Label

Rabu, 21 Disember 2016

NOVEL Takdirku Hanyalah Untukmu Bab15

Seusai makan malam, Irina terus masuk ke bilik. Peperiksaan SPM yang tinggal hanya tiga bulan sahaja lagi memerlukan Irina membuat persediaan awal bagi menghadapi peperiksaan itu kelak. Lagipun, dia perlu menyibukkan dirinya agar soal keluarganya tidak bermain di fikiran.

Johan berkira – kira mahu menjenguk anaknya itu di dalam bilik. Cutinya hanya tinggal dua hari lagi sebelum dia terpaksa pulang semula ke Melbourne. Dan Irina lebih banyak mengelak di dalam rumah dengan cara mengurungkan diri di dalam bilik. Alasannya, mahu menelaah pelajaran. Malam itu, dia sudah nekad mahu menceritakan hal sebenar kepada Irina tentang ibu kandungnya.

Pintu bilik Irina dikuak dengan penuh berhati – hati. Mujur Irina tidak menguncinya seperti sebelum – sebelum ini. Pintu yang tidak ditutup rapat dan lampu bilik yang masih terang – benderang itu memberi isyarat Irina masih tidak tidur. Dilihatnya Irina seperti mengelamun di meja belajar. Ditangannya terdapat seutas rantai emas yang amat dikenalinya. Johan berdehem. Irina tersentak melihat susuk tubuh bapanya berdiri di depan pintu bilik.

“Boleh papa masuk?” Johan masih menanti di hadapan pintu menunggu jawapan daripada Irina. Irina mengangguk.

“Masuk lah.” Jawab Irina ringkas.

Sebaik mendengar jawapan daripada Irina, Johan masuk dan duduk di birai katil sementara Irina masih duduk di kerusi belajarnya.



“Esok papa dah balik.”

Tiada tindak balas daripada Irina yang masih duduk kaku menghadap buku.

“Areen, papa tak mahu Areen terus menerus macam ni. Papa tahu papa tak sepatutnya tipu siapa ibu kandung Areen. Tapi itu semua demi kebaikan Areen.” Pantas Irina menoleh menghadap bapanya. Melihat reaksi Irina, Johan sudah bersedia akan kemungkinannya. Biar lah Irina tahu walaupun terpaksa membuka semula kisah silamnya yang bakal menggores hatinya kembali.

Irina menunjukkan rantai emas yang dipegangnya sebentar tadi. Terpampang gambar Maria disebalik loket rantai emas tersebut.

“Betul ini gambar mama kandung Areen?” Johan mengangguk.

“Tapi kenapa papa? Kenapa perlu rahsiakan pada Areen? Mana mama Areen yang sebenar papa?” Air mata Irina sudah bergenang di tubir matanya. Irina sedaya – upaya cuba menahan sebak di dadanya. Johan menarik nafas sedalam – dalamnya sebelum membuka cerita silamnya.

“Datuk Areen, iaitu ayah mama Areen dah bawa dia pergi. Papa dah pernah cuba mencari dia, papa pergi ke kolej tempat mama Areen belajar dulu untuk dapatkan alamat rumah dia di Stamford. Papa cuba hubungi dia tapi semuanya gagal. Lima tahun lepas, papa dapat peluang untuk pergi ke United Kingdom. Masa itulah papa minta cuti kerja semata – mata mahu mencari mama Areen di sana berbekalkan alamat yang papa ada. Bila papa jumpa, mereka sudah lama berpindah ke tempat lain. Dan papa tak tahu di mana.”

Irina ternganga mendengar cerita papanya, namun didengarnya dengan penuh khusyuk.

“Masa papa dan mama mula – mula kahwin dulu, papa baru habis belajar. Mama Areen belum tamat belajar di kolej yang sama dengan makcik Zulaikha, kawan baik mama. Mama Areen bersungguh – sungguh mahu papa membimbingnya mendalami Islam dan dia sanggup tinggalkan kehidupan mewahnya di Amerika dan hidup secara sederhana di kampung ini.”

Johan berhenti seketika kemudian menyambung ceritanya semula.

“Pada mulanya Tok dan Tok Wan tak setuju sebab mama masih belajar dan keluarganya pun tidak tahu kami mahu berkahwin. Tok dan Tok Wan tak mahu kami dilanda masalah nanti. Tapi kami tetap berkahwin. Sepanjang kami berkahwin, keluarga mama dan pihak kolej tak tahu sehinggalah Areen baru lahir dan ketika itu sudah masanya dia perlu pulang ke United Kingdom disebabkan program pertukaran pelajarnya sudah tamat. Masa itulah mama baru berterus terang pada keluarganya di sana. Datuk Areen mengamuk dan membantah dengan keputusan mama untuk terus menetap di sini, lebih – lebih lagi apabila mama mengaku pada bapanya yang dia sudah beragama Islam dan berkahwin dengan papa.” Johan yang melihat anaknya sudah bangun dan berpindah di sebelahnya tersenyum.

“Apa yang jadi selepas tu? Datuk datang ke Malaysia?” sela Irina, cuba mengagak. Johan mengangguk.

“Ya. Datuk datang memaksa mama balik ke United Kingdom. Papa tak tahu apa yang terjadi masa tu sebab papa dihantar kursus ke Sabah oleh majikan lama papa. Bila papa pulang, mama dah tiada. Tok Wan dan makcik Zulaikha yang ceritakan pada papa. Tok Wan nak telefon papa pun mama tak bagi. Mama bagitahu Tok Wan supaya jangan cari dia lagi. Mama tak mahu papa diapa –apakan dengan datuk. Dan paling papa terkilan, papa tak sempat jumpa dia untuk kali terakhir. Kalau lah papa ada masa tu…” Johan terasa amat kecewa. Tidak dapat menyelamatkan isterinya sendiri daripada bapa mertuanya.

Irina terkesima. Menyesal kerana menyalahkan bapanya tanpa mengetahui perkara yang sebenar. Makcik Zulaikha tidak mahu menceritakan apa – apa padanya kerana tidak mahu bapanya memarahinya. Ketika itu pada sangkaannya bapanya sengaja mahu menyembunyikan perkara sebenar kerana cintanya sudah beralih arah. Ibu kandungnya ditinggalkan kerana mahu bersama dengan mama barunya, Karina.

“Tapi papa, kenapa papa kahwin dengan mama Karina?” soalan itu terkeluar daripada mulut Irina.

“Papa tak mahu Irina membesar tanpa ibu. Salah papa sebab papa sangka dengan mencari pengganti ibu kandung Areen, Areen lebih bahagia dan kisah lalu papa terkubur begitu sahaja. Tapi papa silap sebab papa yang tak dapat lupakan kisah lalu. Papa yang menyebabkan mama Karina tak bahagia. Dan paling papa menyesal sekali bila Areen membenci papa.”

Johan memandang anak perempuannya. Itulah satu – satu zuriatnya lahir daripada ikatan kasihnya bersama Maria. Irina yang mendengar kata – kata bapanya yang terakhir tadi terus memeluk bapanya erat. Dia tidak mahu bapanya terluka lagi.

“Papa jangan cakap macam tu lagi. Areen tak pernah membenci papa. Areen mintak maaf papa sebab salah sangka pada papa. Maafkan Areen…” Tangan Johan dicium sambil menangis teresak – esak. Sedih mendengar cerita papanya yang terpaksa memendam rasa selama 17 tahun tanpa diketahui oleh sesiapa. Melihat tangisan Irina, Johan tidak dapat menahan sebaknya. Air matanya tertumpah jua. Namun dia lega kerana segala beban perasaan yang ditanggungnya sendirian dapat dihamburkan pada malam itu. Kepala anaknya diusap perlahan dengan penuh kasih sayang.

“Papa, kita jumpa mama Karina ya? Areen rindu dekat mama.”

Johan terdiam. Kini Karina sudah pun berkahwin lain setelah dirinya habis iddah. Lagipun dia sudah banyak melukakan hati wanita itu. Selama Karina menjadi isterinya, wanita itu tidak pernah diadili dengan sebaik – baiknya. 16 tahun wanita itu terseksa batinnya demi cintanya pada seorang lelaki bernama Johan. Kerana dendam semalam, Johan meminggirkan hak Karina sebagai seorang isteri. Tidak dinilainya sifat keibuan dan ketulusan hati Karina yang menjaga Irina tidak ubah seperti anak sendiri. Di mana silapnya wanita itu sehingga kesilapan lampau Karina ketika mahu memilikinya dijadikan benteng untuk menerima wanita itu di dalam hidupnya.

Wanita mana yang mampu menanggung seksa jiwa dan batin apabila haknya dinafikan. Kasih sayang seorang suami yang didambakan langsung tidak diperolehi. Sekuat mana pun cintanya pada si suami, kerana ketandusan kasih sayang akhirnya Karina mengalah. Kecewa terhadap layanan Johan yang tidak pernah berubah, Karina berubah arah apabila ada lelaki lain yang berjaya mengetuk hati kewanitaannya.

Johan redha. Dia tidak mahu menjadi lelaki dayus apabila mendapat tahu isterinya berkasih dengan lelaki lain. Pada ketika itu barulah dia sedar akan kezalimannya sebagai seorang suami. Dia gagal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami. Johan meraup wajahnya. Kesal dengan sikapnya terhadap Karina. Irina yang melihat Johan tidak memberikan sebarang respon merenung bapanya.

“Papa fikir apa tu? Papa dengar tak apa yang Areen cakap tadi?”

Johan mengangguk. Ada segaris senyuman yang terbit daripada bibir Irina.

“Tapi bukan sekarang. Papa malu nak berjumpa dengan mama Karina. Papa dah banyak lukakan hati dia. Dia pun dah bahagia dengan kehidupan baru dia. Papa kena balik Melbourne esok. Bos papa perlukan papa minggu depan untuk wakili dia mengetuai mesyuarat dengan kotraktor projek di sana.”

Irina mengangguk. Sudah faham dengan kesibukan pekerjaan bapanya sejak dahulu lagi.

“Tapi papa tak larang kalau Areen nak hubungi mama. Sampaikan salam papa pada mama. Bagitahu mama papa mintak maaf.”

Johan tahu, Irina sudah cukup besar untuk memahami situasi yang berlaku antara dia dan Karina. Perbalahan mereka juga terbongkar apabila Irina secara tidak sengaja terdengar pergaduhan mereka. Sejak itu, Irina menjadi pendiam. Tidak pula dia sedar yang Irina juga sepertinya, suka memendam rasa.

“Papa…” Johan yang mengelamun tersedar.

“Ya sayang?”

“Papa jangan risau. Bila Areen dah tamat belajar, kita cari mama kandung Areen sama – sama ok?” Johan terharu mendengar kata – kata yang terluah daripada mulut Irina. Dikucupnya ubun – ubun kepala Irina. Irina yang sifatnya manja itu berbaring di bahu bapanya. Johan mengangguk tanpa berkata – kata…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan