Label

Isnin, 28 November 2016

NOVEL Darlingku Minah Angau Bab19

Walaupun bersemangat untuk memulakan kehidupannya sebagai seorang pelajar namun terpalit rasa sedih apabila bukan nama Bunyamin yang tercatat sebagai supervisornya. Nampaknya apa yang dirancang meleset sama sekali. Sudah tentulah dia perlu melihat kembali perancangan yang sudah diatur agar ia dapat mencapai misi dan objektifnya. Namun ada rasa bahagia berkutik di hati kerana mulai hari ini dia boleh berjumpa dengan Bunyamin sepanjang masa. Dia dan Bunyamin berada di institusi yang sama. Di fakulti yang sama.

Kening Anggun Danisha berkerut sedikit apabila melihat nama yang tertera sebagai supervisornya. Nama yang agak familiar. Sekali lagi Anggun Danisha mengerutkan dahinya. Otak mula ligat memikirkan tentang apa yang sedang bermain di mindanya.

"Profesor Dr Harith Mishka? Macam familiar je," kata Anggun Danisha sendirian. Dia bermain
dengan dagunya.

"Kau cakap apa sendirian ni?"

Tiba‐tiba Zakiah, teman yang baru dikenalinya datang sambil mencuitnya. Terjerit kecil Anggun
Danisha apabila diperlakukan sebegitu oleh Zakiah.

"You ni Zack, buat I terkejut je," tegur Anggun Danisha. Dia tersenyum lebar. Hilang sudah apa
yang sedang bermain di ingatannya saat ini.

Zakiah hanya ketawa suka hati apabila ditegur sebegitu. Tetapi dia berasa lucu apabila melihat
gelagat Anggun Danisha yang terkejut beruk itu.



"Aku dengar kau asyik sebut nama prof Mishka," kata Zakiah.

"Mishka?" tanya Anggun Danisha sambil mengerutkan dahinya. Entah kenapa hatinya berasa tidak sedap apabila mendengarkan temannya itu menyebut nama Mishka. Nama yang sama seperti sepupunya!

"Kau kenal ke dengan prof Mishka?" tanya Zakiah agak pelik melihatkan sikap Anggun Danisha
itu.

"Tak lah. Tetapi nama dia sama seperti nama sepupu I. Itu yang I macam fobia mendengarkan nama itu," kata Anggun Danisha berterus terang. Tidak mungkin hanya Harith Mishka yang mempunyai nama seperti itu di dunia ini. Lagipun sudah tentulah seorang yang bergelar profesor itu adalah seorang pensyarah tua yang hampir pencen. Bukan mudah untuk mendapat gelaran seperti itu! Tidak mungkin Harith Mishka yang muda belia itu! Ah, kenapa aku tidak pernah bertanya apa pekerjaan Harith Mishka selama ini?

"Aku rasa kau pun akan jadi fobia bila jadi student prof Mishka," kata Zakiah.

"Fobia? Kenapa pula?" tanya Anggun Danisha sambil mengerutkan dahi. Kata orang salah satu
kejayaan bagi pelajar ijazah tinggi adalah pemilihan survisor yang baik. Kalau dapat supervisor yang cerewet bagaikan sengaja menimpa padah. Kemungkinan besar tempoh pengajian melebihi tempoh dua tahun yang telah ditetapkan.

"Dia tu cerewetnya tahap gaban!"

"Gaban? Kenapa gaban? Kenapa tak ultraman Taro?" tanya Anggun Danisha berpura‐pura bodoh.

Zakiah menggigit bibir. Geram dengan soalan bodoh yang diberikan temannya.

"Sebab gaban lebih kuat dan handsome daripada Ultraman Taro," jawab Zakiah selamba.

"Maknanya?"

"Maknanya kau tergolong dalam kalangan student berani matilah. Biasanya ramai yang fail kalau di bawah selian dia," cerita Zakiah bersungguh‐sungguh.

Anggun Danisha mengetap bibir. Jantungnya berdebar hebat. Cerita Zakiah itu benar‐benar
menakutkan kamar hatinya. Benarkah apa yang diceritakan sabahatnya itu atau Zakiah hanya
mereka cerita?

“Tapi dia ada satu kelemahan. Takut naik feri.”

“Kenapa pula?” Tanya Anggun Danisha semakin berminat.

“Ala biasalah. Semua orang ada ketakutan masing‐masing. Takut naik feri. Naik kapal terbang.
Takut hantu!”

"Mana kau tahu semua ni?" tanya Anggun Danisha lagi. Dia cuba berlagak tenang. Walau di hati sudah mendendangkan lagu nestapa. Apalah nasibnya kelak jika benar dia mendapat penyelia sebegitu? Benarkah dia bakal menjadi pelajar berani mati? Anggun Danisha menelan liurnya. Gelaran sebegitu memang tidak sesuai dengan dirinya.

"Aku tahulah. Akukan ex student sini. Masa aku first degree dulu ada pergi seminar dengan dia di Langkawi. Kitaorang semua naik feri tapi dia naik flight. Yang best lagi main pantai pun dia takut, "terang Zakiah sambil ketawa menggekek.

"Habis tu apa yang aku perlu lakukan?" tanya Anggun Danisha keresahan. Dia tidak memperdulikan cerita Zakiah. Mengapalah dia tidak mendapat Bunyamin sahaja sebagai penyelianya? Zakiah hanya menjungkitkan bahunya.

"Kau pun dapat Prof Mishka jugakan?" tanya Anggun Danisha tiba‐tiba.

Zakiah hanya mengangguk dan mencebekkan bibirnya.

"Memang nightmare lah hidup aku lepas ni," kata Zakiah dengan wajah yang sedih.

"Jom kita tukar supervisor nak tak?" cadang Anggun Danisha tiba‐tiba. Lagipun sebolehnya dia
mahukan Bunyamin menjadi penyelianya. Barulah mencapai objektifnya berada di sini.

"Hishhh tak naklah aku. Aku takut Prof marah. Lagipun dia bukannya boleh terima kalau ada student yang mahu lari daripadanya. Malah lecturer lain pun tak berani nak terima student Prof Mishka," terang Zakiah.

"Kenapa pula?"

"Prof Mishka dianggap otai di sini. Semua orang takutkan dia," cerita Zakiah lagi.

Anggun Danisha mengetap bibir. Kali ini dia dapat membayangkan betapa merbahayanya Profesor Dr Harith Mishka itu. Pastinya lelaki itu tidak ubah seperti orang tua yang tidak boleh ditegur.

"Aku nak tukar supervisor jugak. Sebenarnya aku pernah request Dr Bunyamin jadi supervisor aku. Tapi tak tahulah macamana nama Prof Mishka pula yang menjadi supervisor aku," cerita Anggun Danisha.

"Selalunya admin akan beri student yang terbaik kepada Prof Mishka. Dia akan tengok result degree kita," terang Zakiah.

Anggun Danisha mengangguk faham.

"Maknanya kita berdua ni best student la," kata Anggun Danisha.

"Best student yang malang," jawab Zakiah sambil menceber.

"Kau tak nak cuba tukar supervisor?" tanya Anggun Danisha lagi. Sebenarnya dia masih mahu
mencuba nasib.

"Tak beranilah aku. Kalau kau nak pilih Dr Bunyamin, kau buatlah surat kepada pihak pentadbiran. Mana tahu kau bertuah dan permohonan kau diluluskan," kata Zakiah cuba memberi harapan kepada Anggun Danisha.

"Better aku bincang dulu dengan Dr Bunyamin," kata Anggun Danisha. Tiba‐tiba dia tersenyum
lebar. Pasti Bunyamin terkejut apabila melihat dirinya di sini.

"Bagus juga tu. Bilik Dr Bunyamin di blok C," terang Zakiah.

"Kalau macam tu aku pergi dululah," kata Anggun Danisha. Tiba‐tiba hatinya melonjak riang.

Sungguh dia berasa begitu tidak sabar sekali untuk bertemu dengan kekasih hatinya itu.

"Jangan lambat. Pukul 2 kita ada perjumpaan dengan Prof Mishka," kata Zakiah cuba mengingatkan Anggun Danisha.

“ Aku tahulah,” jerit Anggun Danisha. Kemudian dengan senyuman lebar dia melangkah menuju ke bilik Bunyamin yang telah diketahuinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan