Label

Isnin, 28 November 2016

NOVEL Di Sebalik Talian Bab9

Sudah masuk enam bulan saya dengan Ste berpacar dan saling berganti mengucapkan kata cinta sesama sendiri. Enam bulan ini adalah masa yang paling bahagia bagi saya. Setiap hari saya ada saja alasan untuk senyum lebar. Ramai yang bertanya pada saya tentang perubahan saya yang mendadak itu. Yelah, sebelum ini setiap hari mereka nampak muka sayu saya sahaja, dan jarang senyum juga. Namun, saya tidak pernah beritahu mereka perkara sebenar. Atas alasan segan dan inginkan lebih privasi, saya tidak mahu mereka tahu yang Dr. Stephen Marcus adalah teman lelaki saya. Saya belum bersedia lagi untuk semua itu. Ste juga masih belum tahu tentang pekerjaan saya yang sebenar. Berkali‐kali dia tanya saya tentang itu namun saya berkeras hati juga untuk tidak bagitahu dia hal sebenar. Kadang‐kadang disebabkan itu kami bergaduh tetapi biasanya keesokan harinya kami akan berbaik semula. Biasalah kalau hidup berpacar. Gaduh‐gaduh itu perkara biasa. Kalau tiada gaduh, maka hubungan kami ini adalah tidak serius.

Ada beberapa perkara yang berlaku yang saya rasa pelik dan juga menggeramkan sepanjang saya bersama dengan Ste. Yang pertama ialah: Ste tidak pernah balas mesej saya di Whatsapp. Alasan yang dia selalu bagi saya bila kami berjumpa ialah Whatsapp hanya untuk urusan kerja, sebab itu dia tidak balas saya. Lagipun, dia kata lebih bagus lagi kalau berjumpa dan bercerita face to face. Yelah, walaupun alasan dia itu logik dan masuk akal, tetapi kadang‐kadang teringin juga saya mahu bercerita dengan dia melalui mesej. Walaubagaimanapun, setiap kali saya bangun dan tidur, saya mesti akan hantar mesej ucapan diikuti dengan kata‐kata cinta. Saya mahu dia sentiasa tahu bahawa saya mencintainya setiap saat setiap hari.

Yang kedua ialah: Beberapa orang asyik tanya soalan yang sama. “Kamu okeykah Annie?” Setiap kali saya dengar soalan itu, mahu sahaja saya terus nyanyi lagu Michael Jackson yang bertajuk “Smooth Criminal” itu. Kan liriknya ada tulis begini: Annie are you okay? Oh are you okay, Annie? Terutamanya mak saya, Jeff dan Irma rakan sekerja saya, dan juga Encik Ramu.



Mak saya rasa curiga sebab setiap minggu ada dalam lebih kurang dua ke tiga kali saya keluar malam untuk pergi dating dengan Ste. Alasan yang saya bagi ialah saya keluar dengan kawan baru yang saya sangat rapat. Bila mak tanya tentang kawan itu, saya cuma beritahu yang dia kerja di tempat yang sama dengan saya. Jeff dan Irma pula tidak habis‐habis mengusik saya sejak saya dikejutkan dengan jambangan bunga daripada si penghantar misteri itu. Mereka asyik cakap saya dah ada boyfriend dan selalu mahu saya perkenalkan boyfriend saya itu kepada mereka. Sudah tentu saya menolak permintaan mereka, sebab pertama: mereka itu cuma rakan sekerja saya, jadi saya tidak selesa mahu kongsikan hal privasi saya pada mereka; kedua: Jeff dan Irma agak celupar mulutnya dan kaki gosip. Kalau saya beritahu mereka, beberapa saat kemudian habis tersebar hal itu ke satu hospital ini.
Paling menggeramkan ialah Zero. Ya, saya tahu dia sibuk dengan kerjanya tetapi selama ini dia
paling kurang pun sebulan sekali akan telefon atau chat dengan saya. Sejak saya berpacaran
dengan Ste, sangat jarang Zero menghubungi saya. Dalam enam bulan ini, hanya dua kali
sahaja Zero cakap dengan saya. Itupun lebih kurang lima belas minit sahaja. Alasannya: sibuk
dengan kerja akhir‐akhir ini. Bila saya suruh dia ambil cuti, dia tidak mahu pula. Katanya, dia mahu simpan banyak‐banyak cuti untuk kegunaannya pada masa depan. Lepas itu, bila saya
mula bercakap tentang Ste, dia punya nada suara itu kedengaran seperti dia tidak kisah dan
tidak berminat mahu tahu. Yang paling saya tidak boleh lupa ialah kata‐katanya pada saya
semasa kami bercakap kali kedua.

“Ste ialah lelaki yang sangat bertuah. Dia ialah doktor, dan dia ada kau. Kau kena hargai dia baik‐baik, okey?”

Sudah tentu saya menanya dia lagi kenapa dia berbunyi seakan‐akan kami tidak akan bercakap lagi? Dia hanya cakap itu cuma kata‐kata nasihat sahaja. Perbualan kami terhenti begitu sahaja, penuh dengan tanda tanya. Saya tidak tahu langsung apa kena dengan si Zero itu. Dia juga telah menutup dirinya daripada saya. Walaupun saya dengan Ste telah bersama, namun Zero ialah kawan baik saya, dan saya rasa amat terkilan bila Zero nampak ada masalah tetapi tidak mempercayai saya untuk dikongsi pada saya.

***

Suatu hari, di waktu tengahari yang agak suram disebabkan oleh cuaca yang sekarang ini mendung, saya melangkah masuk ke dalam pejabat saya untuk memulakan syif petang saya itu. Tiba‐tiba saya rasa aneh kerana sepertinya semua mata memandang ke arah saya. Saya memegang rambut saya, dan juga mengelap muka saya, mana tahulah ada sisa‐sisa makanan yang tersangkut di muka saya.

“Kenapa korang ni tengok saya semacam saja?” tanya saya dengan nada agak kasar sambil
mengerutkan dahi saya. Saya sekarang agak moody kerana sudah seminggu saya tidak dengar khabar daripada boyfriend saya itu. Kol pun tiada, bila saya tinggalkan nota di keretanya, dia tidak pernah datang ke tempat yang saya tetapkan itu. Setiap hari saya tidak tentu arah, makan tidak tentu, tidur tidak payah cakap lagi, tetap insomnia punya. Kalau ikutkan hati saya, mahu sahaja saya pergi cari dia di wad surgeri itu terus, tetapi saya tahu itu mustahil untuk dilakukan kerana hubungan rahsia kami ini. Saya rasa sangat depress sekarang kerana saya sangat merinduinya dan saya betul‐betul tidak tahu apa‐apa apa yang berlaku padanya sehingga dia tidak menghubungi saya langsung. Saya perhatikan rakan‐rakan sekerja saya saling pandang‐memandang antara satu sama lain. Tiada satu pun yang mahu jawab pertanyaan saya. Sebelum saya sempat mengutarakan kata‐kata saya yang seterusnya, tiba-tiba saya nampak kelibat bos saya Encik Ahmad bersama dengan seorang pegawai polis. Encik Ahmad nampak gelisah daripada riak wajahnya sahaja, body language dia pun pelik semacam sahaja. Yang membuatkan saya rasa tidak selesa ialah cara mereka berdua pandang saya itu.

Saya mula rasa risau pula. Adakah polis ini datang sini untuk menangkap saya? Jika ya, atas
kesalahan apa? Saya tidak ada langgar undang‐undang pun, setahu saya. Saya cuma seorang gadis yang lebih kurang buat perkara yang sama sahaja setiap hari. Mahu tangkap saya kerana apa?

Encik Ahmad batuk sekali, lalu menghembus nafasnya dengan kuat. “Annie? Boleh datang dengan kami ke pejabat saya dulu sekejap?” Dia terus menunjuk ke arah syif pagi punya orang yang saya bakal ganti sekarang ini, sepatutnya. “Azmi, boleh kau ‘OT’kah hari ini? Esok aku bagi kau cuti.” Azmi, tanpa berkata apa‐apa, mengangguk setuju lalu duduk di tempatnya semula.

Saya bersama dengan bos dan polis itu pun melangkah masuk ke dalam pejabat bos saya itu. Pejabat ini agak besar, dengan wallpaper yang berwarna coklat, dua tingkap yang mempamerkan keindahan bandar Kota Kinabalu itu, meja bos saya yang nampak kemas itu, dan juga ada disediakan dua sofa besar besertakan meja kecil di hadapannya. Encik Ahmad mempersilakan saya untuk duduk di sofa itu, manakala mereka berdua pula duduk di sofa yang satu lagi. Encik Ahmad memberi signal pada polis itu untuk memulakan perbualan.

“Selamat petang Cik Annie. Saya Inspektor Kenny, daripada balai polis KK...”

Saya menelan air liur saya, mata saya mula liar ke arah yang tidak menentu di pejabat itu. Saya mula merasakan sesuatu yang tidak bagus dan berat di hati saya. Saya tidak dapat fokus apa yang polis itu katakan, namun bila nama seseorang itu disebut, terus saya alert kembali.

“Cik Annie kenalkah siapa Doktor Stephen Marcus?”

Huh? Kenapa polis ini mahu tahu tentang Ste? Jangan‐jangan... Air mata saya mula mengalir tanpa saya sedari. Saya lalu memegang lengan baju polis itu dengan erat. “Encik, Ste..... Ste ditimpa kemalangankah? Dia okeykah tidak? Dia masih hidup? Dia.....dia masih hi....hi...dup?”

Saya berkata dengan nada cemas, nafas saya rasa semakin pendek. Polis itu terbeliak matanya,
terkejut dengan kelakuan saya yang berubah mendadak itu. Encik Ahmad terus duduk di samping saya lalu dengan perlahan menarik tangan saya itu melepaskan genggaman saya daripada lengan baju polis itu.

“Annie, bawa bertenang‐”

Saya memalingkan muka saya pada bos saya. “Macam mana saya mahu bertenang kalau saya tahu Ste ditimpa kemalangan?!” Saya menundukkan kepala saya lalu bercakap lagi, “Patutlah Ste tidak contact saya selama seminggu...”

Polis itu menyambung kata‐katanya. “Cik, jangan risau, dia selamat dan sangat sihat. Cik, saya mahu tanya beberapa soalan dulu berkenaan dengan beliau, boleh?” Saya menghembuskan nafas panjang, rasa lega mendengar bahawa Ste masih hidup dan selamat. Saya cuma mengangguk, masih menunduk sambil mengelap air mata saya dengan kedua‐dua tangan saya. “Kamu dan beliau memang kenal sesama sendiri?”

“Ya, kami kenal hampir setahun sudah,” kata saya.

“Macam mana kamu boleh kenal dia pada mulanya?”

“Erm...Saya kerja sebagai operator di sini. Kadang‐kadang dia kol minta sambung ke nombor lain, saya memang kenal sangat suara dia. Lepas itu, suatu hari itu dia dan saya terjumpa di kafe sini, dan terjumpa lagi di sana Suria. Sejak itu, kami berkawan sampailah sekarang.” Saya tersenyum bila mengingat kembali di saat awal perkenalan kami itu. Buat masa yang singkat, saya lupa akan kehadiran polis dan bos saya itu, fikiran saya tertumpu kepada Ste. Oh, Ste...alangkah rindunya saya padanya. Di manakah kau sekarang? Kau sedang buat apa itu? Bila kau mahu balas balik surat saya itu? Fikiran saya itu terbantut oleh kata‐kata polis itu seterusnya...

“Kamu pastikah yang beliau mengenali kamu?”

Rasa marah saya kembali datang atas pertanyaan bodoh polis itu. Saya memandang polis itu dengan pandangan tajam. “Kenapa pula encik tanya begitu? Sudah semestinyalah bah dia kenal saya!” Encik Ahmad mengusap belakang saya sambil membisikkan kata‐kata tenang.

“Cik, bawa bertenang. Saya ada sebab kenapa saya tanya kamu sebegitu.” Polis itu membaca nota kecilnya yang dia pegang itu, lalu memandang saya lagi. Sambil tangannya mencapai sesuatu kertas dokumen daripada poketnya, dia berkata, “Saya telah menerima laporan daripada beliau seminggu yang lalu, cik. Itu laporan mengatakan bahawa...” Dia mengecilkan matanya semasa membaca laporan itu. “...Dia mengatakan yang dia diganggu oleh seseorang yang bernama ANNIE AGUSTINE sejak bulan Februari lagi ini tahun sampailah sekarang,” katanya lagi, sengaja menjelaskan suaranya lagi apabila menyebut nama saya itu. “Dia menyatakan di sini senarai sebab‐sebab kenapa dia laporkan tentang perkara ini. Yang pertama ialah, dia menerima banyak mesej di aplikasi Whatsapp daripada nombor yang tidak dikenali. Cik, boleh saya tahu, adakah nombor 013‐5225232 milik kamu?”

Saya cuma mengangguk lemah, saya masih keliru kenapa Ste melaporkan ke polis tentang saya... “Ya, saya memang ada mesej dia di Whatsapp. Kami ada bertukar nombor dulu, mungkin dia lupa simpan nombor saya itu di telefonnya sebab itu bila saya mesej mungkin dia tidak pernah balas sebab dia tidak tahu siapa penghantarnya.”

“Okey. Yang kedua ialah, dia selalu nampak kereta kamu berlalu‐lalang di hadapan rumahnya,
kadang‐kadang waktu tengah malam dia nampak kereta kamu di seberang rumahnya.”

Saya mengangguk lagi. “Saya tidak bermaksud apa‐apa pasal itu. Saya cuma mahu pastikan yang dia pulang ke rumah dengan selamat. Kan kalau kerja doktor ini selalu kurang tidur, saya takut dia ditimpa kemalangan semasa perjalanan dia balik ke rumah.”

“Yang ketiga dan terakhir, setiap minggu pasti ada nota yang terselit di keretanya. Nota itu telah dibandingkan dengan tulisan kamu yang kami dapat di sini, dan memang nota itu terbukti datang daripada kamu.”

Saya terus mengangguk. “Ya, memang saya setiap minggu bagi dia nota sebab dia tidak pernah balas mesej saya di Whatsapp, jadi cara lain untuk saya bagitahu dia tempat untuk berjumpa ialah melalui nota itu. Dia tahu itu nota datang daripada saya. Jadi, polis, boleh saya tahu kenapa dia melaporkan perkara ini sedangkan dia sendiri tahu saya yang buat semua itu?” Saya mula hilang sabar dengan pertanyaan demi pertanyaan ini. Apa yang saya mahu buat sekarang ialah untuk berjumpa Ste dan mendapatkan penjelasan daripadanya tentang penglibatan polis ini.

“Cik. Saya difahamkan bahawa beliau mengaku bahawa beliau tidak mengenali kamu langsung. Dia menafikan perkenalan kamu dan juga berjumpa dengan kamu‐”

“APA????!!!! DIA CAKAP BEGITU???!!!!!” Saya berdiri dengan pantas lalu mundar‐mandir di
pejabat itu sambil kedua‐dua tangan saya genggam erat menjadi penumbuk. Encik Ahmad sekali lagi bertindak sebagai penenang keadaan. Dia berdiri dan pergi ke arah saya, lalu membawa saya kembali duduk di sofa itu. Saya mula merasa cemas dan marah pada masa yang sama. Tegah Ste melakukan begini kepada saya? Apa salah saya?????

“Cik. Seminggu ini kami telah buat siasatan untuk mengesahkan laporan beliau. Kami mengkaji
nota‐nota yang cik tulis itu. Salah satu tempat yang kami telah pergi ialah di Kedai Mamak 24 Jam itu. Kami telah bertanya pada pemilik kedai itu, Encik Ramu, tentang pertemuan kamu dengan Dr. Stephen. Dia berkata begini..” Sekali lagi polis itu mengecilkan matanya semasa dia membaca notanya itu. “...Encik Ramu anggap kamu sebagai anak sendiri, dan dia memang rasa risau pada kamu sejak akhir‐akhir ini. Dia nampak kamu datang makan di situ seorang, tetapi pesan makanan untuk dua orang, nampak kamu bercakap seorang‐seorang, seolah‐olah ada orang bersama dengan kamu masa itu, padahal memang kamu selalu seorang sahaja di situ. Pekerja‐pekerja di situ pun setuju dengan pernyataan Encik Ramu itu.”

Apa yang Encik Ramu cakap ini? Encik Ramu pun tegah buat saya begini? Kenapa dia nafikan
saya ada dating dengan Ste di situ? Dia sendiri nampak kami berdua, kan?

Kenapa....kenapa......KENAPA?????

“Encik Ramu tipu tu. Dia tahu saya ada dengan Ste makan di kedainya setiap minggu. Saya tidak pasti kenapa sekarang ini dia menafikan semua ini. Dia tahu.....” Saya memegang kepala saya dengan kedua‐dua tangan saya, tiba‐tiba rasa sakit kepala yang teramat sangat. Ini semua sudah keterlaluan! Kenapa seolah‐olah semua orang yang saya sayang tiba‐tiba tegah menafikan segala‐galanya dan menentang saya, sanggup pula buat laporan polis???!!

Polis itu cuma menggeleng kepala dengan rasa kesal nampak di wajahnya. “Maaf, cik. Siasatan teliti kami telah membuktikan yang apa yang dilaporkan oleh Doktor Stephen itu adalah benar. Namun, kami tidak akan membawa kamu ke balai polis, sebaliknya‐”

Encik Ahmad memotong kata‐kata polis itu, “Aku akan bawa kau ke hospital, Annie. Kau perlukan rawatan ini. Ini perkara bukan boleh dibawa main‐main...”

“Hospital? Kenapa pula saya perlu pergi ke hospital?!” tanya saya dengan rasa cemas. Mata saya liar memandang wajah Encik Ahmad yang tetap kekal tenang. Dia cuma memberikan saya senyuman sayu.

“Annie, kita kena cari sebab kenapa kau jadi begini. Marilah kita pergi sekarang Annie.”

Saya menggeleng kepala saya dengan pantas sekali. “Tapi saya tiada sebab untuk ke hospital!” Saya berdiri lagi. “Saya perlu cari Ste untuk penjelasan. Dia mesti ada sebab kenapa dia buat saya begini‐”

“Cik, Dr. Stephen telah mengenakan perintah sekatan pada kamu, di mana kamu tidak boleh
menghubunginya mahupun dekat padanya,” kata polis itu dengan nada kesal.

Saya berpaling pada polis itu. “Tapi...”

Belum sempat saya berkata lebih lagi, bos saya itu terus berdiri juga dan menepuk bahu saya dengan lembut. “Jangan fikir dulu pasal doktor itu. Kita kena pergi ke hospital sekarang untuk kamu dirawati.”

Walaupun saya masih tidak tahu kenapa saya perlu ke hospital sebab saya rasa saya tidak sakit apa‐apa, namun apa yang terjadi hari ini sangat menyerap banyak tenaga daripada saya. Saya rasa lemah untuk melawan apa‐apa lagi, jadi saya pun mengikut Encik Ahmad ke keretanya untuk menuju ke hospital.

***

Saya dengan Encik Ahmad duduk di ruangan menunggu yang penuh sesak dengan pesakit luar yang menunggu giliran mereka untuk temu janji mereka. Saya memandang gelagat pesakit‐pesakit ini yang bermacam‐macam ragamnya. Ada yang berkelakuan normal, ada yang diam sahaja, ada yang tiba‐tiba ketawa mengilai tanpa sebab. Saya bandingkan diri mereka dengan diri saya. Adakah saya ini sakit seperti mereka? Jika ya, saya tidak tahu kenapa saya dikategorikan sebagai sakit mental, sedangkan selama ini saya rasa okey sahaja, dan tiada orang pun yang beritahu saya yang saya berkelakuan pelik sejak akhir‐akhir ini. Saya lihat nombor giliran saya di kertas yang saya genggam itu: 2011. Sekarang nombor yang dipanggil ialah 2010. Sekejap lagi saya akan dipanggil. Saya akan go with the flow saja, jawab apa yang ditanya oleh doktor, dan saya akan pulang ke rumah buat seperti biasa sahaja. Saya cuma mahu hidup saya kembali seperti sebelum ini: Sebelum kehadiran Ste di hidup saya.

Rasa marah dan kecewa mula datang kembali tatkala nama Ste terngiang‐ngiang di fikiran saya. Ste telah membelot saya, menikam belakang saya dengan tragisnya. Pasal dialah saya sekarang berada di Hospital Mesra Bukit Padang, di mana pesakit yang mengalami masalah mental ditempatkan. Saya rasa mahu menangis sekali lagi. Ste telah buat saya gembira sangat yang belum pernah saya alami, hanya diakhiri dengan kejadian yang paling menyakitkan hati saya.Bagaimana orang yang saya sangat cintai itu berubah tiga ratus enam puluh darjah menjadi orang yang sangat bengis, sangat kejam, sangat tidak berhati perut? Yang lebih teruk lagi, saya tidak akan dapat penjelasan daripadanya kerana perintah sekatan itu.

“Annabella Agustine!” Panggil jururawat itu memanggil saya masuk ke dalam bilik doktor itu.

Encik Ahmad menepuk bahu saya lalu memicitnya dengan lembut sambil mengangguk kepalanya, memberi saya semangat yang sememangnya tiada di dalam diri saya buat masa ini. Saya pun masuk ke dalam bilik doktor itu dengan langkah yang longlai, lalu duduk di hadapan doktor yang sedang memberikan saya senyuman manis. Saya tidak membalas senyuman itu, mata saya tertumpu pada meja doktor itu yang kelihatan agak kemas. “Selamat tengahari cik Annabella. Nama saya Doktor Syarifah, saya pakar psikiatri di sini.” Saya cuma mengangguk sahaja. “Cik Annabella, boleh saya tahu sedikit latar belakang tentang kamu? Tinggal di mana, berapa adik‐beradik, kerja apa sekarang?”

“Doktor boleh panggil saya Annie sahaja,” ujar saya dengan lemah. Doktor itu mengangguk lalu senyum, memberi dorongan kepada saya untuk menjawab pertanyaannya. Saya mengeluh lalu menjawab dengan selambanya, “Saya tinggal di Kepayan, saya ada satu adik perempuan sahaja, dia berumur lapan belas tahun. Saya sekarang kerja sebagai operator di HQE.” Doktor itu mengangguk‐angguk sambil menulis nota di kes nota saya itu. Saya cuba untuk mencubuk apa yang dia tulis itu namun tulisan doktor itu terlalu “cantik” sehingga saya tidak mampu untuk membacanya.

“Bagaimana hubungan kamu dengan keluarga kamu?”

Saya mendengus. “Bapa saya dengan adik perempuan saya memang rapat. Di dunia mereka hanya ada mereka berdua sahaja. Mak saya sekurang‐kurangnya tahu saya masih wujud di rumah itu.”

“Kawan‐kawan kamu pula? Ada yang rapat dengan kamu?”

“Ada. Seorang sahaja. Dia kawan internet saya, namanya Zero..” Doktor itu mengerutkan dahinya tatkala mendengar nama Zero. “Ya, saya tahu nama dia agak pelik. Dia pun enggan beritahu nama sebenarnya. Katanya, dia akan beritahu saya nama sebenar dia bila kami berjumpa nanti.” Saya tersenyum pahit bila memikirkan tentang Zero. Saya tidak pasti lagi sekarang sama ada Zero itu kawan saya lagi atau tidak, memandangkan sudah lama dia tidakcontactsaya.

“Boleh bagitahu saya lebih detail lagi tentang Zero?”

“Dia dan saya berkawan sejak setahun lalu. Dia berasal dari Sarawak, umur dia dua puluh enam
tahun, kerja sebagai pilot di AirAsia.”

“Okay...Macam mana pula dengan kawan‐kawan di Sabah. Atau yang pernah kamu jumpa face to face?”

Saya menggeleng kepala saya. “Tiada, Saya memang dari dulu lebih senang bersendirian. Saya tiada sesiapa yang boleh saya jalan‐jalan bersama, sampailah saya jumpa Ste..” Saya tersenyum pahit lagi bila saya menyebut nama pembelot itu. Namun hati saya masih lagi mencintainya walau betapa besarnya pembelotan dia itu.

“Ste, orang yang sama dengan Doktor Stephen Marcus ya?” Saya mengangguk. “Okey. Kamu dirujuk kepada saya oleh Inspektor Kenny daripada balai polis KK. Kamu tahukah kenapa kamu dirujuk?” Saya menggeleng kepala saya. Malas pula saya mahu bercakap sekarang. “Okey, begini. Ah, Jenny, boleh tinggalkan kami sebentar?” Katanya pada jururawat yang bernama Jenny itu. Jenny cuma mengangguk sahaja lalu keluar dari bilik ini. “Okey, Annie. Saya sudah baca surat rujukan ini bersamaan dengan salinan laporan polis dan juga pernyataan kamu. Daripada penilaian awal saya, kamu memang ada sesuatu masalah yang berlaku di mental kamu. Kamu pernah dengar tentang halusinasi?” Saya menggeleng kepala saya.

“Okey,halusinasi bermaksud kamu mendengar suara yang bercakap dengan kamu, di mana suara itu tiada rupa fizikal. Jadi saya mahu tahu sama ada kamu pernah mengalami sebegini di mana ada suara yang bercakap dengan kamu?”

Saya berfikir sejenak. “Ya, memang ada. Tetapi ia berlaku dua kali sahaja. Suara itu biasanya akan memberitahu saya yang saya ini tidak berguna, tidak layak untuk gembira. Tetapi sejak saya couple dengan Ste, suara itu sudah hilang.”

“Kamu sedar atau tidak yang sebenarnya Ste itu tidak wujud? Maksud saya, Ste yang selama ini
kamu percaya telah bawa kamu keluar bersama, makan bersama, itu sebenarnya tidak wujud?”

Saya menggeleng kepala saya dengan pantas. “Doktor pun cakap beginikah? Semua orang sudah cakap begitu pasal saya, semua menafikan saya ada dating dengan Ste!” Saya mula berasa marah.

Doktor itu cuma tersenyum, wajahnya tetap tenang. “Annie. Berdasarkan laporan Doktor Stephen dengan kenyataan kamu ini, memang jelas saya perhatikan bahawa wujudnya satu delusi dan halusinasi di mana kamu percaya ada orang yang bersama dengan kamu, bercakap dengan kamu, makan dengan kamu, tetapi di mata orang lain orang yang kamu percaya wujud itu sebenarnya, tidak wujud pun. Mereka tidak nampak pun orang itu.”

“Jadi...apa maksud semua ini doktor? Saya tidak faham....” Rintih saya dengan rasa sayu. Saya
masih tidak dapat terima kenyataan bahawa segala kegembiraan yang saya alami itu adalah fantasi semata‐mata! Maksud saya, apa yang saya alami itu rasa benar sangat! Jadi saya tidak faham kenapa sesuatu yang rasa sangat benar ini, adalah ilusi semata‐mata? Dan yang paling penting ialah, kenapa saya boleh terperangkap dalam ilusi ini?

Dengan nada yang lembut, doktor itu bertanya lagi, “Annie, saya perlu tanya beberapa soalan lagi untuk membantu saya memberi diagnosis yang betul sebelum rawatan boleh dijalankan. Kamu okey tidak untuk teruskan sesi ini? Atau kamu perlu hari yang lain?”

Saya memandang doktor itu, dan saya dapat nampak bahawa doktor itu ikhlas untuk membantu saya. Jadi, saya cuma mengangkat kedua‐dua bahu saya dan mengangguk sahaja.

Saya tidak mahu tangguh‐tangguh lagi. Kalau memang saya ada masalah, saya mahu masalah ini diselesaikan secepat mungkin sebelum ia bertambah teruk.

“Kamu ada masalah kesihatan lain?” Saya geleng kepala.

“Keluarga kamu pula, ada masalah kesihatan?” Saya memusingkan bola mata saya sambil
mendengus lagi.

“Selama saya hidup ini, saya tidak pernah tahu hal‐hal peribadi sebegini tentang keluarga saya. Jadi, saya tidak tahu langsung macam mana mahu jawab soalan ini.”

Doktor Syarifah mengangguk dengan perlahan sambil menulis di kes nota saya. “Macam mana
dengan pelajaran kamu dulu, lancarkah tidak?”

Saya cuma tersenyum sahaja. “Ya. Biasanya saya luang masa lapang saya dengan belajar. Disebabkan saya tiada kawan untuk bawa berjalan, saya memang banyak masa lapang.”

“Apa perasaan kamu tentang kamu tidak mempunyai kawan? Saya tengok kamu jawab selamba saja, macam kamu tidak kisah kamu ada kawan atau tidak?” Tanya doktor itu dengan berhati‐hati. Saya melihat wajahnya lagi, tiada apa‐apa yang menggambarkan prejudis di riak wajahnya. Saya berasa lega. Sekurang‐kurangnya doktor ini memang padan dengan jawatannya sebagai pakar.

“Memang dari kecil lagi saya suka bersendirian. Saya tidak mencari kawan, orang pun tidak mahu jadi kawan saya..” Saya mengangkat bahu saya dengan perasaan kosong sahaja. “Tapi saya selesa juga, sekurang‐kurangnya tiada drama berlaku dalam hidup saya. Saya hanya perlu fikir dan risau pasal pelajaran sahaja.” Saya terketawa kecil. “Tapi, walaupun saya belajar banyak, namun keputusan saya sangkut juga. Tapi saya rasa tidak apa juga, asalkan lulus dan dapat graduate.”

“Mood kamu pula bagaimana sejak enam bulan ini?”

Saya berfikir sejenak lagi. “Hmm....Adakalanya saya terlalu gembira sehingga saya tidak dapat tidur, adakalanya lagi saya rasa tiada mood mahu buat apa‐apa. Tetapi, mood saya biasanya normal dan lagi gembira kalau bersama dengan Ste...” Saya rasa geram pada diri saya kerana balik‐balik saya sebut nama Ste! Dia telah merosakkan diri saya dan hidup saya! Dia tidak patut berada di dalam fikiran saya!

“Kalau kamu di rumah, biasanya kamu buat apa?”

“Saya biasanya online. Kadang‐kadang kalau Zero ngam‐ngamonline, kami berchatting.” Ah,
Zero..... Saya sangat rindu akan kawan baik saya itu. Satu‐satunya kawan saya di dalam hidup saya...

“Annie.... Kalau boleh, nanti kamu cuba ajak Zero ke sini untuk jumpa saya, boleh? Saya mahu tanya lebih lanjut tentang kamu dari segi pandangan dia. Saya perasan yang Zero ialah seseorang yang sangat penting dalam hidup kamu.”

Wow! Kalau Zero setuju mahu datang sini, bermakna saya dan dia akan berjumpa akhinya!

Mood saya tiba‐tiba berubah menjadi lebih baik. Saya pun mengangguk dengan semangatnya.

“Okey, nanti bila saya balik rumah, saya akan kol dia.”

Doktor Syarifah nampak macam teragak‐agak saja. Saya pun mengerutkan dahi saya. Seperti kilat pantasnya, mood saya berubah daripada bagus menjadi tidak bagus. “Annie...Berdasarkan keadaan kamu ini, saya rasa adalah lebih baik kalau kamu dimasukkan ke dalam wad dulu...”

Masuk dalam wad? Adakah dia sudah gila????!!! Saya tidak mahu masuk dalam wad sakit mental! Nanti apa yang akan orang lain fikirkan? Keluarga saya? Zero? Rakan‐rakan sekerja saya? Macam mana dengan kerja saya nanti? Takkan saya kena letak jawatan????

Jangan lupa si Ste....

Saya menutup telinga saya dan juga mata saya. Asyik‐asyik Ste! Asyik‐asyik Ste! Nyah kau dari
sini, Ste! Saya tidak perlukan kau lagi di dalam hidup saya!!! Tiba‐tiba saya terkejut dengan satu tangan memegang bahu saya, lalu saya melantak dan berdiri secara tiba‐tiba, dan sebelum saya sedari, saya teriak pada doktor itu, “JANGAN SENTUH SAYA!!!!” Saya memandang doktor itu dengan pandangan keji. Doktor ini telah mempermainkan perasaan saya! Dia menanya semua itu bukan sebab dia ambil berat, tetapi sengaja mahu cari alasan untuk memasukkan saya ke dalam wad!

Doktor itu masih tenang sahaja memandang saya. “Annie, kamu tidak stabil sekarang. Kami cuma mahu membantu kamu. Sebab itu saya tidak mahu kamu keluar dari hospital ini terlebih dahulu sebelum kami dapat beri kamu diagnosis yang tepat dan rawatan yang sesuai. Ini demi kebaikan kamu juga, Annie,” katanya dengan nada lembut seakan‐akan saya adalah anak dia.

Mak.....Mak saya....Saya kena kol mak saya, dia tentu akan tolong saya keluar dari sini!

“Saya mahu kol mak saya, boleh?” kata saya sambil mata memandang telefon yang terletak di atas meja doktor itu.

Doktor itu tersenyum simpul. “Biar kami yang kol mak kamu Annie. Saya juga mahu berjumpa
dengan mak kamu serta bapa kamu dan juga adik kamu‐”

“Tidak payah kol bapa dengan adik saya itu,” potong saya. “Diorang tidak juga peduli pasal saya. Mungkin diorang lagi suka kalau saya masuk wad sini.” Kata‐kata saya penuh dengan sindiran.

“Okey, boleh kamu beri nombor telefon mak kamu?” Saya menulis nombor telefon mak saya
kepadanya. “Okay Annie, kamu tunggu di luar dulu ya? Kita tunggu mak kamu sampai dulu, saya mahu dia faham keseluruhannya kenapa kita perlu masukkan kamu ke dalam wad.”

Nampaknya nasib saya sudah ditentukan. Saya bakal menjadi pesakit dalam di hospital sakit mental ini. Saya cuma mengeluh pasrah sahaja, lalu saya melangkah keluar ke ruang menunggu di mana Encik Ahmad sedang duduk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan