Label

Jumaat, 30 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab40

MATA Luqman Adzlie bertemu dengan mata Manissa. Pandangannya tajam menikam. Manissa rasa serba salah apabila direnung sebegitu. Entah kenapa dia tidak selesa dengan situasi itu. Bukan dia tidak biasa berdepan dengan mana‐mana lelaki, malah lebih hebat pengalamannya ketika berada di Semarak Café. Jiwanya semakin gementar apabila ditatap lama oleh lelaki ini. Degup jantungnya bertambah kencang. Rasa resah dan gelisah mula menunda ke segenap ruang dada.

“Terima kasih awak … banyak bantu saya.”

“Awak cakap apa? Saya tak faham…”

“Tak faham? Atau saja buat‐buat tak faham?”

Manissa mendiamkan diri. Tiada jawapan bagi soalan itu. Sempat juga dia mengalih pandang ke arah luar kawasan wad yang menempatkan Luqman Adzlie, mencari bayang Mia Salmi. Namun hanya pandangan kosong yang mengisi ruang. Debar di dadanya masih terasa. Sudah hampir setengah jam Mia Salmi meninggalkan dia bersama Luqman Adzlie. Katanya tadi mahu menunaikan solat asar. Kalau diikutkan masa, sepatutnya Mia Salmi sudah pun menunaikan tanggungjawabnya itu.

Luqman Adzlie tersenyum. Dia cuba mengagak yang sedang difikirkan oleh Manissa. Dia tahu bukan mudah untuknya mendekati perempuan seperti Manissa.



“Awak masih marahkan saya?”

Luqman terus menagih jawapan. Manissa tetap mendiamkan diri.

“Saya tahu … awak masih marahkan saya. Saya benar‐benar nak minta maaf atas apa yang saya telah lakukan pada awak dulu. Saya benar‐benar menyesal!”

Manissa cuba melawan perasaan gementarnya. Berhadapan dengan lelaki itu, dia perlukan kekuatan. Seketika itu dia memang mahu mendera perasaan Luqman Adzlie. Dia mahu lelaki itu terus merayu kepadanya. Dia memang mahu lelaki itu menyesal dan bertanggungjawab atas insiden yang dimulainya dahulu. Dilawankan juga rasa gementarnya itu dengan kembali merenung ke mata Luqman Adzlie. Walaupun dia juga terasa seperti ada tikaman ke jantung namun dia perlu bertahan.

“Awak tak kesiankan saya? Saya sakit ni!”

Luqman Adzlie terus merayu. Inilah masa yang terbaik untuknya memohon maaf kepada Manissa atas kesalahannya yang lalu. Baginya, Manissa mempunyai ciri‐ciri wanita yang diidamkan. Di pandangan mata kasarnya, Manissa nampak happy go lucky namun mata hatinya melihat ada kelembutan yang belum terungkap di sisi wanita itu.

“Awak … dengar tak apa yang saya cakap ni?”

Diam Manissa seperti diamnya ubi. Dalam hatinya dia memang mahu tergelak apabila sudah berjaya membuatkan Luqman Adzlie mengakui kesilapan masa lalunya. Puas hatinya apabila helah nampak berjaya. Di hati kecilnya juga terbit rasa simpati kalau berterusan membiarkan Luqman Adzlie dalam keadaan serba salah itu. Sudahlah fizikalnya menanggung sakit, ditambah pula sakit hatinya kerana persoalan yang dikemukakan tiada berjawapan.

“Awak … saya bercakap dengan batu agaknya. Atau tunggul kayu di tepi jalan!”

“Agaknya kot!” tiba‐tiba Manissa bersuara.

Luqman Adzlie seperti terkejut. Dalam hatinya terpaksa banyak bersabar apabila dengan kerenah Manissa itu. Akhirnya dapat juga dia mendengar suara emas Manissa.

“Ermm … ada suaranya. Ingatkan bisu tadi!”

“Aah … tadi memang bisu sekejap.”

“Sabar sajalah!”

Manissa tersenyum manis. Luqman Adzlie juga kembali mengukir senyum. Lapang dadanya apabila Manissa mula mesra dengannya. Terasa sakit‐sakit di badannya hilang seketika. Mungkin sudah tersurat keakraban mereka berdua akan bermula dari katil wad itu. Dan momen ini menjadi titik mula baginya membina persahabatan bersama Manissa.

“Awak tak jawab lagi soalan saya?”

“Soalan? Soalan apa? Errmm … saya mudah lupa!”

“Sampai hati awak. Dahlah saya sakit … awak dera lagi perasaan saya.”

“Saya dera awak? Jahatnya saya!”

“Memang awak jahat!”

Jawapan daripada Luqman Adzlie itu mengundang rasa geli hati kepada Manissa. Kali ini dia bukan hanya tersenyum, malah dia mula ketawa. Luqman Adzlie juga sama‐sama ketawa. Bibit‐bibit kemesraan antara mereka berdua semakin menguntum mekar. Peristiwa lama mula diimbas semula.

“Siapa yang jahat? Awak yang mulakan dulu.”

“Ohh … awak masih tak puas hati lagi. Masih nak salahkan saya?”

“Siapa‐siapa pun yang ada di tempat saya ketika itu pasti mempunyai rasa yang sama. Kalau awak macam mana?”

“Nak buat macam mana? Saya redha sajalah!”

“Itu ayat Mat Skema!”

Tanpa sengaja, tangan kanan yang dihayun oleh Manissa terkena kepada kaki Luqman Adzlie yang masih bersimen. Serentak dengan itu Luqman Adzlie berteriak kesakitan. Manissa berasa serba salah. Niatnya untuk bergurau tidak menjadi. Dia memang tidak berniat untuk menyakiti Luqman Adzlie.

“Aduhhhh!!!”

“Err … maafkan saya. Saya tak sengaja.”

“Banyaklah tak sengaja awak. Sakit tahu!”

“Memang awak sakit. Sebab tu awak ada kat wad ni.”

“Ohh … awak perli saya!”

Sementara itu, Mia Salmi sebenarnya sudah lama berada di balik pintu wad. Sempat juga dia mencuri pandang akan kemesraan abangnya itu dengan Manissa. Dia turut tersenyum dan menyimpulkan perbalahan antara mereka berdua tempohari sudah pun selesai. Dia memang sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT. Dia tidak mahu mengganggu hubungan persahabatan yang baru bermula itu. Akhirnya tertunai juga doanya sebelum dia berangkat ke Sabah beberapa hari lagi. Lapang dan tenang dadanya ketika itu. Dia mengambil keputusan untuk ke ruang menunggu di luar sana. Biarlah dia berehat seketika di situ. Langkahnya mula diatur ke arah yang dimaksudkan.

“Janganlah marah. Saya gurau saja!”

“Iyalah … bergurau biarlah kena tempatnya.”

“Saya dah minta maafkan?”

Persoalan Manissa itu mati sebentar di situ. Luqman Adzlie benar‐benar terhibur petang itu.
Bukanlah sakit sangat kakinya itu tetapi sengaja dia mahu mengusik Manissa juga. Sudah tentu 
tangan Manissa juga berasa sakit sebab terkena balutan simen di kakinya. Semakin lama semakin mesra dia bersama Manissa.

“Awak okey tak? Maksud saya … tangan awak tu.”

“Tak sakit pun. Yang sakit hati saya!”

“Ohh … nanti saya panggilkan doktor. Rawat hati awak yang sakit tu!”

“Awak!!!!”

Luqman Adzlie terkekeh‐kekeh ketawa. Geli benar hatinya apabila melihat Manissa mula menarik mukanya masam mencuka. Hari‐hari bosannya menghuni di wad itu sudah berlalu pergi. Sungguh dia tidak menyangka Manissa yang menjadi penyumbang kepada perubahan keadaan itu. Sesungguhnya dia benar‐benar bersyukur atas hikmah yang Allah SWT berikan kepadanya. Dugaan yang diberikan ada nikmatnya. Walaupun sakit tetapi manisnya momen tetap ada. Manissa seakan mahu merajuk.

“Okeylah awak. Saya minta maaf sekali lagi.”

“Asyik minta maaf, lepas tu buat lagi.”

“Kali ni saya janji. Saya tak buat lagi!”

“Janji?”

“Sumpah!”

“Dah jangan nak bersumpah‐sumpah pulak. Esok‐esok jadi sesumpah!”

“Tak sangka awak pandai buat lawak.”

“Lawaklah sangat! Sudahlah saya nak cari Mia kejap. Awak tunggulah sini.”

Manissa mula melangkah meninggalkan Luqman di katil. Hatinya juga berbunga riang ketika itu. Cuma perasaan itu tidak dizahirkan supaya Luqman Adzlie tidak mengesyaki sesuatu terhadap dirinya. Dalam diam dia sudah mula menyukai lelaki itu. Terfikir juga di benaknya, adakah Luqman Adzlie mempunyai rasa yang sama? Dipesan juga untuk dirinya sendiri supaya tidak berlebih‐lebih dalam membina hubungan persahabatan itu. Menyukai tidak bermakna kena mesti menyintai. Duhai hati tenanglah, bisiknya sendirian.

“Nanti dulu awak …”

“Awak nak apa lagi?”

“Terima kasih awak kerana sudi menceriakan hari‐hari sedih saya. Sepanjang berada di wad ini
memang saya rasa bosan sangat. Bila awak datang, hati saya mula berubah.”

“Tapi kenapa saya?”

“Awak membuatkan saya bahagia!”

Bahagia? Lain benar bunyinya ungkapan itu buat Manissa. Dia rasa amat bersyukur kalau itu yang Luqman Adzlie rasakan. Niatnya memang tiada lain melainkan untuk membahagiakan hati sahabatnya itu. Keakraban yang mula bertaut itu akan memudahkan dia mencari jawapan siapakah sebenarnya lelaki yang bernama Luqman Adzlie itu? Perancangannya mula berjalan dengan baik. Umpama jarum yang tertusuk di jari, sakitnya mula terasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan