Sepasang kakinya kejap melangkah merentas laluan denai yang agak bersemak. Dikiri dan kanannya hanya ditumbuhi dengan belukar kecil. Tidak ramai yang kerap bertandang kesini melainkan jika ada kematian yang terjadi pada penduduk kampung.
Lolongan anjing yang saling bersahutan tidak dihiraukan. Tangan kirinya kejap memegang batang cangkul. Pakaian hitam yang membungkus tubuhnya menjadikan orang lain sukar untuk melihatnya dalam keadaan gelap gelita begini. Rempuhan angin yang sesekali bertiup kasar tidak dipedulikan. Rambutnya yang panjang mencecah bahu itu sesekali terbuai lembut.
Nafasnya diaturkan dengan tenang. Biar pun malam itu agak dingin namun dahinya tetap merenek dengan peluhnya sendiri.
Sesekali sewaktu berjalan itu dia menoleh kebelakang. Melihat kearah denai kosong yang baru saja dia lewati. Bimbang jika ada orang lain yang turut serta. Mungkin ada yang merasa curiga dengan kehadirannya disini pada ketika ini. Debar didadanya makin kuat menendang dari dalam.
Suara jampuk meningkah entah datang dari mana tidak dipedulikan. Persetankan dengan semua itu. Ada urusan yang perlu dia lakukan. Baginya urusan itu penting. Sudah lama dia merancang semua ini. Mana mungkin bila muncul ketika dan waktunya dia mensia‐siakan semua yang dirancang itu. Uncang berwarna hitam yang terselit dililitan dipinggangnya diraba dengan tangan. Memastikan uncang itu tidak tercicir dimana‐mana. Penting. Tanpa uncang itu segalanya malam ini tidak akan berhasil. Setelah memastikan segala keperluannya ada, dia melajukan langkah kakinya. Lorong gelap itu biar pun sukar dilihat namun dia sudah mampu membaca setiap selekoh yang ada. Malah dia kenal setiap pohon yang tumbuh dikawasan sekitar itu. Bukan asing semuanya.
Daun‐daun kering gugur menyembah kebumi tatkala ada angin rakus bertiup kencang. Daun yang tersangkut dibahunya ditepis dengan tangan. Matanya terus dilorongkan kedepan. Nyata kawasan yang ingin ditujunya sudah tidak berapa jauh lagi.
Sedapatnya dia harus cepat melakukan kerjanya malam ini. Sebaiknya sebelum ayam jantan
berkokok. Sebelum bunga berkembang. Sebelum burung keluar dari sarangnya. Sebelum tanah menjadi cerah. Sebelum fajar menyapa alam.
Dalam waktu yang singkat dia sudah berada ditempat yang dituju. Sejenak dia berhenti. Ibaratkan musafir yang kepenatan. Peluh didahi diseka lagi dengan tangan. Baju hitam yang dipakai bergetar lagi. Kepalanya didongakkan kelangit. Merenung bintang yang berkerdipan.
Mencari bulan yang bersembunyi dibalik awan. Tidak ada tanda‐tanda hujan datang menyirami alam.
Cangkul diletakkan ditanah dan uncang kecil diraba lagi dengan tangan. Matanya menyorot pada batu‐batu nisan yang terpacak kaku. Pohon kemboja yang tumbuh melatari kawasan itu dijamahnya dengan ekor mata. Seakan‐akan sedang mengawasi sesuatu yang tidak kelihatan dengan mata kasar. Kawasan tanah perkuburan itu hampir dipenuhi dengan semak samun.
Ada kocakan bermain didada. Ada gementar datang mengusik. Ada gemuruh berpencak dihati. Ada resah mengintai disebalik sanubari. Pun begitu dia tetap mempersetankan semua itu. Dihalau dengan kasar. Dijerkah dengan bengis. Sesekali dia tidak akan membenarkan ketakutan yang mahu menjajah perasaan lelakinya membantutkan usaha yang mahu dilakukan. Biar bumi bergegar rancak, biar guruh berdentum dilangit namun, untuk menyerah tidak sekali‐kali. Jejaka menghelakan nafasnya dengan panjang. Hulu badik yang tersisip kemas dipinggang dikisarnya dengan tangan untuk beberapa detik. Jejaka kemudiannya menyambung semula langkah kakinya. Capal dikakinya memijak tanah lalu meninggalkan bekas.
Kubur yang dicari akhirnya ditemui juga. Jejaka terpacak sebentar dan mengamati ketulan
tanah yang agak membukit. Memang disinilah simati ditanam siang tadi. Jejaka tidak salah. Dia
yakin. Malah kayu nisannya menyatakan yang Jejaka tidak tersilap. Pelita kecil dinyalakan bagi
menerangi kawasan disitu.
Dengan kudrat yang dia miliki tanah yang masih merah itu digalinya dengan cangkul. Sedikit
demi sedikit tanahnya mula terbongkah. Tidak menghiraukan akan kepenatan yang dirasai,
Jejaka bagaikan kerasukan. Dikala malam kian dicengkam dingin, sekujur tubuhnya
bermandikan peluh. Bila dirasakan rimas bajunya dibuka dan dicampakkan ketepi. Kembali dia
menyambung pekerjaannya.
Jejaka terhenti sebaik saja merasakan yang mata cangkulnya terbenam didasar kubur. Lalu
cangkul diletakkan ketepi. Dengan hanya mengunakan tangan dia menguis saki‐baki tanah
yang melekat. Akhirnya apa yang diingini sudah diketemuakan jua. Kuisannya terhenti lagi
sebaik saja hujung jemarinya menjamah kain putih yang sudah bersalut dengan tanah.
Nafasnya dihela dengan panjang. Kemudian kembali dia menguis kembali tanah.
Susuk tubuh yang berbalut putih sudah kelihatan makin jelas. Dengan bersusah payah dia
menarik dan kemudian mayat yang masih baru itu diduduk bersandar ditebing kubur.Lolongan
anjing serta‐merta kedengaran bagaikan menyahut kejayaannya malam itu.
Pelita kecil dicapai dan dia mendekatkannya kewajah simati. Tidak salah lagi memang inilah
yang perempuan yang menjadi pilihannya. Bukan sembarangan mayat yang harus dia
digunakan. Ada syarat dan pantang‐larangnya. Andai tidak apa yang diusahakan nanti bakal
menjadi sia‐sia.
Jejaka menyelak kain pada wajah mayat. Pucat dan bibirnya kelihatan membiru. Jejaka
kemudiannya meletakkan pelita dibawah. Uncang yang tersisip dipinggangnya dibuka. Sebiji
botol kecil ditarik keluar. Penutupnya dibuka. Kembali dia mencapai pelita kecil tadi.
Dengan mulut terkumat‐kamit dia membaca mentera. Ini syarat yang harus dia penuhi. Bagi
menghalau segala ketakutan yang mula bertandang. Semangatnya perlu kuat. Telinganya
menangkap desah angin yang entah dari mana munculnya. Geselan daun pokok kemboja
keras menampar cuping telinga. Hawa disekelilingnya mula terasa sejuk. Jeritan nyaring anjing
dikaki bukit makin galak dan saling bersahutan. Terdengar panjang dan sayu.
Botol yang terpegang ditangan kirinya diletakkan dibawah dagu mayat wanita muda itu.
Tangan kanannya pula mula melayur untuk mendapatkan minyak yang dihajati. Mantera yang
sudah dihafal terus meniti dibibirnya yang kering. Pelita juga digerakkan kekiri dan kanan
sewaktu melayur.
Jejaka menatap wajah mayat sebentar. Tidak timbul rasa kasihan. Hatinya sudah kering dan
kosong. Tidak ada sebarang perasaan yang dirasai. Lama dia merenung wajah mayat tersebut.
Dengan tidak semena‐mena mayat itu membeliakkan matanya. Berlaga dengan sepasang
mata Jejaka. Lantas jejaka berpaling kearah lain.
Dia tahu mayat itu tidak akan mengapa‐apakan dia kerana awal‐awal lagi sudah dipesan oleh
bomoh Bereng. “ Jika mayat itu membuka matanya, usah kau takut wahai anak muda. Teruskan
saja. Nanti banyak lagi dugaan yang akan kau terima,” itulah pesan lelaki tua yang ditemuinya
se pekan yang lalu.
“ Harus kau ingat. Cari perempuan yang mati dibunuh. Kesannya mungkin lebih dashyat,”
tambah bomoh Bereng tersengih disebalik api pelita yang melintuk lembut diruang tengah
terataknya. “ Kau harus berani wahai anak muda.”
Dan kerana merasa dirinya tercabar dia melakukannya malam ini. Siang tadi mayat ini
dikebumikan kerana kematiannya akibat dibunuh dengan kejam. Mayatnya ditemui dihujung
kampung.
Memang ini peluang yang ditunggu‐tunggu. Jejaka tidak boleh berlengah lagi. Waktu yang
ada dirasakan berlari deras. Yang dicita harus dicapai dengan tangan. Tidak dapat secara halus,
cara kasar dia akan lakukan.
Dalam cahaya pelita ditangan Jejaka menoleh sekilas kearah mayat. Masih lagi mata mayat itu
memandang kearahnya. Hati lelakinya diburu resah. Tidak pasti berapa lama dia harus melayur
begitu. Dilangit bintang muda pudar. Kepulan awan hitam berarak perlahan. Dedauan kering
berterbangan diterjah angin yang kian keras. Suara angin juga kedengaran membisik keras.
“ Jejaka!”
Jejaka terkejut dan hampir‐hampir saja pelita ditangannya jatuh kebawah. Sederas kilat dia
menolah dan mula sedar tanah perkuburan itu sudah terang dengan api jamung. Beberapa
orang lelaki kelihatan berdiri ditebing kubur.Wajah masing‐masing kelihatan hanya samarsamar
kerana membelakangkan api jamung.
“ Apa yang kau lakukan ini Jejaka!” teriak satu suara.
Jejaka tidak pasti suara siapakah itu. Dia benar‐benar terkejut. “ Keluar kau dari situ Jejaka!”
arah suara itu lagi dengan keras.
“ Naiklah Jejaka,” pinta satu suara lain agak lembut. Tangan dihulurkan.Kekar dan berotot. Kali
ini dia kenal dengan empunya suara yang menegurnya.
“ Damak?” serunya seakan tidak percaya.
Lelaki yang dipanggil Damak itu tidak menyahut. Hanya jari‐jemarinya saja mengamit agar
Jejaka menyambut hulurannya itu.
Rahsianya sudah pecah. Tidak dia tahu siapa yang empunya angkara. Namun untuk menyerah
tidak sekali‐kali. Hanya helah mungkin dia dapat melepaskan diri ketika itu.
Tangan Damak disambut dan segera lelaki itu menarik Jejaka naik. Namun sebaik saja kakinya
keluar dari lubang kubur terus dia menolak tubuh Damak. Parang dipinggangnya ditarik dan
dihunuskan kearah sahabat yang sudah dianggap musuh.
Damak dan beberapa orang rakannya yang lain terkejut. Masing‐masing berundur dan diam
seketika sambil memerhatikan setiap pergerakan pada tubuh Jejaka. Mereka tahu bila‐bila
masa saja Jejaka akan menyerang. Ada diantara mereka sudah mengisar hulu badik dan keris
dipinggang masing‐masing. Bersiaga.
“ Apa yang kau lakukan ini Jejaka!” suara yang mula‐mula tadi kedengaran menengking.
Mencelah dan kemudian muncul didepan pemuda‐pemuda tadi.
“ Oh.....tok penghulu,” parang bertukar arah. Kini tok penghulu yang sudah beruban dikepala
itu menjadi sasarannya.
“ Apa yang kau buat ni Jejaka!” marah tok penghulu. Api kemarahannya bagaikan disiram
dengan minyak. Menjulang didalam hati. Manakan tidak kerana apa yang berlaku didepan
matanya jauh dari sangkaannya. Tidak sesekali terlintas didalam benaknya.
“ Apa yang kau lakukan ini Jejaka!” soal tok penghulu lagi.
“ Tok ketua dan yang lain‐lain jangan masuk campur dalam urusan hamba!” pekik Jejaka.
Suaranya lantang.
Tok ketua menggeleng‐gelengkan kepalanya. Syaitan apa yang sudah merasuk anak buahnya
ini? Kegilaan apa yang sedang dia hadapi kini?
“ Kau sedar tak apa yang kau buat ni Jejaka!”
“ Hamba kata jangan campur. Kalau tidak buruk padahnya!” parang ditangan digenggam
dengan kemas. “ Kalau tidak senjata ditangan hamba yang akan buat perkiraan,” ancam anak
muda itu lagi.
“ Sudah gila ke kau Jejaka!” tempik tok ketua lagi. “ Apa yang kau lakukan ini sudah lebih dari
batas seorang manusia!”
Jejaka tidak menyahut. Dia tahu apa yang dikatakan oleh lelaki itu ada kebenarannya. Tetapi
ada sesuatu yang mendesak dia melakukan perbuatan ini. Tidak ada jalan lain yang dia
nampak. Apatahlagi waktu yang berlari harus dikejar sedapat mungkin. Terlambat bermakna
sesuatu yang amat dia hajati akan terlepas untuk selamanya.
“ Sanggup kau buat begini pada adik kandung kau Jejaka? Sudahlah dia mati dibunuh. Ini
engkau datang buat angkara pula!” serang tok penghulu. Benar Melati yang sudah menjadi
mayat dan ditanam itu adalah adik kandungnya sendiri.
“ Ampunkan hamba tok penghulu. Hamba terpaksa melakukan kerana tidak mahu berputih
mata,” ucap Jejaka dengan suara yang ditekan kedalam. Kuda‐kudanya sudah dipasang.
“ Apa maksud mu Jejaka?” Damak bertanya kehairanan. Badik yang berdiri disebelahnya juga
menoleh. Ada kerutan tergaris didahinya. Cuba mengertikan akan maksud disebalik bicara
Jejaka itu.
Seperti ada yang lucu Jejaka menyeringai. “ Tuan hamba semua tak perlu tahu. Ini soal hamba.
Biar hamba yang uruskan,” dimatanya sudah terbayang sesusuk tubuh dan seraut wajah.
Kerana susuk itulah dia sanggap bertemu dengan bomoh Bereng dan melaksanakan kerjakerja
durjana ini.
“ Damak,” panggil tok ketua.
“ Tok penghulu,” Damak mendekat. Namun perhatiannya tetap pada gerak tubuh Jejaka. Andai
ada gerakan sumbang dimatanya, dia tidak akan teragak‐agak untuk membuka langkahnya.
“ Tangkap dia,” arah lelaki itu dengan tegas.
Kata‐kata tok penghulu itu menyusup laju memukul gegendang telinganya. Jejaka terus
bertempik dan menyerang dengan parang ditangan. Badik segera menarik tubuh tok penghulu
agar mara merbahaya tidak menyinggahinya menimpa lelaki itu. Manakala Damak segera
masuk dan menepis kasar hayunan parang Jejaka. Lantas kakinya menendang pemuda itu.
Jeritan dan pekikkan kedua mereka mengamatkan tanah kubur. Yang lain‐lain hanya melihat
saja aksi keduanya. Badik dan rakan‐rakan yang lain memusatkan perhatian pada Damak.
Andai Damak tewas dia dan yang lain‐lain akan masuk mencelah.
Jejaka masih mampu mengawal tubuhnya biar pun ditendang sebegitu rupa. Lalu terjadilah
pertarungan diantara kedua sahabat sepermainan dan seperguruan itu. Jejaka rakus
menyerang manakala Damak bermatian mengelak. Diparang keatas, Damak pantas menyusup
kebawah. Diparang pula kebawah maka Damak deras melompat diudara. Ditetak ketubuh,
Damak mengelak kekiri dan kekanan. Sengaja Damak tidak menghunuskan senjatanya kerana
dia tidak mahu melukai sahabatnya sendiri. Pun begitu matanya tidak lepas dari memerhatikan
gerak tubuh Jejaka. Andai tersilap nyawa menjadi galang gantinya.
Ketika dan saat yang sesuai, sebaik saja Jejaka alpa Damak segera menyambar peluang. Keras
dia menepis hingga parang Jejaka tercampak ketanah. Lalu anak muda itu mengunci
pergerakan Jejaka. Jejaka meronta namun dia tewas untuk membuka kunci yang sudah
dipasang oleh Damak.
“ Lepaskan aku Damak!” Jejaka menjerit lantang.
“ Sudah Jejaka.....aku kata sudah,” Damak cuba mententeramkan Jejaka.
“ Jangan campur urusan aku Damak!”
“ Aku kata sudah!” akhirnya Damak terpaksa bertempik.
“ Damak.....bawak dia kerumah,” kemudian tok penghulu berpaling pada Badik. “ Kau Badik,”
serunya perlahan.
“ Hamba, tok penghulu,” Badik menunduk hormat.
“ Kau timbus semula kuburnya Melati. Panggil kawan kau menolong sekali,”arah lelaki itu
separuh semput.
“ Baik, tok penghulu,” Badik terpaksa akur. Lantas dia memanggil Jalak, Demang dan Jantan
untuk membantunya.
Laman rumah tok penghulu sudah diterangi dengan api jamung. Ramai juga orang kampung
datang berhimpun untuk mengetahui asal‐usul peristiwa yang mengemparkan. Semunya
bermula apabila terdengar tempikan suara Jejaka yang minta dilepaskan sewaktu dia diheret
kerumah tok penghulu.
Dengan perintah tok penghulu juga kedua ayah dan ibu Jejaka dijemput datang kerumah.
Berlari Alang memenuhi permintaan tok penghulu. Sebaik saja sampai Hitam, ayah Jejaka
bertanyakan apa yang berlaku. Tok penghulu menerangkan apa yang dia lihat ditanah
perkuburan tadi.
Demi mendengar kisah yang terjadi Hitam segera menyambar keris dipinggang tok penghulu
dan berteriak mahu menikam tubuh Jejaka. Namun tindakan itu sempat dipatahkan oleh
Damak.
“ Bersabar ayah Hitam,” pujuk Damak sambil mengunci pergerakan lelaki itu.
“ Celaka kau Jejaka! Lepaskan aku Damak, biar aku ajar binatang ni!” Hitam bagaikan
kerasukan.
“ Sudahlah ayah Hitam. Biar tok penghulu yang putuskan. Jejaka sudah pun kita tangkap,”
berat bibirnya berbicara kerana mengenangkan yang Jejaka itu adalah salah seorang
sahabatnya.
Hitam sendiri terjelepok ditanah sambil ditenangkan oleh Damak. Bahunya bergoyang‐goyang
mengikut rentak tangisnya sendiri.Tidak terduga dia akan semua ini boleh berlaku pada darah
dagingnya sendiri. “ Tergamak kau buat begini pada Melati Jejaka. Adik mu,” sayu suara Hitam
merintih. Isterinya, Kintan segera menerpa dan memeluk Hitam dari belakang. Turut merasa
aib yang sama. Kemana lagi hendak disorokkan mukanya. Perbuatan Jejaka memang tidak
dapat dimaafkan hingga dia mati. Arang sudah terconteng diwajah mereka.
“ Sudahlah Hitam. Banyakkanlah bersabar. Biar kita putuskan apakah hukuman yang sesuai
untuk Jejaka. Pulanglah dulu,”arah tok penghulu. Kemudian dia meminta Damak dan rakanrakannya
yang lain membawa Jejaka ketempat kurungan.
“ Pastikan dia tidak terlepas,” tok penghulu memberi amaran lalu kerisnya dihulurkan pada
Damak. Andai terjadinya geruh, senjata itulah jalan penyelesaiannya. Damak angguk dan
faham.
Saat Jejaka diheret ketempat kurungan matanya tertancap pada kelibat susuk wanita dicelahcelah
orang ramai disitu. Sari Ayu!
Si dara kelahiran tanah jawa itu datang bersama oleh ayahnya, Wak Karman. Sari Ayu tidak
melepaskan pandangannya dari Jejaka. Renungan simpati bermain dikolam mata sigadis itu.
Sepasang mata itu bagaikan berbicara sesuatu padanya. Meskipun demikian Jejaka yang
keletihan gagal untuk menafsirkan apa‐apa. Kekesalannya menjadi sebesar gunung. Dia
dibadai kecewa yang amat sangat.
“ Sari.....,” sebaris nama itu membasahi ulas bibirnya. Mungkinkah ini kali terakhir dia dapat
melihat wajah dan renungan Sari Ayu?
Sari Ayu melangkah pergi bersama Wak karman. Namun beberapa langkah kemudian dia
menoleh kembali kearah Jejaka. Renungannya masih sama seperti tadi. Seolah‐olah
membicarakan sesuatu pada Jejaka. Lambat‐lambat tubuh dan seraut wajah Sari Ayu hilang
dalam kepekatan malam. Jejaka sedar, dia sudah tewas.
*****
“ Kenapa Jejaka?”
Jejaka mendongak. Memandang kearah Damak. Seraut wajahnya disimbahi dengan cahaya
yang datang dari jamung yang dipasang. Kelam dan samar‐samar. Agas yang hinggap ditepuk
dengan kasar.
“Kenapa tuan hamba buat begitu,” Damak mengulangi soalannya. Awang dan Badik berdiri
dipenjuru tempat kurungan tidak menghiraukan akan mereka berdua.
“ Sari,” ucap Jejaka pendek.
“ Sari.....maksud tuan hamba? Sari Ayu?”
Jejaka mengangguk. Damak menghelakan nafasnya dengan panjang.
“ Tapi kenapa?”
“ Aku mencintai Sari Ayu, Damak.”
Damal mencerunkan lagi pandangan pada wajah Jejaka yang nampak berbalam‐balam
dimamah api andang ditepi tempat kurungan.
Siapa yang tidak kenal dengan Sari Ayu. Gadis pendatang yang mencari rezeki dikampung
sejak beberapa purnama yang lalu. Benar, dia tidak menolak akan kecantikan milik gadis yang
berasal dari tanah jawa itu. Seraut wajahnya memiliki kecantikan yang tidak ada pada manamana
gadis kampung. Tidak juga pada Kemboja, Mawar, Cempaka mahu pun Melati adik
kandung Jejaka.
Damak juga tahu bukan sedikit hati‐hati lelaki terpaut pada keayuan milik Sari Ayu. Setiapkali
berselisih pasti mereka akan menjeling sedapat yang boleh. Wak Karman yang dikenali sebagai
ayah Sari Ayu tidak membantah biar pun itu bukan lagi rahsia. Kerlingan Sari Ayu sudah cukup
membuatkan hati lelaki mereka meruntun mahu mendekati. Haruman tubuh Sari Ayu juga
mampu mengoncang nafsu.
“ Tapi apa yang kau lakukan satu kesalahan besar Jejaka,” sambung Damak dengan kesal.
“ Kau mahu memiliki Sari Ayu dengan jalan yang salah?” Damak sudah tahu apa tujuan Jejaka
melayur dagu mayat adik kandungnya sendiri. Minyak dagu yang diperolehi itulah nanti akan
dijadikan jambatan untuk menghambat jiwa dan raga Sari Ayu. Sari Ayu tidak akan
memandang pria yang lain lagi selepas disihir.
“ Untuk Sari Ayu, aku sangggup lakukan apa saja, Damak,” Jejaka berdiri.
“ Engkau sudah gila Jejaka. Sudah gila,” Damak mendesah dengan nafas yang berat.
“ Barangkali benar dengan tutur bicara mu Damak. Aku sudah cukup gila untuk membunuh
Melati.”
Damak tertegun. Hampir gugur jantung didadanya. Sungguh dia tidak menyangka sama sekali
tergamak Jejaka melakukan semua itu. Bagi jejaka pula tidak ada gunanya dia menyimpan
rahsianya lagi. Esok tentu tok penghulu akan menjatuhkan hukuman bunuh keatasnya.
Lantaran itu elok benar jika dia berterus‐terang saja. Tidak ada apa yang hendak difikirkan lagi.
Nyawanya akan ditamatkan esok.
“ Jejaka!” Damak bertempik halus. Bimbang apa yang dilafazkan oleh Jejaka tadi turut sama
didengar oleh Awang dan Badik.
“ Bukan engkau tidak tahu yang minyak dagu perlu diambil dari mayat wanita yang dibunuh
kejam, Damak?” Jejaka melanjutkan lagi buah bicaranya.
Damak kehilangan kata‐kata. Kerasukan apakah yang menguasai batang tubuh dan fikiran
sahabat sepermainannya itu? Petaka apa yang menjadikan Jejaka tegar melakukan semua ini?
Kepalanya ditundukkan. Kesal menikam sanubarinya bertubi‐tubi.
“ Kerana Sari Ayu, aku sanggup.”
Damak, tangannya sudah mengisar hulu keris yang ditempa dari tujuh jenis logam yang
diberikan oleh tok penghulu tadi. Tidak pasti apakah dia akan menghunus keris berlok tujuh
itu untuk menikam dada Jejaka? Sungguh dia tidak menyangka sekejam itu Jejaka dalam
bertindak. Sanggup melepaskan bahtera kewarasan untuk lemas dalam cintanya pada gadis
bernama Sari Ayu?
Angin mendesah kuat dengan tiba‐tiba. Awang dan Badik mendongak memandang langit.
Begitu juga Damak. Api dari andang yang dipasang mula meliuk dan seakan‐akan mahu
terpadam.
Dalam keadaan terpingga‐pingga itu terdengar bunyi sesuatu. Bunyi seperti pasir dilayangkan
keudara. Bunyi itu berterusan untuk beberapakali. Seolah‐olah datang dari semua arah.
Masing‐masing terpingga‐pingga.
“ Ada apa?” Badik berpusing‐pusing cuba mencari arah datangnya bunyi itu.
Sepasang mata mula memberat. Mulut menguap luas. Tubuh mula terasa lembik. Damak dan
rakan‐rakannya mula dipasung rasa mengantuk yang amat sangat. Hanya Jejaka saja yang
masih lagi mampu bertahan.
“ Damak?” Jejaka menyeru tatkala melihat Damak mula layu dan akhirnya rebah ketanah.
Begitu juga dengan Awang dan Badik. Masing‐masing tidak sedarkan diri. Jejaka kehairanan.
Jamung diempat penjuru sudah terpadam sama sekali. Gelap likat. Pandangan Jejaka hanya
dibantu dengan cahaya bulan yang tidak seberapa.
“ Damak? Awang? Badik?” nama teman‐temannya diseru lagi.
Jejaka menoleh dan memasang telinganya apabila terdengar ada bunyi seperti kaki melangkah
membelah semak dan belukar. Dalam samar‐samar malam dia melihat ada dua susuk tubuh
muncul menghampiri tempat kurungannya. Siapa?
“ Siapa kalian?” Jejaka sudah memasang langkah. Andai ada geruh yang datang dia akan
menyerang pada bila‐bila masa.
Dua batang susuk yang muncul didepan mata tidak menyahut. Berpakaian hitam dan menutup
muka. Yang kelihatan hanya sepasang mata yang tajam menikam memandang kearah Jejaka.
“ Siapa kalian? Untuk apa kalian disini?” bentak Jejaka.
“ Usah takut wahai anak muda. Kami datang untuk menyelamatkan mu,” lantas berubah riak
wajah Jejaka sebaik mendengar akan hajat dan tujuan manusia asing itu.
“ Buka kurungan,” jelas yang menutur itu adalah perempuan. Kedengaran bergermersik dan
merdu.
Kurungan dibuka dan mereka menarik Jejaka keluar. Jejaka tidak membantah. Nalurinya
mengatakan yang mereka benar‐benar datang untuk menyelamatkannya.
“ Siapa kalian?” Jejaka bertanya.
“ Usah ditanya siapa gerangannya kami. Yang penting kau harus selamatkan nyawa mu dulu,”
biar pun suara perempuan itu lembut namun kedengaran mengancam pada telinga Jejaka.
“ Sudah! Usah banyak bicara, ikut kami!” lalu Jejaka diheret meninggalkan kawasan itu. Lantas
dalam sekelip mata bayang susuk ketiga‐tiga mereka hilang ditelan gelap malam yang kian
gelita.
*****
Jejaka duduk bersila dilantai kayu. Kedua belah tangannya diletakkkan dilutut sambil
menunduk. Dadanya berombak tenang. Kedua‐dua belah tangannya digenggam erat.
Dalam perkiraannya dia tidak menyangka sama sekali. Ibarat bermimpi namun itulah hakikat
yang terhampar didepan matanya. Dia diselamatkan oleh Sari Ayu dan ayahnya!
Hampir gugur jantungnya tatkala Sari Ayu membuka penutup muka sebaik saja kakinya
menjejak masuk kedalam teratak milik mereka. Seulas senyum manis milik gadis itu
membuatkan dia dibuai perasaannya sendiri. Untuk sementara dia dibiarkan berehat sendiri
diruang yang disediakan. Sari Ayu dan ayahnya menghilang buat sekadar waktu. Jauh dilubuk
hati Jejaka berterima kasih pada kedua mereka.
Dalam menungannya itu timbul satu persoalan menerjah kedalam benaknya? Kenapa Sari Ayu
datang menyelamatkannya?
Bunyi pintu kamar dibuka membuatkan Jejaka mendongak. Sari Ayu muncul bersama talam
ditangan. Perasaan Jejaka menjadi tidak keruan tatkala matanya menatap senyum yang
berbunga dibibir gadis manis itu.
Sari Ayu dengan sopan dan tertib bersimpuh dan meletakkan talam dilantai. “ Silakan mas,”
pelawa Sari Ayu pada Jejaka. Untuk beberapa detik sepasang mata Jejaka tidak mampu
dialihkan dari menatap sinar mata milik Sari Ayu. Pria itu benar‐benar terpesona.
“ Mas.....sila kan,” suara merdu Sari Ayu mengejutkannya. Gementar tangan Jejaka mencapai
gelas minuman yang dibuat dari logam kuningan.
Jejaka meneguk minuman yang disediakan. “ Bagaimana tuan hamba menyelamatkan hamba?”
Jejaka memberanikan diri bertanya. Matanya tidak lepas dari menatap wajah bujur sirih Sari
Ayu. Dia kagum dengan kecantikan milik Sari Ayu.
Gadis itu tersenyum sebelum menjatuhkan pandangannya kelantai. Simpuhnya dikemaskan.
Kemudian dia mendongak. “ Tidak susah aku merencanakan semua itu. Lagi pun aku dibantu
oleh ayah ku, Wak Karman.”
Jejaka melinggas cuba mencari kelibat Wak Karman namun tidak kelihatan. Barangkali berada
diluar bilik, fikir Jejaka lagi. Biarlah, lagi pun dia mula merasa enak apabila dapat berdua‐duaan
dengan Sari Ayu. Memang itu pun kehendak yang tersimpul dihatinya.
Apakah keadaan sahabat‐sahabatnya tadi dipengaruhi dengan ilmu kepunyaan Wak Karman? “
Kami hanya memukau apabila saat diperlukan saja. Jangan salah tafsir mas,” seperti dapat
membaca fikiran Jejaka, Sari Ayu menuturkan bicaranya. Lantas lelaki itu mengangguk.
“ Aku berterima kasih atas apa yang kau lakukan untuk aku,” Sari Ayu bersuara lagi. Jejaka
diam. Untuk beberapa detik bilik itu menjadi hening seketika.
“ Aku tahu kau yang membunuh adik mu, Melati. Kerana susah untuk mencari perempuan mati
dibunuh kau akhirnya sanggup mengorbankan nyawa adik mu sendiri,” Sari Ayu
menyimpulkan senyumnya lagi.
“ Aku juga tahu kau berhajat untuk mendapatkan minyak pengasih untuk kau gunakan pada
ku. Tapi nasib mu malang kerana niat kau terhalang.”
Jejaka menelan air liurnya. “ Bagaimana.....kau tahu semua ini, Sari?” Jejaka terkejut. Dadanya
berombak. Kepalanya mula memberat.
“ Kenapa? Mas terkejut?” kening didahi Sari Ayu terjungkit.
“ Jangan khuatir mas. Aku milik mas dan mak jugak milik aku,” senyumnya terpahat lagi dibibir
mungilnya. Berubah terus air muka Jejaka. Sungguh, tubuhnya bagaikan lumpuh.
“ Tidak ada perlunya untuk mas merasa terperanjat begitu,” lalu Sari Ayu memejamkan
matanya. Bibirnya mula menuturkan bahasa jawa yang sukar difahami oleh Jejaka. Anak muda
itu pula mula merasa pening kepala. Bilik itu bagaikan berputar‐putar. Tangannya memegang
dahi. Rasa berdenyut makin kuat menikam. Diwaktu yang sama Sari Ayu melafazkan
manteranya dengan lancar dan kuat.
Sari Ayu meraba keris jawa yang disisipkan dibelakang pinggangnya. Kelopak matanya dibuka
dan riak wajahnya yang lembut bertukar menjadi bengis.
Sementara itu Jejaka mula khayal akibat kesan dari minuman yang diberikan oleh Sari Ayu tadi.
Matanya yang mula berat dicuba buka sedaya‐upaya. Apa yang dilihatnya ketika itu amat
memeranjatkannya. Dia melihat bukan Sari Ayu lagi yang duduk bersimpuh didepannya, malah
susuk seorang perempuan tua menjelma. Rambutnya panjang dan beruban, mengerbang
kasar. Kulitnya berkedut seribu. Hidungnya juga kelihatan jatuh. Kedua biji matanya terpersuk
kedalam. Mantera yang diucapkan menyusup masuk kecuping telinganya.
“ Sari.....Sari,” Jejaka yang hampir rebah menyeru. Mengharapkan pertolongan dari gadis itu.
Sari Ayu segera menarik bahu Jejaka dengan tangan kirinya. Dengan mengunakan tangan
kanannya, keris ditusuk tepat kedada Jejaka lalu dirobek dengan kasar. Darah memancut
keluar membasahi tubuh dan lantai. Jejaka menjerit kesakitan. Keris itu kemudiannya dicampak
dan pantas Sari Ayu memasukkan tangannya kedalam belahan luka ditubuh Jejaka. Pantas
menarik jantung dan direntapnya dengan kasar.
Sari Ayu menolak tubuh Jejaka. Pemuda itu mengeletek dilantai. Jantung Jejaka yang berada
ditangannya dipandang sambil menghamburkan ketawa besarnya. Jelas suara itu bukan milik
Sari Ayu melainkan kedengaran milik seorang perempuan tua. Mengekah dan menakutkan.
Wak Karman yang mengintai menyandarkan tubuhnya ke dinding. Dia tahu apa yang
dilakukan oleh Sari Ayu. Memang itu sudah perjanjiannya. Untuk mengekalkan kecantikan, Sari
Ayu disyaratkan agar memakan jantung pria. Tidak kira asalkan ada kesempatan. Dia yang
hanya bergelar cicit keturunan Sari Ayu hanya membantu seperti yang diarahkan. Rahsia
hubungan mereka perlu dijaga dengan rapi.
Dan malam ini Sari Ayu berkesempatan lagi memenuhi syaratnya. Mana mungkin perempuan
yang tubuhnya dihuni iblis dan sudah berusia ratusan tahun itu melepaskan peluang yang
terhidang. Dengan jantung Jejaka itu wajah Sari Ayu pasti akan kelihatan makin anggun dan
menawan. Bakal memukau setiap mata pria yang memandangnya.
Wak Karman tergesa‐gesa bangun tatkala Sari Ayu keluar dari kamar. “ Kau uruskan mayat
lelaki itu,” arah Sari Ayu dengan wajah bengis.
“ Berapa lama lagi kita perlu tinggal disini sebelum semuanya rencana kita diketahui orang?”
Wak Karman bertanya.
Sisa‐sisa darah yang melekat dibibirnya dikesat dengan sehelai kain.Sari Ayu memandang
kearah Wak Karman kemudiannya. “ Untuk beberapa ketika lagi. Usah bimbang. Aku tahu saat
bila kita perlu tinggalkan kampung ini dan berpindah ditempat lain,” balas Sari Ayu sambil
tersenyum. Benar, dia tidak mungkin dapat menetap disatu‐satu daerah itu terlalu lama. Jika
tidak mungkin rahsia hitamnya akan terbongkar.
“ Pergi,” arah Sari Ayu lagi.
Wak Karman angguk dan segera berlalu untuk menguruskan mayat Jejaka. Sari Ayu tidak perlu
bimbang untuk mencari jantung lelaki muda. Dengan kecantikan yang dimilikinya, dia mampu
menundukkan mana‐mana lelaki yang ada diluar sana.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan