Label

Selasa, 27 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab37

MIA SALMI merenung jauh ke laut lepas. Leka juga matanya memerhatikan seekor burung camar terbang rendah sambil melayahkan badan di permukaan air. Sesekali dia menoleh ke arah belakang, kalau‐kalau kelibat orang yang sedang ditunggu datang menyapa. Hampir setengah jam dia di situ bertemankan suara ombak yang menghempas ke pantai.

“Kata nak jumpa? Mana Kak Nissa ni? Tak sampai‐sampai pun!” gerutunya sendirian.

Sekali lagi, Mia Salmi membuang pandang ke arah tengah laut. Dari kejauhan nampak ombak berbaris menuju ke tepian pantai. Bueh‐bueh yang memutih berselang‐seli dengan warna birunya laut. Umpama lukisan yang abstrak, kombinasi warnanya sangat cantik dan indah. Bayu petang terus berpuput lembut. Dinginnya terus menyapa wajah.

Dari arah daratan, Manissa mula memperlahankan keretanya. Kawasan lapang berhampiran dengan pokok ketapang yang sedang merendang menjadi tempat akhir destinasinya. Keretanya diparkir di situ. Kawasan sekitarnya agak redup. Dia kemudiannya segera keluar dari perut kereta lalu berjalan pantas ke arah Mia Salmi yang telah sedia menunggunya.

“Assalamualaikum Mia!”

Kedengaran satu suara sedang memberi salam kepada Mia Salmi. Dia masih leka memerhatikan barisan ombak yang memutih menuju ke pantai. Dia segera menoleh ke arah datangnya suara itu. Manissa segera mendapatkan Mia Salmi di gigi pantai. Di bibirnya menguntum senyuman yang panjang. Mia Salmi bercekak pinggang dengan gaya sedang memprotes.

“Tak jawab pun salam Kak Nissa?”

“Waalakummussalam …”

“Errm … maafkan Kak Nissa. Tak baik marah‐marah nanti cepat tua!”



“Mana tak marah? Dah setengah jam Kak Nissa lambat tahu!”

“Baru setengah jam … belum dua jam lagi.”

“Kak Nissa memang buat Mia tertunggu‐tunggu saja!”

“Peace no war!”

Mia Salmi sudah berpeluk tubuh. Saat itu perasaan geram dan marah hilang tiba‐tiba.

“Sabar sajalah!”

“Jom kita ke sana!”

Manissa menuding jarinya ke arah sebatang pokok ketapang yang subur merendang. Panas matahari petang tetap bersinar terik. Bayu laut yang bertiup mengurangkan rasa hangat cuaca petang. Manissa dan Mia Salmi beriringan menuju ke arah yang dimaksudkan.

“Tunggu sini kejap.”

“Kak Nissa nak pergi mana pulak?”

“Rilekslah … kejap saja.”

“Cepat sikit!”

Manissa meninggalkan Mia Salmi seketika. Dia berjalan ke arah keretanya. Butang alarmkunci keretanya ditekan, pengunci kereta sudah terbuka. Seketika kemudian Manissa mengeluarkan sekotak makanan segera yang dibeli semasa ke pekan tadi. Selepas itu, Manissa membuka bonet kereta. Sehelai tikar yang agak sederhana besar dikeluarkan. Tikar itu dikepit di ketiaknya manakala sebelah tangannya menjinjing kotak yang berisi makanan segera itu.

Memang dia sudah berjanji sejak dua hari lalu untuk bertemu dengan Mia Salmi di pantai itu. Minggu hadapan Mia Salmi akan berangkat ke negeri di bawah bayu untuk menyambung palajarannya di sana. Atas sebab itulah, Manissa dan Mia Salmi mengatur pertemuan pada petang itu. Selepas ini Manissa tidak tahu bilakah lagi boleh bertemu dengan Mia Salmi. Masa yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin untuk saling mengeratkan silaturrahim.

Mia Salmi menyambut tikar yang dihulurkan oleh Manissa kepadanya. Dibentangkan ke pasir pantai yang halus memutih. Manissa menghulurkan pula sekotak makanan segera kepada Mia Salmi. Dia nampak kelam‐kabut. Mia Salmi memerhatikan sahaja gelagatnya itu.

“Nak pergi mana lagi Kak Nissa?”

“Lupa pulak nak ambil air!”

“Belum tua lagi dah lupa!” usik Mia Salmi.

“Tolong sikit! Bukan lupa tapi tak ingat!”

“Samalah tu!”

Geram juga perasaan Manissa apabila Mia Salmi cuba mengusiknya. Dijuihkan lidahnya sambil menunjuk isyarat penumbuk di tangan. Mia Salmi mula terkekeh‐kekeh ketawa. Geli benar hatinya apabila melihat gelagat Manissa itu.

“Ada berani?” ungkap Manissa cuba berseloroh.

Sakit perut Mia Salmi menahan ketawa. Gembira sungguh hatinya petang itu. Hilang seketika rasa gundahnya saat menanti untuk meninggalkan keluarga dan kampung halaman. Terasa cepat masa yang berdetik dan bumi Sabah semakin menggamit kedatangannya. Selama empat tahun dia akan bermastautin di sana. Kadang‐kala hatinya berbelah bahagi untuk meneruskan cita‐citanya itu namun desakan serta dorongan daripada keluarga melebihi daripada segala-galanya.

Dia teringat kata‐kata Alongnya, Luqman Adzlie.

“Jangan nak fikir‐fikir lagi. Terima saja tawaran itu.”

“Macam mana dengan mak dan abah?”

“Itu tanggungjawab Along. Biar Along yang uruskan mereka.”

“Tapi …”

“Tak ada tapi‐tapi … Along nak Mia teruskan cita‐cita Mia.”

“Bukankah mak masih tak sihat? Along pulak sibuk dengan kerja. Jauh pulak tu di Kuala Lumpur.”

“Dengar sini Mia … macam mana sibuk pun Along, mak dan abah tetap jadi keutamaan.”

“Ermm … Mia memang serba salah sekarang ni.”

“Sudah … jangan nak fikir lagi yang bukan‐bukan. Serahkan semuanya pada Along. Pasal mak dan abah tahulah Along nak buat macam mana. Lagi pun Mak Su dah janji akan bantu kita tengok‐tengokkan mereka kalau Along kerja nanti. Hujung minggu Along akan balik atau Along bawa mereka tinggal sama di Kuala Lumpur.”

Apa pun alasan Mia Salmi tetap dapat disanggah oleh Luqman Adzlie. Jaminan yang diberikan oleh Luqman Adzlie untuk menjaga orang tua mereka mengurangkan sedikit tekanan di hatinya. Dia juga amat berharap emak saudaranya itu turut dapat membantu menjengok ibu bapanya nanti. Mengingatkan kedua‐dua ibu bapanya mengundang semula gelisah di dadanya.

“Mia … kamu okey tak?”

Manissa menyapa Mia Salmi yang tiba‐tiba hilang cerianya. Pelik juga benaknya meneka gerangan apakah yang tiba‐tiba mengubah situasi gembira yang terukir sebentar tadi.

“Mengapa ni?”

“Err … tak ada apa‐apalah Kak Nissa.”

“Habis yang muka macam cencorot tu kenapa?”

Bayangan Luqman Adzlie yang terkembang di layar minda Mia Salmi segera terhapus. Pertanyaan yang agak lucu dari Manissa membuatkan Mia Salmi kembali tersenyum. Tiba‐tiba sahaja dia teringatkan perbualan antaranya dengan Luqman Adzlie tempoh hari. Manissa menghulurkan sebotol air oren berkarbonat kepada Mia Salmi.

“Ambil air ni … jom kita minum dan makan sama‐sama!”

“Belanja makan ni mesti ada apa‐apa!”

“Mestilah. Kak Nissa nak bayar hutang!”

“Hutang?”

Mia Salmi masih tidak dapat mengagak apa yang dimaksudkan oleh Manissa. Dia masih lagi
berfikir. Manissa pula membuka kotak makanan. Terdapat beberapa ketul ayam goreng berserta dengan sedikit kentang goreng. Ada juga beberapa bungkusan kecil sos cili dan tomato. Mia Salmi pula membuka penutup botol minuman lalu menuangkan ke dalam cawan kertas tidak jauh dari sisinya.

“Kak Nissa nak minta maaf sebab tak dapat datang kenduri di rumah Mia hari itu. Kebetulan Kak Nissa tak berapa sihat. Tiba‐tiba gastrik datang lagi.”

“Tunggu jugak tapi bayang pun tak nampak!”

“Dah jangan nak merajuk depan rezeki ni. Kak Nissa dah minta maafkan?”

“Iyalah!”

“Tak comel kalau merajuk macam ni.”

“Mulalah tu nak usik Mia!”

“Hari ni saja Kak Nissa boleh usik. Esok‐esok belum tentu lagikan.”

Angin petang terus bertiup. Beberapa helai daun ketapang yang mula mengering gugur menyembah bumi. Manissa sempat juga memerhatikan sekawan burung camar terbang melintas dada laut yang berombak kecil. Bahang matahari petang semakin hilang sengatnya.

“Janganlah cakap macam tu … sedih hati Mia.”

“Okeylah … jom makan!”

“Macam itulah … sayang Kak Nissa.”

Manissa rasa terharu apabila Mia Salmi mengungkapkan kata sayang kepadanya. Jauh di sudut hatinya juga, dia amat menyayangi Mia Salmi juga. Bukan hanya sebagai seorang adik tetapi juga sebagai seorang sahabat sepanjang dia berada di kampung itu. Selain daripada Mak Intan, Mia Salmi sangat dekat di hatinya. Orang ketiga yang semakin dekat di hatinya ialah Luqman Adzlie. Dan lelaki ini memang sangat rapat pertaliannya dengan Mak Intan dan juga Mia Salmi.

“Kak Nissa nak tanya sikit boleh?”

“Tanyalah … tak kena bayar pun!”

“Seriuslah sikit!”

“Mia main‐mainkah?”

“Saja nak usik Kak Nissa pulak.”

“Ada ubi ada batas!”

“Amboi … nak balas dendamlah tu!”

Dalam usik mengusik itu melahirkan suasana ceria antara mereka berdua. Di fikiran Manissa, dia ingin bertanya sesuatu mengenai Luqman Adzlie kepada Mia Salmi. Persoalan yang kusut dibenaknya masih belum terungkai. Penting baginya untuk mengetahui siapakah sebenarnya lelaki itu? Zahirnya memang lelaki itu abang kepada Mia Salmi tetapi dia ingin mengetahui lebih lagi tentang peribadi lelaki itu.

Di hatinya tetap mengatakan Luqman Adzlie adalah lelaki yang sama pernah ditemui suatu ketika dahulu. Dia rasa bersyukur juga sebab lelaki itu tidak dapat mengecam wajahnya yang sebenar. Rambut palsu yang pernah dipakai dan suasana malam yang kelam mungkin mengabui mata lelaki yang bernama Luqman Adzlie atau pun Azman Mikael itu.

“Nak tanya apa tadi?”

“Err … Kak Nissa sebenarnya rasa serba salah.”

“Mesti ada sebabnya? Cakap sajalah … Mia tak faham.”

“Ermm … pasal abang Mia. Luqman Adzlie…”

“Kenapa dengan abang Man? Lagi Mia tak faham!”

“Mia tahukan apa yang berlaku pada kami berdua. Kak Nissa rasa serba salah pulak. Nak minta maaf pun tak sempat lagi. Kak Nissa pun tak tahu nak buat macam mana. Kak Nissa kalau marah memang tak ingat apa‐apa dah.”

“Biasalah kak … dalam keadaan marah apa saja boleh keluar dari mulut kita.”

“Itulah pasal. Kadang‐kadang buntu Kak Nissa fikirkannya.”

“Senang saja kak … masing‐masing minta maaf. Habis cerita!”

“Bukan semudah itu Mia!”

Sementara itu, dari arah jalan utama kelihatan Mak Intan sedang berlari‐lari anak menuju ke arah Manissa dan Mia Salmi. Semakin lama semakin pantas langkah kakinya. Mereka berdua mula menyedari akan kehadiran Mak Intan. Riak air mukanya nampak cemas. Nafasnya tercungap‐cungap kencang. Reaksinya mengundang persoalan kepada Manissa dan Mia Salmi.

“Kenapa ni Mak Intan? Macam kena kejar hantu saja!”

“Atau dikejar zombie!” Mia Salmi menambah.

“Hisssh … kamu berdua ni main‐main pulak. Luqman kemalangan!”

“Kemalangan?” ucap Manissa sehinggakan terlepas cawan kertas yang berisi air dari tangannya.

Dia sangat terkejut dengan berita itu. Manakala Mia Salmi mulai cemas dan air jernih mula bertakung di kelopak mata.

“Macam mana keadaan Along, Mak Su?”

“Dia sekarang ada di wad ICU Hospital Ampang Puteri. Mak Su dimaklumkan keadaannya stabil. Macam mana pun kita kena pergi melawat dia secepat yang mungkin.”

“Mak dengan abah dah tahu belum Mak Su?”

“Mereka dah tahu. Mereka tunggu di rumah.”

“Kalau macam itu, kita jangan berlengah lagi. Guna kereta Nissa untuk pergi melawat Luqman!”

Manissa memang tidak berfikir panjang. Fikirannya hanya teringatkan Luqman Adzlie. Baru sebentar tadi dia bercerita tentang lelaki itu dengan Mia Salmi. Tiba‐tiba sahaja ada musibah menimpa lelaki itu. Semakin serba salah dia dibuatnya. Mia Salmi pula sudah semakin membengkak matanya menahan tangis. Segala sisa makanan dan minuman segera dikemaskan. Pergerakan mereka semakin pantas. Di fikiran masing‐masing ingin segera bertemu dengan Luqman Adzlie. Sesaat yang berdetik sangat berharga buat mereka. Mohon mereka kepada Allah SWT, semoga Luqman Adzlie akan dapat diselamatkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan