Label

Isnin, 21 November 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab2

Brek kakiku tekan dan brek tanganku tarik. Beberapa saat kemudian enjin keretaku matikan.
Aku memicit‐micit bahuku yang terasa lenguh. Biarpun jarak destinasiku kali ini tidaklah sejauh
mana, tetapi kerana kesesakan lalu lintas menyebabkan hampir sejam aku terkandas di jalan
raya.

Setelah merasai sedikit kelegaan aku mencapai handbag dan beberapa buah fail sebelum
melangkah keluar. Niat hati untuk meneruskan langkah termati saat mataku terpaku melihat
sebuah kereta yang kedudukannya betul‐betul di sebelah pacuan empat roda milikku. Ku teliti
kereta itu. Memang sah! Sama. Hanya nombor plat sahaja yang dapat membezakan kereta aku
dengan kereta yang entah siapa empunyanya. Seingat aku sepanjang aku bekerja di Syarikat
Positive Thinker Consultancy and Services ini hanya aku seorang sahaja yang memandu kereta
Inspira. Tetapi hari ini ada pula orang lain yang memandu kereta Inspira, malahan warnanya
juga sedondon dengan kereta Inspira ku.

“Hai, nampaknya kau dah jumpa kembar kau.”

Terukir senyuman di bibirku saat aku mengungkapkan kata‐kata itu dan tapak tanganku cepat
sahaja menepuk perlahan pintu keretaku.

Lengang dan senyap itulah kombinasi suasana yang memenuhi ruang pejabatku saat aku
melangkah masuk. Aku yakin hampir kesemua kakitangan syarikat sudah pulang sementelah
waktu pejabat sudah lama tamat.

“Assalamualaikum.”

Aku mengurut dada sebelum senyumanku ukirkan kepada wanita yang sudah berusia di
hadapanku ini.

“Waalaikumussalam. Eh! Mak Cik Tina tak balik lagi ke?”

“Belum. Tadi Dr. Karim minta mak cik kemaskan bilik pejabat. Tu yang lambat sikit tu.”

Lembut wanita yang bekerja sebagai cleaner di syarikat ini menjawab pertanyaanku.


“Ada mesyuarat ke tadi?”

Aku masih belum puas menyoal.

“Haah. Ada mesyuarat. Lama juga mesyuarat tadi, lagipun hari nikan ada pekerja baru masuk.
Tu yang lama sikit tu mesyuaratnya.”

“Pekerja baru?”

Aku mengerutkan dahi sedangkan minda sudahku kerahkan untuk mengingati sesuatu.

“Yelah. Dr. Balkis lupa ya, hari tukan Dr. Karim dah maklumkan kepada semua yang hari ni
syarikat kita akan menerima seorang lagi ahli keluarga yang baru.”

Akhirnya aku tersenyum saat mindaku sudah mampu mengingati pengumuman daripada Dr.
Karim pada minggu lepas mengenai penerimaan seorang pekerja baru bagi memenuhi
permintaan syarikat.

“Saya lupa tadi. Nasib baik Mak Cik Tina ingatkan.”

“Macam mana nak ingat. Mak cik tengok Dr. Balkis ni sibuk memanjang. Kadang‐kadang tu
risau mak cik tengok. Makannya entah ke mana, rehatnya entah ke mana.”

“Mak cik jangan risau. Saya okey. Cuma semenjak kebelakangan ni banyak kes yang saya nak
kena uruskan. Tu yang mak cik nampak saya macam sibuk je tu.”

Aku mencapai jari jemari wanita prihatin ini. Walaupun wanita ini hanyalah bergelar seorang
cleaner, tetapi bagiku statusnya lebih tinggi daripada itu. Wanita ini begitu penyayang dan
sikap pemaafnya begitu terserlah. Biarpun dirinya sering dikasari dan disakiti oleh insan yang
amat disayanginya, namun kemaafan tetap sahaja diberikan. Beruntunglah siapa yang dapat
beribukan dirinya.

“Mak cik bukan apa. Mak cik, tak nak Dr. Balkis sakit. Kalau nak diikutkan kerja… Memang
takkan habis.”

“Saya faham. Mak Cik Tina jangan risau ya.”

Senyuman masih melebar di bibirku dan jari jemarinya masihku usap lembut.

“Yelah. Kalau dah Dr. Balkis cakap macam tu, mak cik nak jawab apa lagi… Kalau macam tu,
mak cik balik dululah. Dr. Balkis jangan balik lambat sangat. Jaga kesihatan tu.”

Jari jemarinyaku salami danku kucup lembut. Pelukan sekejap mengakhiri pertemuan petang
ini. Langkahnya tidak ditangguhkan lagi, mungkin Mak Cik Tina keburuan waktu.

Segera aku mencapai tombol pintu di hadapanku ini. Aku ingin segera mendapatkan laptopku
dan beberapa buah fail perluku teliti. Segala kerja harusku selesaikan pada hari ini. Kerana esok
merupakan hari yang pasti memenatkan. Namun saat aku ingin memulas tombol pintu yang
sudahku genggam ini…

“Dr. Balkis.”

Aku mengalihkan pandanganku ke arah suara garau itu. Terlihat ketuaku sedang berjalan
mendapatkan aku dan turut beriringan dengannya adalah seorang lelaki yang tidak pernahku
lihat kelibatnya sebelum ini.

“Saya ingatkan Dr. Balkis terus balik. Tak sangka pula yang Dr. akan singgah ke pejabat.”

“Mulanya saya pun ingat nak terus balik tadi. Tapi, nak buat macam mana. Ada kerja sikit yang
perlu saya uruskan, tu yang saya tak jadi balik tu.”

“Ya ke sikit? Macamlah saya tak kenal Dr. Balkis ni...”

Terukir senyuman di wajah Dr. Karim. Biarpun lelaki ini tidak menghabiskan bicaranya, namun
aku mengerti apa yang ingin disampaikan. Aku sekadar tersenyum.

“Ni siapa?”

Aku cuba mengalih topik perbualan. Bukan apa tak sanggup rasanya hendak mendengar katakata
lanjutan daripada ketuaku ini.

“Saya kenalkan, ini Dr. Muhammad Adiib. Dia merupakan pekerja baru di sini dan hari ini
dengan rasminya dia telah menyertai keluarga kita.”

“Panggil sahaja saya Dr. Adiib atau Adiib.”

“Saya Balkis.”

Senyuman saling berbalas antara aku dengan lelaki yang mempunyai ketinggian sederhana di
hadapanku ini. Teralih pula pandanganku ke arah Dr. Karim yang nampaknya masih mahu
meneruskan perbualan.

“Macam mana program motivasi dan sesi kaunseling di sekolah tadi?”

Soal Dr. Karim.

“Alhamdulillah. Segalanya berjalan dengan lancar. Cuma… Tempoh program tu saya dengan
Ustaz Zhuhair terpaksa panjangkan selama sejam.”

“Itu saya tak kisah. Apa yang penting saya nak pihak sekolah berpuas hati dengan service yang
kita berikan. Saya yakin yang Dr. Balkis dan Ustaz Zhuhair telah melakukan yang terbaik.”

“InsyaAllah sama‐samalah kita nantikan respond yang baik daripada pihak sekolah lepas ni.”

Dr. Karim mengangguk dan Dr. Adiib masih selesa mendiamkan diri.

“Pendiam juga orangnya.”

Analisis hatiku tentang sikap rakan sekerjaku yang baru ini.

“Baiklah. Kalau macam tu, saya minta diri dulu.”

Dr. Karim menyalami Dr. Adiib dan aku pula sekadar mengukirkan senyuman. Setelah melihat
bayang Dr. Karim sudah menghilang, aku segera meminta diri untuk masuk ke bilikku. Kerja
yang bertimbun menghalang aku untuk terus berbual mesra dengan Dr. Adiib dan seperti
diriku, dia turut melakukan perkara yang sama.

Terasa pedih mataku. Ku pejamkan seketika mataku dan kepalaku sandarkan ke kerusi. Sudah
hampir dua jam laptop di hadapanku ini menjadi habuan sepasang mata milikku. Ku picit
perlahan dahi yang terasa sedikit berdenyut dan perut yang sedari tadi sudah bergendang
lapar ku tekan lembut. Setelah merasakan diri ini tidak mampu lagi untuk menahan rasa lapar
yang kian memuncak, akhirnya aku bangkit dari kerusi yang telah menampung beban tubuhku
sedari tadi. Dokumen‐dokumen yang berselerak kukumpulkan dan kumasukkan ke dalam failfail
yang berkenaan. Setelah segalanya tersusun barulah aku melangkah keluar.

Aku mencapai mug dan membancuh kopi panas untukku gabungkan dengan beberapa keping
biskut bagi menghentikan rasa lapar ini. Baru sahaja aku ingin melabuhkan punggungku di
kerusi, terlihat Dr. Adiib menghampiriku.

“Maaf. Saya ingat tak ada orang dekat pantry ni.”

“Tak apa. Dr. Adiib tak balik lagi?”

“Belum. Ada kerja sikit.”

“Hai, baru start kerja. Dah banyak benda yang nak diuruskan?”

Aku sekadar berseloroh, namun tiada pula senyuman yang terukir. Masih masam wajahnya.

Terasakah dia?

“Saya tak berniat apa‐apa. Sekadar bergurau.”

Jujurku.

“Saya faham.”

Suasana sunyi seketika sebelum Dr. Adiib bangkit dan membancuh minuman. Dia
kemudiannya mengambil semula tempat di hadapanku. Sejujurnya, aku tidak selesa dengan
keadaan sekarang. Berdua‐duaan dengan lelaki yang masih tidakku tahu akan budi pekertinya.

“Dah lama Dr. Balkis kerja di sini?”

“Sudah tiga tahun lebih.”

“Lama juga. Sebelum ni?”

“Sebelum ni, saya belajar. Kiranya inilah syarikat pertama saya.”

Dr. Adiib menganggukkan kepala. Wajahnya masih tidak ceria. Bagaikan ada sesuatu yang
sedang membebani dirinya.

“Dr. Adiib sebelum ni bekerja di mana?”

“Sebelum ni saya bekerja di Perlis.”

“Dalam bidang yang sama?”

Soalku kemudiannya.

“Ya. Dalam bidang yang sama. Bidang yang sering dikaitkan dengan kemuliaan.”

Terdengar keluhan. Pelik? Mengapa mesti keluhan yang terpacul keluar sedangkan mulutnya
mengungkapkan perkataan ‘kemuliaan’ di hujung bicaranya?

“Maksud Dr.?”

Sengaja aku ingin menelah apa sebenarnya yang sedang terselindung di balik hatinya.

“Kaunselor. Ramai yang akan mengaitkan diri kita dengan masalah dan penyelesaian masalah.
Tapi…”

Agak lama ayat itu tergantung dan sudah terlihat bayangan kesayuan menabiri wajah lelaki di
hadapanku ini.

“Tapi bila kita fikirkan semula, mengapa mesti pesakit‐pesakit tu mencari kita? Sedangkan
kadangkala kita sendiri tidak mampu untuk memberikan penyelesaian yang tepat terhadap
permasalahan yang menimpa diri mereka.”

Aku agak terkejut. Mengapa mesti insan yang berstatuskan seorang kaunselor yang sepatutnya
melahirkan kata‐kata positif dan yakin, sanggup mengeluarkan kata‐kata seperti itu? Bukankah
apa yang terlahir di bibirnya turut memberikan bayangan tentang rasa di jiwanya? Bukankah
sepatutnya seorang kaunselor harus berjiwa kental dan tidak boleh dipengaruhi dengan
emosi? Sesakit manapun hati dan jiwa ini harus disembunyikan demi membuktikan kepada
semua bahawa setiap masalah di dalam dunia ini pasti ada jalan penyelesaiannya! Sudah
menjadi tanggungjawab seorang kaunselor untuk memberikan buah fikiran dan cadangan
kepada mereka yang memerlukan.

“Pesakit? Kenapa mesti Dr. Adiib gelarkan mereka yang memerlukan perkhidmatan kita
sebagai pesakit?”

Dr. Adiib tertunduk. Mungkin dirinya mulai sedar akan keterlanjuran kata‐katanya sebentar
tadi.

“Mereka yang memerlukan perkhidmatan kita bukanlah pesakit. Sebab… Mereka tak sakit.
Mereka cuma memerlukan perhatian daripada seseorang yang boleh mendengar luahan hati
mereka. Luahan rasa yang membebani jiwa mereka. Mereka juga perlukan seseorang untuk
memberikan buah fikiran dan cadangan‐cadangan yang bernas bagi menangani permasalahan
mereka.”

Kesayuan kian jelas terpamer di wajah lelaki yang tidak lagi menundukkan wajahnya tika ini.
Mug di hadapannya dicapai dan diteguk air di dalamnya. Aku tidak tahu, apa sebenarnya yang
sedang bersarang di hati lelaki ini. Apa yang aku tahu, sudah menjadi tanggungjawabku untuk
menyedarkan dirinya betapa setiap patah kata yang terlahir dari bibirnya akan memberikan
pengaruh yang besar terhadap mereka yang memerlukan khidmat nasihat daripadanya. Aku
mahu dia tahu erti tanggungjawab seorang kaunselor yang sebenarnya!

“Saya tak tahu apa yang Dr. Adiib faham tentang tanggungjawab seorang kaunselor.”

Mata kami bertentang. Tidak terlihat amarah di matanya.

“Dr. Adiib, kenapa Dr. nak jadi seorang kaunselor?”

Lembut aku bertanya. Memang sudahku jangka tiada jawapan yang akan diberikan.

“Saya tak tahu kenapa Dr. Adiib nak jadi seorang kaunselor. Apa yang pasti sekarang ni Dr.
Adiib sudahpun bergelar seorang kaunselor… Sedarkah Dr. apabila Dr. mengeluarkan kata‐kata
seperti itu tadi maka akan hancurlah harapan seseorang yang datang mengharapkan buah
fikiran dan cadangan daripada Dr.?”

Dr. Adiib masih membisu, namun pandangannya tidak lagi terhala padaku.

“Maaf kalau kata‐kata saya tadi agak menyinggung perasaan Dr. Tapi, saya hanya menyatakan
sebuah kenyataan. Kenyataan bahawa tanggungjawab yang sedang kita galas bukannya kecil.
Kita dipertanggungjawabkan untuk mendengar dan marasai penderitaan mereka yang datang
membawa harapan kepada kita. Sememangnya wajib untuk kita membantu mereka
terutamanya dari segi memberikan pandangan, kata‐kata nasihat dan cadangan yang mungkin
dapat meringankan beban mereka. Memang benar apa yang Dr. Adiib katakan sebelum ni,
kadangkala kita sendiri tidak dapat memberikan penyelesaian yang tepat terhadap permasalahan yang menimpa diri mereka. Sebab kita bukannya penyelesai masalah! Segala kata putus hanya boleh dibuat oleh client kita. Hanya mereka yang berhak untuk membuat keputusan terhadap cadangan yang kita berikan. Sama ada mereka hendak menerima atau menolak cadangan serta kata‐kata nasihat daripada kita, itu terpulang. Apa yang penting kita sudah sedaya upaya cuba untuk membantu mereka. Kita adalah penasihat dan bukannya penyelesai masalah!”

Sengajaku ulangi kata‐kata di hujung bicara. Aku mahu lelaki ini sedar betapa pemikirannya
sebelum ini silap belaka. Aku pantas bangkit dan membasuh mug. Saat kaki ingin melangkah
keluar dari pantry aku menghentikan langkahku danku pusingkan tubuhku. Sekali lagi mata
kami bertembung. Tidakku sangka Dr. Adiib memerhatikan setiap langkahku sedari tadi.

“Lagi satu. Saya cuma nak ingatkan sesuatu. Di sini kami tak gelarkan client kami sebagai
pesakit.”

Lambat Dr. Adiib mengangguk dan senyuman tetap sahajaku berikan biarpun hati ini sudah
mulai berasa kurang senang dengan sikap rakan sekerjaku yang baru ini.

Fail yang terbuka di hadapanku ini tidak lagi mampu untuk menarik perhatianku. Isi kandungannya sememangnya amat perlu untukku teliti, tetapi entah mengapa hanya bayangan dan kata‐kata Dr. Adiib yang memenuhi ruang fikiranku tika ini. Dari posisi duduk, aku bangkit. Hampir menyeluruh tapak kakiku memenuhi ruang bilik ini. Pen yang sedangku pegang menjadi permainan jari jemariku. Setelah penat melayan persoalan yang tidak putus-putus kunjung tiba, akhirnya aku mengambil keputusan untuk kembali semula ke mejaku.

Tetapi kali ini sudahku putuskan untuk tidak lagi menyambung kerja yang masih berbaki
sedikit. Aku pantas mengemas ala kadar mejaku sebelum mencapai handbagku.

Setibanya di tempat letak kereta, sekali lagi pandanganku teralih kepada seseorang yang
sedang membuka pintu kereta. Aku kenal lelaki itu.

“Macam mana aku boleh tak terfikir kereta tu dia yang punya?”

Soal hatiku.

“Assalamualaikum.”

Sapa Dr. Adiib.

“Waalaikumussalam.”

“Saya ingat Dr. Balkis dah balik.”

“Mana boleh saya dah balik, sedangkan kereta saya masih ada di sini lagi.”

Segera aku mendapatkan kembar keretanya.

“Ni, kereta Dr. Balkis?”

Aku mengangguk.

“Dari tadi lagi saya cuba fikir… Siapalah empunya kereta ni?”

Aku sekadar tersenyum. Ada kelegaan di hati kerana ternyata lelaki ini masih sudi untuk
berbual mesra denganku biarpun sebentar tadi aku telah meluahkan beberapa pendapat
yangku kira mungkin mengguriskan hatinya.

“Tak sangka selera kita pada kereta sama. Walaupun pendapat kita agak berbeza.”
Memang benar sangkaanku. Lelaki ini terasa dengan kata‐kataku di pantry tadi.

“Dr. Adiib…”

Dr. Adiib memandang ke arahku. Menantikan butir bicara seterusnya.

“Saya… Saya nak minta maaf kalau kata‐kata saya di pantry tadi menyebabkan Dr. terasa.”

Anggukan dan senyuman manis yang terukir di bibir Dr. Adiib kian menambahkan kelegaan di
hatiku dan harapanku biarlah permulaan perhubungan kami yang bermula dengan sedikit
ketegangan ini mampu berubah menjadi sebuah perhubungan yang lebih jujur dan ikhlas
dalam memberikan pendapat biarpun kadangkala ianya pahit untuk ditelan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan