Label

Isnin, 12 Disember 2016

CERPEN Sedih Kisah Hidupku Bab2

“Ain, ayah dan ibu Ain tak pulang lagi ke? Akak ingat penyakit Ain ni dah makin parah. Ada baiknya kita kongsikan dengan orang tua Ain. Mungkin kita masih ada jalan keluarnya,” Doktor Salwa menasihat aku. Hampir tiap hari aku ke klinik Doktor Salwa. Kadang‐kadang nak checkup, kadang‐kadang pulak nak ambil ubat penahan sakit. Cuma itu yang boleh membantu aku sekarang.

“Jalan keluar apanya, akak? Nak operate? Nak tagih simpati dari orang luar, minta derma itu ini? Berbaloi ke akak? Akak sendiri yang cakap kan, tubuh Ain dah tak kuat, cuma yang Ain kuat tunggu waktunya aje kan. Entah esok, entah lusa hari Ain, kita mana tau. Sekarang Ain Cuma mampu tahan aje. Tak terkira dah Ain telan ubat cuma nak bagi hilang sakit tu. Kadang-kadang Ain rasa macam dah tak larat kak. Penat sangat,” Aku berkata perlahan. Kepala ku gengam dengan kedua belah tanganku. Terasa denyutan sakit itu benar‐benar buat aku terseksa.

“Ya ALLAH Ain. Tak baik cakap macam tu. Ain kena kuat dik, Ain kan anak yang tegar. Anak yang selalu tabah. Akak sendiri tak boleh nak buat apa dik. Akak minta maaf,” Doktor Salwa mendakapku erat. Aku tersenyum dalam sendu.

Alangkah bahagianya kalau ibu yang peluk aku sekarang. Alangkah gembiranya kalau ayah yang beri kata‐kata semangat untuk aku saat ini. Tapi ayah dan ibu jauh dekat Hong Kong. Ya ALLAH… sungguh aku rindu kedua orang tuaku. Bolehkah aku mengucup tangan ayah untuk saat terakhirku, dapatkah aku memeluk ibu untuk hari‐hari terakhir dalam hidupku.

“Akak, kalau benar Ain pergi esok‐esok akak minta ibu mandikan Ain ya. Kalau ibu tak tahu, akak ajarkan ibu tau. Nanti akak jangan lupa pulak, Ain nak ayah yang solatkan untuk Ain. Kalau boleh sampai ke ‘rumah baru’ Ain pun, ayah yang pimpin Ain. Baru Ain boleh masuk ‘rumah baru’ Ain dengan tenang,” Aku berkata tenang. Doktor Salwa sudah menangis teresak-esak.

Aku tak tahu, aku telah menjadi seorang yang terlalu suka berpuitis hingga ke 360 darjah. Terlalu emosional sampai meleret‐leret bahasa. Hinggakan aku sendiri bingung itu aku kan orang lain yang berkata‐kata. Mungkin orang yang hanya tunggu waktu memang suka sangat mengarut.

“Ain boleh tak kalau jangan cakap yang bukan‐bukan. Akak tahu Ain masih banyak waktu. Ain
harus percaya pada diri Ain. Percayalah bahawa keajaiban tu boleh datang bila‐bila masa sahaja. Yang penting, Ain kena kuatkan berdoa pada ALLAH, minta disembuhkan penyakit Ain. Insya ALLAH semua tu tak ada yang mustahil,” Doktor Salwa memberikan kata semangat.

Sangat sesuai dengan wataknya sebagai doktor.

Doktor kan mesti bijak berkata‐kata. Nak yakinkan pesakit padahal doktor lebih tahu pesakit itu tak panjang hayatnya. Aku tahu doktor bukan Tuhan yang boleh menentukan hidup dan matinya seorang manusia, tapi Tuhan dah jadikan doktor sebagai manusia yang boleh mengenal hidup atau matinya manusia itu.

XXXXXXXXXXXXX

10 SEPTEMBER 2012

Aku sepertinya baru bangun dari mimpi yang panjang. Tak sangka aku masih bernyawa hingga ke hari ini. Kata doktor Salwa, aku hidup mungkin dua atau tiga bulan, sekarang dah masuk bulan yang ke lima dari tarikh itu. Alhamdulillah, umurku masih panjang. Mungkin Allah masih nak berikan aku peluang untuk menghargai kehidupan duniawi sebelum berpindah ke alam yang lain. Terima kasih akak sebab simpan rahsia ni dari sekeliling walaupun mulut akak dah berbuih beri nasihat kat Ain. Kalau dah takdirnya, Ain pasti akan pergi jua, akak. Ayah dan ibu masih seperti dulu. Jarang pulang ke rumah. Alah, kiri kanan pun ayah ibu boleh duduk, apa nak takut sekarang kan kota dah penuh dengan rumah‐rumah mewah. Maksud aku, hotel‐hotel mewah, gah berdiri sana sini. Tapi tak apalah, tengok ayah ibu pulang walau seminit dah cukup.

Yang penting, ibu senyum ayah gembira kerana aku tak nak ayah ibu sedih. Ah, sahabatku Lisa. Lisa makin hari bising tanya aku sihat ke, aku sakit ke? Ketara sangat kot wajah aku kian cengkung. Tak apalah, nanti kau akan tahu juga Lisa. Aku sayang sangat dekat kau.

Ain.

Usai menulis, aku membelek‐belek diary sambil tersenyum. Dah banyak yang aku coretkan tapi
ayatnya tetap sama. Aku tak pernah letih memutarkan ayat itu kerana aku tahu kelak aku pergi, hanya itu yang akan menjadi teman pengganti diriku untuk ayah ibu.

“Ya ALLAH, kau datang lagi” rintiku. Kepalaku berdenyut membuatkan aku hilang keseimbangan diri untuk seketika. Aku menekan kepalaku sambil mencari ubat di laci meja.

Segala benda di atas meja itu lari entah ke mana. Aku tak kisah, aku harus menghentikan dulu sakit kepalaku. Peluh mula merintik di dahiku. Sesaat dadaku terasa sesak. Aku cuba untuk menjerit tapi suaraku seakan sekat di korongkong. Hanya doa tak hentiku panjatkan sambil menahan sakit.

‘Ya Allah, kau berikan aku kekuatan andai hariku akan tiba. Aku redha kalau ini caranya untuk
hapuskan rasa sakit ini’ detikku dalam hati. Ain mata mula berlinangan di pipi. Sendirian bertarung rasa sakit membuatkan aku seakan pasrah untuk segalanya.

“Cik, Cik kat dalam ka tu? Ada telefon untuk cik,” Suara bibik dari luar kamar mengejutkan aku yang sudah duduk di tepi meja. Sakit kepalaku sudah berunsur pulih. Entah sejak bila aku terlelap disitu, aku juga tak pasti.

“Cik, ada telefon untuk cik di bawah,” Makin rancak bibik mengetuk pintu kamarku. Aku berusaha untuk bangun lalu menuju ke arah pintu. Rambut yang kusut‐musai ku sikat dengan jari‐jemariku.

“Ya bik, telefon dari siapa pulak? Kan elok kalau sambungkan terus ke kamar Ain,” Aku merungut usai membuka pintu. Bibik mula menunduk.

“Dari Puan cik. Puan kata nombor cik tak dapat dihubungi,” aku menepuk dahi mendengar kata‐kata bibik. Mesti kes terlelap tadi. Sebab tu aku tak dengar.

“Em, tak apalah bik. Bagitahu ibu, Ain telefon ibu nanti. Kalau tak suruh ibu telefon nombor Ain aje. Ain malas lah nak turun,” Bibik hanya menganggukkan kepala sambil berlalu. Bibik memang pembantu yang baik. Tak pernah melawan, hanya tahu menurut aje. Aku pun hairan, nak kata bibik ni baru tak juga. Aku mengelengkan kepala.

Deringan telefon mengejutkan aku. Cepat‐cepat aku mengangkatnya. Cepat benar ibu sambungkan talian. Macam ada benda penting aje nak bagitahu.

“Assalammualaikum ibu. Sorry lah Ain tak dengar waktu ibu telefon tadi. Ada apa ibu?” Aku
bertanya sopan.

“Em, tak apalah Ain. Ain tidur ke tadi?” Aku tersentuh dengan pertanyaan ibu. Ibu memang seorang ibu yang baik.

“Ain terlelap tadi bu. Maaflah kalau Ain buat ibu risau”

“Taklah, ibu okey. Ibu cuma nak tanya, Ain ada apa‐apa nak pesan tak? Malam ni ayah dan ibu
pulang ke rumah. Dah dua minggu ibu tak lihat puteri ibu ni,” Aku mengucapkan syukur dalam diam. Aku juga rindukan ayah ibu.

“Alhamdulillah ibu. Ain tak minta apa‐apa pun, yang Ain nak ibu dan ayah pulang dengan selamat dah cukup,” aku melonjak gembira.

“ibu dah agak dah. Mesti itu yang Ain nak cakap. Em, tak apalah. Ibu nak letak dulu, nanti malam kita sembang lagi”

Aku melompat ke katil. Memang itu rutin yang biasa aku lakukkan kalau dapat tahu ibu dan ayah akan pulang ke rumah. Aku memejamkan mata sementara menunggu masuknya waktu solat asar.

XXXXXXXXXX

Selesai makan malam, aku mengambil tempat di sisi ibu dan ayah. Mereka berehat di ruang tamu sambil menonton television. Ku lihat wajah ayah dan ibu memang kelihatan sangat letih.

Kasihan ayah dan ibu, kalau aku dah pergi siapa yang akan menemani mereka kelak?

“Em, ibu Ain tanya sikit boleh tak? Ibu dan ayah lama tak duduk kat rumah. Maksud Ain, tak keluar dari rumah,”aku bertanya perlahan, takut maksudku disalah erti oleh ibu. Ibu memandangku lama. Aku tersengih ikhlas.

“Ibu ikut ayah aje Ain. Kenapa pulak?” Ibu bertanya. Lengan ibu sudahku gengam erat.

“Tak adalah bu. Cuma kalau tak sibuk sangat, Ain ingat nak bawa ibu dan ayah ambil angin. Kita ke pantai. Ain nak sangat ambil angin kat pantai lagipun dah lama kita tak keluar bersama,” terangku jelas. Ibu memandang Ayah. Mungkin nak minta pendapat.

“Bila Ain nak pergi?” Ayah bertanya pulak. Aku mula ceria.

“Hujung minggu ni boleh tak ayah? Kalau tak pun, esok? Ain on aje”

“Em, hujung minggu ni ayah tak dapat la sayang. Kalau esok ayah masih penat la”

Aku menarik muncung. Berpura untuk menarik perhatian Ibu. Takkan sehari pun tak ada masa, aku nak sangat ke pantai.

“Ibu pun rasanya nak ke spa esoklah sayang. Ibu nak manjakan tubuh ibu sikit. Ain ikutlah Ibu ke spa. Nanti soal ke pantai, kita pergi bila ada masa ayah,” Ibu mula memujuk.

“Tapi bila bu? Ain nak sangat ke pantai. Sekejap pun tak apalah ayah”

“Em, macam ni lah. Nanti next week ayah cuba aturkan masa ayah. Kalau tak next month ke kita
pergi, ya,” Aku mengeluh mendengar kata ayah. Bukan aku nak membantah tapi aku takut masaku takkan panjang. Sakit kepalaku dah makin parah, barah hatiku tak masuk lagi. Macam aku nak semput aje tiap saat. Sepatutunya aku dah menerima rawatan lanjut di hospital, tapi aku aje yang tak nak.

“Tak apalah kalau gitu. Ain takut tak sempat aje,” Aku berkata perlahan tapi masih sempat
menyinggah di cuping Ibu.

“Sayang, tak sempat apanya, em… Next month kan dah tak lama tu. Ain pilih aje pantai mana Ain nak pergi, nanti package tu biar Ibu yang aturkan nanti,” Ibu tak henti memujuk. Aku hanya
menganggukkan kepala tanda patuh. Perlukah ibu tahu tentang penyakitku, perlukah ayah tahu soal kesihatanku yang makin memburuk. Aku semakin bingung.

XXXXXXXXX

20 SEPTEMBER 2012

Keadaanku makin parah dalam diam. Doktor Salwa makin panas punggung tapi aku hanya diam. Sakit kepalaku serta sakit barah hatiku membuatkan tubuhku makin lemah. Semalam aku rebah di klinik Doktor Salwa. Darah keluar dari hidungku. Ya ALLAH… apakah ini petandanya aku makin kesuntukan masa? Aku hanya mampu bersabar dan berdoa. Doktor Salwa kerap menjengukku di rumah kerana aku enggan ke hospital. Terima kasih, akak. Em, soal ke pantai masih sepi walaupun hari makin berlalu. Biarlah, aku tak nak desak ibu ayah. Ibu, nanti kalau Ain tak sempat, Ibu tolongkan Ain tengok matahari terbit dan terbenam ya. Ain nak sangat tengok tu. Lisa sahabaku… Lisa juga tak pernah lekang dari bibirku walaupun aku kerap ponteng kelas. Lisa aku harap kau jenguk aku nanti.

Ain.

Jari jemariku mengigil saat berhenti mencoret. Pantas ubat penahan sakit ku selak dari laci. Aku tahu sakitku akan datang. Dua tiga biji pil ku telan sekali gus. Biarlah, sebiji aku rasakan tak cukup menampung rasa sakit yang kian mencengkam tubuhku. Usai berehat, aku bergerak ke katil. Baru sesaat aku berbaring, azan Asar berkumandang dari arah masjid yang berdekatan. Cepat‐cepat aku bangun lalu mengambil wuduk.

Dengan penuh khyusuk, Aku mula menunaikan solat. Lama aku berdoa kepada ALLAH untuk
mengurangkan rasa sakitku. Belum selesai berdoa, sakit kepalaku menyerang lagi. Saat itu, telefon ku berbunyi nyaring minta di angkat. Aku memegang kepalaku kuat. “Ya ALLAH… sakitnya,”aku merintih. Pandanganku terasa kelam. Aku merasakan duniaku seolah‐olah berputar. Aku mula menyebut nama ALLAH… Aku rebah, pandanganku gelap dan akhirnya aku tak sedarkan apa‐apa.

XXXXXXXXXX

Datin Riana menitiskan air mata membaca setiap coretan yang ditingggalkan Ain, anakknya. Tak disangka Ain pergi terlalu cepat. Ain pergi tanpa siapa di sisi tapi Ain pergi dengan tenang. 
Senyuman terukir di bibir sambil tidur nyenyak di atas sejadah. Patutlah hatinya merasakan ada
sesuatu yang tak kena pada hari tersebut.

“Ain, ibu nak minta maaf untuk segalanya, tentang penyakit Ain tentang kesedihan Ain. Ibu memang salah sebab tak ada disamping Ain. Maafkan Ibu ya nak,” rintih Datin Riana. Hanya diary Ain peneman pada kesedihan Datin Riana. Mata tak pernah lekang dengan air mata saat diary itu dibuka. Sepatutnya ibu temankan Ain ke pantai hari itu, kejam sangat ibu padamu nak…

Pemergian Ain memang tak siapa dapat menduga. Doktor Salwa tergamam, Lisa terkedu, Datin
Rania menjerit dan Datuk Nizam terkejut. Hanya diary itu menjadi saksi pada penderitaan Ain.
Segala‐galanya dah berlaku, tak mungkin dapat diputarkan kembali. Yang ada cuma ‘rumah baru’ Ain yang entah sepi entah riuh kelak dengan suara‐suara alunan zikir dan surah sebagai peneman pada kehidupan baru Ain Qasidah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan