Label

Selasa, 3 Januari 2017

NOVEL Penyamar Bab9

AKHIRNYA novel ke sepuluh aku sudah sampai ke meja penerbit. Setelah bertungkus lumus menyiapkannya, aku kini sedang berehat bersama keluarga di rumah. Aku belum bersedia untuk menulis novel seterusnya. Aku ingin berehat sepuas‐puasnya sebelum memulakan penyamaran yang lain pula.

Sempena meraikan kejayaan novel aku yang ke sepuluh ini, aku meminta ayah dan emak menjemput saudara mara dan handai taulan. Aku ingin mengadakan kenduri kesyukuran dengan duit royalti yang aku perolehi baru‐baru ini. Atas nama kedua ibu bapaku kenduri kesyukuran itu berlangsung hari ini.

‘’Amboi Ucu, macam pengantin. Apa hal ni? Siap berbaju melayu dan bersampin lagi. Ada tetamu special nak datang ke?’’ aku mengajukan soalan kepada Ucu yang segak bergaya.

Macam kenduri hari ini diadakan untuk meraikan dia pula.

‘’Alaa..kan kak Yang cakap kenduri hari ini sempena kejayaan kak Yang menyiapkan novel kak Yang. Jadi, ini bermakna nak meraikan kejayaan Ucu jugalah. Sebab, tanpa Ucu, novel kak Yang tu takkan siap tau.’’ aku menjegilkan mataku sebaik selesai Ucu berkata‐kata.

‘’Eh, Apasal pula? Apa kena mengena Ucu dalam novel kak Yang pula?’’ aku menafikan kata-kata Ucu. Dia ketawa sambil mencebik.



‘’Tentulah ada. Kalau bukan Ucu yang temankan kak Yang di sana, tentu kak Yang tak dapat siapkan novel tu.’’ Giliran aku pula yang mencebik. Perasan betul Ucu ni.

‘’Tolong sikit eh, walau pun Ucu dah berbakti untuk kak Yang tapi Ucu langsung tak sumbangkan idea untuk novel kak Yang. Sekadar temankan kak Yang pergi menyamar je pun. Apa yang nak dibanggakan sangat? Tapi, walau apa pun, kak Yang tak kisahlah kalau Ucu nak anggap kenduri kesyukuran ni untuk meraikan Ucu pun. Boleh je Ucu nak ditimpa perasaan sorang‐sorang. Kalau jatuh nanti bangun sendiri ye sebab Ucu punya perasan tu tinggi melangit.’’ Aku berkata sambil ketawa kecil. Ucu memasamkan wajahnya.

‘’Hmm..kalau novel kak Yang ni mendapat sambutan dan dapat royalti nanti jangan lupa belanja Ucu ye? Sekurang‐kurangnya berbaloi juga pengorbanan Ucu yang terpaksa makan meggi segera berhari‐hari tu.’’ Ucu membalas kata‐kataku sambil berlalu pergi. Aku sudah bercekak pinggang di tempat aku berdiri. Dalam masa yang sama juga aku menjadi hairan bila Ucu tidak mematahkan kata‐kataku tadi, malahan pengorbananya yang terpaksa menelan mee segera tu juga yang diungkitnya.

‘’Ucu! Nak ke mana tu?’’ aku memanggil Ucu yang sudah melangkah laju. Ucu langsung tidak berpaling ke arahku. Akhirnya aku membiarkan Ucu hilang di sebalik pintu. Aku pula menuju ke arah dapur dan mengambil keputusan untuk membantu apa yang patut.

‘’Kak Titie, ada apa‐apa yang boleh Shah bantu tak?’’ soalan aku ajukan kepada pembantu rumah kami sebaik aku berada di hadapannya. Kak Titie hanya memandangku sekilas sambil tangannya laju mengelap pinggan mangkuk yang banyak di hadapannya.

‘’Ngak perlu dibantuin, cik Shah ke depan saja. Raikan tetamu‐tetamunya nanti.’’ Bantuan yang ku hulurkan ditolak mentah‐mentah oleh kak Titie. Tanpa banyak soal lagi aku mencapai sehelai tuala kecil dan mula mengelap pinggan.

‘’Ngak usah! Cik Shah pergi bersiap aja, nanti tetamu‐tetamunya datang cik Shah masih belum berhias.’’ Kak Titie cuba merampas tuala kecil di tanganku. Aku membulatkan mataku ke arahnya.

‘’Biarlah Shah tolong kak Titie. Nanti Shah nak menyamar jadi orang gaji pula.’’ Aku cuba berbohong dengan kak Titie. Dalam hati aku sudah tersenyum lucu dengan kata‐kataku bila kak Titie terus terdiam dan menyambung kembali kerja‐kerjanya. Tiba‐tiba ada idea yang menerjah mindaku. Orang gaji? Wah! Macam gempak saja.

‘’Shah, Ya Allah..belum bersiap lagi ke? Tetamu dah ramai yang sampai. Dia boleh lagi menyorok di dapur ni.’’ Datin Maimunah a.k.a mak aku pula datang membebel. Aku hadiahkan senyuman manisku untuk emak. Ilham aku untuk menyamar di rumah sendiri pula datang mengebu.

‘’Mak, hari ni Shah ingat nak menyamar jadi orang gaji di rumah Dato Khuzairi pula. Datin Maimunah tolong menjayakan penyamaran Shah ye?’’ aku berkata sambil bibir terus tersenyum. Emak aku dah mula membuntangkan matanya.

‘’Dah! Jangan nak buat kerja tak senonoh tu dalam rumah ni. Pergi naik atas dan bersiap. Semua orang dah tanyakan Shah.’’ Emak aku menolak perlahan bahuku supaya aku segera beredar dari dapur. Aku pakukan kakiku dan terus mencapai pinggan yang seterusnya.

‘’Alaa..sportinglah Datin. Shah minta tolong ni. Bolehlah, bolehlah. Datin ambillah Shah jadi orang gaji hari ni.’’ Aku sengaja bernada serius pula. Mataku terus menatap wajah emak dan cuba membaca apa yang tersirat di dalam mindanya.

‘’Zahratul Aishah! Cepat, pergi masuk bilik dan bersiap!’’ sekali suara Datin Maimunah memetir.

Aku terus menghamburkan ketawa. Langsung aku tak takut dengan suara emak yang macam ganas sangat tu.

‘’Tak nak!’’ aku berdegil dan mengangkat pinggan yang sudah aku lap ke depan halaman rumah. Makanan hari ini semuanya telah ditempah, cuma pihak catering kekurangan pekerja.

Aku pula sekarang ni hanya memakai baju kurung kain kapas dengan tudung biasa yang selalu aku pakai ketika aku melakukan penyamaranku.

‘’Degil!’’ sempat aku mendengar suara emak memarahiku.

AKU meletakkan pinggan di atas meja di tepi deretan makanan yang telah disediakan. Sempat aku melihat juadah‐juadah yang begitu menyelerakan. Ada perbagai gerai juga di depan halaman rumah kami selain nasi dan lauk pauk yang telah kami tempah. Antara gerai yang menjadi tumpuan adalah gerai roti canai dan gerai membuat ais kacang atau senang dipanggil dengan ABC yang bermaksud Air Batu Campur. Aku telan liur bila melihat ais yang sedang diputar dan dimasukkan perencahnya yang berbagai warna. Ada bermacam jenis kacang juga.

Wow! Sungguh membuka selera.

‘’Bibik, Air masak ada tak? Boleh ambilkan segelas air masak?’’ aku berpusing ke belakang.

Berdiri di depanku seorang lelaki yang agak kacak dengan baju kemeja lengan pendek dan seluar slack berwarna hitam.

‘’Tunggu ye encik, Nanti saya ambilkan.’’ Dia mengangguk dan aku melangkah masuk ke dalam rumah. Nampaknya sebahagian daripada rancangan aku sudah berjaya. Ada juga orang yang sudi panggil bibik kepadaku. Ermm..rancanganku sudah berjalan dengan lancar setakat ini.

Sampai di dapur aku mencapai sebiji jug dan memasukkan air masak. Air masak yang masih suam‐suam kuku tu aku bawa ke halaman. Aku cari pemuda yang meminta air masak tadi. Puas aku imbas sekitar halaman rumah. Ishh..mana pula orang tu pergi? Aku berdialog di dalam hati.

‘’Encik taufik, mana orang yang meminta air masak tadi?’’ aku bertanya kepada Ucu yang melintas di tepiku. Dia mengerutkan keningnya. Aku buat wajah selamba dengan reaksinya.

‘’Orang tu tadi cakap nak air masak, tapi dah hilang pula.’’ aku masih bersuara tanpa menghiraukan perubahan wajah Ucu.

‘’Bibik! Minta sini air tu.’’ Suara orang tadi kedengaran lagi. Aku menoleh ke arah Ucu sepintas lalu sebelum menuju ke arah lelaki kacak tadi. Entah dari mana dia datang. Sekejap ada, sekejap tak ada. Dah macam iklan chipsmore pula.

‘’Encik, airnya..’’ Aku menghulurkan jug kepadanya. Dia hanya memandang aku tanpa menyambut jug tersebut. Aku letakkan jug air di atas meja yang berhampiran dengannya dan ingin berlalu pergi. Rasanya banyak lagi kerja yang perlu aku bantu.

‘’Bibik! Tuangkanlah!’’ lelaki tadi memberi arahan. Aku menoleh ke arahnya dan merenung tepat ke wajahnya. Tak semena‐mena dia mengenyitkan matanya. Aku berdengus kasar tapi cuba menyabarkan hatiku sendiri. Mungkin inilah dugaannya menjadi órang gaji ni? Aku memujuk hatiku.

Aku menuangkan air ke dalam gelas seperti yang disuruh. Selepas itu aku kembali meneruskan hasratku untuk masuk ke dalam rumah tapi sekali lagi nama bibik diseru oleh suara yang sama.

‘’Macam tu awak layan tetamu?’’ dia ajukan soalan kepadaku. Aku angkat bahu kerana tidak memahami maksudnya.

‘’Maaf encik. Encik nak air saya dah bawakan air. Encik suruh saya tuangkan, saya dah tuangkan. Saya banyak lagi kerja yang perlu saya lakukan encik. Lagi pun encik ada kaki dan tangankan? Takkan saya nak kena suapkan air tu untuk encik pula?’’ kemarahanku meledak tiba‐tiba namun suaraku cubaku kawal seboleh mungkin. Aku lihat dia mengukirkan senyuman. Aku mendengus lagi. Terasa diriku dipermainkan.

‘’Apa nama awak? Dah lama kerja di sini? Awak bukan orang Indon ya?’’ dia ajukan soalan kepadaku. Aku berjeda seketika. Haruskah aku menjawab semua soalannya itu? Aku bertanya di dalam hati.

‘’Saya baru datang dari kampung encik. Biasalah, nak cari rezeki yang halal. Nak kerja elok sikit, tak ada pelajaran sebab keluarga saya tak mampu nak sekolahkan saya. Nama saya Aishah, nak panggil Ecah pun boleh, Shah pun boleh.’’ Aku mula mereka cerita yang tak ada. Lelaki di depanku terangguk‐angguk beberapa kali.

‘’Ehemm..Ecah! Di sini rupanya awak? Sejak bila dah pandai makan gaji buta ni? Pinggan dah nak habis. Keluarkan lagi!’’ aku baru nak menyambung cerita terdengar suara Along pula yang datang tanpa diundang. Dia menjegil ke arahku. Macam seorang majikan yang sangat garang.

Aku tak tahu apa motif Along ni. Mungkinkah Along sudah mendengar cerita auta aku tadi?

‘’Baiklah encik Amirul.’’ Aku cuba berwajah selamba bila memanggil Along dengan panggilan encik Amirul sedangkan hatiku sudah digeletek lucu. Aku tak tahu kenapa Along nak mengikut rentakku. Mungkin emak sudah membocorkan rahsiaku kepada semua orang? Entahlah! Kalau betul pun, lagi senang kerja aku. Sekurang‐kurangnya ini juga pengalaman paling berharga untukku. Setakat ini aku belum lagi menyamar sebagai orang gaji. Rasa macam tak kuasa nak jadi pembantu rumah ni. Mungkin aku perlu berdepan dengan majikan yang kuat membuli pula nanti.

‘’Bibik, tadi aku suruh bibik cuci tandas dalam bilik aku, dah buat ke belum?’’ Ucu yang hanya jadi pemerhati sejak tadi mula mengeluarkan suara dan merenung tajam ke arahku. Aku hempuk juga Ucu ni. Ada ke patut suruh aku cuci tandas. Kalau suruh aku tolong ambilkan nasi atau kuih muih untuk dia tak apalah juga.

‘’’Dah, dah siap semua kerja yang encik Taufik suruh tu sejak subuh tadi lagi. Encik Taufik tak mandi agaknya pagi tadi? Sebab tu tak perasan ya tandas tu dah dicuci?’’ aku buntangkan mataku kepada Ucu selepas habis berkata‐kata. Aku melangkah laju masuk ke dalam rumah selepas itu. Semua kejadian yang baru terjadi cuba aku lupakan dengan menolong Kak Titie membuat kerja‐kerja di dapur.

‘’Kak Titie, hari ni kak Titie boleh bercuti sebab emak cakap tadi ada orang baru minta kerja nak jadi pembantu rumah dan permohonan dia sudah diluluskan. Pergi masuk bilik kak Titie. Pergi tidur puas‐puas atau pun kak Titie boleh keluar bershoping ke mana‐mana.’’ Aku baru memegang pinggan yang seterusnya untuk dibawa keluar, Alang pula datang ke dapur dan bersuara. Aku jeling Alang dengan memek muka tak puas hati. Sangat tak puas hati!

‘’Ada hati nak dera orang gaji nampak?’’ aku bersuara separuh kuat. Alang aku pandang dengan mata tak berkelip.

‘’Hai, ada hati nak lawan tokey nampak? Tak bayar gaji baru tau!’’ Alang membalas kata‐kataku sambil meluaskan matanya. Aku mencebik dan mengambil pinggan lalu membawa pinggan tersebut keluar. Malas pula aku nak melayan Alang bertekak. Nampaknya semua ahli keluargaku sudah tahu dengan kewujudan ‘orang gaji’ baru di dalam rumah ini. Dan aku pasti tajuk novel aku selepas ini mesti ada perkataan Orang Gaji. Yes!..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan