Label

Sabtu, 3 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab14

ALBERT GAN melemparkan dengan kasar akhbar Harian Sinar ke mejanya. Dia benar‐benar tidak senang duduk pagi itu. Berita yang terpapar di Harian Sinar itu membuatkan dia sangat marah. Sudah berpuluh kali dia mundar mandir ke hulu dan ke hilir. Kedua‐dua tangannya bertaup erat dan meramasi antara satu sama lain. Dahinya berkerut sehingga menampakkan kedutan yang panjang. Mukanya sentiasa bengis bagaikan seekor singa lapar yang mahu membaham mangsanya.

Menurut laporan akhbar itu, seorang penjenayah telah berjaya ditembak mati bersama sejumlah puluhan ribu pil eastacy dalam sebuah kereta mewah. Manakala seorang lagi rakan penjenayah itu berjaya melepaskan diri. Pihak polis sedang memburu penjenayah yang terlepas itu. Banyak sekatan jalanraya sedang dijalankan bagi menangkap lelaki yang terlepas itu. Albert Gan mula merasa panik. Emosinya benar‐benar terganggu dengan berita yang dilaporkan itu. Tiba‐tiba sahaja tangan kanannya menghentak meja.

“Sialan! Memang tak boleh diharapkan!” bentaknya sambil berteriak.

Sementara itu terdengar ada ketukan di sebalik pintu pejabatnya. Daun pintu ditolak perlahan
sebelum muncul seorang lelaki dalam keadaan yang mencurigakan. Ada bayangan ketakutan muncul di wajah lelaki itu. Matanya terbeliak memandang Albert Gan. Ada rasa ketakutan yang amat sangat menikam jantungnya saat itu.

Albert Gan mula bertindak ganas. Dia segera menghampiri Jonhny Tan dan terus menarik baju
lelaki itu sehingga rapat ke mukanya.



“Tak boleh harap! Kau tahu berapa banyak aku rugi kali ini?” bentak Albert Tan dengan nada suara yang tinggi. “RM 1,000,000.00 kau tahu tak! RM 1,000,000.000!” ulang Albert Gan lagi.

Johnny Tan tidak bersuara. Dalam keadaan begitu, berdiam adalah yang terbaik. Kalau dia terus bersuara sudah tentu lagi teruk dia akan dimarahi. Kalau Albert Gan sedang marah, emosinya tidak terkawal. Dia sanggup buat apa sahaja, walaupun terpaksa membunuh. Pernah beberapa tahun lalu, Albert Gan bertindak menembak mati seorang pekerjanya kerana didakwa membelot. Pekerja itu didakwa kerana memberi maklumat kepada pihak berkuasa kerana tidak puas hati dengannya. Akhirnya lelaki itu mati dihujung pistolnya. Johnny Tan tidak mahu perkara yang sama berulang dan dia adalah mangsa kemarahan Albert Gan.

“Kenapa diam?”

Albert Gan melepaskan cengkaman tangannya. Johnny Tan terdorong ke belakang dan hampir
terjatuh. Laci mejanya ditarik keluar. Dia seperti mencari sesuatu. Nampak kasar perlakuannya itu. Hati Johnny Tan mula berdebar‐debar. Dia mula merasakan sesuatu yang kurang senang. Dia ingin bersuara tetapi lidahnya kelu untuk berkata‐kata. Apa yang dicari oleh Albert Gan?

Ketakutan mula menjalar ke segenap urat nadinya. Dia tahu, Albert Gan sanggup buat apa sahaja. Membunuh tidak berdosa baginya, duit adalah segala‐galanya.

Pencarian Albert Gan berhasil. Bibirnya menguntumkan satu senyuman yang sinis. Albert Gan
mengeluarkan sepucuk pistol dari laci mejanya lalu mengacukan pistol itu ke arah Johnny Tan. Dia terus membidik pistolnya ke arah lelaki yang sedang ketakutan itu. Johnny Tan semakin kecut perut. Mahu sahaja segala isi perutnya termuntah keluar pada ketika itu. Dia mesti berbuat sesuatu sebelum nyawanya terbang melayang.

“Ma….ma….maafkan…..sa….saya boss…..saya….,” terketar‐ketar suara Johnny Tan cuba melawan
ketakutannya yang amat sangat.

“Sudah! Bagi aku…..kau tetap salah!” bentak Albert Gan lagi.

Semakin kelu lidah Johnny Tan apabila Albert Gan semakin naik angin. Terbayang di kepalanya
peluru dari pistol itu melayang dan menembusi kepalanya.

“Sebelum aku tembak kau……cuba bagi alasan yang aku benar‐benar selamat walaupun perbuatan kau membuatkan aku tidak selamat!”

Johnny Tan rasa sedikit kelegaan kerana diberi peluang untuk membela diri. Apa alasan yang terbaik yang mesti dikatakan? Jawapannya itu akan menentukan sama ada dia akan terus bernafas. Kesilapan akan membuatkan nyawanya melayang. Hmm…..terlalu berserabut otaknya saat itu. Berfikir dalam keadaan tertekan dan membuat keputusan yang tepat. Dikumpulkan segala kekuatan demi satu kelangsungan hidupnya.

“Err…..saya percaya dan yakin…..pihak polis tak akan dapat menjejak kita. Ermm…..mereka tak ada bukti untuk mendakwa kita kerana semua maklumat adalah palsu. Nasib baik kereta yang kami gunakan itu sebenarnya kereta curi yang sudah diubah suai. Semua maklumat tentang kereta itu telah dipalsukan…..,”

Perasaan marah Albert Gan nampak kendur sedikit ketika itu. Namun wajahnya tetap nampak bengis. Pistol yang berada di tangannya diletakkan di atas meja. Johnny Tan tahu, jawapannya itu masih belum selamat. Ada sedikit kelegaan apabila melihat perubahan emosi Albert Gan.

“Macam mana dengan Alex?”

“Kita masih bertuah boss……walaupun Alex mati ditembak pihak polis tapi dokumen peribadinya ada pada saya…..,” sambung Johnny Tan cuba menyakinkan Albert Gan.

Albert Gan mengangguk‐angguk kepalanya beberapa kali sambil matanya masih merenung tajam ke arah Johnny Tan.

“Ini bermakna pihak polis tak ada maklumat dan bukti untuk mendakwa kita……hmm....alasan yang boleh diterima……,”

Terasa lega hati Johnny Tan apabila Albert Gan mula menerima alasan‐alasan yang diberikan. Terasa dia ingin melompat tetapi dia terpaksa menyembunyikan dahulu perasaan itu. Dia belum tentu selamat sebab emosi Albert Gan boleh berubah‐ubah. Sekejap baik sekejap berubah angin.

“Aku rasa ada dalang yang mahu menghancurkan perniagaan ini……lepas ini aku mahu kau lebih berhati‐hati lagi. Sekali lagi perkara ini berlaku……aku tak teragak‐agak bunuh kau tanpa sebarang alasan!”

Akhirnya Johnny Tan merasakan kelegaan yang amat sangat. Kali ini dia benar‐benar yakin bahawa nyawanya masih lagi panjang. Masih lagi berpeluang menghirup udara segar hari itu dan seterusnya. Kali ini dia terpaksa lebih berhati‐hati. Tersilap langkah dengan satu kesilapan yang kecil, akan berakhirnya riwayatnya di tangan Albert Gan. Hampir lima tahun berkerja dengan Albert Gan, hari inilah detik yang mencemaskan hatinya. Hampir‐hampir nyawanya melayang walaupun sudah lama berbakti dengan Albert Gan.

Albert Gan sangat mementingkan diri sendiri. Walaupun dia sudah banyak membantu Albert Gan membina kekayaan dengan kerja haramnya namun peranan yang diberikan bagaikan tidak bermakna. Hanya duit yang menjadi keutamaannya. Kesilapan bakal mengundang padah.

“Satu lagi…….suruh orang‐orang kita lebih hati‐hati terutama di kelab malam tu! Awasi dengan
pelanggan yang datang……ketatkan kawalan terutama di pintu masuk. Aku tak mahu pihak berkuasa dapat menghidu segala aktiviti kita. Kau bernasib baik hari ni…….tak jadi mangsa pistol ni!” ujar Albert Gan sambil mengangkat kembali pistolnya lalu mengacu semula ke arah Johnny Tan.

Johnny Tan terkejut apabila pistol itu kembali diacukan kepadanya. Nampak dia seperti menelan air liur ketakutan. Perasaan takutnya kembali mengundang. Albert Gan mula ketawa melihat perubahan emosi Johnny Tan.

“Apa lagi kau tunggu!” tukas Albert Gan terus menakutkan Johnny Tan. “Pergi! Jangan sampai
peluru yang ada dalam pistol ini meletup di kepala tu!” gertak Albert Gan lagi.

Perut Johnny Tan kembali kecut. Saat gembiranya tidak berpanjangan. Albert Gan memang manusia yang tidak pandai mengenang budi. Marahnya terhadap Albert Gan hanya tersimpan dalam hati. Bencinya tentang sikap Albert Gan mula menguasai dirinya. Nantilah suatu masa, kau akan tahu siapa Johnny Tan! Rasa benci itu mula bertukar menjadi dendam. Semua rasa itu disimpan kemas dan mungkin akan meledak. Hanya masa dan keadaan akan menentukannya.

REZAL Haiqal terus mendesak Sarah Aqilah. Nyawanya semakin terancam, ibarat telor yang berada di hujung tanduk. Dia terus diburu oleh kuncu‐kuncu Along. Hidupnya semakin tidak selamat lagi. Ke mana sahaja dia pergi, pasti ada kelibat yang mengekorinya. Dia terpaksa bertindak pantas menyembunyikan diri. Dia mesti lebih berhati‐hati kali ini. Jiwanya semakin tidak tenteram. Mengenangkan ramai yang sudah menjadi mangsa keganasan Along membuatkan dia kecut perut. Bukan sahaja diugut malah kaum keluarga yang lain turut terancam keselamatannya.

“Qilah kena bertindak cepat…..abang dalam bahaya ni!”

“Abang ingat senangkah Datuk nak bagi duit tu? Bukannya sikit…..banyak bang!”

“Apa pun caranya abang tak peduli…..yang penting duit tu mesti dapat secepat yang mungkin.
Nyawa abang makin terancam!”

“Abang fikir Qilah duduk diamkah? Nyawa Qilah pun dalam bahaya tahu! Kalau Datuk tahu rahsia kita ni……Qilah yang mati dulu!”

Sarah Aqilah semakin bosan dengan sikap suaminya yang suka mendesak. Peranan yang dimainkan selama ini bagai tiada membawa erti kepada lelaki itu. Hanya perasaan lelaki itu yang mesti dijaga sedangkan hatinya tidak terbela. Kalau dia tahu beginilah akhirnya kesusahan hidupnya, tidak ingin rasanya hidup bertemankan lelaki itu. Bukannya menyenangkan tapi lebih banyak menyusahkan. Kalau menyusahkan dirinya sendiri tidak mengapa tetapi menyusahkan hidup orang lain pula. Tidak sanggup rasa hatinya hidup berterusan begitu. Hidup penuh dengan kesusahan dan kesengsaraan.

“Selagi tak dapat duit tu…..hidup kita akan terus susah. Abang tak sanggup nak hidup macam
pelarian. Siang malam dikejar bahaya!”

“Dulu abang tak beringat……dah susah macam sekarang barulah nak sedar!”

“Ehh…..abang tak ada masa nak ingat masa lepas…….semua tu dah jadi sejarah. Apa yang penting hari ini! Abang jadi macam ni sebab Qilah jugak!”

“Ohh…..mengungkitlah tu! Memang tanggungjawab abang sebagai suami…….kenalah sediakan apa yang patut. Tak ada siapa dalam dunia ni yang hendak hidup susah bang!”

Rezal Haiqal rasa bagaikan ada penampar yang singgah ke pipinya ketika itu. Kata‐kata Sarah Aqilah memang menyakitkan hati. Sudahlah perniagaannya tidak menjadi, lagak Sarah Aqilah yang suka bermewah‐mewah turut mengundang masalah yang dihadapi. Ingin sahaja ditampar kembali pipi gebu Sarah Aqilah tetapi dia terpaksa bersabar. Terasa ringan sangat tangannya ketika itu. Pedih rasa hatinya apabila isterinya itu menuduhnya macam‐macam.

“Nasib baiklah Qilah masih boleh lagi bersabar……kalau tidak tak tahulah!”

“Qilah jangan nak sakitkan hati abang……nanti tak pasal‐pasal penampar ni naik ke pipi!” gertak Rezal Haiqal, sudah mula longgar kesabarannya. “Abang datang sini bukan mahu bergaduh dengan Qilah…..tapi nak selesaikan masalah kita!”

Sarah Aqilah terus bungkam dalam diam. Dia juga ada perasaan. Rezal Haiqal memang seorang suami yang panas baran dan cepat naik angin. Dia sahaja yang betul sedangkan apa sahaja tindakannya tidak semestinya betul di matanya. Egonya tidak dapat ditahan‐tahan.

Agaknya orang lelaki memang tinggi egonya! Tidak pernah mahu mengaku kesilapan sendiri. Bukan dia tidak kenal dengan lelaki yang sudah menikahi lebih 5 tahun itu.

“Mengapa diam? Tolonglah buat sesuatu…….abang perlukan sangat pertolongan Qilah…..,” kendur sedikit suara Rezal Haiqal apabila menyedari Sarah Aqilah mula tertekan dengan kata-kata kasarnya tadi. “Qilah marahkan abang ya? Err…….abang tak ada niat macam tu….,”

Ermmm…….pandainya lelaki ini berlakon. Senang‐senang hendak marah kemudian senang-senang
nak minta maaf. Rasa benci dan menyampah sudah lama tumbuh dalam hatinya untuk lelaki yang bernama Rezal Haiqal itu. Tidak sanggup lagi rasanya ingin terus hidup sebumbung dengan lelaki yang banyak menyusahkan hidupnya. Kalau dia lelaki, agaknya sudah lama diceraikan lelaki yang bernama Rezal Haiqal itu. Namun apalah dayanya seorang wanita yang lemah. Takdir telah menentukan jodohnya. Itulah hakikat yang mesti diterima dengan redha dan mungkin ada hikmah yang menunggu di masa hadapan. Tiada siapa yang tahu, hanya Dia yang akan menentukan.

“Abang minta maaf……okey!”

“Lain kali kalau bercakap jangan ikut lepas saja…….Qilah dah tak sanggup nak hidup susah macam sekarang. Qilah tak sanggup bang!” seka Sarah Aqilah sambil menyeka air mata yang mula turun di pipinya.

Rezal Haiqal rasa bersalah membuat isterinya bersedih. Perasaan egonya tidak membenarkan dia sama‐sama bersedih sebagaimana Sarah Aqilah. Kesedihan tidak dapat mengubah takdir. Kesedihan hanya menambah derita buat mereka berdua.

“Jangan nak menangis pulak! Air mata tak dapat nak selesaikan segala masalah kita. Kita mesti kuat semangat dan bebaskan diri dari masalah ini….,”

“Abang mana ada perasaan……celik saja mata……hanya duit….duit….duit!”

“Ada duit semua boleh jadi…..bila tak ada duit sengsara hidup kita….,”

“Sengaja mencari sengsara……inilah akibatnya!”

“Perli abang pulak…..okeylah kali ini abang mengaku. Semuanya itu kesilapan abang…,”

“Memang kenyataan!”

Sarah Aqilah memang tidak pernah hendak percaya dengan kata‐kata suaminya itu. Kata‐kata itu tidak lebih hanya untuk mengumpan dirinya supaya mendengar cakapnya. Dia masak benar dengan perangai lelaki itu. Ucapan hanya manis di bibir sedangkan di hati berkata lain.

Hidupnya todak ubah seperti enau di dalam belukar, hanya mahu melepaskan keinginan sendiri tanpa memikirkan keperluan orang lain.

“Hmm…..malam ni abang tidur sini…,”

“Abang jangan cari pasal……bahaya kalau orang tahu!

“Kenapa pulak? Berdosa kalau menolak kemahuan suami….”

“Biarlah bang……selama ini memang kita hidup bergelumang dosa!”

Sekali lagi kata‐kata itu membuatkan Rezal Haiqal rasa terkedu. Pedas dan tajam. Sepedas cili padi yang masuk ke mata, pedihnya bagai tidak tertanggung. Setajam mata pisau yang menghiris kembali luka lama di hati, sakitnya memang tidak tertahan. Perempuan ini memang sudah melampau! Sanggup menolak keinginan suaminya sendiri. Namun dia terpaksa menahan sabar kerana dia perlukan perempuan itu untuk menyempurnakan misinya. Misi yang akan menentukan nyawanya kembali berharga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan