dalam diriku ini menghalangnya.

“Dah, sini..” apa yang ingin aku lakukan seolah dapat dibaca oleh dia. Encik Awal sudah menarik tubuhku dan merangkul aku sambil mengusap perlahan belakangku. Terubat juga hatiku ini namun hanya seketika bila menyedari di mana kami sedang berada, aku menolak tubuhnya perlahan dan menjarakkan diriku daripadanya.

“Kita di tempat kerjalah. Jangan nak lebih‐lebih!” sempat aku memberi amaran sambil menjeling manja.

“Tahu pun di tempat kerja. Sayang tu, menangis beria‐ia kenapa? Abang tanya sayang, tak nak cakap. Suka sangat buat abang risau.” bebelan encik Awal kedengaran lagi. Tak semena‐mena aku sudah ketawa perlahan mendengarnya. Dia sudah merenung tajam ke arahku.

Aku pula mengapai tangannya dan menyalaminya. Aku bawa tangannya ke bibirku dan mencium lama tangan itu. Dialah suamiku, tempat aku memohon restu selain abah dan ibuku dan dialah Syurgaku. Semoga Allah merestui perhubungan kami hingga ke Jannah. Sempat aku berbisik di dalam hati sebelum melepaskan tangannya.

“Baru ingat nak salam abang ke? Salam saja ke?” soalan‐soalannya buat bibir aku menguntumkan senyum.

“Cukuplah salam. Bila abang balik? Kata nak balik esok?” giliran aku pula mengajukan soalan
untuknya.

“Abang baru saja sampai, tapi dah terserempak dengan isteri abang yang sedang menangis ni.
Kenapa? Takkan tak nak cerita?” aku mengeleng perlahan. Tak perlulah aku ceritakan apa yang
berlaku, nanti lain pula jadinya.

“Kalau tak ada apa‐apa,kenapa menangis? Rindu abang ke?” aku mengangguk perlahan dan wajah aku turut berbahang seiring dengan pengakuanku. Sekali lagi dia mendepakan tangannya dan melebarkan senyuman.

“Apa?” aku berpura‐pura bertanya sambil menepis perlahan tangannya.

“Hmm..pandai pula nak rindukan abang. Tu baru 62 jam abang tak ada. Minggu depan abang nak kena pergi Timur Tengah pula untuk mempromosikan smartphone baru tu. Sayang nak ikut tak? Sebab, mungkin lama sikit abang di sana nanti. Baru tiga hari abang tinggal, sayang dah menangis beria‐ia macam ni. Kalau berminggu abang tak ada nanti, buatnya kurus kering isteri abang ni..” spontan aku mencebik mendengar kata‐katanya.

“Ishh..tak naklah ikut abang. Kerja orang macam mana? Lagipun, apa pula kata orang nanti?” aku cuba mencari alasan, walaupun hakikatnya dah tiga hari aku datang kerja tanpa buat kerja.

Jemu adalah.

“Kenapa? Sayang tak ada, syarikat tak berfungsi ke?” aku tersentap mendengar kata‐kata encik Awal. Rasa macam nak sambung menangis saja. Air mataku mula bergenang lagi. Aku bangun dan berdiri di tepi koridor dan cuba memujuk hatiku sendiri.

“Kenapa lagi ni?” Encik Awal menghampiriku dan menarik bahuku supaya mengadap ke arahnya. Aku mengeraskan tubuh dan berpusing ke arah bertentangan.

“Period tak habis lagi ke ni?” soalan cepugangsa itu pula yang ditanya. Aku mengebam bibir dan menyapu air mata yang mula mengalir lagi.

“Nur Izz Zahrah Hasyilla. Jangan buat abang macam ni. Abang letih tau. Abang balik dari jauh nak tengok wajah ceria isteri abang. Bukan nak tengok wajah sayang yang bermuram durja macam ni,”

Kali ini aku menahan senyum pula. Macam‐macamlah bos aku ni. Nak pujuk aku pun, agak-agaklah.
Bermuram durja? Macam berlakon filem sejarah Kesultanan Melayu Melaka pula.

"Eh Hang Jebat, hamba bukan bermuram durja tau. Hamba tak dapat nak control jiwa hamba yang memberontak saja." aku bersuara perlahan sambil mengulum senyum. Saja aku berkata begitu untuk melegakan perasaan aku sendiri.

"Hang Jebat? Sejak bila pula abang jadi Hang Jebat ni? Alang‐alang, biar jadi Hang Tuah, barulah Bertuah. Kot‐kot smartphone baru ni laris hingga Luar Negara. Sayang pun dapat untung sebab sayang yang buat proposal tu." Encik Awal mengungkapkan kata sambil merangkul bahuku. Kami menikmati permandangan bangunan‐bangunan pencakar langit di depan mata.

"Dah habis dah shahdu‐shahdan tadi? Kalau dah habis, jom teman abang pergi makan. Abang lapar ni, sebelum bertolak balik tadi, tak sempat nak makan. Abang rindu sangat dengan isteri abang ni. Makan tak selera, mandi pun tak basah dua hari setengah ni." encik Awal berkata selamba sambil mengapai tanganku. Serba salah aku dibuatnya.Lagi sejam baru masuk waktu rehat.

"Belum waktu rehat lagi. Boleh ke keluar?" aku ajukan soalan untuknya.

"Kenapa pula tak boleh? Dah lama abang perhatikan sayang tadi. Sayang datang ke sini sebelum rehat, boleh pula?" dia menyoal aku sambil menjungkitkan keningnya. Aku melepaskan nafas berat.

"Abang skodeng orang yer?" aku sengaja bersuara ceria untuk menyembunyikan resah di dalam hati.

"Taklah, abang ushar jer." Encik Awal menjawab sambil tersenyum seraya menarik tangan aku 
menuju ke arah lift.

"KENAPA tadi tu?"

"Hah?" nasi yang ingin disuap ke dalam mulut, tak jadi ku suap sebaik mendengar pertanyaan Encik Awal.

"Apa yang kenapa?" aku menyoal dia kembali.

"Tangkap leleh tadi tu? Sampai abang terpacak di belakang sayang pun tak sedar." aku panggung kepala dan menatap wajah encik Awal. Dia menjungkit kening.

Aku menarik nafas panjang sambil terus menyuap. Perlukah aku bercerita? Hati aku bermonolog sendiri.

"Orang dah cakap tadikan.." aku mengambil keputusan untuk menutup mulut saja.

"Kita dah berjanjikan. Takkan ada rahsia antara kita." suara tegas encik Awal sudah mula kedengaran. Tergambar wajah tak puas hati pada mimik mukanya.

Aku mengeleng perlahan sambil menarik gelas minuman. Aku menyedut jus oren sambil minda bekerja keras. Haruskah aku cerita? Aku menyoal lagi soalan yang sama di dalam hati.

"Tak ada apalah. Hal kecil saja. Mungkin mod orang tak stabil kot. Sebab tu teroverdos sensitif." aku cuba mencipta alasan untuk mengelak daripada bercakap perkara yang sebenar.

"Tak mau berterus terang tak apa. Biar abang tanya sendiri dengan ketua sayang.."

"Eh, jangan! Abang janganlah babitkan mereka. Please!" mengelabah juga aku demi mendengar kata‐kata encik Awal.

"Mereka dah cakap apa‐apa ke? Tentu adakan? Kalau tak, takkan sayang emo teruk sangat
tadi?" soalan demi soalan diajukan. Nampaknya, selagi aku tak berterus terang, selagi itulah
dia akan terus meragui aku.
"Sebenarnya, mereka tak cakap perkara yang menyakitkan hati pun. Cuma, tiga hari abang tak
ada ni, orang stress sangat sebab orang datang kerja tapi langsung tak buat kerja. Orang ada
prinsip tau. Orang tak nak makan gaji buta." aku berhenti bercerita dan menarik nafas seketika.
Pinggan nasi yang sudah licin aku tolak ke tengah meja. Air yang masih berbaki aku sedut lagi
untuk kali yang terakhir.
"Abang ada cakap apa‐apa ke hari tu? Masa abang panggil Puan Salina dan Encik Amran tu?"
aku menyambung kata dan menunggu pertanyaan aku dijawab.
"Tak cakap apa‐apa pun. Abang cuma bagi amaran saja." aku sudah merenung Encik Awal
dengan mata tak berkelip. Tak cakap apa‐apa? Cuma bagi amaran saja?
"Bos ni biar betul?" tanpa sedar aku panggil dia dengan panggilan bos lagi dan wajah lelaki di
depan aku ni terus berubah.
"Sayang..kalau ya pun nak marah abang. Panggilan tu janganlah ditukar sesedap hati saja.
Abang dah happy sangat dah, sejak dengar sayang lancar saja sebut perkataan abang tu. Tibatiba
saja dah jadi bos balik?" suaranya berubah nada. Kedengaran agak garang di
pendengaranku disusuli dengan dengusan kasar.
"Opppss..sorry!" aku berkata perlahan dan cuba untuk mengosok belakangnya bertujuan untuk
memujuk tapi terpaksa aku batalkan bila menyedari kami sekarang sedang berada di dalam
restoran.
"Betul ke sayang tak ada kerja nak buat? Kerja dengan abang pula ya? Jadi PA abang? Nanti ke
mana saja abang pergi, boleh bawa sayang."
Aku berjeda lama mendengar kata‐katanya. Ikut ke mana saja dia pergi? Tawaran yang sangat
menarik. Tapi, tak jemu ke, kalau asyik mengadap muka masing‐masing dua puluh empat jam?
Lagipun, layakkah aku jadi PA dia? Aku mana ada kelulusan pun. Jadi soulmate dia In Sha Allah,
rasanya aku mampu untuk seumur hidup.
Aku terus bermonolog dalam hati sambil tersenyum gatal. Di dalam hati saja tau. Di luar ni, aku
sengaja tayang wajah beku seolah langsung tak tertarik dengan tawarannya.
"Kesian pula dengan orang‐orang department pusat pentadbir syarikat kalau Nur Izz Zahrah
Hasyilla ni tak ada. Rindu pula mereka nanti. Abang tak kesian ke dengan mereka? Bila kerani
kesayangan mereka ni kena kidnap dengan bos besar mereka?" aku sengaja berseloroh. Wajah
encik Awal berubah lagi.
"Kesian dengan mereka saja ke? Habis tu, dengan abang ni tak reti‐reti nak kesian?" dia
bertanya sambil menghabiskan makanan di dalam pinggan. Aku memerhatikan saja tingkah
lakunya yang cukup tertib itu. Memang banyak bezanya dengan caraku.
"Kenapa pula dengan abang?"
"Tanya pula? Takkan tak kesian dengan abang? Sayang tu dah jadi hak abang pun tapi nak
panggil abang pun teragak‐agak lagi. Sekejap abang, sekejap bos.." aku sudah tersengeh
mendengar kata‐katanya.
"Sukalah tu?" aku terus tergelak mendengar ayat dia yang seterusnya.
"Sweet la bila abang buat muka macam tu." aku cuba menyakat dia dan aku kenyitkan mataku.
"Sayang ni...balik rumah nanti, siaplah abang kerjakan!" sempat dia memberi amaran dan kali
ini aku pula yang penasaran. Haih! Saja nak buat aku cuak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan