Label

Jumaat, 2 Disember 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab17

SIAPA sangka, teruna dan dara itu sedang berkongsi meja, duduk di sebuah restoran walaupun
masing‐masing menolak untuk bertemu sebelum pertemuan itu benar‐benar terjadi. Baik Alexander Zulkarnaeen, mahupun Intan Nawrah, kedua‐keduanya sepi tanpa bicara di sebalik santapan mereka.

Bagi Intan Nawrah, dia akur kepada pertemuan itu dengan niat hendak meminta maaf. Sesungguhnya dia menyesali kata‐kata yang dah diluahkan sebelum ini, cuma dia masih tercari‐cari masa yang sesuai untuk meminta maaf. Dalam diam, dia mencuri lihat juga, kalau-kalau Alexander Zulkarnaeen hendak menyatakan sesuatu. Nak marah atau nak maki sekurang‐kurangnya. Intan Nawrah bersedia mendengarnya.

Alexander Zulkarnaeen pula menghabiskan santapannya dengan segera. Wajah Nawrah yang sopan menghabiskan makanan diperhatikan, lama juga. Kalau begini sejuk Intan Nawrah di matanya, macam mana dia nak marah lama‐lama? Macam mana dia nak meneruskan tuduhan yang Intan Nawrah itu mata duitan dan kaki kikis? Berkali‐kali dia menolak pun, jawapannya tetap sama. Intan Nawrah! Rasanya mereka berdua dah bersedia untuk berbincang.

“Tentang seratus enam puluh ribu tu, bila awak nak? Dalam bentuk apa, cash? cheque?”

Intan Nawrah mengangkat mukanya, tetapi tidak lama. Nyatanya, dia berasa amat segan dengan hal itu. Malu, seolah‐olah nak memperdagangkan diri. Akan tetapi, dia memujuk diri supaya jangan mengambil hati terhadap soalan itu kerana soalan itu datangnya dari kesilapan dirinya sendiri.

“Maaf, Zul. Saya tak berniat tentang seratus enam puluh ribu tu. Ia terlepas dari mulut saya secara tak sengaja.”



“Tak sengaja?”

“Emm...tak sengaja sebab saya tertekan kena kejar dengan awak.”

“Tertekan? Macam lah saya ni teruk sangat.” Balas Alexander Zulkarnaeen, perlahan. Aku ajak dia kahwin aje, nak bina masjid. Bukan ajak dia lari ke Siam. Boleh dia kata tertekan? Omel Alexander Zulkarnaeen pada diri sendiri.

“Habis, apa tujuan awak mintak seratus enam puluh ribu ringgit tu? Duit hantaran?”

Intan Nawrah geleng kepala cepat‐cepat. Gila ke apa mintak duit hantaran banyak tu dengan orang? Macam lah dia nak kahwin dengan Alexander Zulkarnaeen pun! kutuknya dalam diam.

“Habis tu? Kalau betul seratus enam puluh ribu tu syarat awak untuk jadi isteri saya, okay! Saya
setuju! Deal! Bagi saya nombor akaun, saya transfer duit awak hari ni jugak.” Minta Alexander
Zulkarnaeen, menggoyang‐goyangkan jemarinya serentak, tanda mahu apa yang sedang diminta. Intan Nawrah yang sedang menyedut minuman tersedak. Dia batuk berkali‐kali.

“Saya tak ada apa‐apa maksud dengan seratus enam puluh ribu ringgit tu. Saya tak nak pun duit awak. Saya setuju untuk ikut ni sebab nak mintak maaf dengan awak. Itu aje.”

“Kalau saya maafkan awak, apa jadi lepas tu?” tanya Alexander Zulkarnaeen, tidak puas hati.

Takkan itu sahaja sebab mereka keluar makan petang ini? Hubungan yang hendak dijalin lebih lanjut masih tidak ada kesudahan?

“Tak jadi apa‐apa. Kita bawa haluan masing‐masing macam sebelum‐sebelum ni. Saya tak kenal awak. Awak tak kenal saya.”

“Mudah sangat awak ni dera hati orang, ye?” soal Alexander Zulkarnaeen, geram.

Mudahnya Intan Nawrah nak menghilangkan diri, maaf dan pergi? Kemudian, apa jadi pada aku? Terkenangkan dirinya saban hari dan malam? Seperti yang berlaku pada aku sebelum ini?

No way! Tak ada jalan keluar, Intan Nawrah!

“Zul, saya mintak maaf okay! Memang betul saya bersalah, saya berlebihan! Saya menyesal sebab kata macam tu pada awak. Maaf, okay. Harap tak ada dendam di antara kita.”

“Saya tak lah berdendam, tak juga keberatan memaafkan awak. Cuma, satu syarat sahaja.”

“Syarat apa?”

“Jadi isteri saya.”Tawarnya selamba.

Alexander Zulkarnaeen sedar yang dia tidak dapat berpatah balik. Walaupun dia rasa sakit hati
dengan Intan Nawrah sebelumnya dan menganggap wanita itu cuba mengikisnya, nama Intan Nawrah tidak dapat juga dipadam. Padahal, mereka bertemu tidak sampai lima kali, sekejap malah tiada ada kesudahan.

Intan Nawrah senyap. Lain yang diharapkan, lain pula kisahnya. Mujurlah nasi di pinggan sudah habis dimakan, jika tidak, tentu seleranya hilang dek lamaran itu.

“Sebagai bukti kesungguhan saya, seratus enam puluh ribu yang awak minta tu, akan saya pindahkan dalam akaun awak secepatnya.” Beritahu Alexander Zulkarnarnaeen Intan Nawrah senyap lagi.

Sesungguhnya seratus enam puluh ribu mengingatkan dirinya pada Naufal yang masih terlantar di hospital. Kalau Intan Nawrah tidak berfikir panjang, tentu dia terima sahaja seratus enam puluh ribu ringgit yang ditawarkan oleh lelaki itu. Akan tetapi, apa tujuannya? Untuk menyelesaikan masalah atau membesarkan masalah?

“Jangan buat keputusan terburu‐buru, Zul. Kita tak kenal hati budi masing‐masing.”

“Intan Nawrah. Saya tak boleh berunding dalam soal nikah kahwin ni. I am locked into you.Apa cara sekalipun, awak mesti jadi isteri saya.”

“Zul, kahwin bukan perkara main‐main. Awak ada banyak pilihan lain, kan? Carilah orang lain yang dah bersedia. Saya belum bersedia, baru aje nak membina kehidupan.”

Intan Nawrah berusaha memujuk Alexander Zulkarnaeen. Beberapa kali bersemuka dengan lelaki itu, sedikit sebanyak dia tahu yang api tidak boleh dilawan api. Jika Alexander Zulkarnaeen berkeras, dia pula harus berlembut.

“Saya tak mahu orang lain, saya mahu Intan Nawrah aje.”

“Apalah dosa saya pada awak, Zul?” tanya Intan Nawrah, melepaskan nafas panjang yang
menyesakkan hati. Dia ingatkan maaf dapat menyelesaikan masalah, tetapi nampaknya, ia tidak mengubah apa‐apa. Dia ingatkan maaf dapat mengurangkan beban hati, rupa‐rupanya makin menjadi‐jadi pulak si Alexander Zulkarnaeen ni.

“Bukan dosa tapi kesalahan. Memang salah awak Intan Nawrah, mengunci mata dan hati saya untuk awak semata‐mata.”

“Awak ni tak malu, kan? Menyalahkan orang lain kerana salah sendiri.”

“Beginilah Intan Nawrah, saya beri awak tempoh menikmati kehidupan bujang sehingga bulan dua belas. Menjelang 31 Disember, rombongan saya akan sampai ke kampung awak. Bukan sebagai tunang, tapi sebagai suami. Saya tak boleh tunggu lebih lama, kurang sabar.”

Ujarnya selamba. Intan Nawrah menggeleng kepala. Susahnya berdiplomasi dengan orang begini. Dia hanya tahu diri dan kehendaknya tetapi tidak sudi mengambil tahu kehendak orang. Walaupun berkali‐kali diberitahu yang dia tidak sudi menjadi pasangannya, Alexander Zulkarnaeen terus mendesak.

“Awak ada masa lebih dua bulan untuk kenal hati budi saya. Boleh, begitu?”

“Mudahnya? Baik! Kalau awak berkeras, saya pun nak berkeras jugak. Saya putuskan jawapannya sebelum 30 Disember. Selama tempoh ni, kalau awak berjaya memikat hati saya, insya‐ALLAH, lebih cepat saya beri pertimbangan. Tapi, kalau 30 Disember, saya tolak awak. Saya mohon awak tak desak saya lagi.”

“Betul?” Tanya Alexander Zulkarnaeen, teruja. Intan Nawrah mengangguk tetapi dia ingin
menambah syarat lagi supaya tak mudah dimanipulasi oleh Alexander Zulkarnaeen.

“Saya ada syarat juga. Sepanjang tempoh ni, sehingga 30 Disember, jangan sekali‐kali muncul di depan saya, cuba call saya.”

“Jumpa tak boleh, nombor memang dah kena block. Habis, apa yang tinggal untuk saya?”

“Akal. Carilah akal, Zul. Awak ada sembilan, saya ada satu. Buktikan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan