Label

Ahad, 11 Disember 2016

NOVEL Ps Cinta Itu Kamu Bab5

HANA termenung jauh ke tengah laut. Matahari bakal terbenam. Cahaya senja menyinari alam.
Cahaya berwarna jingga keemasan. Cahaya senja adalah warna kesukaan Hana. Cahaya yang 
menggambarkan kesunyian seperti diri dan hidupnya yang keseorangan.

Cecair jernih mengalir di hidungnya, dikesat. Demam akibat lemas tempoh hari telah kebah dan dia mendapat cuti sakit untuk sehari. Baru mula bekerja, dah cuti sakit. Hari pertama pula tu. Segan pula pada staf bawahannya. Tetapi atas kejadian yang tidak dijangka, dia pasrah.

Kepalanya serabut memikirkan cincin tunangnya yang hilang. Hana gagahkan diri keluar dari bilik. Mencari ketenangan dan penyelesaian masalah yang dihadapi. Ingin meminta pertolongan, tapi siapa yang sanggup menyelam untuknya mencarikan sebutir cincin yang halus di dasar kolam. Memang susah...

Jari yang kosong, tatap lama. Sembilan tahun cincin itu telah menemani jari manisnya, kini tiada. Cincin itu setia menemaninya di kala sedih dan gembira. Cincin itu juga memberi semangat untuk dia terus menunggu Aman. Menyedari status dia sebagai tunang kepada Aman.

Masih segar di ingatan Hana, senyuman ibu Aman ketika menyarungkan cincin pertunangan itu. Kenangan sembilan tahun lepas masih segar di ingatan Hana. Satu persatu kejadian menjelma di bayangan dan tiada satu pun dilupakan.



Ibu Aman membawa dulang bersama air teh o dan kuih seri muka yang dibawa oleh Hana. Hana masih malu‐malu walaupun selalu bertemu ibu Aman dan beberapa kali telah bertandang ke rumah orang tua Aman. Sering kali juga ibunya mengajak ke rumah mereka. Kadangkala ibu Aman meminta Hana menemaninya membeli belah dan ke majlis‐majlis ilmu.

Ibu Aman yang tiada anak perempuan menganggap Hana seperti anaknya sendiri. Dia juga dipaksa memanggil ibu Aman dengan panggilan mama. Hampir setiap minggu ibu Aman akan 
menghubunginya untuk berbual. Dia anak yatim piatu sejak kecil, tidak pernah merasakan kasih sayang seorang ibu dapat menagih secebis kasih ibu daripada ibu Aman. Sering kali juga dia diajak tidur di rumah tetapi setiap kali itu dia menolak atas alasan tidak manis dipandang orang. Ibu Aman memang seorang ibu yang sangat baik dan penyayang. Dia terlalu merindui ibu Aman.

Hana bingkas bangun bila dulang telah berlabuh di atas meja. Dia membantu menuangkan air ke dalam cawan bercorak vintage lalu dihidangkan. Ibu Aman meneguk air perlahan‐lahan. Cuba membasahkan tekak yang kering sebelum bersuara.

“Hana... mama ada hajat.”

“Hajat... hajat apa mama?” Hana agak cemas tapi masih bersahaja.

“Mama nak langsungkan pertunangan Hana dan Aman pada hujung minggu ni?” lembut ibu Aman bertutur.

“Minggu ni...” terkebil‐kebil Hana memandang dua beranak itu. Wajah Aman juga seperti terkejut dengan kenyataan dari ibunya. Tak sangka itu hajat yang ingin disampaikan. Beberapa kali ibu Aman menelefonnya untuk memastikan Hana datang ke rumah itu. “Tapi Hana tak habis belajar lagi.”

“Tak apa.... Hana tunang aje dulu. Kahwin, lepas dapat kerja pun tak apa. Kita buat kecil‐kecilan aje. Tak perlu hantaran... janji pertunangan ini dilangsungkan dan semua perbelanjaan, Aman akan tanggung.” Ibu Aman cuba tenangkan Hana.

“Sempat ke Hana untuk buat persiapan, mama?” soal Hana. Mana mungkin persiapan boleh dibuat dalam beberapa hari ini... bisik hatinya.

“Insya‐Allah, semua akan dipermudahkan. Kita nak buat perkara baik ni, Allah akan bantu.”

Hana mendiamkan diri. Cuba mencari jawapan dari wajah Aman yang juga diam dari tadi. Tidak mengiakan dan tidak menidakkan.

“Hana... mama sayang sangat pada Hana dan Aman. Aman anak tunggal mama. Mama nak yang terbaik untuk dia. Mama tahu Hana boleh jaga Aman bila mama dah tiada lagi. Mama pun dah anggap Hana seperti anak perempuan mama. Tapi itu hanya perasaan mama. Mama nak pertalian kita lebih kukuh dan erat. Jadi, sebelum mama pergi, mama ingin sarungkan cincin di jari manis Hana. Tanda Hana milik Aman dan menjadi keluarga kita. Itu hajat terakhir mama.” pantas ibu Aman meyakinkan Hana serta memujuknya.

“Mama jangan cakap macam tu.” Hana serba salah bila ibu Aman mengatakan begitu. Dia juga
sayangkan keluarga Aman. Dari kecil dia tidak pernah rasakan kasih sayang ibu dah ayah serta tidak pernah rasa hidup berkeluarga. Rumah anak yatim piatu adalah keluarganya suatu masa dulu. Bagi menebus kesalahan Aman pada dirinya, punca dia bertemu ibu dan ayah Aman dan dapat menagih kasih sayang dari keluarga itu secara tidak sengaja.

“Mama kenapa cakap macam tu. Mama nak pergi mana?” celah Aman.

“Budak bertuah ni... mama dan papakan nak pergi umrah bulan depan. Jadi sebelum mama pergi, mama nak tunangkan Aman dan Hana.”

“Tapi lepas mama dan papa balik dari umrah pun bolehkan. Kenapa macam terkejar‐kejar sangat?”

“Memang la boleh. Tapi kamu tu asyik sibuk sejak dah bekerja ni. Alang‐alang kamu dah cuti hujung minggu ni untuk kenduri tahlil dan doa selamat, mama nak tunangkan kamu dan Hana. Selepas tu kita buat kenduri untuk pertunangan kamu dan untuk mama dan papa. Sekali, serentak, kan senang...”

“Papa setuju ke?

“Papa yang cadang begitu”

Hana hanya tersenyum memandang kemesraan dua beranak itu. Walaupun Aman sentiasa sibuk dengan kerjayanya sebagai Inspektor Polis dan kurang luangkan masa untuk dirinya tapi Aman tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak. Sibuk macam mana pun, Aman tetap akan meluangkan masa untuk bersama ibu bapanya. Itu yang paling Hana suka tentang diri Aman. Dia cukup menghormati dan menyayangi mereka.

Setelah bersetuju dengan kemahuan ibunya, Aman dan Hana melihat‐lihat cincin di sebuah kedai emas. Hana cuba beberapa bentuk cincin yang berkenan di hati. Smartphone Aman berbunyi. Smartphone yang dikhaskan untuk urusan kerja sahaja. Hana menoleh pada Aman dan menunggu reaksinya. Tanpa endahkan Hana, Aman keluar dari kedai untuk menjawab panggilan. Hana masih memandang tingkah laku Aman. Di hatinya berharap, apa yang bermain difikirkannya tidak akan berlaku. Walaupun dia sudah menduga apa yang akan berlaku jika smartphone itu berbunyi. Aman memandang Hana dari jauh.

“Hana... abang kena pergi. Ada tugasan.” Bisik Aman.

“Tapi... kitakan tengah pilih cincin...” Hana cuba menahan Aman daripada meninggalnya seorang diri sekali lagi. Sejak Aman bekerja, Hana sering ditinggal seorang diri bila mereka keluar bersama. Tapi, Hana masih bersabar dan cuba untuk memahami kerja Aman walaupun hatinya sakit ditinggal begitu saja. Aman juga tidak pernah meminta maaf dan tidak memujuknya bila mereka bertemu semula. Mungkin Aman tidak sedar, dirinya sedang merajuk dan dilukai. Setiap kali berjumpa lagi, Hana akan bereaksi bersahaja seperti tiada apa‐apa berlaku.

Aman mengeluarkan kad kredit dari dompetnya dan dihulurkan pada Hana.

“Hana pilih yang mana suka, nanti bayar guna kad abang ya.” Kad diletakkan di depan Hana.

“Hana balik naik teksi ya. Abang tak sempat nak hantar ni.” Aman bergegas meninggalkan Hana tanpa menoleh lagi. Hana sangat kecewa hanya merelakan Aman pergi. Pandangannya beralih pada sebentuk cincin yang masih dipegang. Cincin emas putih yang halus bertatahkan belian yang sangat kecil. Lalu diberi pada pelayan.

Cincin itu disarungkan ke jari manis Hana dengan lancar oleh ibu Aman. Rona kegembiraan terserlah pada wajah mereka. Hana mengenakan baju kurung moden dan selendang sedondon berwarna baby peach. Pertunangan dibuat secara kecil‐kecilan di rumah sewa Hana bersama kenalan rapatnya Fatin. Beberapa orang rakan universiti juga turut membantu dan meramaikan lagi majlis.

“Hana... tolong jaga Aman bila mama sudah tiada. Maafkan segala perbuatan Aman yang telah
melukakan hati Hana. Mama tahu, anak mama tu terlalu sayangkan Hana. Cuma dia tidak pandai menonjolkan perasaannya. Bantulah dia, setialah bersama dia dan jagalah dia untuk mama. Mama terlalu sayangkan Hana dan Aman.” Pesan ibu Aman sambil menggenggam tangan Hana.

“Insya‐Allah mama.” pantas jawab Hana. Wajah gembira terselit perasaan pelik dengan pesanan ibu Aman. Pesanan yang terpahat di hatinya. Tangan ibu Aman segera dicium dan serta merta Ibu Aman mencium dahi dan kedua‐dua pipi serta memeluk Hana erat.

Ibu dan bapa Aman pulang dulu. Malam itu akan berlangsung kenduri Tahlil dan doa selamat di rumah ibu bapa Aman. Kenduri sempena pertunangannya dan keberangkatan ibu dan bapa Aman ke Mekah untuk menunaikan umrah.

Dalam perjalanan ke rumah keluarga Aman, kesesakan lalu lintas yang teruk berlaku. Sebuah
kemalangan maut menghalang lalu lintas. Semua kenderaan tidak dapat bergerak. Aman keluar dari kereta untuk melihat punca kesesakan dan keadaan kemalangan. Dia menyelit dicelah‐celah orang ramai. Sebuah kereta terperosok di bawah sebuah treler. Aman membongkokkan badannya untuk melihat dengan lebih jelas keadaan kereta itu dan ketika itu kakinya terpijak sesuatu. Papan nombor plat yang telah patah diambil. Nombornya masih jelas seperti dikenalinya. Beberapa kali dia cuba menyebut tapi otaknya seperti lembap untuk menerima apa yang disebutnya. Aman menatap betul‐betul kereta yang telah hancur di depannya.

Pasukan bomba yang baru sampai di tempat kejadian meminta orang ramai menjauhkan diri dari tempat kejadian untuk kerja menyelamat. Tubuh Aman ditolak perlahan oleh salah seorang ahli bomba. Aman lemah lutut, jatuh terduduk. Kereta yang hancur itu, kereta milik ibu dan bapanya. Aman jeda. Hanya air mata jantan mengalir tanpa sedar.

Bahu Aman disentuh Hana. Digosok‐gosok lembut untuk memujuk hati Aman yang hancur. Hati Hana turut hancur bila melihat keadaan Aman. Kini Hana faham maksud tersirat daripada pesanan terakhir itu.

Hana setia menemani Aman tanpa bicara. Aman mendiamkan diri sejak dari tadi dan mengelamun jauh seperti berfikir sesuatu. Mereka menunggu prosedur hospital hingga selesai untuk menuntut mayat walaupun mereka masih berbaju tunang. Rupanya kenduri yang dibuat merupakan kenduri arwah untuk mereka.

Sejak kematian ibu dan ayah, Aman lebih fokus pada kerja untuk melupakan peristiwa hitam itu. Hana dapat rasakan perubahan ketara sikap Aman padanya. Aman jarang berjumpanya, langsung tidak menghubunginya malah Aman seperti menjauhkan diri darinya. Ada saja alasan yang diberi, semuanya berkaitan kerja. Mungkin Aman salahkan dirinya. Kerana pertunangan itu, kedua‐dua ibu bapanya pergi buat selamanya. Kemalangan yang meragut nyawa mereka pada hari pertunangannya.

Pada hari konvokesyen Hana, Aman tidak hadir mewakili keluarganya. Hana telah bekerja dan
membeli sebuah kereta juga, Aman tidak mengetahuinya. Hana diabaikan tunang sendiri.

Dalam pertemuan tidak sengaja, Fatin yang banyak bercerita tentang Hana kepada Aman. Baru dia sedar, telah terlalu lama dia tidak mengambil tahu tentang tunangnya itu.

Sejak itu Aman berubah sedikit. Aman mula berjumpa dengan Hana dan mereka akan keluar
bersama. Tapi lama‐kelamaan Aman sering mungkiri janji. Telah beberapa kali Aman berjanji ingin berjumpa dengannya di sebuah restoran. Restoran yang selalu dikunjungi mereka terletak di tepi tasik. Tetapi setiap kali itu, Aman pasti lewat tiba. Hingga suatu ketika, Aman langsung tidak datang tanpa menghubunginya. Hana tetap setia menunggu hingga kedai tutup seperti orang bodoh.

Pernah juga Hana menunggu Aman yang berjanji bertemu taman. Hana menunggu dari siang hingga petang. Dari terik matahari membawa awan berarak mendung hingga hujan turun.

Hana tidak berpayung, basah kuyup. Tetap juga menunggu tanpa berganjak walau seinci. Dia pasti, Aman akan datang walaupun jauh di sudut hati kecil kecewa dan tahu Aman tidak akan muncul. Tapi Hana kuatkan hati terus menunggu. Akhirnya Hana pulang begitu saja dan diserang demam panas.

Hana sengaja membiarkan dirinya disakiti Aman. Dia rasa bersalah atas kematian ibu dan ayah
Aman. Dia menganggap itu merupakan balasan dan hukuman untuk dirinya. Setiap kali hatinya 
disakiti, dia akan memaafkan Aman seperti pesanan arwah ibu Aman.

Suatu petang, ketika pulang daripada kerja, Hana terlibat dengan kemalangan kecil apabila sebuah kereta melanggar belakang kereta Hana hingga berasap. Lelaki itu menengking Hana sambil jarinya menujah arah Hana. Dia yang ketakutan ingin Aman bersamanya ketika itu.

Segera ditelefonnya Aman.

“Abang boleh datang sekarang. Hana kemalangan.” Suara Hana gagap.

“Teruk ke.” Soal Aman pantas. Aman sedikit cemas.

“Tak tahu. Orang langgar belakang kereta Hana. Abang boleh datang sini. Hana takut.” Hana merayu. Air matanya telah bertakung di lopak matanya.

“Abang tak boleh datang sekarang. Abang tengah operasi.”

“Abang tolong Hana. Please.... datang sekarang. Hana takut.” Suaranya semakin tersekat‐sekat dan tubuhnya makin menggeletar bila lelaki itu merenung tajam seakan ingin menelan. Dia seperti menunggu masa untuk memaki hamun Hana.

“Hana jangan takut. Hana call polis dulu. Nanti polis datang tolong Hana. Then buat report okey. You can do it,Hana.” Aman mematikan panggilannya.

Hana termenung memandang smartphone yang dipegang. Aman telah mematikan talian begitu saja tanpa belas kasihan. Sedih hatinya hanya Allah SWT saja yang tahu. Mana pergi Aman yang dulu. ‘Pada ketika Hana perlukan abang, abang tiada...’ bisik hati Hana. Lelaki yang melanggarnya melihat Hana kaku bertambah marah dan terus memaki hamun Hana tanpa henti. Hana terus membatukan diri. Kata‐kata kesat lelaki itu tidak mampu mengatasi sakit hati dibuat Aman.

Kadangkala, ingin saja dia berundur diri. Bila dirinya tidak tahan terus disakiti, terus menunggu,
terus memujuk Aman yang tidak menghargai kehadirannya. Dia seakan putus asa terhadap
hubungannya dengan Aman. Tapi, bila kata‐kata terakhir ibu Aman terngiang‐ngiang di gegendang telinganya, wajah ibu Aman bermain‐main di pandangan mata, dia dilanda rasa bersalah serta merta melupakan hasrat itu. Dengan pesanan itu, dia membina semangat untuk terus bersama Aman. Dia berdoa memohon dikuatkan semangatnya dan cekalkan hatinya untuk terus bersama Aman dan menunaikan pesanan terakhir ibu Aman. Hana memaafkan Aman dan di situ dia mendapat kekuatan untuk terus bersama Aman.

Hana akan terus menunggu dan menunggu kerana itu janji Hana pada ibu Aman. Hana sentiasa berdoa selepas solatnya, agar Aman berubah seperti zaman mereka menuntut di Universiti dan memandang dirinya kembali. Hana terus berdoa hingga sembilan tahun telah berlalu. Hana tersedar daripada lamunan panjang.

Dia yang telah rebah di atas pasir pantai, menutup muka dengan kain selendang yang dililit
pada lehernya. Mata dipejamkan, cuba melupakan masa lampau yang kelam.
Sejak mula lagi, Ridduan memerhatikan Hana dari jauh. Kakinya melangkah perlahan seperti
ditarik Hana. Ridduan mendekati Hana dan duduk di tepi Hana senyap‐senyap. Sejak pertama
kali dia terpandang wajah Hana, wajah itu sering bermain‐main di benaknya. Bila dia telah
menyelamatkan Hana, dia semakin ingin mengenali diri Hana. Dia selalu terbayang Hana
hingga bawa ke dalam mimpi. Dia tidak tahu kenapa, tapi dia ingin mencari jawapan, kenapa
dirinya boleh jadi begini kerana perempuan bernama Hana.
Ridduan menunggu Hana di tempat pertama kali dia terpandang Hana. Setiap pagi dan
petang dia akan menunggu dan memandang Hana dari jauh. Setiap kali itu dia melihat riak
wajah Hana yang berbagai‐bagai. Sekejap Hana senyum, sekejap sedih dan kadang‐kadang
susah untuk tafsirkan riak wajah itu. Menambahkan keinginan dia ingin menegur Hana. Lama
dia duduk di tepi Hana.
Hana merasakan ada seseorang duduk di tepinya bingkas bangun secara mengejut. Wajah
mereka dekat dan mata mereka bertaut. Hana terkejut, berasa takut lalu bangun meninggalkan
Ridduan.
“Hana...” laung Ridduan. Hana berhenti melangkah. Ridduan bingkas bangun dan mendekati
Hana
“Nama awak Hana kan.”
“Siapa awak? Mana awak tahu nama saya?” soal Hana tegas. Ridduan tersenyum lucu.
“Saya duduk di sini. Dah dua minggu saya menginap di sini tapi tak pernah nampak awak.”
Ridduan menjelaskan situasi sebenar supaya Hana lebih tenang.
“Awak pelancong ke?” tanya Hana lagi
“Lebih kurang macam tu la.” Ridduan senyum lebar.
Hana terpaku bila terpandang senyuman Ridduan. ‘Kacak’... bisik hati Hana. Senyuman itu
buatkan dia terpegun dan hilang rasa takut.
“Helloo...” Ridduan menyedarkan Hana yang termenung jauh.
“Ooo... maaf saya tak tahu encik pelancong di sini. Jika saya duduk di tempat encik tadi, saya
minta maaf.” Hana tersentak dengan teguran Ridduan. Dia segera memohon maaf sambil
menundukkan kepalanya seperti orang Jepun. Mukanya merah menahan malu. “Hei... hei...
hei... ini bukan pulau saya. Awak boleh duduk di mana yang awak suka. Tak perlu memohon
maaf atau rasa bersalah.”
Hana tersenyum malu. Ridduan pula terpaku melihat senyuman manis Hana. ‘Cantik’ detik
hatinya. Angin bertiup kencang. Rambut Hana menutup muka di selak semuanya ke sebelah
bahu kanan.
Rambut seperti sutera.... untuk pertama kalinya Ridduan merasakan ingin menyentuh rambut
perempuan. Dia kaku menatap Hana dalam tidak sedar menelan air liurnya sendiri. Bergerakgerak
buah halkumnya.
“Saya pergi dulu.” Hana hairan melihat reaksi Ridduan yang kaku tiba‐tiba, segera
meninggalkannya.
“Tunggu...” celah Ridduan. Langkah Hana terhenti sekali lagi.
“Awak dah kahwin?” soal Ridduan.
Hana terdiam. Tidak sangka soalan itu ditanya oleh orang yang tidak dikenalinya. Perlahanlahan
Hana berpaling semula pada Ridduan dan melontarkan pandangan yang pelik. Kenapa
dia tanya macam tu?
“Maaf jika awak tersinggung dengan soalan saya tadi. Emmm... tapi malam ni boleh tak awak
teman saya dinner? This is my special request as a regular quest. Please...” pujuk Ridduan. Dia
tahu, dia seperti seorang lelaki yang gelojoh. Tapi atas desakan hati, akhirnya mulutnya
berkata begitu. Hatinya bertambah berdebar‐debar menunggu jawapan dari Hana. Dia harap
Hana berkata yes... yes... please say yes...
Hana merasakan lelaki di depannya itu sungguh pelik. Tidak kenal mahu diajak makan. Hana
kemudiannya meninggalkan Ridduan, pergi begitu saja tanpa menjawab. Dia terus melangkah
laju tanpa menoleh lagi. Hana tidak mahu melayan lelaki pelik. Cukuplah Aman seorang yang
telah merunsingkan dirinya.
Ridduan yang rasa malu pelawaannya tidak dijawab terjelepok memandang laut yang luas.
‘Kenapa aku jadi macam ni?’ bisik hatinya. Mukanya tertunduk pada lutut. Cuba
menyembunyikan perasaan malu yang baru dirasainya tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan