Label

Khamis, 24 November 2016

NOVEL Impian Kasih Bab5

Iddya Melissa tersentak apabila terdengar bunyi deringan kiriman email yang dihantar ke peti masuk telefon bimbitnya, sekaligus mematikan lamunannya terhadap peristiwa malam itu, mengembalikan dirinya ke alam nyata.

Segala kenangan manis percintaan bersama bekas tunangannya itu berpusu‐pusu menerjah masuk ke kotak memorinya. Izz Aizril, lelaki yang cukup baik dan amat memahami dirinya. Masing‐masing mencintai dan dicintai. Menyemai cinta empat tahun lamanya, segala suka duka, susah dan senang diharungi bersama.

Empat tahun… bukan sekejap! Perasaan cinta yang lama bertakhta di dalam hatinya, bukan senang untuk dikikis! Dia cemburu apabila Izz Aizril yang pernah menjadi miliknya kini sudah pun dimiliki dan menjadi hak milik sah wanita lain. Apa yang harus dia lakukan sekiranya dia merindui Izz Aizril? Untuk mencapai telefon bimbit dan mendail nombor lelaki itu, memang tidak mungkin dia lakukan! Lelaki itu sudah menjadi suami orang, dan sungguh, dia bukan perempuan yang suka meruntuhkan masjid orang lain meskipun masjid tersebut dibina di atas kelukaannya sendiri!

Iddya Melissa kelelahan. Bengkak matanya, merah hidungnya akibat terlalu banyak menangis meratapi nasib diri. Akhirnya, dia terlena dalam keletihan. Tanpa dia sedari, pintu biliknya dikuak perlahan dimasuki oleh seorang lelaki. Izdham Syah berdiri di hujung katil sambil memerhatikan si gadis yang sedang lena. Tubuh gadis itu yang sedikit mengerekot kesejukan dipandang belas.

Lalu, dengan berhati‐hati dia menghampiri dan menyelimutkan tubuh gadis tersebut.

Kemudian, dia mengatur langkah bergerak ke arah sofa yang terletak di sudut bilik tersebut.
Dia melabuhkan punggungnya di situ berhajat untuk menanti sehingga gadis itu tersedar sendiri.

Satu jam telah berlalu, akhirnya Iddya Melissa tersedar dari lenanya. Saat matanya dibuka, alangkah terkejutnya dia apabila terlihat satu susuk tubuh lelaki yang sedang duduk di sofa sambil memerhatikannya dalam diam. Pantas dia bangun dan duduk di atas katil sambil tangannya sibuk mengemaskan diri yang tentu‐tentunya amat selekeh di saat ini. Entah bagaimana agaknya rupanya ketika ini. Persis langsuir barangkali?

Namun tindakannya terbatas apabila kepalanya pening dan berputar ligat seperti kipas helikopter. Dia mengengsot ke belakang, ingin menyandarkan tubuhnya di kepala katil sambil memejamkan mata. Berharap pening yang dirasakan akan segera hilang. Izdham Syah tersenyum sendirian melihat kekalutan gadis itu. Dia bangun dan mengatur langkah, mengambil tempat di hujung katil. Dia menyelak laporan analisa gadis itu yang terletak di atas meja tempat dia memacakkan kedua kaki.



“Sedap minum air sungai? Apa rasa air sungai Melaka tu?” sinis Izdham Syah melemparkan pertanyaan. Iddya Melissa kaget, tidak tahu bagaimana hendak menjawab persoalan yang diajukan kepadanya tatkala dia tidak bersedia langsung untuk memberikan jawapan. Lidahnya kelu untuk berkata. Terasa seperti dirinya diserang hendap secara tiba‐tiba.

“Awak masih belum sihat sepenuhnya. Kesan lemas semalam masih ada lagi. Awak tertelan banyak air sungai dan hampir lima minit jugak awak bergelut kelemasan dalam sungai tu. Jadi saya nasihatkan agar awak berehat dan tenangkan diri awak. Kalau pun fizikal awak okay dan tiada masalah, mental awak mungkin sakit.” selamba sahaja Izdham Syah kembali menuturkan kata sambil menyelak laporan analisa gadis itu lagi. Sesekali matanya merenung ke arah gadis tersebut, ingin melihat reaksinya selepas persoalan yang diajukan kepada gadis itu sebentar tadi hanya dibiarkan sepi tanpa jawapan.

Iddya Melissa membeliakkan matanya sejurus mendengar ayat terakhir yang keluar daripada mulut lelaki yang berdiri di hadapannya itu. “Apa awak cakap? Kalau pun fizikal saya okay dan tiada masalah, mental saya mungkin sakit? How dare you! Awak nak cakap yang saya ni gila kan?” tuduh Iddya Melissa.

Panas hatinya bila dia dikatakan gila. Tadi, lelaki itu berani menyoalnya tentang rasa air sungai Melaka, kini dia dikatakan sakit mental pula? Lelaki itu dipandang tanpa kelip. Amarah seakan mula menyelinap masuk ke dalam sekeping hati miliknya.

“Tak. Saya tak cakap yang awak gila. Ada saya kata macam tu ke?” Izdham Syah memulangkan soalan kepada gadis tersebut. Jelas dimatanya gadis itu sedang diasuk marah.

“Awak cakap mental saya sakitkan? Hanya orang gila saja yang sakit mentalnya! Don’t you know that?” soal Iddya Melissa sekaligus menafikan ujaran lelaki tersebut yang kononnya mengatakan dia gila.

“Tak jugak. Orang sihat pun boleh alami sakit mental. Contohnya macam awak, fizikal sihat walafiat, sekali pandang memang tak nampak macam orang sakit pun. Tapi tindakan awak terjun dalam sungai tu semalam jelas‐jelas menunjukkan awak ni sakit. Sakit otak!”

Izdham Syah terus menerus menempelak gadis itu tanpa simpati.

“You… shut up! Siapa suruh awak selamatkan saya semalam? Saya tak minta pertolongan awak pun!” Iddya Melissa sudah meninggikan suaranya. Lelaki di hadapannya ini di pandang kecil seperti semut dengan mata yang membara menahan amarah. Kalaulah lelaki kacak di hadapannya itu seekor semut, memang akan dipijak‐pijak dengan kasut tumit tinggi setebal enam inci!

“Memanglah awak tak mintak pertolongan saya, but as a civilian… dah jadi tanggungjawab saya untuk menyelamatkan orang yang sedang kesusahan.” Izdham Syah masih bersahaja membalas kata gadis itu. Matanya di arahkan tepat ke wajah manis itu.

Argh, ada‐ada saja jawapan lelaki ini yang mampu menaikkan lagi darahnya! Dia sudah malas hendak bertekak dengan lelaki yang seakan tidak mempunyai perasaan itu. Sakit hati yang sedia ada masih belum mampu dirawat, tidak kuasa dia hendak menambahkan lagi sakit yang dirasakan dengan melayan mahupun membalas kata‐kata lelaki yang terlalu lantang bersuara tanpa mengetahui sebab musabab dia bertindak demikian.

Lelaki itu dijeling sambil tangannya menekan punat loceng memanggil staff nurse yang bertugas. Staff nurse yang masuk ke biliknya pagi tadi muncul di pintu. Lalu tanpa kata, dia memandang Izdham Syah dan pesakit itu bersilih ganti.

“Nurse, panggilkan doktor untuk saya. Saya nak jumpa doktor.” arah Iddya Melissa kuat dan lantang. Biar lelaki yang tidak mempunyai perasaan ini sedar kehadirannya tidak dialu-alukan.

“Errr…” staff nurse itu memandang Izdham Syah dengan pandangan bingung tanpa menjawab permintaan pesakitnya itu. Iddya Melissa juga termangu‐mangu mengapa staff nurse tersebut kelihatan seperti serba tak kena?

“Nevermind Sarah, you can go. I’ve got this.” Izdham Syah bersuara. Staff nurse itu pun berlalu pergi sambil menjongketkan bahu. Tidak mahu mencampuri urusan di antara keduanya.

“Eh awak ni siapa nak suruh‐suruh nurse tu pergi? Mind your own business, can you? Saya nak jumpa doktor, bukan nak jumpa awak! Awak yang patut pergi!” Iddya Melissa sudah naik angin. Lelaki ini benar‐benar mencabar kesabarannya.

“You are my business cik Nur Iddya Melissa Binti Akmal. I am your doctor.” Izdham Syah sudah tersengih memandang pesakitnya. Sebaris ayat yang keluar dari mulut lelaki itu amat mengejutkan. Doktor? Lelaki ini seorang doktor? Lelaki yang menyelamatkan nyawanya malam tadi ialah seorang doktor? Lelaki yang dianggap seperti semut ini juga merupakan seorang doktor? Tercengang Iddya Melissa memandang lelaki itu dengan mulut yang melopong.

“So…saya dah ada kat depan awak ni. Tadi awak kata awak nak jumpa doktor awak kan? Ada apa‐apa yang awak nak tanyakan kepada saya tentang keadaan diri awak?” Izdham Syah berkata seraya tersenyum manis. Kini dia sudah duduk di birai katil yang menempatkan gadis itu.

“Err… saya cuma nak tanya bila saya boleh keluar dari hospital ni?” Muka Iddya Melissa terasa panas. Merah menahan malu! Lelaki yang menyelamatkannya malam tadi juga merupakan doktor di hospital yang sedang dia diami? Malahan lelaki itu juga doktor yang bertanggungjawab untuk merawatnya? Dia pula selamba badak sahaja memarahi lelaki itu sesuka hati. Tiada juga ucapan terima kasih yang diberikan atas segala pertolongan lelaki itu terhadap dirinya. Yang diberi cuma kemarahan.

Di mana adabnya sebagai seorang manusia dan gadis? Ya Allah, sesungguhnya dia malu yang teramat dengan lelaki itu ketika ini. Izdham Syah semakin berminat untuk terus memandang gadis itu. Pelik! Tadi bukankah gadis itu sedang dihuni amarah yang amat?

Kenapa bila dia memberitahu siapa dirinya yang sebenarnya, gadis itu terus terdiam dan tahu
bersopan?

“Awak boleh keluar dari sini esok pagi. Saya nak pastikan awak betul‐betul dapat rehat yang secukupnya. Jangan lupa makan untuk dapatkan tenaga. Tak kira sebesar manapun masalah yang awak tanggung, utamakan diri awak dulu."

"Jangan sewenang‐wenangnya ambil jalan mudah dengan mengambil nyawa awak. Allah kurniakan kita nyawa, salah satu pemberian yang paling berharga buat manusia. Bersyukur lah!” Pedas dan tegas ayat yang dilontarkan oleh Izdham Syah, kemudian dia terus melangkah pergi daripada bilik yang menempatkan gadis itu. Dia masih punya banyak pesakit untuk dirawat walaupun hatinya teringin benar hendak terus berada di dalam bilik tersebut.

Berdesing telinga Iddya Melissa mendengar ujaran lelaki itu. Wajah yang memerah bak tertelan cili cuba dineutralkan. ‘Tulah kau, celupar lagi, kan dah kena cili di alam fantasi.’ Hati Iddya Melissa seakan mengutuk perbuatannya sendiri. Bola matanya mengekori langkah lelaki itu keluar daripada biliknya sehingga tubuh lelaki itu hilang di sebalik pintu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan