Label

Khamis, 24 November 2016

NOVEL Calon Isteri Alexander Zulkarnaeen Bab5

ALEXANDER Zulkarnaeen duduk selesa di atas sofa, menanti tetamu‐tetamunya sepuluh minit
lagi. Dek kerana bosan dengan pertemuan pertama dan kedua, dia buat keputusan untuk
menghimpunkan calon seramai empat orang dalam masa yang sama. Dunia nak tunggang terbalik atau runtuh? Biarkan saja, asalkan proses itu cepat habis. Tak sanggup rasanya nak melayan ragam orang perempuan dengan karenah macam‐macam. Sakit kepala Alexander Zulkarnaeen dibuatnya. Adam yang setia di sisi dipandang sekali.

“Kau yang akan interview mereka.” Beritahu Alexander Zulkarnaeen, membuatkan Adam
memanggung mukanya deras.

“Kenapa saya pulak? Bukan saya yang nak kahwin.”

“Ikut aje.”

“Mana saya tahu taste bos macam mana.”

“Jangan risau. Hari ni pun, tak ada calon yang dapat menggoncangkan hati aku.” Balasnya, yakin. Adam sengih saja. Yakin sangat Alexander Zulkarnaeen ni! Kalau yang masuk karang buat matanya tak berkelip, biar aku dulu jadi orang pertama yang gelakkannya. Dia ambil fail coklat di hadapan Alexander Zulkarnaeen sebelum menyelak helaian demi helaian.

“Intan Nawrah...umur dua puluh empat tahun, kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi
﴾Penyiaran﴿. Fresh graduate ni, bos. Bakal wartawan kot. Entah‐entah bos yang kena interview
dengan dia.” Adam membaca biodata ringkas calon ketiga itu, kemudian dia pula yang tersengih.

“Tunggu dan lihat.” Jawab Alexander Zulkarnaeen, bersahaja.

Terdengar pintu biliknya diketuk. Dia dan Adam saling berbalas pandangan. Barangkali yang
dinanti telahpun tiba. Untuk pertemuan kali ini, Alexander Zulkarnaeen memang saja memilih
untuk mendedahkan identiti sebenar kerana mahu menilai sendiri sikap setiap calon yang datang. Adam terus berdiri sebaik Alexander Zulkarnaeen beredar ke mejanya. Dia bingkas membuka pintu buat calon pertama yang datang ‘melawat’.

“Masuklah.” Suara Adam mempelawa kedengaran di telinganya. Alexander Zulkarnaeen pula sibuk menyalakan laptop. Dia mahu meneruskan kerja yang tertangguh sebelumnya. Biar Adam menguruskan, dia hanya akan menyampuk apabila perlu sahaja.

“Err...saya Intan Nawrah.” Terdengar suara sopan memperkenalkan diri.

Alexander Zulkarnaeen mengangkat muka sekejap. Raut wajah wanita muda itu sempat dikerlingnya sebelum dia membuat kesimpulan sendiri. Ayu tuannya, bertudung litup dan berbaju kurung. Ada dua fail yang dikelek bersama. Gayanya seperti nak memohon kerja, atau jangan‐jangan dia memang nak mohon kerja dan beranggapan yang borang diisi tempoh hari adalah borang permohonan kerja tak? Cepat Alexander Zulkarnaeen membuat telahan.



“Jemput duduk Cik Intan.” Pelawa Adam di depan sana. Intan Nawrah akur lalu meletakkan fail
di depan Adam. Terpinga‐pinga Adam dibuatnya.

“Fail apa ni?”

“Maklumat peribadi saya, dan fail kedua mengandungi portfolio kerja saya.” Cerita Intan Nawrah serba ringkas. Adam semakin tidak faham. Dia pusing ke belakang, mencari reaksi Alexander Zulkarnaeen. Bibir itu melorek senyuman halus, tetapi sekejap saja. Dari isyarat mukanya, Adam tahu yang Alexander Zulkarnaeen minta dia teruskan saja temuduga itu.

“Ceritakan serba ringkas tentang butir peribadi Cik Nawrah.”

“Nama saya Intan Nawrah binti Mohd Khalil. Umur saya 24 tahun dan saya berasal dari Tapah,
Perak. Saya lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi ﴾Penyiaran﴿ dari Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor.”

“Apa tujuan awak datang ke sini?” Tanya Alexander Zulkarnaeen dari jauh.

Intan Nawrah memanggung wajahnya, tepat ke arah Alexander Zulkarnaeen. E’eh, soalan
perangkap jenis apakah ini? Bukankah mereka ada membuka temuduga kerja hari ni?

“Saya datang nak cari kerja.”

“Saya nak cari isteri. Awak nak jadi isteri saya?” Soal Alexander Zulkarnaeen selamba.

Intan Nawrah terkedu, percikan haba panas terasa menyengat di muka. Aku salah tempat ke?

Eh, tentu mamat tu gurau sahaja. Saja nak menilai keperibadian aku agaknya. Tengok mukanya
relaks aje.

“Err...saya datang nak cari kerja.” Balasnya, sekali lagi.

“Tapi saya nak cari isteri.” Alexander Zulkarnaeen mengulang jawapannya, menyebabkan riak
wajah Intan Nawrah berubah serta‐merta.

Adam sudah senak perut menahan tawa sejak tadi. Ini memang kes cari pasal. Aduhai! Macam
manalah boleh wujud salah faham begini? Ketukan di pintu menjadi penyelamat sementara, muncul tiga orang wanita sebaik diarahkan masuk. Seorang demi seorang diperhatikan Alexander Zulkarnaeen sekali imbas.

“Ni saya perkenalkan bakal madu‐madu awak ye, Cik Intan Nawrah.” Usik Alexander Zulkarnaeen sebaik matanya menangkap reaksi tidak selesa Intan Nawrah. Intan Nawrah bertambah tidak selesa. Hatinya meronta‐ronta hendak keluar dari bilik itu. Tiga orang wanita dengan karektor berbeza‐beza pula saling berpandangan.

“Saya nak jumpa Zulkarnaeen.” Kata seorang wanita, berkemeja ungu lembut.

“Emmm...Ya, saya pun. Katanya nak jumpa di sini.”

“Memang saja Zulkarnaeen kumpulkan awak berempat kat sini. Dia nak berkenalan dengan awak berempat. Salah seorang yang terpilih akan dijadikan calon isterinya.” Jelas Adam, membuka cerita. Reaksi masing‐masing hampir sama, terkejut dengan cerita itu.

“Whatttt?Gila ke apa ni? You kumpul kami ramai‐ramai untuk cari calon isteri you?” Tanya wanita berblouse biru muda. Dari rupanya, Adam rasa itulah Nur Naila, calon kelima Alexander
Zulkarnaeen.

“Err... Kalau begitu, saya orang pertama nak balik. Maaf, saya salah faham, ingatkan ini interview untuk kerja.” Ujar Intan Nawrah, kali ini memang sudah panas punggung. Duduknya serba tak kena apabila mengetahui cerita sebenar temuduga itu.

“Silakan.”

Adam bangun apabila Intan Nawrah bangun. Dia mengambil kembali dua buah fail di atas meja sebelum melangkah pergi. Hatinya sebal dengan apa yang berlaku. Hilang akalkah dia kerana menghadiri temuduga mencari calon isteri?

Calon pertama yang tersingkir telah dikenalpasti. Tinggal tiga lagi calon yang nampak tidak senang duduk. Adam mengambil masa juga supaya keadaan tenang semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan