Label

Ahad, 4 Disember 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab20

“Awak ni tak ada kerja lain ke selain melangut kat sini, hah?” soal Adham Faiz geram.

Sudah seminggu gadis bernama Aira Syuhada itu menjadikan bengkeluncleTony ini rumah keduanya. Malah, dia rela menjadi penyambut tetamu sukarela, pekerja tanpa gaji, yang tentunya amat menggembirakan hati taukeh bengkel yang kedekut itu.

“Selagi awak masih buat perangai macam budak‐budak ni, selagi awak masih tak nak dengar
penjelasan saya, selagi itulah awak akan tengok muka saya hari‐hari kat sini.” Aira membalas.

Adham Faiz sudah bercekak pinggang. Wajah Aira ditatap dengan muka masam mencuka. Sesiapa yang memandang pasti terkeliru jika mengetahui bahawa kedua‐duanya ialah pasangan kekasih kerana saat ini, Adham memandang Aira seperti musuhnya. Tidak ada senyuman menguntum di bibir. Tidak ada riak bahagia. Tidak gembira!

“Mentang‐mentang kau ni lahir di England, aku bercakap dalam Bahasa Melayu dengan kau pun, kau tak faham, ya?” jerkah Adham.

Aira tersengih. Dalam hati menguntum harapan. Keegoan Adham dan jerkahannya itu tidak terlalu menakutkannya lagi sepertimana sebelum Adham bergelar pakwe dia dahulu. Walau berusaha menunjukkan kemarahan akibat bersangka buruk kepada apa yang dilihatnya minggu lepas, Aira tahu, di dalam hati lelaki itu, semua tentang dirinya sudah dihafal. Lihat sajalah, Adham baru membuktikan bahawa dia tahu Aira anak kelahiran England. Hmm…



”Am, kenapa susah sangat awak nak dengar penjelasan saya? Awak ni pakwe saya, tahu. Awak
sepatutnya…..”

Adham segera memintas. “Wei, aku ni bukan pakwe kau, okey!”

Bulat mata Aira memandang Adham. Adham ni sengaja hendak menaikkan suhu dinginnya. Sengaja hendak membuat dia mengamuk ni. Fikirnya. Sabar, Aira. Cool!

Aira menghampiri Adham. Di bengkel, hari sudah lewat petang. Tidak ramai yang ada kerana
kebanyakan pekerja sudah balik malah Adham pun sedang bersiap‐siap untuk pulang. Yang tinggal hanya Murad yang sedang membaiki kereta Volvo di satu sudut dan Nyonya Lin yang sedang mengira duit untuk hari ini. Jadi, perbualan mereka yang selama ini terhad, boleh dipulihkan menjadi mesra semula, fikirnya.

Wajah Adham ditatap bila dia bersuara, “Sejak bila awak tukar status? Baru aje mengaku cintakan saya dan saya ada bukti, tau, Adham. Kalau awak dah lupa apa yang awak tulis, biar saya ingatkan atau….awak nak saya print dan tampal kat dinding‐dinding bengkel ni ke? Biar semua orang tahu? Boleh jugak!”

Murad tersengih di bawah kereta Volvo. Dia ingin benar ketawa terbahak‐bahak terutama ketika melihat gelagat Adham yang serba tidak kena dibuat Aira, tetapi tidak berani. Dia tahu, Adham sedang marah. Macam Merapi tu! Sekali meletus karang….huaaa… tak tahulah nak cakap. Tak cukup besen hendak menadah air mata Aira nanti!

“Kau ni buat aku pening! Eh, nak kata kau buta, tidak! Nak kata kau ni pekak? Tidak juga! Tapi
kenapalah kau ni tak mahu faham‐faham, hah? Kenapa tak mahu faham yang aku tak suka kau? Kenapa tak mahu faham yang aku paling benci dengan sikap anak orang kaya macam kau ni? Sombong! Mengada‐ngada! Pentingkan diri! Kau ingat kau ni cantik sangat ke, Aira? Kau ingat bila kau petik jari aje, semua lelaki akan datang melutut di kaki kau? Hei pergi balik! Pergi cari jantan lain! Jantan yang kau benarkan peluk kau di shopping kompleks hari tu. Kau kan suka jantan yang macam tu? Kan?”

Akhirnya, terkeluar juga apa yang dipendamkan. Kesakitan melihat tingkah Aira bersama lelaki
muda yang santai duduk di sebelahnya sambil melarikan tangan di belakang tubuh Aira masih
terasa. Keceriaan wajah Aira hari itu, masih tidak dapat dilupakan. Dia rasa dirinya dipermainkan. Dia rasa dirinya dipergunakan.

Untuk kesekian kalinya, seorang lagi perempuan berjaya mengguris hati dan perasaannya. Arghh, baik Aira, mahupun Anita, tidak berbeza. Penipu! Pendusta! Tidak setia!

Kebencian terpapar tatkala dia membalas renungan Aira yang tergamam.

Ada air mata yang bakal menitis. Hanya menunggu masa sahaja untuk luruh. Oh tidak! Kali ini, Aira tidak mahu menangis. Tidak akan menangis dan menunjukkan betapa dia terguris dengan setiap patah kata yang meniti keluar daripada bibir Adham Faiz Hanafi. Sudah banyak kali dia melakukannya.

Tiap kali Adham menolak dirinya, menolak cintanya, dia menangis. Dia bimbang jika Adham tidak mahu membalas cintanya. Dia takut kehilangan sebelum dia berjaya memiliki sekeping hati itu. Dia tidak mahu kecewa.

Betapa berbunga perasaan bila cintanya dibalas. Betapa bahagia membaca setiap isi, setiap bait perkataan yang Adham pernah tuliskan untuknya. Pernah? Ya, pernah! Kerana, mulai saat ini ia akan menjadi sejarah. Kisah cintanya yang baru berumur 2 minggu itu akan berakhir. Dia akan menamatkannya. Ya, dia, Aira Shuhada binti Tan Sri Fahmi akan menamatkan riwayat cinta antara dirinya dengan lelaki bernama Adham Faiz Hanafi, hari ini. Saat ini!

Bukan mahunya! Dia sayangkan hubungan ini. Dia benar‐benar cintakan lelaki ini. Sepenuh hati. Malangnya, Adham terlalu banyak menyakitkan hatinya. Sekali, dua kali, tiga? Dia masih mampu bersabar. Namun jika kesetiaannya dipertikai, jika dia dikatakan tidak punya kesetiaan sedangkan itu yang selama ini dipertahankan, jika dia ingin menjelaskan namun Adham tetap dengan sikap keras kepala batunya, Aira sudah tidak mampu bertahan.

Mungkin, perpisahan adalah jalan terbaik.Mungkin, mereka tidak ditakdirkan untuk bersama.
Mungkin, dia bukan untuk Adham dan Adham bukan lelaki terbaik untuknya. Aira sudah tidak punya kekuatan untuk menepis semua tuduhan Aadhm lagi. Dia sudah tidak berdaya.

Dengan suara yang penuh getaran, Aira Syuhada akhirnya berkata, “Awak, saya mintak maaf. Selama ni, saya menyusahkan hidup awak. Banyak yang dah saya buat dan tanpa sedar saya sudah memaksa awak dalam hubungan kita. Betul kata orang, cinta tak boleh dipaksa‐paksa. Saya tahu sekarang, memaksa awak supaya mencintai saya, adalah kesilapan saya yang paling besar. Awak tak pernah ikhlas untuk bersama saya!”

Adham semakin marah. Dia pula yng dikatakan tidak ikhlas? Aira sudah gila, fikirnya. Aira sudah buta, gumamnya. Tidakkah Aira tahu dan sedar betapa bahagianya dia selama dua minggu ini? Dia ingin melontarkan kemarahan namun Aira terlebih dahulu bersuara. Kata‐kata yang menyebabkan dirinya terkesima.

“Saya dah puas menangis kerana awak, Adham. Hari ini, saya tak mahu nangis dah. Awak tak yakin dengan perasaan saya pada awak. Okey! Fine! Kita putus! Saya tak perlukan seorang lelaki macam awak yang tidak mahu faham‐faham apa yang saya rasa. Saya tak perlukan awak yang nampak saya dengan seorang lelaki, tengok apa yang berlaku, lepas tu awak tuduh saya main kayu tiga. Maaflah! Saya tak perlukan kekasih yang begini.”

Aira kemudian memegang telefon bimbitnya, mencari SMS Adham untuknya dan dengan wajah penuh kesedihan, dia membuang semuanya. Dia kemudian mendongak memandang tepat ke muka lelaki itu.

“Umur saya mungkin belum 20 tahun, tapi rasanya, saya lebih matang dalam tindakan saya
berbanding awak yang dah nak masuk 27 tahun. Awak tak mengaku semua apa yang awak hantar pada saya tu daripada awak, kan? Tu sebab saya buang. Jadi, antara kita, dah tak ada apa‐apa. Itu yang awak hendak? Betul, kan? Saya beri balik kebebasan awak, Adham. Memang, saya bukan yang terbaik untuk awak. Maaf, sebab saya asyik ganggu awak selama ni.”

Aira menarik nafas yang dalam. Wajah Adham ditatap dalam pandangan yang kosong. Dia kemudian berpaling untuk pergi. Sekilas senyuman diberikan kepada Murad dan Nyonya Lin yang entah bila menjadi penonton drama slot ‘akasia’ mereka.

“Aira...”

Sempat pula Adham menyambar tangan kanan Aira. Ada sesuatu ingin diucapkan namun semuanya tersekat, tidak terluahkan.

“Saya hantar awak balik!”Lain yang ingin Adham katakan, lain yang keluar daripada bibirnya.

Aira cekalkan hati sewaktu wajah Adham dilihat.

Mengapa bersedih? Tanya hatinya. Juga tidak terluah.

Dan, ketika mata bertentangan, dia mengucapkan, “Saya tahu, awak sangat bertanggungjawab. Tapi, saya tak mahu jadi beban awak lagi. Tak payah hantar saya balik.”

Dia harus mengucapkan sesuatu walau terlalu menyakitkan. Dia perlu meminta.

“Adham, mulai hari ini, buang nama saya dalam telefon awak. Buang ingatan awak tentang saya. Buang semuanya. Jangan ada Aira Syuhada di mana‐mana dalam hidup awak lagi, okey!”

Aira mungkin mampu menahan tangis namun kalau dia menoleh, dia pasti dapat melihat betapa Adham tidaklah sekuat dan selantang mana.

Saat ini, ada air mata yang bergenang di dalam sepasang mata lelaki itu. Saat ini, dia lemah apabila gadis yang dicintai meminta perpisahan darinya. Saat ini, dia tewas kerana gadis kesayangannya ingin pergi meninggalkan cinta mereka berkubur di tengah jalan.

“Kau kenapa, Am? Pergilah kejar dia! Pergilah mintak maaf dari dia. For once, belajarlah
merendahkan ego kau tu!” Murad menasihat kerana dia geram tengok Adham yang masih tercegat merenung Aira, Aira yang kini sedang melangkah lemah menuju ke kereta.

Adham diam. Sepasang mata masih memerhati sosok Aira yang sudah memasuki kereta. Dan, dia masih tidak bergerak ketika kereta dan tuan punya kereta berlalu meninggalkannya.

“Aku tak faham dengan sikap, dengan perangai kau ni! Sungguh! Cemburu tak kena tempat. Tak mahu berusaha memujuk. Am...”

Adham tidak mendengar. Dia terus mencapai topi keledar. Dia ingin pergi dari situ. Dia ingin
mendamaikan sekeping hati. Ingin mengawal perasaan yang sedang lintang pukang dan berkecamuk. Dan, dia ingin melupakan Aira.

Mampukah?

Berdayakah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan