Label

Rabu, 23 November 2016

CERPEN Cinta Sampai Mati

Pembunuh bersiri yang menggelarkan dirinya jelmaan Mat Melaka menggemparkan Malaysia.
Haji Kamal melihat sekilas tajuk besar surat khabar hari ini. Macam‐macam yang berlaku
sekarang. Malaysia yang dulu aman damai mula dicemari dengan peristiwa‐peristiwa yang tak
masuk akal. Sudah mula muncul pembunuh upahan yang begitu selamba mnembak orang di
lampu isyarat. Sekarang kes pembunuh bersiri pula. Siapa pula Mat Melaka?

"Azura mana, dia jumpa budak Fikri tu lagi ke?"

"Dia dengan Fikri nampak dah rapat sangat. Azura pun dah mengaku dia cintakan Fikri. Harap
abang tak halang hubungan mereka." Hajjah Sakinah jeling suaminya yang kelihatan agak
tegang.

Hajah Sakinah seboleh‐bolehnya mahu mengelak topik berkenaan Azura dan Fikri. Tapi apa dia
boleh buat Azura mewarisi sifat degil suaminya. Sudah berkali‐kali dia mengingatkan anaknya
agar tak berhubungan dengan Fikri tapi mana boleh di halang darah muda.

"Apa yang dia tengok kat Fikri tu. Dia cuma pekerja biasa. Tambah lagi bekas penagih dadah."

"Abang sendiri yang cakap Fikri tu baik, rajin... boleh di harap. Abang sendiri yang puji
menggunung si Fikri tu. Jangan salahkan Azura kalau dia jatuh cinta dengan lelaki yang abang
selalu sebut."

Haji Kamal melepaskan satu keluhan berat. Sarapan enak di atas meja di pandang sepi.
Seleranya telah hilang kerana memikirkan hal anaknya. Dari awal lagi dia sudah berpesan pada
Azura jangan sekali‐kali jatuh cinta. Dia sudah berjanji dengan kawan baiknya untuk menukar
tali persahabatan menjadi persaudaraan. Adakah dia akan terpaksa mungkir janji. Dia akan
berusaha untuk memujuk Azura memutuskan perhubungannya dengan Fikri.

"Selamat pagi mak... ayah." Azura muncul dari dapur. Azura kelihatan sangat ceria. Haji Kamal
kurang senang melihat keceriaan Azura.

"Zura duduk dulu ayah nak bincang sikit." Tegas arahan Haji Kamal. Azura yang bercadang
untuk masuk ke bilik membatalkan niatnya. Dia duduk berhadapan dengan ayahnya. Dia tahu
topik apa yang ayahnya akan bincangkan. Hajah Sakinah berdoa agar suaminya dapat
berlembut dengan anaknya.

"Ayah dah janji dengan kawan ayah nak tunangkan Zura dengan anak kawan ayah. Kamu tentu
kenal Azlan anak Pak Cik Ikram kamu." Haji kamal memberi kata putus. Dengan cara ini dia
harap Azura tak akan membantah.

"Ayah yang janji kenapa Zura yang jadi mangsa. Zura tak nak kahwin dengan Syukri. Zura cuma
akan kahwin dengan abang Fikri!" Azura membantah. Tak mungkinlah dia akan berkahwin
dengan orang yang dia tak kenal.


"Zura, Berani Zura lawan cakap ayah!" tempik Haji Kamal. Dia tak sangka anak kesayangannya
berani melawan.
"Ayah sendiri yang ajar Zura supaya bersunguh‐sungguh kalau mahukan sesuatu. Zura
mahukan abang Fikri dan hanya abang Fikri." Tegas Azura. Dia betul‐betul jatuh cinta dengan
pekerja ayahnya.
Fikri merupakan bekas penagih dadah yang baru keluar dari pusat pemulihan. Haji Kamal yang
berniat mahu membantu menerima Fikri untuk bekerja di perusahaannya. Alhamdulillah Fikri
sudah benar‐benar berubah. Dia antara pekerja paling rajin di syarikat membuat cordial
longan miliknya. Perusahaan yang dijalankan secara kecil‐kecilan di belakang rumah.
"Ayah dah janji dengan kawan ayah..."
"Ayah yang janji kenapa hidup Zura yang jadi pertaruhan. Zura anak ayah bukan barang yang
boleh ayah janji nak bagi orang suka hati."
Bagaikan satu penumbuk keras singgah ke muka. Haji Kamal terdiam. Buat seketika dia rasa
menyesal kerana terlajur berjanji. Dia terlupa Azura punya hati dan perasaan. Azura sudah
besar dan dewasa bukan lagi kanak‐kanak yang boleh dia arah sesuka hati.
"Kalau ayah dah tak sayang Zura lagi lebih baik Zura keluar dari sini." Zura terus bangun dan
meluru keluar.
Hajah Sakinah yang meyaksikan pertengkaran anak dan suaminya hanya mampu melepaskan
keluhan berat. Perkara ini memang tak boleh di elak. Lambat atau cepat Azura dan Haji Kamal
akan bertembung juga.
"Abang jangan salahkan dia kalau terlalu keras... abang sendiri yang ajar dia untuk berpegang
teguh pada keputusan dia. Abang cubalah bincang dengan Ikram... harap‐harap dia faham."
Hajah Sakinah bersuara. Dia mahu anaknya bahagia tak kisahlah dengan siapapun. Masa lalu
yang kelam tak bermakna masa depan akan turut suram. Dia pun lihat sendiri bagaimana gigih
Fikri mahu berubah.
"Yalah... yalah. Abang telefon Ikram..."
*****
"Restu ibu bapa penting dalam sebuah pernikahan. Abang tak mahu hubungan kita
membelakangkan ibu bapa Zura. Abang dah buat ibu bapa abang kecewa... abang tak nak
Zura buat salah yang sama." Fikri cuba memujuk buah hatinya. Jatuh hati dengan anak orang
yang banyak membantunya tak termasuk dalam agenda. Tiba‐tiba sahaja dia jatuh kasih pada
Azura.
"Tapi abang... Zura tak nak kahwin dengan Azlan."
"Setiap ibu bapa hanya mahu yang terbaik buat anaknya. Kalau Azlan yang terbaik Zura patut
terima."
Kata‐kata Fikri langsung tak membuatkan hati Azura tenang. Bagaimana dia mahu menerima
Azlan kalau hatinya hanya untuk Fikri. Dan bagaimana tergamak Fikri menyuruh dia menerima
Azlan. Bagaimana dengan percintaan mereka.
"Abang tak fikir pasal kita ke, kenapa Zura kena terima cadangan ayah?" Azura tak puas hati.
Dia fikir Fikri akan setuju dengan cadangan dia untuk kahwin lari di sempadan.
"Zura kena yakin dengan takdir Allah. Kalau ada jodoh kita di dunia ni kita akan bersatu juga.
Kalau tak ada insyaAllah jodoh kita di akhirat sana..." Fikri cuba memujuk kekasih hatinya.
"Abang pun sama macam ayah... bencilah." Zura masam. Dia bangun dari duduknya sambil
menghentak kaki. Taman bunga yang selalunya mendamaikan terasa hilang serinya hari ini.
Fikirannya betul‐betul kusut. Ayah paksa dia kahwin dengan orang yang dia tak kenal. Fikri
pula seakan tak serius dengan hubungan mereka.
"Zura nak pergi mana?" tanya Fikri.
"Zura nak cari ketenangan. Rumah ni dah panas sangat Zura rasa." Luah Azura. Dia perlu pergi
jauh untuk menenangkan fikiran.
"Zura abang cinta Zura sampai mati..."
Azura terus berlalu dengan perasaan sebal. Semua kata‐kata Fikri bagaikan angin lalu di
telinganya. Dia hanya fikirkan dirinya sendiri sekarang.
*****
"Dah pukul dua belas tengah malam ni bang... Zura belum balik lagi. Saya cuba telefon pun tak
dapat. Mana dia pergi ni..." Hajah Sakinah risau. Tak pernah pula anaknya buat perangai
sebegini.
"Dah cuba telefon kawan‐kawan dia..."
"Saya dah hubungi Kay dengan Fizah. Mereka berdua outstation. Macam mana ni bang... dah
lah ada pembunuh bersiri kat luar tu. Saya takut kalau jadi apa‐apa pada Azura..." Hajah
Sakinah tak dapat menyembunyikan rasa cemas. Rasa khuatir bersarang di dada.
"Kita cari Fikri... dia mungkin tahu."
Haji Kamal dan Hajah Sakinah bergegas ke rumah pekerja. Namun mereka hampa bila di
beritahu Fikri tiada di sana. Fikri keluar bersama Azura tengah hari tadi dan belum pulang
sehingga sekarang. Haji Kamal mula berprasangka buruk. Pasti Fikri sudah melarikan anaknya
ke mana‐mana. Hajah Sakinah mula menangis. Dia risaukan anaknya.
"Orang jumpa mayat dalam guni kat taman sana!"
Haji Kamal memasang telinga. Jiran‐jiran sebelah rumah pekerja mula kecoh. Baru pagi tadi dia
baca berita pasal jelmaan Mat Melaka. Takkan dah sampai ke kawasan kejiranan mereka.
Mangsa pembunuhan bersiri akan dibungkus dalam guni dan diletakkan di tempat awam.
"Jom kita tengok bang... takut kalau‐kalau..." Hajah Sakinah gagal mengawal ayatnya. Emosinya
sudah bercampur baur. Dia risau memikirkan kalau anaknya yang menjadi mangsa. Dia akan
bersyukur kalau Fikri dan Azura betul‐betul lari bersama. Sekurang‐kurangnya dia tahu Azura
selamat
Haji Kamal dan Hajah Sakinah segera menuju ke taman bersama‐sama pekerja dan jiran‐jiran
mereka. Dari jauh sudah kelihatan lampu siren kereta polis yang terang. Rupa‐rupanya ramai
orang sudah berkumpul di tempat kejadian.
Haji Kamal memeluk isterinya dan bersama‐sama mencelah di sebalik kumpulan manusia yang
sedang cuba melihat tempat kejadian. Setelah berasak‐asak agak lama akhirnya mereka
berjaya berdiri di barisan paling hadapan. Kawasan kejadian di pagar dengan pita kuning polis.
Kawasan kejadian di kawal rapi tapi Haji Kamal dapat melihat dengan jelas 'guni' yang semua
orang takutkan. Terletak elok di atas bangku dan berikat reben cantik.
Pasukan forensic sibuk mengambil gambar dan mencari bukti di tempat kejadian. Bungkusan
guni itu masih belum di buka dan mereka belum tahu siapa mangsa terbaru jelmaan Mat
Melaka. Menurut pihak akhbar jelmaan Mat Melaka tak memilih mangsa lelaki atau
perempuan. Tiada ciri‐ciri khusus yang menonjol di kalangan mangsa. Guni akan diikat denga
riben dan satu nota bertulis nama Jelmaan Mat Melaka.
Haji Kamal mula hilang sabar. Bila pula mereka akan tahu siapa mangsa terbaru Mat Melaka.
Dia sedang risaukan Azura. Haji Kamal sangat risau. Pelbagai andaian buruk bermain di
kepalanya.
"Abang saya risaulah..." Hajah Sakinah bersuara.
Semua orang menunggu dengan penuh debar. Adakah mereka mengenali siapa mangsa
terbaru Jelaman Mat Melaka atau tidak. Biasanya Jelmaan Mat Melaka membunuh dan
meninggalkan mangsa di tempat yang sama. Polis pun belum dapat petunjuk lagi siapa
jelmaan Mat Melaka.
"Kita buka bungkusan sekarang. Mungkin ada yang kenal mangsa ni."
Perlahan‐lahan riben yang mengikat hujung guni di tarik. Tiba‐tiba satu kepala manusia
terkeluar dari bungkusan dan mengenai kaki salah seorang polis. Penonton yang berkumpul
menjerit serentak. Semua ketakutan dan mereka mula bertempiaran lari.
Haji Kamal dan Hajah Sakinah terkejut melihat wajah mangsa itu. Hajah Sakinah mula lembik
dan hampir pengsan. Haji Kamal memperkuatkan pelukannya. Dia turut terkejut dengan apa
yang dia lihat. Namun dia harus bertahan di situ kerana wajah itu cukup dia kenal.
"Abang Fikri!" terdengar jeritan dari sebelah kanan mereka.
*****
"Zura macam mana?" tanya Haji Kamal. Hajah Sakinah baru keluar dari bilik Azura.
"Macam tu ajelah bang..."
"Dia salahkan kita ke?"
Hajah Sakinah tak menjawab sebaliknya tangisan mula kedengaran. Hajah Sakinah kehilangan
ayat untuk dituturkan. Haji Kamal enggan memaksa isterinya. Dia sendiri menjenguk ke dalam
bilik.
"Zura..." Haji Kamal panggil anaknya. Namun tiada jawapan.
Azura duduk di hadapan tingkap dan merenung ke arah rumah pekerja. Wajahnya kelihatan
sembab kerana banyak menangis. Terlihat lingkaran hitam di mata Azura. Sudah seminggu dia
tak mampu lelapkan mata kerana teringatkan peristiwa ngeri yang merenggut nyawa
kekasihnya. Azura langsung tak sedar mak dan ayahnya keluar masuk dari bilik. Dia hanya
melayan perasaan sendiri.
Fikri berada di tempat yang salah dan masa yang salah. Kalau bukan Fikri kemungkinan besar
Azura yang akan jadi mangsa. Kerana pertengkaran mereka Azura merajuk dan mengadu nasib
kepada kawan baiknya. Haji Kamal bersyukur kerana Azura selamat. Namun kematian Fikri
yang tragis mengubah seluruh hidup Azura.
"Zura cinta abang... zura nak ikut abang." Azura bersuara lemah. Runtuh semua ego seorang
lelaki Haji Kamal. Dia turut mengalirkan air mata melihat anaknya yang dalam keadaan hidup
dalam mati. Nampaknya dia dan isterinya terpaksa menunggu masa yang agak lama untuk
mendapatkan Azura mereka.
'Abang cinta Zura sampai mati'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan