Label

Sabtu, 3 Disember 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab19

“Aira, cinta dimulai dengan sebuah senyuman, tapi selalunya cinta akan berakhir dengan titisan air mata. Tapi, aku masih ingin memiliki cintamu.”

Sepasang mata Noli Diyana membulat memerhati pesanan ringkas yang terpapar di skrin iphone
sahabatnya, Aira Syuhada. Dia kemudian merenung berselang seli di antara telefon dengan tuan punya telefon. Ingin percaya, tetapi rasa macam tidak masuk di akal pula. Tidak ada logika, bak kata Agnes Monica.

“Kau biar betul, Aira. Abang mekanik kau tu tulis semua ni? Mamat kasar tu? Hisy, tak percaya aku!” Noli masih enggan percaya walau bukti begitu nyata.

Aira tersengih. Telefon diambil semula dan sengaja hendak mengusik Noli, skrin telefon itu
dikucupnya.

“Muuaaahh! Sayang awak, Adham!” bisiknya dalam nada mengada‐ngada.

Noli turut tersengih. Air batu di dalam gelas milo aisnya, dicampakkan ke arah Aira.

“Berjaya juga kau cairkan mamat tu, ya? Tahniah, Aira! Tapi, kan, aku nak nasihatkan kau sikitlah.”

Aira mengangguk dan menumpukan perhatian.

“Kau tu jangan kasar‐kasar dengan dia lagi. Berubahlah sikit, kurangkan keras kepala kau tu, ya! Bukan senang kau nak curi hati dia, jadi jangan sia‐siakan peluang ni, tahu!”



Tentu sahaja Aira Syuhada tahu. Kerana sesungguhnya bukan mudah untuk membuat Adham Faiz Hanafi menyintainya. Sukar benar untuk mendapatkan hatinya yang satu, jadi tentu sahaja dia akan menghargai peluang yang Adham beri. Lagipun, cintanya tulus dan suci untuk lelaki itu. Tidak pernah ada rasa ini sebelumnya. Hanya Adham yang mampu...

“Hmm, orang yang angau memang macam kau ni, kan? Berangan‐angan aje kerjanya.” Usik Noli. Usikan yang menyebabkan Aira ketawa besar.

“Kau akan rasa apa yang aku rasa bila kau jatuh cinta, Noli! Hmm, indah betul perasaan ni, kau
tahu!” balasnya. "Siang malam, hanya dia di dalam ingatan. Asyik berfikir tentang dia. Apa dia buat masa ni? Apa yang dia makan masa tengah hari? Dia berehat tak? Balik ke rumah, naik motor tu, jaga tak dirinya? Malah semua benda berkaitan dia, akan kita fikir menyebabkan kita jadi rindu. Hmm!"

Noli menjuihkan bibir. “Uisy, tak kuasa aku nak cari penyakit. Baik aku hidup macam ni. Relaks! 
Sorang‐sorang nak ke mana‐mana, tak siapa peduli. Lagipun, aku ni kena bantu keluarga aku, Aira. Dan jugak, aku kena kerja supaya aku boleh masuk universiti dengan duit hasil titik peluh aku sendiri. Taklah nanti, aku menyusahkan mak dengan abah aku pulak.”

Aira mengangguk tanda faham. Keluarga Noli, seperti Adham, juga sebuah keluarga serba sederhana. Bapanya askar pencen yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan di CIMB, Ampang. Ibunya pula hanya seorang suri rumah yang mengambil upah mengasuh anak beberapa orang jiran terdekat. Kini, Noli bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat. Dapat jugalah menampung keperluan keluarganya.

Melihat kehidupan Noli, Aira sentiasa bersyukur dilahirkan sebagai anak tunggal ayah dan emaknya. Dilimpahkan dengan harta yang banyak dan kasih sayang yang penuh, tidak berbelah bagi oleh kedua‐duanya. Ya, dia memang bertuah terutama sekarang bila dia berjaya memiliki sekeping hati Adham Faiz. Dan, semakin beruntung kerana ayah dan ibu merestui mereka.

“Tak ada temu janji dengan si dia ke?” tiba‐tiba Noli bertanya.

Aira menggelengkan kepala. “Kau ingat senang jadi teman wanita dia? Banyak syarat yang dia
berikan pada aku, tahu!” omelnya.

Noli Diyana ketawa. “Aku dah agak dah!” tukasnya.

“No 1. Kami hanya boleh jumpa seminggu sekali aje, iaitu pada petang Sabtu. Hari‐hari lain, tak boleh ganggu dia. Tak kiralah kalau dia di bengkel ataupun di gerai. No 2. Aku tak boleh pakai baju yang terdedah pusat sebab Adham cakap dia tak suka tengok pusat aku. No 3. Aku tak boleh ajak dia kahwin sekarang sebab dia nak aku masuk universiti dan jalani hidup remaja aku tanpa banyak fikirkan diri dia. No 4...”

Noli mencelah, “Weh, berapa banyak syarat da?”

“Banyak! Kau nak tengok list nya?”

“Tak payah! Simpan ajelah, huhu! Pelik korang berdua ni. Nak bercinta pun banyak sangat nak fikir. Itu ini!”

Aira tersengih. “Mestilah. Ini kerana aku bercinta dengan lelaki matang, tau.”

“Hmm, yalah tu!”

“Hello....hello! Long time no see, my dear! Apa khabar you sekarang, Aira?”

Aira terkejut mendengar sapaan itu. Semakin tersentak bila lelaki itu tunduk dan cuba mencium pipinya. Kurang ajar!

“Ikram Syafi! Jaga sikit perangai kau! Kau ingat aku ni macam Ema kau tu ke?” Marahnya, cuba
menolak tubuh Ikram menjauhinya. Mimpi apa agaknya Ikram sehingga begini pula kelakuannya? Selama mereka berkawan, tidak pernah pula lelaki ini bertingkah begini.

Ikram Syafi ketawa sambil mengambil tempat duduk di sebelah Aira. Wajah marah Aira dan kerutan di dahi Noli tidak dipedulikan malah dia dengan selamba terus sahaja meletakkan tangan kiri di belakang kerusi Aira.

“Aku rindu betul pada kau, Aira. Tu yang nampak kau aje, terus teruja.” Bisik lelaki itu.

Aira menolak tangan Ikram yang jari‐jemari kasarnya sedang menjalari tengkuknya.

“Hisy, janganlah, Ikram. Kenapa dengan kau? Tangan kau ni, tak boleh duduk diam ke? Yang 
meraba‐raba aku ni, apasal? Tepilah!” Aira menepis tangan nakal si Ikram. Ketawa Ikram semakin membuat dia marah. Hatinya sakit sangat. Rasa ingin ditamparnya pipi lelaki itu.

Ikram membetulkan kedudukannya.

“Aku saja je nak menguji apakah Aira ini masih sama macam Aira yang dulu. Aira yang bergelar
‘The Ice Queen’. Nampaknya, memang orang yang sama. Pantang diusik, mesti melenting. Maafkan aku, Puteri Salju!”

Kata‐kata Ikram dan permintaan maafnya menyebabkan Aira terpegun seketika.

Bagaimanapun, dia akhirnya mengangguk. Lagipun, Ikram hanya ingin menguji, dia bukan benar‐benar gatal, fikirnya.

Mereka berbual‐bual, mengulangi cerita lama dari satu topik ke satu topik yang lain. Kenangan‐kenangan di zaman persekolahn kalau dikenang, memanglah indah. Tentu sahaja senyuman akan terukir indah di bibir. Tentu sahaja riuh ketawa mengingati saat‐saat lucu dahulu. Keriangan menghiasi wajah.

“Kau dah semakin matanglah, Ikram. Tak macam dulu. 2 bulan boleh mengubah kau jadi manusia, ya?” perli Aira.

“Ha’ah! Lain kan, Ikram sekarang? Macho macm gini, aku pun boleh jatuh cinta pada kau, tahu!” Noli menokok.

Ikram ketawa. “Eleh, kau buat apa? Dari dulu, aku dok terkejar‐kejar dia ni, bukan kau. Sori ya,
Noli.” Katanya.

“Dah, jangan mengarut! Aku tak sudi, Ikram. Belum masa memikirkan cintan dan cintun.” Balas
Aira tegas.

Noli ketawa. ‘Tak ada masa konon, hehe..’ Ketawanya semakin kuat melihat wajah Ikram yang sudah bertukar suram. Lelaki buaya itu sedang berpura‐pura bersedih, fikirnya.

“Tak apa! Nanti kau beritahu masa yang sesuai tu. Aku sentiasa menunggu. Sabar dan penuh sabar!” Ikram berkata‐kata penuh keyakinan.

Aira menggelengkan kepalanya.

“Suka hati kaulah, Ikram. Tapi nanti, jangan pulak kau cakap yang aku tak bagi kau amaran supaya pergi jauh‐jauh daripada hidup aku. Dahlah, aku nak balik ni. Jom, Noli.”

Ketika ingin bangun, sepasang mata menangkap renungan seseorang. Tajam menusuk dan Aira berasa lututnya lemah kala itu juga. Tidak tertafsir erti renungan itu. Tidak terjangkau di fikiran, apa yang sedang Adham Faiz fikirkan. Jarak mereka tidaklah jauh namun mengapa dia tidak menyedari Adham duduk di situ?

Senyumnya tidak berbalas. tidak bersambut. Adham tetap dengan wajah tanpa riak.

"Err, Noli. Aku nak ke sana sekejap." Aira memberitahu dengan suara sedikit bergetar. Namun, 
sebelum sempat dia hendak mendapatkan lelaki itu, Adham sudah berpaling, bangun dan berlalu meninggalkannya.

Adham tidak langsung menoleh ke belakang!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan