Label

Isnin, 21 November 2016

NOVEL Akhirnya Bab2

SEPASANG mata bundar milik Manissa memandang tepat ke mata Suzy. Wajahnya cuba
mengundang warna‐warna ceria namun dihatinya tetap tersimpan satu kekhuatiran yang amat
sangat. Segalanya terpaksa dilakukan demi bantahan emosi terhadap kedua‐dua orang tuanya.

“Jangan takut….kami akan rahsiakan perkara ini baik‐baik. Aku berdua janji….kau akan selamat
kerja di sini!” ujar Cindy.

“Kita akan kaya kerja di sini!” sela Suzy pula.

“Hanya kita bertiga saja yang tahu. Ini rahsia kita!” Cindy menambah.

Manissa menoleh kepada Suzy dan Cindy. Dia mahu bersuara. Ada banyak keluhan yang masih
bersarang di dadanya. Ingin sahaja diluahkan namun terasa serba salah malah amat berat
untuk dilontar keluar. Biarpun keputusan pasti ada di tangannya namun hakikat yang terpaksa
ditelan amat payah dan sukar. Jiwanya masih lagi bercelaru.

“Apa guna duit yang banyak kalau hati tak senang? Kalau aku nak duit…..aku tak payah susah-susahkan diri kerja di sini. Harta keluarga aku sudah cukup untuk aku seorang. Tapi apa guna
harta yang banyak kalau perasaan aku sering tidak tenteram. Di sini sebenarnya, aku bebas
buat apa saja. Apa yang aku suka!”

“Kau orang berdua jangan nak bersembang lagi. Malam ini kita menari puas‐puas. Lupakan
semua masalah tu!” seka Cindy kepada Suzy dan Manissa.

“Kita enjoy sampai pagi!” sampuk Suzy pula lalu bangun menyertai Cindy yang mula
bergoyang‐goyang menari sendirian.

Cindy dan Suzy semakin serasi di lantai tari. Ayunan pinggul dan goyangan tangan mereka
semakin mengasyikkan. Setelah terasa sedikit kepenatan, Cindy dan Suzy kembali mendapatkan Manissa yang masih duduk di satu sudut di pusat kelab malam itu. Manissa sudah mula melupakan kegusarannya.

Suzy memesan minuman tambahan untuk Manissa.

“Tambah…..tambah lagi! Jangan segan‐segan!” teriak Suzy kepada Manissa yang masih
melekat di kerusinya.

Muzik di dewan menari terus beralun. Semakin lama semakin rancak biarpun malam telah bertukar ke pagi. Suasana panas terasa membahang walaupun ada alat penghawa dinginnya. Hentakan kaki dan hayunan tangan tanpa dapat ditahan‐tahankan lagi. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 2 pagi. Namun kegilaan anak‐anak muda di lantai tari semakin menjadi‐jadi. Bagaikan ada kuasa yang meresap ke dalam tubuh anak‐anak muda itu terus ligat menari. Setelah hilang rasa penat, Suzy dan Cindy kembali menyertai sebilangan anak muda yang lain kembali memanaskan lantai tari.


Manissa mula terasa letih. Badannya terasa panas membahang dan membuatkan dirinya tidak begitu selesa. Udara panas bagaikan menyelimuti perasaannya yang tidak tentu arah itu. Dia memberi isyarat dengan tangan melambai Suzy yang terkinja‐kinja menari.

“Aku balik dulu. Badan aku letih sangatlah Suzy,” beritahu Manissa apabila Suzy datang
menghampirinya.

“Ehh….janganlah macam itu Nissa, awal lagi ni,” usul Suzy.

“Awal kau kata! Dah pukul 3 pagi kawan!”

“Kau sepatutnya menari. Barulah hilang rasa mengantuk tu,”

“Lain kali saja aku menari. Aku tak ada moodlah…,”

“Balik rumah pun bukan ada siapa dekat rumah. Rilekslah ... kejap lagi kita balik sama‐sama,”
rayu Suzy kepada Manissa.

Suzy sempat mengeluarkan satu paket kecil yang mengandungi pil‐pil yang berwarna lalu
dihulurkan kepada Manissa.

“Apa ni Suzy?” Manissa agak kehairan.

“Aku tahu kau perlukannya sekarang. Ambil dua biji…..telan bersama air tu. Mesti hilang
mengantuk punya, macam aku!” beritahu Suzy lagi.

Tanpa dipaksa Manissa mengambil satu paket kecil itu dari tangan Suzy. Kini barulah dia tahu
bahawa pil‐pil inilah yang membantu memberi tenaga kepada anak‐anak muda yang tidak
penat‐penat menari itu. Manissa dapat mengagak dari situlah datangnya kuasa itu.

Mungkinkah ini penangan pil‐pil eastacy yang ditelan sebelum turun ke lantai tari, desis hati
Manissa lagi. Manissa menyimpan sahaja paket kecil itu ke dalam tas tangannya. Dia belum
tergamak lagi menelan pil‐pil itu walaupun memang terasa letih sangat badannya saat itu.

Manissa mula menguap. Terasa keletihan yang amat sangat membelenggui tubuhnya saat itu.
Suzy dan Cindy masih bertenaga melayani beberapa orang pelanggan yang hadir ketika itu.
Manissa melihat lagi jam di tangannya. Hampir jam 4 pagi kini. Perlahan‐lahan dia bangun dan
terus pergi menuju keluar kelab malam. Kakinya terus melangkah longlai. Ditinggalkan Suzy
dan Cindy tanpa sebarang pesan.

“Biarlah mereka dengan kerja mereka, aku perlu pulang sekarang.” desis Manissa.

Kereta sport hadiah daripada bapanya sempena hari lahirnya setahun lalu dipandu perlahan.
Pandangannya tertumpu kepada jalan raya yang terbentang luas di hadapan. Sesekali matanya
terasa silau apabila dipanah cahaya lampu kereta yang berselisih. Suasana lalu lintas pagi itu
agak lengang. Sesekali ketenangan pagi itu diganggu bunyi enjin motorsikal dari sekumpulan
anak muda yang sedang asyik berlumba atau merempit.

Sambil memandu, Manissa teringatkan ibu dan ayahnya. Wajah Datuk Zulkifli dan Datin
Sharifah mengawang di ruang matanya bersilih ganti. Semakin diingat semakin parah
perasaannya. Perasaannya kembali bercelaru. Dingin pagi menambah lagi kesepian hatinya
ketika itu. Jiwanya terasa gersang dari kasih sayang kedua‐dua orang tuanya. Setiap kali
pulang ke rumahnya hanya kepedihan yang terlontar. Ketenangan dan kedamaian di rumah
banglo dua tingkat itu sudah tiada lagi. Semuanya hilang ditelan oleh keegoan penghuni-penghuninya.

Kepiluan bagaikan merantai segenap ruang kehidupannya. Dia amat dahagakan kasih sayang
kedua‐dua ibu bapanya. Namun keinginannya itu hanya tinggal harapan. Harapan yang tidak
mungkin kesampaian. Dia sudah putus asa untuk menikmati kehidupan yang lebih sempurna.
Semuanya bermula kira‐kira enam bulan yang lalu. Ibunya telah jauh hilang daripada
pandangan matanya. Akibat marah dan tidak dapat mengawal perasaan, ibunya merajuk hati.
Tindakan drastiknya terus meninggalkan ayahnya, meninggalkan Manissa dan segala‐galanya
yang ada di sini pulang semula ke kota London selepas 22 tahun. Ibunya pergi tanpa sebarang
pesan sedangkan ayahnya bagaikan tidak mempunyai perasaan. Bahagia yang dilarik tidak
sampai ke penghujungnya. Angkara seorang perempuan, hubungan ibu dan ayahnya terus
berantakan.

Bermula saat itu hidup Manissa semakin terumbang‐ambing. Kehadiran Mak Intan, sebagai
pembantu rumahnya sedikitpun tidak dapat mengubah suasana. Kehadirannya tidak lebih
sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan rumah banglo yang selalu kosong
ditinggalkan oleh penghuninya. Sebaliknya Suzy dan Cindy banyak membantu Manissa melerai
perasaannya yang selalu tidak tenteram.

“Kita bukan sehari dua baru kenal. Kita akan gembira sama‐sama!” beritahu Suzy semasa
Manissa mengadu masalah yang melanda kehiduapannya ketika ini.

“Aku kesian lihat keadaan kau. Aku benar‐benar simpati. Aku tidak boleh masuk campur dalam
urusan keluarga kau tapi aku boleh bantu gembirakan hati kau...,” tambah Suzy lagi.

Sejak daripada hari itu, persahabatan antara Manissa dan Suzy semakin akrab. Begitu juga
dengan Cindy. Mereka bertiga banyak menghabiskan masa bergembira bersama‐sama.
Kehidupan yang serba mewah itu membuatkan Suzy juga lupa diri. Bapanya seorang ahli
perniagaan berjaya memiliki beberapa buah syarikat besar. Kehidupannya mewah dengan
wang ringgit tapi jauh dari rasa kasih dan sayang keluarga. Akhirnya Suzy terpaksa mencari
haluan sendiri memuaskan gejolak hatinya. Cindy juga juga anak orang berada. Bapanya
mewarisi kekayaan perniagaan datuknya. Belaian manja yang berlebihan juga mendesak Cindy
terjebak dengan kehidupan liar di ibu kota. Lebih memilukan hidupnya apabila peristiwa hitam
pengakhiran nafsu serakah bapanya. Bagaikan haruan dimakan anak, dia terkulai di pangkuan
ayahnya sendiri.

Mak Intan pernah menasihatkan Manissa supaya berhati‐hati dalam memilih kawan. Dia tidak
mahu Manissa hanyut dan menyesal kemudian nanti atas kesilapannya sendiri. Namun
kehadiran dan teguran Mak Intan hanya dipandang sepi oleh Manissa.

“Jangan pandai‐pandai nak nasihatkan Nissa! Buat saja kerja di dapur tu! Siapa mak cik nak
nasihatkan Nissa?” jerkah Manissa pada suatu petang. “Kalau dah tak pandai buat kerja …
berhenti saja!”

Dia masih ingat lagi kata‐kata itu. Ketika itu dia memang tidak dapat mengawal perasaan. Ibu
bapanya sering bertengkar. Perhatian kepadanya terabai. Sedangkan jiwa remaja memberontak mahukan kebebasan. Sememangnya dia masih ingat lagi ketika itu terkebil‐kebil mata Mak Intan apabila Manissa memarahinya petang itu. Sikap Manissa yang lembut terus berubah akibat krisis keluarganya dan Mak Intan memahami situasi itu. Musibah yang melanda keluarganya menjadikan Manissa semakin kurang ajar.

Khayalan Manissa terhadap Mak Intan terus berlalu. Manissa mula sedar tindakan yang telah
dilakukan. Angkara peselisihan ibu bapanya, Mak Intan turut menjadi mangsa. Dia sudah
terlanjur menutur kata. Tikaman biacaranya telah mengguris dan menghiris perasaan wanita
tua yang sekian lama berjasa kepada keluarganya. Dia tahu bahawa Mak Intan hanya
menumpang berteduh di rumahnya sambil mencari rezeki yang halal. Perasaannya terbuaibuai
bagaikan diusik. Ingatan terhadap Mak Intan terus bertandang.

“Maafkan Nissa…..tak ada niat Nissa nak lukakan hati mak cik…,” desisnya sendirian. “Sekarang
bukan hanya ayah, ibu yang hilang dari hidup Nissa….mak cik pun….,”

Ada garis‐garis penyesalan kembali bercambah di hatinya. Tiga bulan sudah berlalu. Mak Intan
juga telah pulang ke kampungnya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan yang
binasa. Keputusan telah dibuat, Mak Intan tetap bulat dengan keputusannya. Dia sudah tidak
seronok lagi terus berbakti dengan tuan rumah yang asyik bertelagah itu. Bagaikan kancil
tersepit di tengah‐tengah medan pertempuran. Tanah kelahiran peninggalan arwah ibu
bapanya masih ada jadi dia mahu memulakan sejarah baru dalam kamus hidupnya. Berhijrah
kembali ke tanah tumpah darahnya.

“Ya….Datuk itulah keputusan saya. Cukuplah kesempatan yang ada….,” beritahu Mak Intan
pada Datuk Zulkifli pada suatu pagi hujung minggu.

“Berhenti? Saya tak suruh dan saya tak akan halang!” jawapan serius Datuk Zulkifli masih lagi
egonya sebagai seorang lelaki.

“Err….apa‐apapun saya nak minta maaf Datuk….err…,” terketar‐ketar suara Mak Intan.

Datuk Zulkifli tidak berkata apa‐apa. Dalam keadaan sekarang fikirannya berserabut. Dia
tertekan memikirkan isterinya pergi meninggalkannya pulang ke kota London. Manissa pula
semakin tidak dapat dikawal. Ditambah lagi dengan perangai anak gadisnya yang keluar pagi
dan pulang lewat pagi jua. Bengkak hatinya menanggung segala masalah yang berlaku itu. Ini
ditambah pula orang gajinya mahu berhenti. Sedangkan jiwa dan perasaannya turut terabai
tanpa ada yang merawatnya.

“Suka hati kamulah...esok ambil gaji kamu. Kemaskan pakaian kamu dan esok juga saya hantar
ke stesen bas…,” Datuk Zulkifli menambah. “Nissa pun dah besar panjang…tahulah dia uruskan
diri. Biar dia belajar urus semuanya untuk hidupnya sendiri…..,”

Ingatan kepada Mak Intan terus berlalu. Cahaya dari lampu neon sepanjang jalan terus
menemani perjalanannya pulang ke rumah pagi itu. Jalan raya masih lagi sepi. Warga kota
masih lagi diulit mimpi sebelum bangun untuk meneruskan satu lagi episod kehidupan. Jarum
jam terus berdetik. Manissa terus memaut kemas stereng kereta dan meluncur perlahan
meredah manik‐manik embun yang telah gugur membasahi jalan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan