Label

Selasa, 27 Disember 2016

NOVEL Re Mimpi Rialiti Bab20

Dua tahun sebelumnya...

Suri melepaskan keluhan yang panjang. Skrin telefon pintarnya dipandang muram. Semenjak dua menjak ini perangai Yurino berlainan dari hari‐hari sebelumnya dan lelaki itu lebih banyak mengelak bercakap dengannya dan lebih suka untuk tidak membalas pesanan ringkasnya. Bila disoal, lelaki itu akan tersenyum nipis atau menukar topik lain. Dia mula perasankan perubahan Yurino sejak beberapa minggu lalu selepas tahun baru. Adakah dia ada membuat salah?

Tersilap kata? Atau sebenarnya Yurino sudah tidak cintakan dia lagi?

“Buruknya muka,” tegur Miza yang baharu pulang dari studio. Aroma warna‐warna minyak dan
beberapa kotoran di baju sejuk Miza membuatkan wajah Suri cemberut.

“Petang semalam kau pergi mana?” soal sahabatnya lalu memusingkan kerusi menghadap Suri.

“Sekarang ni tiap‐tiap petang kau hilang. Musykil aku. Kau jumpa port tidur yang baru ke?”

Suri menggeleng. Dia sebenarnya pergi melawat ke rumah seorang lelaki yang memelihara seekor arnab hitam yang bermata biru dan tinggal bersama sepasang kembar perempuan yang pasif dan comel. Namun dia tidak pernah ceritakan hal ini pada Miza. Waima Yurino sekalipun. Kalau dia cerita pun, mahukah Yurino mendengar? Miza pasti akan menghalangnya.

Tiada siapa akan suka dia pergi ke sana. Tempat itu terlalu mistik –



“Kenapa ni? Kau sakit ke? Demam?” Miza letak belakang tangannya pada dahi Suri dan bandingkannya pada dahinya sendiri. Biasa sahaja. “Okey je. Benda lain eh? Kau gaduh dengan Putera S?” teka Miza tepat mengenai sasaran. Seperti biasa.

Suri ketap bibirnya. Putera S. Gelaran yang pelajar perempuan berikan pada Yurino yang membawa maksud Putera Sempurna a.k.a Prince Charming. Pada awal‐awal tahun ketika dia masih junior, dia meluat dengar nama Yurino, malah jika berjumpa sekalipun rasa seperti sengal‐sengal satu badan. Namun keprihatinan dan sikap Yurino yang setia padanya walau macammana teruk sekalipun dia tolak lelaki itu, membuatkan hati dia cair pada lelaki itu. Kini... keprihatinan dan sikap ambil tahu Yurino hilang ditiup angin. Dingin. Hubungannya semakin sukar lebih‐lebih lagi jaraknya dengan Yurino semakin jauh kerana lelaki itu melanjutkan pelajaran di daerah lain.

“Apa dia dah buat kat kau? Meh sini bagitahu aku, aku hempuk kepala dia biar benjol macam Shin Chan!” marah Miza terselit jenaka yang tidak disengajakan. Kembang kempis hidung gadis itu.

Suri menarik tangan Miza. Di bibirnya terukir senyum nipis. Apakah Miza mampu untuk berbuat demikian sedangkan Yurino ialah lelaki yang gadis itu minati? “Tak payahlah Miza.”

“Aku serius! Aku mungkin minat dia tapi tak ada siapa boleh lari kalau diaorang dah cederakan kau termasuk Yurino!”

Suri menggeleng. “Aku tak apa‐apalah.” Telefon pintarnya berbunyi. Ada pesanan ringkas masuk. Ianya dari Yurino. Tanpa dia sedar, senyumannya terukir jelas di wajahnya. Matanya bercahaya. Lantas dia unjukkan telefon pintarnya pada Miza. “Tengok! Dia nak jumpa aku. Kitaorang okey je lah.” Suri yakinkan Miza yang memandangnya dengan wajah tidak percaya.

“Betul ni?”

Suri mengangguk pasti. Dia bangun dan mengutip segala buku dan bekas penselnya masuk ke dalam beg galasnya. “Jumpa esok!” lambainya dan berlari keluar dari bilik darjah.

Miza mengeluh hambar. Dia gembira bila Suri gembira namun pada masa yang sama dia rasa tidak senang. Seperti akan ada perkara buruk yang bakal berlaku dan dia tidak tahu di mana dan bila.

DI taman tempat mereka sering berjumpa dan berbual tentang pelbagai perkara. Di sini jugalah Yurino lamar padanya dan setiap kali di ke sini sendiri saat dia berada dalam kesusahan, dia akan ingat tentang malam itu. Bintang‐bintang yang bersinar dan suara lembut Yurino. Mungkin malam itu mereka bertelingkah tetapi itulah memori yang paling dia hargai.

Kerana malam itu dia sedar yang dia sayang Yurino sepenuh hatinya.

Dari jauh dia nampak susuk Yurino duduk di bangku, kepala memandang ke hadapan, termenung merenung kosong ke satu arah.

“Yuri!” panggil Suri ceria.

Mendengarkan suara Suri, lelaki itu berpaling ke arahnya, tersenyum manis dengan mata sepetnya. “Hai sayang.”

Suri berlari mendakap tubuh tinggi lampai Yurino dengan erat. Melepaskan rindu yang berkumpul setelah beberapa minggu tidak berjumpa lelaki itu. Jujur, dia sungguh rindukan lelaki itu. Rasa seperti sudah berbulan‐bulan lamanya dia tidak melihat dan mendengar tentang lelaki itu. Malah melihat sisi Yurino tadi, dia mula berasa begitu jauh. Sangat jauh.

Namun dia cepat‐cepat buang perasaan itu. Dia tidak mahu merosakkan suasana gembira ini. Dia melepaskan pelukan mereka dan lihat wajah cengkung Yurino. “Teruknya muka awak. Awak tak makan?”

Lelaki itu tersenyum lagi. “Saya makan. Mungkin sebab saya sibuk dengan kelab dan pelajaran,” dia beralasan.

“Mesti susah jadi student universiti‐kan?” percaya Suri.

Yurino ketap bibirnya. Dia tarik Suri duduk di bangku. Jemari gadis itu digenggam kemas. Dia tidak mahu lakukannya dan dia tidak mahu sakiti gadis ini. Dia terlalu sayangkan gadis ini. Apa pilihan yang dia ada? Apa pilihan yang dia ada?

“Awak sejuk?” soal gadis itu polos. Jemari yang satu lagi memegang jemari Yurino yang mengusap jemarinya. Bibirnya terukir senyuman manis. Hangat dan menyelesakan. Dia tarik jari‐jemarinya dan membetulkan baju sejuk Yurino. Cuaca tidak lah sesejuk mana mungkin Yurino sedikit sensatif hari ini, andai Suri.

“Suri...” tahan Yurino. Matanya sayu memandang wajah gadis yang dia cintai. “Suri... saya minta
maaf,” ucapnya kesal.

“Untuk?” soal gadis itu polos. Matanya yang bulat dan ikhlas itu buatkan nafasnya tersekat-sekat.

“Sa – saya, saya tak mampu nak teruskan hubungan ni.”

Suri tergamam. “Apa ni Yuri?” Dia fikirkan Yurino sedang bergurau. “Tak kelakar tau.”

Wajah Yurino berubah. “Awak fikir saya main‐main ke Suri?!”

Terenjut bahu Suri mendengar suara Yurino naik seoktaf.

“Awak tak faham ke apa yang saya cakap? Pertunangan ni...” Yurino cabut cincin pertunangan
mereka lalu letaknya di atas bangku di ruang yang ada antara mereka. “Saya tak boleh lakukannya. Saya tak boleh!”

Suri dapat rasakan air matanya mula bergenang dan dia soroknya dengan ketawa halus. “Tak Yuri. Kenapa awak tak boleh? Apa yang buatkan awak begini? Saya ada buat salah ke? Cakap lah... Tak kelakar tahu tiba‐tiba cakap macam tu.” Jemarinya menggeletar. Dia tidak tersilap tadi dan dia benci kerana dapat merasainya. Benci kerana tidak berbuat sesuatu tentangnya.

Yurino menggeleng lantas bangun. “Saya minta maaf Suri. Selamat tinggal.” Langkahnya laju dan dia lansung tidak menoleh.

“Yuri!” Suri bangun mengejar belakang Yurino. “Yuri jangan!”

“Jangan ikut saya Suri. Pergi!”

“I love you!” jerit Suri. Dia fikir jika dia sebut kata‐kata itu, Yurino akan berhenti berjalan, akan
berpaling memandangnya dan berkata yang semua ini hanya gurauan semata‐mata. Dia berharap pada keajaiban kata‐kata ini. Tolong... “I love you...”

Yurino berdiri tegak dan keras.

Suri turut sama terhenti. Saat itu dia rasakan yang dia mempunyai harapan untuk buatkan lelaki itu berpaling ke arahnya. Dengan penuh pandangan lembut dan ucapan maaf akan lelaki itu berikan namun yang dia terima hanya padangan belakang badan yang dingin. Tiada tanda-tanda yang Yurino akan berpusing.

“Yuri...” panggil Suri takut.

“Love changes Suri. I’m sorry.”

Sepi. Suri seperti dipaku di tempat diriannya waima membuka mulut sekalipun. Yang dia mampu hanya melihat belakang badan itu pergi tinggalkan dia di situ. Di kepalanya terngiang-ngiang suara itu mengucap kata‐kata tadi.

Tiada kelembutan. Tiada apa yang seperti Suri harapkan. Suara itu tidak seperti Yurino yang dia
kenal. Dia terjelepuk jatuh. Air matanya mengalir deras dan dadanya sakit. Tikaman demi tikaman yang terus merobek hatinya. Dia tidak faham dan dia tidak boleh terima dengan apa yang sedang berlaku. Bagaimana Yurino boleh lakukan perkara ini terhadapnya? Sanggup Yurino tinggalkannya begini? Sepertimana bapanya tinggalkan dia dan ibunya dahulu, dia ditinggalkan lagi.

Tiada lagi Yurino di hadapannya. Lelaki itu hilang di bawa angin. Lesap dan dia terus berharap yang Yurino akan patah balik dan peluknya seperti selalu. Memujuknya seperti selalu. Memberi sepenuh perhatian seperti selalu.

Namun semua itu hanya harapan dia yang tidak akan tertunai. Harapan yang memunahkan perasaannya. Sebagaimana dahulu dia selalu mengharapkan yang bapanya akan datang dan bawa ibunya pergi dari rumah datuknya. Sebagaimana dia mengharapkan yang ibunya akan bangkit semula dari tidur yang lena. Sebagaimana dia mengharapkan datuknya akan menyayanginya walaupun sedikit. Semua harapan itu... hanya bilah pisau yang terus tertusuk di jiwanya. Selamanya.

BILA dia pulang malam itu, sebuah kenderaan mewah terpakir di hadapan rumah. Sebelum ini tidak pernah dia lihat pun akan kewejudan kenderaan tersebut. Tetamukah?

“Makcik Oni, kereta siapa kat depan?” soalnya saat dia susun kasut ke dalam rak kasut. Dia lihat ada dua pasang kasut lelaki tersusun kemas di penjuru. Dia pandang wajah Makcik Oni yang berdiri di hadapannya. Wanita tua itu hanya tersenyum‐senyum.

“Suri nak makan?”

Suri menggeleng. Sedikit lega yang wanita tua itu tidak perasankan lebam di matanya mungkin kerana ada benda yang Makcik Oni ingin sorokkan dan dia seperti tahu perkara apa yang Makcik Oni sorokkan. Pantas dia berjalan pantas ke bilik bacaan Orang Tua Heitai. Makcik Oni sudah mengejar belakangnya.

“Suri nanti. Makcik...”

Suri jeling Makcik Oni supaya wanita tua itu senyap. Dia buka pintu bilik bacaan itu sedikit dan
suara‐suara orang lelaki di pertengahan usia sedang berbual. Atau lebih tepat, berbincang.

“Nampaknya kerabat Genji sudah berpaling tadah. Mereka sokong Makita pula sejak majlis syarikat akhir tahun tahun lepas,” kata satu suara garau yang kedengaran sangat tidak berpuas hati.

“Apa benar? Kalau mereka berpaling tadah, bagaimana dengan cik muda?” soal satu lagi suara yang kedengaran sangat terkejut.

Suasana tiba‐tiba senyap.

“Tapi apa motif mereka berpaling sedangkan selama ni mereka berpihak dengan kita? Tiba-tiba...”
sambungnya seperti tidak percaya dengan perkhabaran yang baru diterima.

“Takkan tentang status cik muda?”

“Ish! Merapulah. Mereka dah tahu dari awal. Kalau tidak, tidaknya mereka berpaling sekarang!”

Suri ketap bibirnya. Dia tiba‐tiba terfikirkan tentang perbahasan yang berlaku dua bulan lepas. Seperti kebiasaannya dia akan cuba‐cuba mencuri dengar dan mesyuarat kali itu sedikit berbeza dari yang sebelumnya bila ada seorang wakil baru menggantikan wakil lama yang sudah meninggal dunia, mempersoalkan tentang status dirinya di dalam masyarakat kalangan kerabat. Perdebatan yang berlaku sangat dasyat sehingga dia tidak sanggup lagi mencuri dengar. Hatinya yang terluka tidak usah kira. Datuknya hanya mendiamkan diri dan biarkan nama dia dilontarkan kuat oleh mana‐mana wakil. Diburukkan dan dipandang hina. Sehingga nama Yurino juga bangkit sekali.

“Ada yang menghasut.” Baharu kini Suri dengar suara Orang Tua Heitai.

“Kaum‐kaum Genji tu hanya megah dinama tapi duitnya... mereka harap dari kita. Budak Yurino tu hanya kambing mereka untuk kita bantu. Sekarang ni bila Makita naik, mereka lari ke Makita sebab mereka tak yakin dengan cik muda kita.”

“Kasihan cik muda. Pasti budak Yurino tu dah putuskan pertunangan mereka sebab dia tak berani lawan cakap mak dia. Lagi‐lagi atuk dia, boleh tahan garang juga orang tua tu.”

Suri tutup pintu bilik bacaan itu. Badannya lemah. Hatinya yang sedia berdarah menjadi lebih perit dek tikaman yang bertalu‐talu dari belakang. Air mata yang mengalir berkumpul di bahu Makcik Oni yang membawanya jauh dari bilik itu. Untuk pertama kalinya dia benar‐benar ingin lari dari sini. Lari dari rialiti yang tidak pernah menerima siapa dia.

DUA hari berlalu, dia teruskan hidupnya seperti insiden yang berlaku tempoh hari seperti tidak
pernah berlaku. Seperti Yurino tidak pernah hadir ke dalam hidupnya. Namun kenapa berat untuk dia cabut cincin yang tersarung cantik di jarinya?

Semalaman dia berfikir. Apakah makna cinta yang sebenar‐benarnya? Adakah terlalu mencintai
bermakna sering ditinggalkan? Begitukah? Ayah, ibu dan Yurino...

Cintakah itu? Kerana setiap dari mereka akhirnya pergi tinggalkan dia bersama hinaan masyarakat.

Dia ingin lari dari sini. Lelaki itu katakan jika dia ingin lari, dia hanya perlu tarik cincin tunangnya. Itu adalah separuh dari bayarannya. Separuh lagi... Jika dia mati sekalipun...

“Suri!”

Gadis itu berpaling. Dia lihat Yurino yang tercungap‐cungap mencari nafas setelah berlari naik ke rooftop sekolah menegah tingginya. “Kau dah gila ke? Jangan berani‐berani nak bunuh diri boleh tak?!” tengkingnya. Rasa seperti hendak meletup jantungnya saat dia baca pesanan ringkas dari Suri yang ada baur‐baur hendak membunuh diri.

Suri ketawa sinis. “Yang awak nak kisah buat apa? To you, I’m nothing less than a fly. Mati? Semua orang lagi suka kalau saya mati.”

Yurino cuba mendekati Suri namun lagi dekat lelaki itu mendekati, Suri mengundur ke belakang setapak demi setapak. “Jangan cuba untuk datang dekat. Ini amaran.”

“Suri jangan buat diri nampak bodoh. Tolonglah,” rayu Yurino.

“Tet... Salah. Ayat pujuk yang salah. Awak tak belajar ke cara‐cara untuk pujuk orang yang cuba
membunuh diri?” soal Suri sinis. Gadis itu berjalan mendekati tepi tebing. Jemarinya bermain dengan cincin tunang yang tersarung di jarinya. “Saya nak awak jawab soalan saya Yuri. Kalau awak jawab betul, saya akan ubah fikiran. Kalau awak jawab salah, saya lompat betul‐betul. Faham?”

Lelaki itu mengangguk. Panik.

Di hati Suri hanya ada simpati untuk lelaki itu. Simpati pada dirinya juga. Perlukah dia berkelakuan kebudak‐budakkan sebegini? Sedangkan dia sendiri sudah ada jawapan untuk pergi dari sini. Buat apa dia berlama‐lama lagi? Untuk sakitkan diri lagi? Suri tidak tahu.

“Kenapa awak putuskan pertunangan kita Yuri?”

“Awak nak saya jawab macam mana lagi Suri? Saya dah bagitahu awak sebelum ni,” jawab lelaki itu.

Suri mengundur setapak. “Salah.”

Yurino hela nafas berat. “Sebab mak bapak saya tak suka awak. Okey? Pegang tangan saya Suri,” pintanya.

Suri menggeleng. “Saya kecewa dengan awak Yuri. Jawapan awak salah lagi.” Dia mengundur setapak lagi. Kali ini lebih besar langkahnya. “Saya tak tahu samaada awak ni pandai atau sebenarnya lagi bodoh dari saya,” perlinya.

“Okey! Okey! Sebab awak! Semuanya sebab awak. Mereka paksa saya putus hubungan dengan awak sebab awak tak layak untuk ambil alih keluarga awak. Kitaorang tengah kekurangan kewangan sekarang ni dan mereka tak suka dengan kata‐kata orang fasal awak. Mereka tak yakin dengan awak. Puas!”

Suri ketawa sinis. Mendengar jawapan dari mulut Yurino dari mendengar jawapan dari mulut orang lain berasa sangat berbeza. Sakitnya pun berbeza. “Jadi kenapa awak tak pertahankan saya? Awak tak sayangkan saya?”

“Suri...”

“Jawab saya Yurino! Awak cintakan saya atau tak sebenarnya?” Suri undur setapak.

Lelaki itu panik. “Stay still! Stay! Macam mana awak harap saya nak bagi jawapan kalau awak ugut saya macam ni!”

Mata Suri kabur. Air matanya bertakung. Badannya menggeletar. Jemari kanannya yang dari tadi bermain dengan cincin tunang mereka akhirnya terlucut dari jarinya. Cincin yang dia sangka sukar untuk dia cabut sebenarnya mudah terlucut jika dia paksa dirinya untuk cabut.

Sama juga dengan Yurino. Lelaki itu tiada pilihan. Antara dirinya atau keluarga lelaki itu, Yurino pilih keluarga dan pilihan Yurino buat Suri sedar yang dia sangat‐sangat jahat. Tidak guna dan murah. Tiada apa lagi yang boleh buat dia bertahan di tempat seperti ini. Datuknya yang tidak pernah ikhlas menerimanya. Ibunya yang pergi kerana seksa cinta ditinggalkan dan Yurino tersekat antara cinta dan keluarga. Dia? Hanya penghalang kebahagiaan orang lain. Dia tidak layak pun dilahirkan.

“Saya minta maaf Yuri,” ucapnya sedih. “Saya tak maksud pun nak buat awak macam ni tapi saya sebenarnya takut. Saya takut ditinggalkan. Biarlah kali ini saya pula yang pergi. Saya dah puas...” Dia pandang cincin yang berada di dalam genggamannya.

“Awak buat pilihan yang betul. Kalau awak terus berada di samping saya, awak takkan dapat
apa‐apa dan hanya tomahan dan benci. Saya taknak awak lalui tu jugak. Saya patut sedar dari
awal. Saya dah susahkan awak. Awak ambillah cincin ni semula. Cinta kita ni sebenarnya tak
bawa apa‐apa makna bahagia pun dari mulanya.” Suri campak cincin itu pada Yurino. Air
matanya dikesat kasar. Dia berlari melepasi Yurino dan menuruni anak tangga. Suara lelaki itu
yang menjerit‐jerit memanggil namanya dan dia lansung buat tidak endah. Dia tidak akan
berpaling. Dia hanya mahu lari. Lari selaju yang mungkin!
Langkah Suri terhenti saat dia ternampak Da Um seperti sedang menunggunya di tepi tangga.
Namun pada masa itu dia tidak mahu melayan kerenah Da Um yang tidak sudah‐sudah
dengan cemburu buta. Tiba‐tiba dia rasakan belakang badannya seperti ditolak dan dia hilang
imbangan badan. Telinganya menangkap suara Da um.
“Abang Yurino, saya yang punya!”
Suri tergamam dan pada masa yang sama dia tidak mampu mengawal keadaan yang diluar
kawalan. Wajah Yurino yang terkejut dan cuba untuk menggapai tangannya dan wajah Miza
yang tiba‐tiba muncul di ruang matanya sebelum segala‐galanya menjadi kabur. Badannya
kaku di bawah tangga dengan lumuran darah yang mengalir cepat.
Suara Miza yang menjerit dan Yurino yang berang. Semuanya perlahan‐lahan tidak dapat dia
tangkap lagi. Hanya satu permintaan dia yang lelah dengan kerenah semuanya saat itu yang
dia ingin lari dari rialiti yang perlahan‐lahan berpaling darinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan