Label

Isnin, 5 Disember 2016

NOVEL Aku Dan Bos Bab16

DUA hari selepas majlis makan malam syarikat aku diberi cuti seperti yang dijanjikan. Encik Amran dan rakan‐rakan sejawat yang sama bahagian dengan aku asyik protes saja bila tahu aku akan bercuti selama seminggu. Kata mereka aku dah kipas bos sebab baru sangat aku diambil sebagai pekerja tetap dah dapat cuti selama seminggu. Paling teruk bila membabitkan lamaran encik Awal kepadaku malam itu. Aku bagi alasan paling simple. Aku cakap, semua itu adalah skrip yang dirancang. Biarlah aku kelentong sikit daripada teruk aku dikutuk.

Mungkin itulah lumrahnya kehidupan di atas dunia ini. Pantang kita diberi kelebihan sikit, mulalah mereka nak berdengki dan mengumpat tak tentu pasal. Bukan aku nak, semua yang berlaku ini, tapi dah rezeki aku bos besar jatuh hati dengan aku, nak buat macam mana. Takkan aku nak tolak tuah pula?

Aku sedar, aku masih baru lagi bekerja di syarikat ini, tapi cuti yang aku dapat ini, bukan aku yang minta. Dah bos nak bagi, aku terima saja dengan senang hati. Kampung halaman, wajah ibu, abah, abang Izzhar, Kak Ieta, opah dan semua saudara mara sudah mengamit kepulanganku. Aku dah tak sabar nak menjejak halaman rumah. Aku dah tak sabar nak peluk ibu dan abah. Aku juga dah tak sabar nak bercerita rancak dengan abang Izzhar dan kak Ieta.

‘’Mesti bestkan naik bas? Kali pertama dan terakhir Lina naik bas masa zaman sekolah rendah dulu. Kami pergi rombongan sekolah. Dah lama sangat Lina tak merasa naik bas ni, tentu berbeza dulu dan sekarangkan?’’



Lina yang sudah mula teruja mengejutkan lamunanku. Sebenarnya, bila Lina dan Umai nak ikut aku balik kampung, sengaja aku mengajak mereka untuk menaiki bas exspress. Kami ambil bas dari Shah Alam terus ke Teluk Intan. Kalau nak suruh abang Izzhar datang ambil kami di Shah Alam ini pun aku rasa, abang Izzhar takkan menolak tapi memandangkan aku pun dah lama tak naik bas, teringin pula nak mencipta pengalaman baru.

‘’Memang berbeza rasanya kerana sekarang ni, dah banyak lebuhraya yang dibina. Kita takkan 
berhenti di mana‐mana dah. Kita akan terus saja sampai ke Teluk Intan.’’ Aku memberikan jawapan spontan. Kalau naik kereta sendiri pun sekejap saja sampai. Lebih‐lebih lagi bila ada perasaan teruja untuk balik ke rumah macam aku ni. Belum naik bas lagi aku dah nampak rumah. Nampak ibu dan abah. Yess, rasa tak sabar sangat!

Sepanjang perjalanan Lina dan Umai tak habis‐habis berceloteh, kebetulan kami mengambil tempat duduk paling belakang sekali jadi kami bertiga boleh duduk sebaris. Macam‐macam soalan yang mereka ajukan kepadaku. Aku ini dah macam pemandu pelancong untuk mereka. Beberapa jam dalam perjalanan kami sampai di Teluk Intan. Lina dan Umai kata mereka nak datang melawat Menara Condong. Aku memberi jaminan untuk membawa mereka datang ke Menara Condong sebelum kami pulang semula ke Kuala Lumpur. Buat masa sekarang aku sudah tak sabar nak balik ke rumah.

Dari stesen bas Teluk Intan aku mengajak mereka menyewa beca untuk ke Jeti Bot Penambang. Beca di pekan Teluk Intan sudah berkurangan dan mungkinkah akan terus hilang?

Dulu aku pun pernah naik beca ini dengan abah. Bila ingat balik kenangan lama, ianya cukup indah dan membahagiakan. Abah selalu membawa kami sekeluarga keluar berjalan‐jalan ke pekan. Kami tiga beradik paling gembira sekali. Hari ini aku bawa pula Lina dan Umai merasai pengalaman ini. Sementara itu aku call abang Izzhar dan menyuruh dia menunggu kami di seberang sungai Perak.

Bila kami sampai di Jeti Bot Penampang, Lina dan Umai berwajah pucat tiba‐tiba. Aku sangkakan mereka akan teruja kalau aku ajak mereka naik bot penambang yang mungkin mereka tak pernah naik sebelum ini tapi sebaliknya pula reaksi yang mereka tunjukkan.

‘’Kak Izz, tak ada jalan lain lagi ke selain kena menyeberang dengan bot?’’ Umai menyoal aku
dengan wajah cuak. Aku mengeleng laju dan yang pastinya aku sengaja berbohong.

‘’Tak sangkakan Umai, di semenanjung pun masih ada lagi jalan air macam ni? Ingatkan di Sabah dan Sarawak saja masih perlu gunakan bot macam ni,’’ aku sudah tersenyum mendengar kata‐kata Lina.

‘’Kenapa? Umai dengan Lina takut ke nak naik bot tu? Kak Izz masa kecil dulu pun takut juga bila kali pertama abah bawa kak Izz naik sebab bila sudah berada dalam bot dan bot mula bergerak, kak Izz rasa bot tu macam nak tengelam. Ditambah pula bot tu rendah dan kita boleh menyentuh air.’’ Aku sengaja menakutkan mereka dengan ayat‐ayatku. Wajah kedua-duanya sudah pucat tidak berdarah. Aku sudah ketawa di dalam hati. Sesekali aku dera anak-anak orang kaya ni macam best pula.

‘’Memang wajib naik ke kak Izz? Lina macam seram saja. Kalau tak naik boleh tak?’’ Lina menyoal lagi. Aku sudah tersenyum lebar melihat gelagat keduanya. Agaknya kalau aku dera encik Awal dengan encik Zuhaimie macam ni lagi best kot?

‘’Tak naik bila nak sampai? Jom, bot dah nak jalan tu,’’ aku tarik tangan Lina dan Umai sambil
menjinjit beg galasku. Tak banyak barang yang aku bawa. Pakaian untuk dipakai banyak lagi di
rumah tu.

Mahu ataupun tidak Umai dan Lina terpaksa juga mengikut langkahku untuk masuk ke dalam bot. Kami mencari tempat duduk dan mula duduk sambil meninjau keadaan di dalam bot. Aku pula sudah menghalakan penglihatanku di tengah sungai. Air sungai sedang penuh dan suasana ini begitu mengujakan hati kecilku.

Sebenarnya aku pun sudah berpuluh tahun tidak naik bot penambang ini sejak ada jalan darat. Bas pun sudah lama masuk ke kampung kami. Bila aku tanya abah tentang bot penambang sama ada masih aktif ataupun tidak, abah cakap bot penambang masih aktif lagi. Aku pun berhasrat untuk membawa Lina dan Umai merasai pengalaman ini. Lina dan Umai yang merasa takut pada mulanya sudah menunjukkan wajah ceria bila bot sudah mula bergerak.

‘’Tak sia‐sia Lina ikut kak Izz datang. Kalau tak, mesti tak dapat merasa pengalaman naik bot macam ni.’’ Lina bersuara sambil tersenyum. Umai juga sudah kelihatan teruja.

‘’Dah hilang ke rasa takut tadi?’’ aku sengaja bertanya.

‘’Tak takutlah, best apa!’’ Umai yang menjawab sambil matanya meliar memandang kiri dan kanan. Penumpang lain yang turut ada di dalam bot memandang pelik ke arah kami yang kelihatan sedikit canggung. Aku hanya mampu melebarkan senyuman untuk mereka.

Tengoklah pak cik, tengoklah mak cik, anak‐anak pekan yang jakun‐jakun ni. Aku sudah menceceh di dalam hati.

‘’Esok kita keluar lagi ya kak Izz, bestlah naik bot ni.’’ Umai berkata sambil memandang wajahku. Aku hanya mengangguk dan mengiakannya. Maaflah Umai, maaflah Lina, sebab dah kelentong korang. Bila nak keluar nanti kita ikut jalan darat ya sayang? Aku berbisik di dalam hati.

Bila bot sudah sampai ke seberang sungai Perak aku sudah nampak abang Izzhar yang sedang 
menunggu kami di atas Jeti. Aku mula melebarkan senyuman riang sambil minda mula terbayangkan wajah ibu dan abah.

‘’Kak Izz, tu bukan ke tunang kak Izz yang hari tu ke?’’ Lina menyoal kalut bila abang Izz menerpa ke arah kami.

‘’Taklah, Itu abang kembar kak Izz. Abang Izzhar tu buah hati pengarang jantung kak Izz. Handsome tak?’’ aku sengaja menambah perencah rasa di dalam kata‐kataku. Apa? Buah hati pengarang jantung? Kalau kami dalam mod baik, memang betullah, buah hati pengarang jantung aku tapi kalau time aku merajuk dengan gelagat dia yang kuat mengusik, tak ada maknanya buah hati pengarang jantung tu.

‘’Oh! Patutlah hari tu kak Izz mesra sangat dengan dia. Kak Izz tau tak, bila abang Awal suruh Lina teka siapa abang kak Izz tu, Lina kata abang kak Izz tu suami kak Izz. Abang Awal punyalah bengang dengan Lina,’’ aku tergelak mendengar kata‐kata Lina. Umai pula hanya beriak biasa saja. Aku perhatikan wajah Umai setiap kali Lina atau aku bercerita tentang encik Awal. Selalunya wajah Umai menjadi murung tak semena‐mena.

‘’Kenapa bawa mereka naik bot? Kan senang kalau abang pergi ambil saja di stesen bas tadi?’’ abang Izzhar mula nak bocorkan rahsia aku. Aku pula letakkan jari telunjuk di bibirku sendiri dan terus tersenyum.

‘’Pergi ambil di stesen bas dengan apa?’’ Lina yang sudah mendengar kata‐kata abang Izzhar sudah mula menyoal. Aku pula menolak abang Izzhar agar dia yang berjalan di hadapan kami dan supaya dia tak membocorkan rahsia aku.

‘’Jalan kakilah Lina, Umai. Kita nak masuk kampung kak Izz ni pun nak kena jalan kaki. Boleh ke 
ni? Larat ke nak jalan? Lima kilometer jugak ni nak masuk kampung.’’ Aku berkata sambil tayang wajah serius. Lina dan Umai sudah tayang wajah bengang. Aku tergelak tanpa sedar melihat reaksi mereka.

‘’Seriuslah kak Izz, kita sekarang di tahun 2016 kot. Janganlah bergurau macam ni. Pengsan Lina di sini karang.’’ Lina bersuara dan aku sudah ketawa galak.

‘’Kak Izz seriuslah ni,’’ aku membalas kata‐kata Lina sambil terus ketawa.

‘’Mana ada orang serius yang cakap sambil ketawa?’’ Umai memangkas kata‐kataku. Abang Izzhar sudah menoleh ke belakang sambil menekan alarm keretanya. Kereta Honda civic merah sudah berada di depan kami.

‘’Kita berjalan kaki nak masuk ke dalam rumah, selepas turun dari kereta,’’ aku menyambung kata sambil menghampiri kereta dan membuka pintu kereta kepada mereka berdua. Aku pula membuka pintu kereta di depan dan duduk di sebelah pemandu.

‘’Hahahaha..kak Izz memang pandai buat lawak. Report kat abang Awal dan suruh dia reject kak Izz baru tau.’’ Lina mendengus geram sambil masuk ke dalam kereta. Aku terus tersenyum sambil menoleh ke belakang dan menjungkitkan keningku.

‘’Encik Awal reject kak Izz? Ada kak Izz kesah?’’ aku buat ayat‐ayat slumber rock aku. Tapi, dalam hati aku bertanya sendiri. Aku kesah ke kalau encik Awal reject aku? Entahlah labu. Aku pun tak pasti sebab cinta aku kepada dia mungkin belum terlalu dalam lagi agaknya? Sekadar rindu‐rinduan gitu‐gitu saja kot? Erkk? Rindu? Bukankah adanya rindu, ada juga cinta?

Nampaknya aku sedang keliru dengan perasaan sendiri.

KERETA abang Izzhar terus bergerak pantas menuju ke rumah kami manakala minda aku juga turut bekerja dan merancang strategi untuk terus mengenakan anak‐anak orang kaya yang aku bawa balik ni. Sesekali. kalau sifat nakal aku ni datang bertandang, aku takkan memilih siapa mangsanya. Rancangan aku akan berjalan dengan lancar tanpa pengetahuan orang yang bakal aku kenakan.

‘’Abang, berhenti depan ni.’’ Aku menyuruh abang Izzhar berhentikan kereta sedangkan jarak rumah kami masih ada beberapa minit lagi dari sini. Abang Izzhar pula macam dah kena pukau dengan aku dan terus berhentikan keretanya. Sempat aku berikan dia isyarat agar menutup mulutnya dan jangan menyoal apa‐apa kepadaku.

‘’Tadi abang cakap ibu suruh pergi kedaikan. Takpa kami turun di sini saja. Beg kami tinggal dalam kereta, nanti abang tolong bawa masuk ke dalam rumah ya?’’ aku berkata sambil membuka pintu kereta dan mengajak Umai dan Lina turun bersamaku. Aku tak perhatikan lagi wajah abang Izzhar.

Aku tutup pintu kereta dan mengajak Umai dan Lina berjalan melalui kawasan perkuburan, sambil tu aku menelek jam di tanganku. Baru pukul 11.30 pagi, rasanya boleh kot kalau aku bawa Lina dan Umai ronda‐ronda kampung sebelum tiba waktu makan tengahari. Biarlah ibu dan kak Ieta yang memasak untuk kami. Mesti ibu dah sediakan masakan istimewa untuk tetamu‐tetamunya hari ini.

‘’Kita nak pergi mana ni kak Izz?’’ Lina menyoal aku sambil melangkah dengan berhati‐hati bila
terpaksa melangkah beberapa pusara yang kami temui.

‘’Tu, rumah kak Izz dah sampai. Depan tu saja lagi.’’ Aku menjawab soalan Lina sambil menuding jariku ke arah sebuah rumah usang milik Mak Semah yang telah meninggal dunia tiga tahun yang lalu. Rumah itu memang sudah tiada penghuninya lagi sejak tiga tahun yang lalu dan rumah itu betul‐betul terletak di dalam kawasan tanah perkuburan. Sekali lagi aku memandang wajah Umai dan Lina yang pucat tidak berdarah. Aku sudah tersenyum lucu di dalam hati.

‘’Seriuslah kak Izz. Jangan main‐mainkan kami. Rumah ni macam dah lama orang tak tinggal saja.’’ Umai berkata dengan yakin. Aku tiada alasan untuk diberikan kepada mereka. Sengaja aku berpura‐pura tidak mendengar. Aku terus tawaf rumah tersebut dan memanggil nama ibu berkali‐kali. Lina dan Umai pula mengikut apa saja yang aku lakukan.

‘’Rasanya tak ada oranglah di rumah. Jom, kita keluar cari ibu.’’ Aku megajak mereka keluar ke
jalan besar. Niat aku hanya satu, untuk mencari sepupuku yang bernama Aznil. Dia remaja yang berusia tujuh belas tahun dan aku tahu di mana tempat dia selalu melepak.

Lima belas minit kami berjalan, kami tiba di kedai runcit Pak Dollah, satu‐satunya kedai runcit yang paling dekat dengan rumah kami. Aku sudah nampak Aznil dan kawan‐kawannya sedang bermain dam aji. Bibir aku menguntum senyuman yang mekar. Selepas ini bolehlah aku membawa Lina dan Umai ronda‐ronda kampung dengan motor tanpa persetujuan mereka.

‘’Aznil! Akak nak minta tolong sikit, boleh tak?’’ aku ajukan soalan bila sudah berada di depan Aznil yang sedang rancak membawa buah damnya. Dia menoleh kalut ke arahku dan kepalanya diangguk laju tanpa menyoal aku tentang pertolongan yang ingin aku minta daripadanya.

‘’Beres, apa saja kak Has nak, Anil rela lakukannya tanpa sedikit bantahan pun,’’ aku sudah
tersenyum bangga mendengar kata‐kata Aznil. Ini baru betul‐betul adik sepupu aku yang paling sporting dalam dunia.

‘’Kak Has nak pinjam motor kejap. Nak bawa kawan‐kawan kak Has pergi merempit.’’ Lina sudah mencuit aku bila mendengar ayat‐ayat yang aku ungkapkan. Aku buat tak tahu saja dan menghampiri motor Aznil yang tersadai di tepi kedai Pak Dollah.

‘’Kita nak ke mana ni kak Izz?’’ Umai bertanya cemas kepadaku.

‘’Nak pergi cari ibu kak Izz la,’’ aku kelentong lagi mereka berdua. Entah banyak mana dosa menipu yang aku sudah lakukan hari ini? Sekadar nak bergurau senda dengan orang‐orang Bandar ini saja. Kadang‐kadang tanpa sedar aku akan menjadi nakal senakalnya. Alang‐alang mereka nak datang bercuti dan tengok suasana kampung, inilah masanya aku bawa mereka ronda‐ronda walaupun masih banyak lagi masa yang mereka ada di sini.

‘’Lina boleh bawa motor tak?’’ aku menoleh ke arah Lina dan dia sudah mengeleng kepadaku.

Aku memandang Umai pula dan Umai juga berbuat perkara yang sama. Nampaknya salah seorang daripada mereka kena naik dengan Aznil la gamaknya ni.

‘’Siapa nak naik dengan kak Izz?’’ aku sudah melangkah naik ke atas motor dan sudah bersedia
untuk menekan starter. Lina dengan spontan sudah memanjat naik di belakangku. Umai mencerunkan wajahnya. Aku beri isyarat kepada Aznil agar meminjam motor salah seorang kawan‐kawannya. Tanpa perlu disuruh dia sudah bersedia dengan tindakan selanjutnya. Umai pula seakan mengerti tindakan selanjutnya, dia sudah memanjat naik ke atas motor yang sedang ditunggang oleh Aznil. Aku nampak kedua‐duanya sedikit kekok. Maaflah Umai! Aku berbisik di dalam hati.

‘’Kalau abang Mie tahu Umai naik motor dengan orang lain mesti dia jealous,’’ aku terdengar Lina bersuara di belakangku.

‘’Kenapa pula? Umai tu kekasih encik Zuhaimie ke?’’ aku ingin mencungkil rahsia mereka.

‘’Belum rasmi pun lagi, sebab Umai tu ada hati dengan abang Awal.’’ Aku sudah mula keliru.

Mana satu yang betul?

‘’Kak Izz tak faham. Bukan ke Umai tu dah macam adik beradik Lina ke?’’ Aku ajukan lagi soalan
untuk Lina.

‘’Abang Awal aje yang anggap Umai tu macam adik dia tapi Umai tak pernah anggap abang Awal tu macam tu. Umai dah lama simpan perasaan untuk abang Awal, sejak kami sekolah rendah lagi,’’ aku tersentak mendengar kata‐kata Lina. Lama juga tu.

‘’Habis tu apa kena mengena dengan encik Zuhaimie pula dalam hal ni? Macam mana pula dengan encik Awal? Takkan dia tak beri respon dengan apa yang mungkin dia dah tahu? Maksud kak Izz, perasaan Umai terhadap dia. Takkan encik Awal buat tak tahu saja kot?’’ aku dah macam penyiasat pula. Keinginan untuk tahu lebih lanjut membuak‐buak di dalam hatiku.

Tak sia‐sia aku pisahkan Umai dengan Lina. Tak semena‐mena terbongkar pula sebuah kisah.

‘’Abang Mie bertepuk sebelah tangan. Abang Awal pula memang tak ada perasaan cinta dengan Umai, lebih‐lebih lagi bila dia tahu abang Mie sukakan Umai.’’ Aku menahan nafas mendengar cerita Umai. Bagaimana pula kalau aku sambut cinta encik Awal? Bukankah aku sudah merampas dia daripada Umai? Tak kejam ke? Sanggupkah aku buat macam tu? Macam mana dengan perasaan aku pula? Aku sudah berperang di dalam hati. Haru birulah kalau macam ni.

‘’Kak Izz, kita nak ke mana sebenarnya ni? Jauh lagi ke tempat yang kita nak pergi tu? Lina dah tak tahan ni. Nak terkucil,’’ aku sudah tersenyum mendengar kata‐kata Lina dan mengambil keputusan untuk berpatah balik saja. Kami sekarang ni sudah masuk ke Felda Changkat Lada.

Sengaja aku bawa mereka meronda jauh dari rumah kami.

‘’Aznil, jom balik. Tolong hantar Umai sampai ke rumah ya. Aznil tu pun baliklah juga. Nanti makan nasi sekali di rumah kak Has. Balik ajak mak usu, pak usu, opah dan atuk sekali. Kita makan ramai‐ramai hari ini. Baru meriah sikit.’’ Aku berhentikan motor sekejap dan berkata kepada Aznil. Dia sudah mengangguk laju dan aku kembali memecut motor.

Selepas dua puluh minit kami sudah sampai di depan rumah kami. Kereta abang Izzhar, kereta kak Ieta dan kereta abah terparkir elok di depan halaman rumah. Aku menghentikan motor di tepi kereta abah dan mengajak Lina masuk. Umai yang baru tiba juga sudah tercenggang melihat rumah kami yang tersergam di depan matanya. Rumah dua tingkat separuh kayu dan simen yang masih terselit ukiran‐ukiran indah juga masih mengekalkan ciri‐ciri rumah tradisional.

‘’Rumah siapa ni kak Izz?’’ Lina mula menyoal.

‘’Rumah abah kak Izz, jom masuk,’’ aku menjawab selamba soalan Lina.

‘’Yang tadi tu?’’ Lina menyoal lagi.

‘’Rumah tadi tu? Belakang tu saja. Rumah tu, rumah arwah Mak Semah. Memang dah tak ada orang duduk. Dah tiga tahun rumah tu tak ada penghuni,’’ aku menjawab sambil mengulum senyum.

‘’Belakang mana?’’ Lina masih tak berpuas hati.

‘’Lina kata tadi nak terkucilkan. Cepatlah pergi, bilik air ada di belakang tu. Jom masuk, nanti kak Izz tunjukkan.’’ Aku cuba mencari helah agar Lina melupakan saja perkara tadi. Kalaulah mereka tahu jarak perjalanan rumah kami dengan rumah Mak Semah tu kalau berjalan kaki hanya lima minit saja, agaknya apa respon mereka?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan