Label

Jumaat, 25 November 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab5

‐Tahun 1993‐

Tuk… Tuk… Tuk…

“Assalamualaikum.”

Ketukan bersama ucapan salam menggamit Hajah Faaidah ke muka pintu.

“Waalaikumussalam. Eh… Zawiyah. Ingatkan siapa tadi. Silakan masuk.”

Jemput Hajah Faaidah. Zawiyah dibawa ke ruang tamu dan dipersilakan duduk di atas sofa.

“Lah… Apa susah‐susah ni.”

Haja Faaidah tetap juga menerima sepinggan kuih yang dihulurkan oleh Zawiyah.

“Pagi tadi, saya ada buat kuih sikit.”

“Terima kasih banyak‐banyak. Tapi, lain kali tak payah susah‐susah. Segan mak cik. Selalu
sangat dah kamu hantar makanan ke sini. Jemput duduk dulu ya, mak cik ke dapur kejap.”

Hajah Faaidah berlalu ke dapur dan datang semula ke ruang tamu membawa dulang berisi air
dan sepiring biskut.

“Jemputlah minum.”

“Terima kasih mak cik.”

Zawiyah meneguk sedikit air yang dihidangkan kepadanya sebagai tanda menghormati tuan
rumah. Setelah cawan diletakkan semula di atas meja, Zawiyah memandang tepat ke arah
Hajah Faaidah dan senyuman terukir di bibirnya sebelum dia memulakan bicara.

“Sebenarnya… Tujuan saya datang kali ni membawa hajat.”

Berkerut dahi Hajah Faaidah, tanda tidak memahami.



“Bawa hajat? Hajat apa?”

“Macam ni... Sebenarnya dah lama saya dan suami berbincang mengenai Fikri dan Mashitah.”

“Kenapa dengan mereka?”

Tidak sabar Hajah Faaidah bertanya. Sudah dianggapnya kedua mereka seperti cucunya sendiri. Hanya Fikri dan Mashitah sahaja yang sudi untuk menemani dan menjadi teman kepada cucunya, Balkis. Semenjak kehadiran anak‐anak wanita muda di hadapannya ini, Balkis tidak lagi kesunyian dan zaman kanak‐kanaknya juga tidak lagi diwarnai kesuraman.

“Mak cik tahukan yang anak‐anak saya dah selesa benar dengan keluarga mak cik. Balkis tu
dah terlalu akrab dengan mereka.”

Hajah Faaidah masih mendiamkan diri dan tumpuannya masih terarah kepada wanita yang
masih belum jelas akan niat sebenarnya.

“Jadi… Kalau boleh, saya dan suami nak minta pertolongan mak cik dan pak cik.”

“Pertolongan yang macam mana tu? InsyaAllah… Kalau mak cik dan pak cik mampu, akan kami
usahakan.”

“Baiklah. Biar saya berterus terang. Sebenarnya saya dan suami sudah berbincang dan sepakat
untuk meminta pertolongan daripada mak cik dan pak cik untuk mengajar Fikri serta Mashitah
mengaji.”

Terkaku Hajah Faaidah. Mulutnya kelu, tidak mampu untuk meluahkan kata‐kata. Tidak
disangkanya itulah hajat yang dibawa oleh wanita di hadapannya ini. Bukannya dia tidak
mampu untuk memenuhi permintaan Zawiyah dan Ishak. Sesungguhnya memang itulah apa
yang telah dikerjakan oleh dirinya dan suami. Mengajar orang kampung mengaji. Suatu saat
dahulu rumah ini terang benderang dan bergema indah dengan alunan bacaan kitab suci
Allah. Bukan setakat kanak‐kanak malahan orang dewasa turut meminta tunjuk ajar mereka.
Tetapi itu dahulu, saat sebelum anak tunggalnya menyebarkan aibnya di seluruh kampung!

“Mak cik. Mak cik okey ke?”

Tersentak Hajah Faaidah dan berpura‐pura tersenyum. Cepat diusir peristiwa hitam yang mulai
menghadirkan sebak di hatinya.

“Mak cik bukannya tak nak. Tapi…”

“Mak cik, kalau boleh pertimbangkanlah dahulu permintaan saya ni. Bukannya apa, kalau betullah mak cik dan pak cik sudi membantu… Lapang sikit dada saya ni. Sekarang ni macam-macam
dah perkara serta ajaran yang sudah tersimpang jauh dari ajaran Allah di luar sana tu. Sampaikan saya dan suami jadi takut nak hantar Fikri serta Mashitah belajar di tempat‐tempat yang tidak kami ketahui secara mendalam siapakah gurunya? Betul ke guru tu bertauliah? Tapi, saya yakin dengan ilmu yang mak cik dan pak cik milik mampu untuk membimbing anak‐anak saya. Lagipun kita ni berjiran, senang saya nak pantau anak‐anak saya. Bolehkan mak cik?”

Hajah Faaidah menjadi serba salah. Terlihat benar pengharapan di wajah Zawiyah. Tidak
sanggup rasanya untuk Hajah Faaidah mengecewakan hati wanita di hadapannya ini.

“Macam nilah. Mak cik sebenarnya tak boleh nak bagi keputusan sekarang. Nanti bila pak cik
dah balik, mak cik akan cuba berbincangan dengan pak cik. Bolehkan?”

Terlihat kekecewaan mulai mewarnai wajah Zawiyah.

“InsyaAllah. Kalau diizinkan Allah akan kami penuhi permintaan kamu suami isteri. Tapi, apa
pun mak cik kena berbincang dengan pak cik dulu.”

Mendengar kata‐kata itu barulah senyuman mampu terukir di bibir Zawiyah.

“Baiklah. Kalau macam tu, saya balik dululah. Tapi… Saya berharap sangat agar Fikri serta
Mashitah dapat bergurukan mak cik dan pak cik.”

“InsyaAllah. Sama‐sama kita berdoa.”

Zawiyah pantas menyalami Hajah Faaidah sebelum berlalu. Hajah Faaidah masih berdiri di
muka pintu biarpun bayangan Zawiyah sudah kian menghilang di pandangan matanya. Sedikit
demi sedikit bayangan kepedihan serta kekecewaan yang telah ditunjang oleh rasa malu akibat
aib yang telah disebarkan oleh Nafsiah dan Mushir bermain di ruang mata. Semakin lama
semakin jelas bayangan itu sehingga menghadirkan permata. Sudah acap kali hati tuanya
mengingatkan diri agar tidak lagi menitiskan air mata saat telinga mendengar kata‐kata cacian
mahupun sindiran daripada orang kampung. Tapi… Mana mungkin sekeping hati yang sudah
diracik‐racik dan hanya menunggu masa untuk lunyai itu mampu untuk menahan segala
penghinaan. Sebelum kehadiran Zawiyah sekeluarga tiada sesiapa pun yang sudi untuk
bertegur sapa apatah lagi menghulurkan salam kepadanya. Hadirnya jirannya ini membawa
seribu kebahagiaan terutamanya kepada cucu kesayangannya, Balkis. Andai dahulu setiap kali
pulang dari sekolah, Balkis banyak menceritakan tentang pelajaran. Tiada langsung disentuhnya perihal rakan taulan. Bukannya cucunya itu tidak mahu menceritakan tentang gurau senda rakan‐rakan tetapi sesungguhnya dia tahu tiada sesiapa yang sudi untuk mendekatkan diri dengan cucunya itu. Mungkin kerana kanak‐kanak itu sudah ditancapkan dengan kata‐kata peringatan daripada kedua orang tua mereka agar menjauhi cucunya. Tetapi sejak kebelakangan ini keceriaan benar‐benar terlihat di wajah Balkis. Nama Mashitah dan Fikri selalu sahaja meniti di bibir cucunya itu. Dia tahu betapa cucunya berasa bahagia dengan kehadiran kedua anak Zawiyah. Maka, kini nekadnya cuma satu! Andai wanita muda itu mampu untuk menghadirkan senyuman di wajah Balkis mengapa tidak dirinya dan suami menghadirkan pula senyuman di wajah Fikri dan Mashitah?

“Tahniah Balkis. Saya memang yakin dari awal lagi awak akan jadi juara.”

Gembira Mashitah. Riang hatinya apabila sahabat baiknya ini dinobatkan sebagai juara dalam
pertandingan pidato peringat daerah yang diadakan di sekolahnya.

“Terima kasih. Tapi bagi saya semua peserta tadi sememangnya hebat‐hebat belaka.”

“Memanglah. Tapi, awak yang paling hebat. Kalau tak, takkan awak boleh dapat piala tu.”

Mashitah menjuihkan bibirnya ke arah piala yang sedangku pegang. Aku tahu apa mahunya.

“Awak nak pegang?”

Aku mengunjukkan piala kepada Balkis. Cepat sahaja apa yangku unjuk bertukar tangan.
Bersinar mata Balkis, tersenyum aku melihat telatah sahabatku ini.

“Wah! Cantiknya piala ni. Berat pulak tu. Untung awak Balkis. Dalam banyak‐banyak peserta
awak yang terpilih menjadi juara.”

“Dah rezeki saya.”

“Bukan sebab rezeki awak je. Tapi, memang awak yang paling layak bawa balik piala ni. Awak
tahu tak… Masa awak berpidato tadi, semua orang tumpukan perhatian kepada awak. Mata
saya ni, langsung tak berkelip tengok awak bersemangat mengeluarkan kata‐kata. Tertelan air
liur saya dibuatnya. Kan bangus, kalau saya pun ada kebolehan dan semangat macam awak.”

Mata Balkis masih bersinar memerhatikan piala yang sedang dipegangnya.

“Setiap orang ada kebolehannya. Saya yakin yang awak pun ada kebolehan awak sendiri.”

Lembut aku memegang bahu temanku ini. Cepat sahaja Mashitah mengukirkan senyuman
buatku.

“Awak tahu tak Mashitah kenapa saya berusaha bersungguh‐sungguh untuk memenangi
pertandingan kali ni?”

“Bukan setiap kali pertandingan pun awak yang akan menjadi juara ke?”

Persoalan yangku utarakan tidak dijawab, pertanyaan lain pula yang diutarakan kepadaku.

“Okey. Saya salah cakap. Awak tahu tak, kenapa setiap kali saya menyertai apa‐apa pertandingan saya mesti akan berusaha sehabis mungkin untuk memenangi pertandingan tu?”

Mashitah menjungkitkan bahu.

“Sebab… Saya nak buat walid wan dan umi tuk bangga dengan saya. Saya nak buktikan kepada
semua bahawa saya mampu untuk memberikan senyuman kepada walid wan dan umi tuk dan
yang paling penting… Saya nak beritahu semua orang bahawa Balkis binti Abdullah adalah
seorang budak perempuan yang takkan mengalah biarpun tak ada sesiapa yang sudi untuk
berkawan dengannya.”

Terasa panas mataku. Aku tahu, andai aku masih meneruskan kata‐kata pasti tangisan akan
menjelma.

Mashitah mengerti akan maksud yang ingin disampaikan oleh Balkis. Biarpun dirinya masih
dibangku sekolah rendah. Tetapi semenjak bersahabat dengan insan di sebelahnya ini, dirinya
kian memahami akan erti derita dan kesedihan.

“Balkis. Awak janganlah sedih‐sedih. Nanti, awak balik… Awak terus tunjukkan piala ni kepada
walid wan dan umi tuk. Saya yakin yang walid wan dan umi tuk akan bangga sangat sebab ada
cucu macam awak.”

Piala bertukar tangan semula kepadaku. Serta merta mendung di hati beredar pergi dan cepat
pula pelangi mengambil ganti. Senyuman kian mekar bukti kegembiraan di hati.

“Eh, awak ni pelajar yang menang tadikan?”

Cepat aku menganggukkan kepala kepada seorang guru perempuan yangku yakini bukanlah
berasal dari sekolah ini. Wajahnya begitu janggal di penglihatanku.

“Tahniah. Cikgu bangga sebab budak perempuan macam awak mampu untuk mengalahkan
kesemua peserta yang terdiri daripada murid‐murid lelaki tadi.”

Huluran tanganku sambut. Terasa kembang hati ini dipuji sebegitu.

“Cikgu tak balik lagi?”

Tersentak guru di hadapanku ini menerima teguran daripada Cikgu Amin. Aku dan Mashitah
turut memberikan reaksi yang sama.

“Lah… Cikgu Amin. Terkejut saya. Belum lagi. Tadi saya singgah ke kantin sekejap, lepas tu saya
terjumpa si juara kita ni.”

Guru perempuan yang masih tidakku ketahui nama dan mengajar di sekolah mana ini masih
utuh mengukirkan senyuman kepadaku.

“Untung Cikgu Amin dan sekolah ni dapat pelajar hebat macam Balkis.”

Tidakku sangka wanita di hadapanku ini mengingati namaku. Kian bangga aku dibuatnya dan
Mashitah menyedari apa yang sedangku rasai. Dirinya turut tersenyum bangga.

“Untung tu, memang untung. Tapi…”

Kata gantungan yang bakal mengundang tanda tanya di hati sesiapa sahaja yang mendengarnya cepat sahaja menghadirkan debaran di dadaku. Sungguh! Jantungku berdegup kencang dan terasa sejuk seluruh tubuhku.

“Tapi kenapa?”

Ya Allah! Akhirnya akan teronarlah segala aibku. Pertanyaan daripada guru perempuan itu
telah membuka jalan yang begitu luas kepada Cikgu Amin untuk mencanang sisi gelap hidupku. Ini bukanlah kali pertama Cikgu Amin memperlakukan aku seperti ini, sudah acap kali! Sehingga tidak terhitung dek jari.

“Yelah… Bukan apa… Budaknya pandai, cerdik. Tapi sayang…”

“Sayang kenapa pulak?”

Terlerai jalinan salam yang tadinya bertaut erat di antara diriku dan wanita di hadapanku ini.
Kali ini tumpuannya ditumpahkan sepenuhnya kepada Cikgu Amin yang berpura‐pura memberikan riak wajah sedih. Aku tahu, itu semua lakonan! Terasa mahu sahaja aku menjerit meminta guru kelasku ini berhenti dari terus mengeluarkan kata‐kata yang bakal menghancurkan hatiku. Aku tidak rela andai dirinya berpura simpati sedangkan niat yang tersembunyi lebih kepada untuk mengaibkan diri ini.

“Cikgu. Saya dengan Balkis kena balik dulu. Sebab kami berdua nak kena pergi ke sekolah
agama nanti.”

Pantas Mashitah menarik tanganku. Tidak ditunggu agar kedua orang guru ini memberikan
kata izin dan salam juga tidak kami hulurkan. Langkah kian laju, dipaksa aku menjauhi kedua
orang dewasa itu. Aku tahu mengapa tindakan ini yang diambil oleh Mashitah. Semuanya
kerana sahabatku ini tidak mahu aku terus menderita dan akhirnya mengalirkan air mata saat
satu persatu perihal diri dicanangkan dengan lancar oleh Cikgu Amin.

“Awak okey?”

Aku masih membisu. Cuba mengawal getaran di dada. Getaran yang perlu diredakan sebelum
merenyaikan air mata.

“Balkis. Awak okey?”

Terhenti langkah Mashitah dan aku turut memperlakukan perkara yang sama.

“Mashitah. Kenapa Cikgu Amin selalu sahaja mengaibkan diri saya? Apa salah saya pada dia?”

“Awak tak ada salah apa‐apa. Cuma… Cikgu Amin tu je yang tak tahu malu! Jahat! Saya benci
dengan guru kelas tu.”

Kalaulah aku mampu meluahkan kata‐kata seperti Mashitah, akan legakah hati ini? Tetapi ajaran walid wan dan umi tuk segera sahaja mengingatkan diriku perihal dosa serta pahala.

“Tak baik awak cakap macam tu. Walid wan dan umi tuk selalu pesan dekat saya agar tidak
menderhakai serta melukakan hati guru‐guru kita. Biarlah… Biarlah apa pun kata‐kata yang
ingin dikeluarkan oleh Cikgu Amin tentang diri saya. Andai kata‐kata yang dikeluarkan berbentuk kebaikan saya bersyukur. Tetapi, andai kata‐katanya berbentuk penghinaan saya akan sedia memaafi dirinya.”

Balkis mengeluh. Kebiasaannya pasti akhiran kata‐kata ini yang akan keluar dari mulut sahabatnya yang sedang cuba untuk mengukirkan senyuman. Tetapi, jelas benar senyuman itu tawar. Tidak semanis kebiasaannya. Kadangkala, tertanya juga di hati Mashitah. Tidak penatkah Balkis menyembunyikan sedih di hatinya? Tidak sengsarakah sahabatnya ini berpura‐pura gembira sedangkan hatinya sudah lunyai ditumbuk derita?

Sejak kebelakangan ini lapang sungguh dada Zawiyah. Tersenyum sendirian dirinya saat
mengingati penerimaan Mak Cik Faaidah seminggu yang lepas untuk mengambil Fikri dan
Mashitah sebagai anak muridnya. Sebaik sahaja putera dan puterinya itu usai menunaikan
Solat Maghrib terus sahaja rumah jirannya itu ditujui. Pulangnya pula selepas waktu Isyak.
Namun Zawiyah sedar andai tidak disebabkan pujukan Balkis mana mungkin Pak Cik Wahab
sudi menunaikan harapannya. Dia tahu kerana sayangkan cucunya itulah Pak Cik Wahab sudi
untuk menjadi guru kepada anak‐anaknya serta dizinkan juga Mak Cik Faaidah untuk membantunya. Besar sungguh jasa budak itu pada diri serta keluarganya dan kian bertambahlah kasih sayang yang ingin dicurahkan kepada budak perempuan yang baik sikapnya itu.

“Assalamualaikum.”

Tersentak Zawiyah. Melihatkan insan yang mengungkapkan kata salam itu terasa moodnya
berubah.

“Waalikumussalam.”

Lambat ucapan itu dituturkan.

“Banyak beli barang?”

Ramah Mak Cik Bedah, tetapi tidak disenangi Zawiyah.

“Bolehlah. Mak Cik Bedah tak beli apa‐apa ke?”

“Mak cik nak beli kelapa parut. Nak buat kari ayam. Emm… Anak‐anak sihat?”

“Alhamdulillah. Sihat.”

Zawiyah berpura‐pura sibuk melihat barangan yang tersusun di hadapannya. Niatnya agar Mak
Cik Bedah mengerti yang dia tidak menyenangi kehadiran wanita tua itu di sisinya. Namun, ternyata hint yang diberikan tidak difahami. Kian rapat pula Mak Cik Bedah menghampiri dirinya.

“Mak cik dengar anak‐anak kau mengaji dekat rumah Haji Wahab. Betul ke?”

“Haah. Saya yang minta tolong Mak Cik Faaidah dengan Pak Cik Wahab ajar anak‐anak saya.
Bukan apa, zaman sekarang ni susah nak cari orang yang betul‐betul berilmu untuk mendidik
anak‐anak kita.”

Sengaja Zawiyah memuji kedua guru mengaji anak‐anaknya itu. Dia tahu yang wanita tua di
sisinya ini tidak menyenangi akan pujian itu. Mencebik Mak Cik Bedah.

“Kau sedar tak yang tindakan kau ni membawa malu kepada keluarga kau?”

“Apa maksud mak cik?”

Terasa panas telinga Zawiyah mendengar bunga‐bunga cacian daripada Mak Cik Bedah kepada kedua orang tua yang amat dihormatinya itu.

“Yelah… Kaukan jiran dia. Takkan kau tak tahu tentang sejarah hitam keluarga Haji Wahab tu?”

Kian jelas apakah tujuan wanita tua yang bermulut jahat ini menyapa dirinya sebentar tadi.

“Saya minta maaf Mak Cik Bedah. Saya ada banyak kerja lagi yang nak diselesaikan di rumah.
Saya beredar dulu ye.”

Langkah sulung yang ingin diatur terencat saat lengan Zawiyah ditarik oleh Mak Cik Bedah.
Terkejut Zawiyah dengan tindakan itu.

“Nanti dulu. Kau tak malu ke kalau orang‐orang kampung ni tahu yang si Wahab dengan isteri
dia tu yang mengajar anak‐anak kau mengaji? Kau tak malu ke?”

“Nak malu apa? Saya dengan suami dah sepakat nak hantar anak‐anak kami belajar mengaji
dengan Pak Cik Wahab dan Mak Cik Faaidah. Nasib baiklah mereka sudi mengajar anak‐anak
saya.”

“Nak malu apa kau kata? Hei, kau sedar tak yang Haji Wahab tu dah dibuang oleh orang‐orang
kampung ni sebab anak tunggal dia tu dah buat aib dan memalukan nama baik kampung ni.
Sebab tulah jawatan tok kadi dengan imam terpaksa dilepaskan. Siapa yang sudi berimamkan
lelaki yang tak reti nak jaga maruah keluarga sendiri? Dan siapalah pulak yang bodoh nak
jadikan dia tu tok kadi sedangkan anak sendiri berzina dengan adik kandung dia pun dia tak
sedar. Buat malu je.”

Andai diikutkan hati yang sedang membara mahu sahaja Zawiyah menyepak mulut lancang
Mak Cik Bedah sehingga berdarah. Hatinya yang membara kian marak apinya melihat memek
muka yang sengaja dibuat‐buat oleh wanita tua yang nampaknya masih mahu melemparkan
kata‐kata penghinaan.

“Kalau pun kau tak ada perasaan malu. Kesiankanlah anak‐anak kau tu. Bukan apa… Aku tahu
yang anak‐anak kau tu mesti tak rela kau hantar dia orang belajar mengaji dengan lelaki yang
tak mampu nak bimbing keluarga sendiri, tapi ada hati pulak nak bimbing orang lain.”

Kesabaran yang tinggal sisa sebentar tadi tidak lagi berbaki. Lantas…

“Macam nilah mak cik. Biar saya berterus terang, suami saya sebenarnya tidak mengizinkan
saya untuk berbual apatah lagi mengumpat dengan orang‐orang kampung yang bermulut
jahat macam mak cik ni.”

Membulat mata Mak Cik Bedah. Mungkin dirinya tidak menyangka yang wanita muda di
hadapannya ini boleh mengeluarkan kata‐kata tajam seperti itu. Terasa sakit dadanya.

“Mak cik sakit hati bila saya berterus terang macam tukan? Rasa sakit di hati mak cik tu tak
setanding dengan apa yang ditanggung oleh Pak Cik Wahab dan Mak Cik Faaidah. Setiap kali
mak cik mencanang perihal kedua mereka, ada tak mak cik fikirkan tentang perasaan mereka?
Tak adakan! Jadi, sekarang saya juga takkan fikirkan tentang perasaan mak cik. Saya akan
beritahu tentang satu kebenaran dan terpulang sama ada mak cik mahu menerima atau pun tidak.”

Terlihat bayangan api di mata Zawiyah. Ternyata saat ini dirinya sudah tidak mampu untuk
menghentikan kata‐kata yang bakal lahir dari bibirnya. Tidak dipeduli andai kata‐kata itu bakal
mencetuskan pergaduhan serta permusuhan di antara dirinya dengan wanita yang terdiam
membisu di hadapannya ini. Sudah acap kali dia mendengar kata‐kata cacian dilemparkan
kepada Pak Cik Wahab dan Mak Cik Faaidah dan setiap kali itulah hatinya akan terhiris kesakitan. Jadi, hari ini dia harus berani menyedarkan wanita bermulut jahat yang masih berdiri tegak menghadapinya saat ini!

“Kalau mak cik nak tahu, Pak Cik Wahab dan Mak Cik Faaidah tu lebih mulia jika mahu
dibandingkan dengan diri mak cik ni! Mereka tak pernah mencaci serta menghina mak cik. Tapi pelikkan, kenapalah hati mak cik ni hitam sangat sampai sekelumit kebaikan mereka pun mak cik tak mampu nak lihat dan satu lagi! Anak‐anak saya tak pernah rasa malu untuk mengaku yang Pak Cik Wahab dan Mak Cik Faaidah tu adalah guru mengaji meraka. Mereka bangga!”

Terpempan Mak Cik Bedah dan gerun dirinya menghadapi wanita muda di hadapannya ini.
Zawiyah pula kian berani menggambarkan kemarahannya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan