Label

Selasa, 27 Disember 2016

NOVEL Ps Cinta Itu Kamu Bab13

SUASANA agak kecoh dan kelam kabut. Semua staf di resort agak sibuk. Musim cuti sekolah telah bermula. Pengunjung lebih ramai dari biasa. Beberapa kumpulan besar dari Korea dan China turut daftar masuk. Sepanjang dua minggu ini, bilik full house. Semua staf dari berpangkat tinggi hingga ke kuli sibuk bagaikan tidak cukup tangan dan kaki menguruskan tugas masing‐masing termasuk Hana.

Pengunjung yang telah beratur panjang. Staf pemasaran turut membantu reception untuk proses pendaftaran masuk. Mereka tidak cukup kakitangan. Selalunya ketika peak hour semua staf akan turun padang dan bekerja lebih masa. Inilah masanya untuk mencari duit lebih dengan overtime...

Hana dipanggil berjumpa General Managerdengan kadar segera. Kunci vila di lereng bukit diserahkan pada Hana. Pada hari itu juga terdapat seorang tetamu VIP akan menginap di situ.

‘Hari ini! Kenapa hari ini? Dia sudah cukup sibuk hari ini. Ini pula perlu menguruskan kemasukan yang tidak diduga’ bebel Hana. Dia tidak pernah lagi menguruskan tetamu VIP sejak bekerja di situ. Kakinya juga belum pernah melangkah masuk ke vila. Hanya mendengar cerita dari Sofea.

“Nama dia Mr. Eric dari New York. Seorang ahli perniagaan. Dia kawan kepada salah seorang pemegang saham di resort ini. Kemungkinan malam ini dia akan masuk dan dia tidak perlu membuat proses check in di reception. You sendiri perlu buat summery bill dia. Di sana akan menempatkan dua orang housekeeping dan seorang pengawal keselamatan yang telah saya pilih. Awak boleh pergi dengan mereka sekarang..” terang Saiful yang merangkap jawatan General Manager di resort itu.

“Baik” balas Hana ringkas.



“Awak perlu jaga tetamu VIP sebaik‐baiknya. Pastikan semua diurus dengan baik. Saya tak nak sampai saya dapat aduan daripada dia. Jika ada sebarang aduan sampai ke telinga pengurusan pihak atasan, nama saya akan busuk. Awak kena ingat itu...” Saiful cuba memberi peringatan pada Hana. Dia tidak mahu ada perkara yang kurang baik berlaku sepanjang pengurusan dia di situ. Itu dia cukup jaga.

“Insya‐Allah. Saya buat sebaik mungkin. Jika tak ada apa‐apa lagi, saya pergi dulu.” Hana mengundurkan diri.

“Cik Hana.” Dipanggil lagi. “Jika ada apa‐apa masalah, terus menghubungi saya segera. Tetamu VIP ni di bawah jagaan saya.” Tambah Saiful yang agak risau. Dia kurang percaya Hana mampu menguruskan tetamu VIP itu. Tetamu VIP ini bukanlah calang‐calang orang. Dia anak kepada kawan pemegang saham terbesar resort itu.

Hana hanya mengangguk dan keluar dari bilik. Staf yang dipilih telah menunggu Hana untuk ke vila.

“Cik Hana...” laung Sofea.

Sofea dan Nabila mendekati Hana.

“Cik Hana... fail program group Korea tu ada pada Cik Hana tak?” tanya Nabila.

“Ohh.. fail tu ada pada Shahrul. Saya sekarang kena menguruskan tetamu VIP di vila. Sofea... you tolong Shahrul dan you Nabila pasti semua kelengkapan keramaian malam ini ikut seperti yang dirancang. Jika ada apa‐apa problem, segera call saya.” Arah Hana.

“Cik Hana nak ke vila tu ke?”

“Emm... kenapa?”

“Wah.. bestnya. Saya pun tak penah jejakkan kaki ke dalam vila itu. Hanya tengok dari luar aje. Boleh tak saya nak ikut Cik Hana...”

“Boleh... but next time. Not today. Okey Sofea... you kena tolong Shahrul. Kesian dia uruskan seorang diri. Nabila pun, jika semua dah dipastikan, tolong Shahrul tengok group dari China tu. Saya pergi dulu.” Hana menaiki buggybersama staf lain menuju ke atas bukit.

Sampai di depan vila, Hana memandang ukiran batu di tepi pagar besi yang terukir nama Paradise Island Villa dan memandang vila dua tingkat yang tersergam indah tapi terselit perasaan sunyi, sepi, sedih dan seram. Mungkin kerana telah lama tidak didiami. Pagar besi bermangga besar dibuka Hana. Pengawal keselamatan memeriksa sekeliling vila terlebih dahulu untuk memastikan kawasan dalam keadaan selamat.

“Okey... semuanya dalam keadaan selamat. Cik Hana boleh masuklah.” Kata pengawal itu. Dia
kemudiannya masuk ke dalam pondok keselamatan yang telah dikhaskan.

Pintu gerbang yang berukiran corak awan larat dibuka Hana. Melangkah masuk ke ruang tamu yang luas. Housekeeping memulakan tugas mereka dengan membuka tirai di setiap pelosok rumah. Terang, bila cahaya matahari menembusi ke dalam ruang vila. Hana tergamam melihat pemandangan di depan matanya. Hampir melopong mulutnya. Dia membuka pintu kaca seluas‐luasnya. Angin menderu masuk menghembus tubuhnya. Kolam yang luas menghadap teluk dan laut yang kebiruan. Pemandangan mewah yang sungguh menakjubkan dan dari situ juga boleh lihat keseluruhan kawasan resort.

Hana naik ke tingkat atas yang menempatkan bilik gym, bilik spa serta tiga buah bilik tidur. Ruang bilik tidur utama yang luas merangkumi bilik persalinan persendirian dan bilik mandi berkaca yang mempunyai jakuzi. Hana kemudiannya turun melalui lif. Ketika itu Hana baru teringat yang dia terlupa membawa Fruit Basket untuk diletakkan di vila. Fruit Basket ialah bakul yang di isi buah‐buahan tempatan sebagai tanda selamat datang kepada pengunjung.

Nak minta salah seorang staf dari dapur hantar, mereka sudah cukup letih mengejar masa menyiapkan hidangan tengah hari tadi. Pastinya sekarang mereka tengah tungkus lumus menyediakan hidangan High Tea. Jawapannya, Hana perlu mengambil sendiri.

MELANGKAH masuk ke dapur, semua pekerja sedang sibuk dengan urusan masing‐masing. Kedengaran bunyi periuk belanga berdentum dengan suara‐suara sinis. Ada yang sedang memasak, menguli dan memotong bahan‐bahan masakan. Sudah petang pun masih sibuk begini. Jika bertanya pastinya tidak dilayan.

Hana meninjau‐ninjau jika ternampak kelibat Chef Mazuki. Dia menyelit di celah‐celah kesesakan orang‐orang yang sibuk hingga berjumpa Chef Mazuki yang sedang merasa setiap makanan yang telah tersedia.

“Chef...Chef...” Cuba memanggil dalam keadaan yang bising.

“Cik Hana. Kenapa?”

“Saya nak satu Fruit Basket. Ada tetamu VIP akan menginap di Vila malam ni.”

“Cik Hana boleh...”

“Tak apa... saya ambil sendiri. Di mana?” celah Hana. Dia tahu, chef tiada masa melayannya.

“Dekat chiller sana tu.” Menunjuk ke bahagian paling hujung di dalam dapur.

Hana melangkah laju terus masuk ke dalam chiller yang pintunya terbuka luas. Ruang chiller sebesar kontena memuatkan semua barang basah seperti ikan, ayam, sayuran dan buah-buahan untuk mengekalkan kesegaran pada suhu yang telah ditetapkan. Hana mencari‐cari barang yang di kehendakinya.

Pintu chiller tertutup rapat. Dia meluru ke arah pintu dan mengetuk kuat sambil menjerit‐jerit memanggil orang di luar. Tapi, pintu tidak terbuka. Hana mula cemas. Dia cuba lagi mengetuk lebih kuat, masih tidak terbuka. Poket seluar diseluk dan mengeluarkan smartphone. Di sentuh-sentuh mencari nama chef lalu didail. Panggilan tidak dapat disambungkan. Line tak ada.

Dia masih tidak mengalah, cuba dan terus mencuba menghubungi semua nama yang dikenalinya. Tetap tidak dapat... dia mengetuk kuat sekali lagi dengan sepenuh daya yang ada serta menendang dan menjerit berulang kali tetap sunyi. Pintu tertutup rapat. Tiada tanda-tanda akan terbuka.

Dia kepenatan, tersandar pada pintu. Dia memandang sekeliling dengan berbekalkan lampu biru yang suram. Dadanya berombak laju, hatinya cemas lalu terduduk ketakutan. Dia cuba bernafas perlahan, melegakan dada dan menenangkan perasaan sendiri. Dia berdoa akan ada seseorang yang akan membuka pintu itu. Ketika itu baru dia teringat akan kata‐kata Chef Mazuki suatu ketika dulu.

“Di sini ada 2 chiller. Satu chiller besar yang menempatkan semua barang basah. Barang dihantar oleh pembekal hanya seminggu sekali kerana resort ini terletak di pulau terpencil. Chiller besar akan dibuka satu atau dua kali sehari sahaja. Barang yang telah disenaraikan untuk diguna akan dipindahkan ke chiller kecil bersebelahan chiller besar.”

Baru Hana teringat yang dia telah masuk ke chiller besar. Dek kerana terlalu kelam‐kabut, dia lupa tentang itu. Lagi pun dia tidak pernah masuk ke chiller. Kali pertama dan terakhir dia memantau kedudukan chiller ketika hari pertama masuk bekerja. Selalunya, semua diminta saja. Chef atau staf kitchen akan memberi terus ke tangannya. Kali ini kena ambil sendiri.

Otaknya sudah cukup serabut dengan tugas hakikinya. Dia semakin cemas. Dia mundar‐mandi memikirkan jalan untuk keluar dari situ. Badannya semakin sejuk. Tangan digenggam dan digosok sesama sendiri serta menghembus‐hembus nafasnya untuk mengeluarkan haba bagi mengurangkan sejuk. ‘Tak kan aku nak duduk di sini hingga esok pagi. Beku aku kat dalam ni...’ bisik hatinya.

“Sabar Hana... sabar. Fikir.... pasti ada jalan keluar. Pasti ada jalan penyelesaiannya. Fikir dan terus berfikir.” Hana cuba memerah otaknya. Tubuhnya semakin sejuk. Kedua tangannya memeluk tubuh dan menggosok laju di pangkal lengan.

Beberapa jam di situ tubuh Hana semakin menggigil dan membeku. Sesekali Hana mencuba mengetuk lagi, terjerit‐jerit memanggil orang di luar, tetap gagal hingga dia tidak berdaya lagi.

Tidak berdaya melawan lagi kesejukan yang semakin bermaharajalela. Semakin lama tubuh semakin lemah dan membeku hingga dia rebah di depan pintu. Matanya semakin kuyu memandang ke atas. Ketika itu, dia mula teringat saat dia diambang kematian lemas. Tapi nasibnya bertuah bila Ridduan datang selamatkan dirinya daripada menemu maut sebelum ajal.

“Ridduan... Ridduan...” Hana memanggil perlahan. “Jika dia ada, pasti dia akan selamatkan aku lagi.” Tambah Hana dalam suara tenggelam timbul. Wajah Ridduan terbayang di depan mata dengan tersenyum kacaknya.

Badannya juga semakin kejang dan tidak mampu bergerak. Lama‐kelamaan dia tidak dapat merasai tubuhnya sendiri hingga matanya tertutup perlahan‐lahan.

Pintu chiller dibuka Izwan. Terlihat sekujur tubuh rebah membeku seperti tidak bernyawa. Dia segera mendukung Hana dan membawa ke klinik resort itu. Malam itu hanya seorang chef dan dua orang pembantu chef yang bertugas terkejut melihat Izwan mendukung seseorang meluru keluar.

“Izwan mana kau jumpa dia ni.” Tanya chef.

“Dalam chiller. Tak tahu bila Cik Hana terperangkap dalam tu.” Izwan segera membawa Hana ke klinik.

“Macam mana perempuan tu boleh ada dalam chiller tu? Dia buat apa dekat dalam tu?” salah seorang pembantu chef bertanya pada kawannya.

“Mana aku tahu. Ehhh.. tapi waktu kerja Izwan bukan sepatutnya dah habis petang tadi ke? Dia buat apa lagi kat sini? Macam mana dia tahu perempuan tu ada dalam tu? Pelik...” Seorang lagi pembantu chef menggaru‐garu kepala tidak gatal. Keliru dengan situasi itu.

MATA dibuka perlahan‐lahan. Wajah Izwan tersenyum di depannya. Dia cuba bangun tapi seluruh badannya terasa sengal.

“Cik Hana jangan bangun lagi. Cik Hana rehat dulu ya.” Tegur Izwan lembut.

Hana tidak endahkan kata‐kata Izwan. Dia duduk dan memandang kiri dan kanan. Melihat sekeliling seperti mencari sesuatu. Mencari kelibat orang yang telah menyelamatkan dirinya.

“Kenapa ni Cik Hana? Cik Hana cari siapa?”

“Mr. Ridduan... mana Mr. Ridduan?” tanya Hana.

“Mr. Ridduan?” Izwan berfikir. Mr. Ridduan yang dia kenal hanya seorang saja. Itu pun guest yang telah tiada. “Mana ada Mr. Ridduan. Saya dan doktor saja di sini.”

“Habis, macam mana saya boleh ada di sini? Siapa yang bawa saya ke sini?” Hana bingung.

Rasanya tadi, Ridduan yang selamatkan dan dukung dia bawa ke sini. Takkan dia bermimpi. Tapi jelasnya sama seperti alam realiti.

“Saya bawa Cik Hana ke sini.”

Hana memandang Izwan. “Ohh.. iya ke. Terima kasih banyak‐banyak kerana telah selamatkan saya.” Hana masih kebingungan walaupun kenyataan telah diberitahu.

“Sama‐sama Cik Hana.” Izwan tersenyum lebar lagi. Gembira... dia bangga dengan dirinya yang telah menjadi hero kepada Hana.

Doktor berbangsa Cina telah memberi rawatan pada Hana. Cuma Hana demam akibat suhu sejuk mendadak. Doktor itu memberi cuti sakit kepada dia berehat. Ini merupakan kali kedua dia telah dirawat oleh doktor itu. Dia dibawa pulang ke bilik oleh Izwan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan