Label

Isnin, 5 Disember 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab20

SURAT‐surat yang diberi oleh Alexander Zulkarnaeen, semuanya sampai selepas pukul dua petang, setiap hari, sehingga ditegur oleh Julia yang bertugas di bahagian kaunter perkhidmatan. Bila hari‐hari menerima kiriman yang sama untuk orang yang sama, Julia dah maklum dan terus menghubungi Intan Nawrah. Cuma Intan Nawrah sahaja yang buat‐buat lambat. Dia sengaja melengah‐lengahkannya. Bila jam menunjukkan lima petang, baharulah dia singgah di kaunter perkhidmatan.

“Untunglah badan. Ada peminat. Hari‐hari dapat surat.”

“Hisy. Taklah.”

“Ye ke tak? Ni sampul, siap ada love 3d lagi. Nampak macam handmade ni. Siap ada kesan pensel lagi.”

“Eh, bertuah punya Julia! Tak baik tau, mengintai surat orang.” Intan Nawrah pura‐pura marah.

Dia menepuk tangan Julia yang sudah ketawa‐ketawa.

“Thank you, Julia, sudi simpankan surat ni untuk Nawrah.”

“Sama‐sama. Surat dari buah hati, kan?”



“Eh, taklah! Bukan seperti yang disangka.”

“Ha ha ha. Yelah tu.” Gelak Julia, tidak percaya.

Intan Nawrah senyum juga. Takkan nak kata dari lelaki yang telah jatuh hati kepadanya? Bukan ke memalukan diri sendiri jika buat pengakuan terus‐terang begitu?

“Iya. Bye Julia. Nak balik ni, nanti tertinggal bas.” ucap Intan Nawrah, melambai tangan ke arah
Julia.

Mereka berpisah di lobi Balai Berita Metro. Intan Nawrah hendak cepat sampai ke perhentian bas. Perkara pertama yang dia mahu buat, dia mahu cepat‐cepat membaca isi surat itu pada hari kelima. Apa pula yang hendak disampaikan Alexander Zulkarnaeen melalui surat itu?

Perkara kedua, dia mahu lihat adakah Alexander akan menantinya dari jauh sama seperti empat hari sebelumnya kerana dalam tempoh itu, tidak pernah sekali pun Alexander Zulkarnaeen meninggalkan peluang itu. Dia sentiasa ada, menemani dari dalam kereta tetapi tidak pernah sekalipun mendekati.

Jika ditanya pada dirinya, dia senang begitu. Alexander dengan caranya yang tidak mendesak.
Sentiasa ada di sisi walaupun jauh dari mata. Surat‐surat yang diterimanya semua membawa
senyuman. Alangkah bagus jika Alexander Zulkarnaeen tidak gelojoh seperti sebelumnya, perlahan‐lahan mengambil hati. Tentu kisah mereka di peringkat lain pula waktu ini. Tapi dek kerana gelojohnya dia, akhirnya dia terpaksa akur dengan dua syarat yang dikenakan oleh Intan Nawrah.

Sebaik tiba di perhentian bas, Intan Nawrah terus buat pilihan untuk duduk. Dari jauh, sebelum tiba di perhentian bas lagi dia sudah nampak kereta Alexander Zulkarnaeen. Eh, yeke? Bila masa pulak keretanya warna hitam? Dia nak lagi menoleh ke arah kereta itu, tetapi segan. Mungkin bukan dia. Bila pulak kereta dia berubah warna? Putih pergi ke hitam. Atau jangan-jangan ada orang simbah cat ke keretanya tak? Dia kan suka mendesak. Tentu ada orang yang marahkannya.

Kali ini dia benar‐benar menoleh ke arah kereta hitam itu. Bukan, kereta itu bukan milik Alexander Zulkarnaeen kerana ada orang lain di dalamnya. Intan Nawrah melepaskan nafas panjang. Di mana dia? Kenapa tak muncul‐muncul lagi? Soalnya sendirian. Wajah yang ceria ketika mengambil surat tadi dah berubah perlahan‐lahan. Intan Nawrah dapat merasakan perubahan pada perasaannya. Dia menarik sampul surat dari dalam tas tangannya.

Hai Intan Nawrah!

Are you doing well?

Bila boleh saya datang dekat?

Maksud saya, bila saya boleh datang meminang?

Rasa macam nak buat persiapan awal aje. Awak tak kisah, kan? Kalau awak tak kisah, nanti pandang saya, senyum lama sikit. Jadi, saya tahu itu tanda awak setuju.

Hai Intan Nawrah!

Awak rasa tak apa yang saya rasa?

Rasa jauhnya kita.

Saya kat sini. Awak kat sana.

Bila semuanya nak kembali normal? Aduhai, sadisnya kisah kita.

Alexander Zulkarnaeen

Hanya senyuman yang menjawab pertanyaan Alexander Zulkarnaeen. Dia tidak gelojoh seperti lelaki itu. Belum cukup masa untuk memutuskan ya atau tidak. Empat hari berlalu, perhatian yang dipamerkan oleh Alexander Zulkarnaeen memang membuat dirinya teruja, tetapi dia tidak boleh tergesa‐gesa membuat keputusan. Tempoh masa masih panjang. Apa saja boleh berlaku di tengah‐tengahnya.

Nun di belakang sana, bas rapid sudah kelihatan namun kelibat Alexander Zulkarnaeen yang tak ternampak dek matanya. Intan Nawrah mula berdiri. Dia menapak ke hadapan beberapa langkah dengan rasa kecewa. Ketika dia menahan bas, baharulah kelibat kereta Alexander Zulkarnaeen berhenti di belakang kereta hitam kelihatan.

“Sorry, Intan Nawrah. Saya lambat sikit hari ni.”

Ucapnya perlahan. Kalaulah Hariz tak menahannya ketika hendak pulang tadi, tentu dia tidak terlepas detik itu. Alahai! keluhnya sedikit kesal.

"Aku terlepas senyuman Intan Nawrah. Tentu dia senyum tadi! Tentu!" keluh Aexander Zulkarnaeen perlahan.

“Hemm, dapat lihat sisi tepinya naik bas pun jadilah, asalkan ada.” Katanya sebelum kembali
memandu. Dalam hatinya, doa dititip buat Intan Nawrah, semoga selamat dalam perjalanannya. Juga ada satu lagi doa buat mereka berdua, semoga dua hati disatukan menjelang 31 Disember nanti.

“TAK ada rezeki kita, bos. Tanah tu dah dibeli Diana Alexandria Properties.” Kata Hariz, sewaktu
mereka berkumpul di bilik kerjanya. Berita itu sampai kepadanya beberapa minit sebelumnya.

Pemilik tanah itu sendiri menghubunginya dan memberitahu tentang keputusan yang telah dibuat. Apa dia nak kata? Lagipun Alexander Zulkarnaeen sendiri yang menetapkan syarat begitu. Tak mahu harga dinaikkan lagi.

“Tak apa. Bukan rezeki kita.”

“Tak apa, bos. Kami dah buat tinjauan lain. Ada tiga lokasi menarik sekitar Perak untuk dibangunkan. Cuma keluasan tanahlah yang berbeza.”

Kali ini giliran Nazim bercakap. Alexander Zulkarnaeen hanya bersilang jari. Tentu berbeza antara satu lokasi dengan satu lokasi yang lain. Sama ada ia lebih besar atau lebih kecil dari lokasi yang dikehendaki.

“Lebih kecik?”

“Ye. Lebih kurang 40 ekar aje.”

“Macam mana dengan market? ”

“Kos pun lebih rendah. Lebih kurang seratus tujuh puluh ribu seekar. Kalau bos mintak
perbandingan, tentulah lokasi di sebelah Bukit Merah Lake Town Resort lebih strategik, tapi kita dah bersetuju dengan pelan asal.”

Giliran Hariz pula memberi penjelasan. Alexander Zulkarnaeen terus mendiamkan diri. Dunia
perniagaan memang begitu. Ada masa di atas, ada masa di bawah. Sampai bila dia nak mengejar keuntungan besar sahaja. Sampai masa, dia perlu akur untuk bermula perlahan-lahan.

“Tak apalah, bukan rezeki kita kali ni. Aku setuju dengan harga tu. Uruskan segera, Hariz, Nazim.”

“Okay, bos. Saya keluar dulu.”

Alexander Zulkarnaeen ikut bangun. Dia hendak pergi ke dua tempat, untuk menguruskan dua hal. Pertama, dia sendiri nak menghantar surat untuk Intan Nawrah. Yang kedua, dia nak bertemu dengan empunya diri Diana Alexandria. Dari semalam dia rasa tidak puas hati selagi tak menyelesaikan hal itu. Siapa orangnya dan kenapa dia mendekati?

Kereta dipandu terus ke bangunan Balai Berita Metro. Alexander Zulkarnaeen tak berniat nak
mengintai hingga ke ruang kerjanya pun. Cukuplah sekadar menyampai pesanan di kaunter
pertanyaan, itu pun jika ada. Kereta dapat diparkir di ruangan hadapan yang kebetulan kosong. Setelah memastikan surat yang tepat diambil buat Intan Nawrah, Alexander Zulkarnaeen keluar dari perut kereta. Dia menapak pantas masuk ke ruang legar yang dikira agak besar juga.

Dari jauh dia nampak sebuah kaunter perkhidmatan di hadapan. Seorang wanita yang khusyuk
dengan telefon bimbit didekatinya.

“Assalammualaikum.” Sapanya mesra.

“Waalaikumussalam warahmatullah. Ye, encik.” Jawab empunya nama Julia. Timbul rasa ragu sama ada nak meneruskan hajat itu atau tidak, tetapi Alexander Zulkarnaeen buang rasa malu cepat‐cepat.

“Boleh saya mintak bantuan?”

“Bantuan apa tu, encik?”

“Saya nak tinggalkan surat ni untuk Intan Nawrah, boleh tak?” tanyanya lagi.

Julia mengangkat muka. Kali ini dia tersenyum. Selalu yang datang orang lain, hari ini orang lain pula. Pada Julia, lelaki di depannya lebih cocok di samping Intan Nawrah berbanding yang selalu datang menghantar surat itu. Tentu dia empunya diri yang selalu mengutus surat buat Intan Nawrah. Wah, kacaknya teman lelaki Intan Nawrah!

“Err...boleh. Tapi kalau encik nak bagi sendiri pada dia, saya boleh tolong panggilkan.”

“Eh, tak apa. Terima kasih. Saya tak sempat sebab ada urusan lain.” Tolak Alexander Zulkarnaeen dengan elok. Dia masih menghormati permintaan Intan Nawrah. Jika tidak, bukan setakat jumpa, dah lama dia hantar rombongan pengantin.

“Okay.”

“Terima kasih.” Ucapnya sebelum berpaling tetapi yang tertangkap dek matanya, susuk tubuh Intan Nawrah sedang berjalan dengan seorang lelaki. Leka dia memandang Intan Nawrah, yang jaraknya tidak sampai lima meter, bertentangan dengannya.

Intan Nawrah pula bagai tahu yang dirinya sedang diperhatikan. Matanya menyorot kiri dan kanan, tetapi terpaku pada susuk tubuh Alexander Zulkarnaeen. Kudin yang berjalan di sebelahnya terus berjalan, malah tak menyangka langsung yang dia sedang membebel sendirian, tanpa Intan Nawrah di sisi. Hakikatnya, Intan Nawrah tertinggal di belakang, leka melihat Alexander Zulkarnaeen yang berdiri kejap memandangnya.

Jika diikutkan rasa hati, mahu saja dia menapak ke arah Intan Nawrah, menyapa dirinya seperti
sebelum ini, tetapi dia masih berpegang pada janji. Dalam baki tempoh dua bulan itu, dia tidak boleh mendekati atau menghubungi. Sedar akan hal itu, Alexander Zulkarnaeen membuat keputusan untuk melangkah pergi. Tinggallah Intan Nawrah di belakang, menahan hatinya dari menoleh ke belakang. Manahan hatinya dari memanggil nama lelaki itu. Alexander Zulkarnaeen.

"Thanks, Zul!"

Dalam diam, Intan Nawrah berterima kasih kepada Alexander Zulkarnaeen. Surat‐suratnya membawa senyuman saban hari.

“Nawrah...pssst!” panggil Julia.

“Emmm.” Dia merapati Julia di kaunter perkhidmatan.

“Surat kau.” Katanya, menghulurkan sekeping sampul berwarna merah jambu buatnya.

“Handsomenya mamat tu.” Puji Julia lagi.

Tetapi anehnya, Intan Nawrah buat selamba sahaja. Hisy, takkan Intan Nawrah tak kenal pulak orang yang mengutus surat buatnya. Atau sebenarnya lelaki itu peminat misteri? Anynamous?

“Hisy kau ni.”

“He...he...he.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan