‐Tahun 2005‐
Fail yang sedang dipegangnya dicampak kuat ke atas meja. Rasa bahang di dada masih meluap‐luap. Masih terngiang‐ngiang di telinganya segala maki hamun yang dihamburkan oleh ketua jabatannya sebentar tadi. Semuanya berpunca dari kesilapannya menulis sejumlah angka di atas sehelai cek yang telah diserahkan kepada sub‐contractor syarikatnya.
“Sikit‐sikit nak melenting. Tak reti nak cakap baik‐baik ke apek ni.”
Bebelan Fikri masih berpanjangan. Tidak dihiraukan rakan sekerjanya yang sedang memandang ke arahnya.
“Apa pandang‐pandang. Ada hutang?”
Steven yang masih memandang ke arah Fikri, hanya membisukan mulutnya. Biarpun dia dapat
menyelami perasaan Fikri saat ini, namun tidak sedikit pun butir bicara Fikri dapat difahaminya
sementelah lelaki itu hanya mampu berbahasa Inggeris dan Mandrin sahaja.
Fikri pantas menghenyakkan punggungnya di atas kerusi. Disandarkan tubuhnya ke belakang dan dipejamkan seketika matanya untuk mengingati semula mengapa dia sanggup untuk menjejakkan kaki ke Negara Singa ini. Negara yang sentiasa sibuk. Sibuk dengan segala urusan duniawi. Sibuk dengan kemajuan Negara sehingga memberikan tekanan kepada setiap penghuninya.
“Kerja! Kerja! Kerja!”
Bentak hati Fikri. Perlahan Fikri membuka kelopak matanya. Badan yang tadinya tersandar kini
sudah tegak. Dudukannya juga diperkemaskan. Fikri menarik nafasnya dalam dan
menghembuskannya perlahan. Terasa sedikit ketenangan sudah mulai bertapak di hati dan perlahan kemarahan terusir pergi.
Kenapalah aku sanggup bertahan sehingga ke saat ini? Segala maki hamun aku telan biarpun hati ini mendidih kemarahan!
Semuanya kerana aku memerlukan pekerjaan ini. Tetapi mengapa mesti di sini? Di Negara asing yang tidak sama cara kerjanya dengan Negara kelahiranku. Kenapa? Kenapa mesti Singapura dan bukannya Malaysia?
Persoalan berterusan yang menghenyak pemikiran Fikri, menghadirkan denyutan kecil di kepalanya. Jari jemari kasarnya memicit perlahan kepalanya. Namun pergerakan jari jemarinya itu terhenti saat telinganya menangkap bunyi bip pada handphonenya. Dicapai gajet itu dan segera membaca mesej yang baru dihantar oleh Mashitah.
“Assalamualaikum. Abang busy ke?”
“Waalaikumussalam. Tak ada busy sangat. Kenapa dik?”
Tipu Fikri. Biar sesibuk manapun dirinya, tidak akan dikhabarkan perkara itu kepada Mashitah
kerana dia tidak mahu adik kandungnya itu memaklumkan kesibukan dirinya kepada Balkis.
Fikri tidak mahu insan yang amat dicintainya itu gusar akibat bebanan kerja yang terpaksa
dipikulnya.
“Adik bencilah abang!”
“Dengan siapa?”
Biarpun Fikri sudah dapat menduga siapakah gerangannya. Tetapi untuk menunjukkan minatnya terhadap aduan Mashitah sebentar lagi, sengaja persoalan itu yang dihantar.
“Nenek tulah. Menyampah.”
“Apa pulak yang nenek buat hari ni?”
Agak lambat Fikri mendapat balasan terhadap mesejnya kali ini.
“Ada ke patut, dia kata Mashitah ni pemalas. Tak reti buat kerja. Lepas tu boleh pulak dia kata
Mashitah ni tak laku. Kalaulah orang tua tu bukannya nenek kita dah lama dah adik ‘tangankan’ mulutnya tu. Geram betul adik! Makin tua makin melampau. Yang adik paling benci sekali, boleh pulak nak banding‐bandingkan adik dengan makwe abang tu! Yelah… Adik memang mengaku yang Balkis tu cantik, cerdik, berbudi bahasa, pandai masak pulak tu. Tapi tak payahlah setiap hari nak banding‐bandingkan adik dengan makwe abang tu. Geram!!!”
Tersenyum Fikri membaca mesej yang berjela itu.
“Patutlah lambat balas. Punyalah panjang kau tulis adik oi.”
Omel Fikri dan senyumannya kian mekar saat mindanya terbang tinggi mengingati buah hatinya. Gambaran keayuan dan kesempurnaan Balkis sudah menabiri penglihatannya saat ini.
“Sabar eh adik. Walau macam manapun, adik kena ingat yang orang tua tu nenek kita. Biar selancang manapun mulutnya, kita sebagai cucu kena bersabar. Hanya itu yang boleh kita lakukan.”
“Sabar! Sabar! Sabar! Sampai bila adik nak kena bersabar?”
“Sampai adik dah tak boleh sabar. Hehehe :)”
Sengaja Fikri berseloroh untuk memadamkan api kemarahan Mashitah yang masih bersisa.
“Abang nikan! Orang betul‐betul, dia main‐main pulak. :(”
“Alah… Abang main‐main pun nak merajuk. Baiklah, apa kata kalau adik cuba mintak pendapat
Balkis pulak. Mungkin makwe abang yang cun tu boleh bagi pendapat yang berbeza.”
“Dah.”
Sepatah sahaja jawapan Mashitah.
“So, Balkis cakap apa?”
“Samalah macam abang. Suruh adik banyak bersabar. Balkis cakap, biasalah orang tua. Kadang‐kadang tak sedar yang percakapan mereka tu boleh melukai hati kita. Mungkin niat nenek untuk menegur adik, tetapi bila sampai ke pendengaran adik… Lain pulak tafsirannya. Itulah yang adik melenting tadi. Nasib baik jugaklah Balkis sabarkan adik. Kalau tak, mesti berperang mulut lagi adik dengan nenek hari ni.”
Mekar sungguh senyuman Fikri tika ini. Terasa bangga yang dirinya bakal beristerikan seorang
wanita yang matang dalam pemikiran dan ayu dalam perlakuannya.
“Abang setuju dengan pendapat Balkis tu.”
“Memanglah abang setuju. Sebab Balkis tukan kekasih hati merangkap bakal tunang abang.”
“Hehehe… Adik tak happy ke kalau jodoh abang terus kekal dengan Balkis?”
Sengaja Fikri mahu menduga isi hati adik kandungnya itu.
“Memanglah happy. Tapi…”
“Tapi apa?”
Agak lama Fikri menunggu. Masih tiada mesej yang masuk. Sekali lagi mesej yang sama dihantar oleh Fikri kepada Mashitah.
“Tapi apa?”
“Tapi… Adik takut, kalau abang kahwin dengan Balkis… Makin ligatlah nenek banding-bandingkan
adik dengan Balkis. :(”
Tertawa kecil Fikri ketika membaca pesanan ringkas itu. Steven yang masih memberikan
tumpuannya kepada Fikri, mengerutkan dahi. Pelik dengan perubahan temannya itu.
“Adik jangan risau. Kalau sampai lepas abang kahwin pun, nenek masih nak banding-bandingkan adik dengan Balkis. Tahulah abang nak buat apa.”
“Abang nak buat apa?”
Laju Mashitah membalas. Teruja sungguh dirinya mahu mengetahui apakah perancangan abang tunggalnya itu untuk membela nasibnya.
“Abang buat bodoh. Hehehe :)”
“Abang nikan!!! Bencilah adik! Dahlah, malaslah nak layan orang sewel macam abang ni. Adik nak solat dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Jangan lupa kirim salam dekat buah hati abang tu ya. Kata dekat dia yang
abang rindu sangat nak jumpa dia.”
“Katalah sendiri!”
Fikri sudah terbahak‐bahak. Tidak dipedulikan jelingan Steven dan beberapa rakan sekerjanya yang lain. Lapang sungguh pemikiran Fikri yang tadinya berserabut. Terhibur dirinya dengan kerenah adik tunggalnya itu. Setelah tawanya reda, Fikri menarik dalam nafasnya sebelum menghembuskannya perlahan. Sekali lagi tubuhnya disandarkan ke kerusi. Matanya juga dipejamkan buat kali kedua.
Bayangan Balkis muncul semula. Buah hati kesayangannya itu sedang melemparkan senyuman
manis ke arahnya. Butir bicara yang keluar dari bibir merah bak delima itu sentiasa tersusun. Lembut dan mempersonakan. Kerana kelembutan dan kesempurnaan gadis itulah, Fikri akhirnya memutuskan untuk menyatakan hasrat hatinya untuk menyunting Balkis sebagai tunangannya. Andai diikutkan kemahuannya bukan pertunangan yang diingini tetapi sebuah perkahwinan yang diimpikan, namun kerana nasihat mama, papa serta neneknya… Akhirnya Fikri akur dan bersetuju untuk memberikan ruang kepada Balkis bagi menyambung pengajiannya ke peringkat master. Selepas sahaja tamat pengajian Balkis nanti, akan disegerakan pernikahannya itu. Tidak mahu ditunda‐tundakan lagi biarpun sehari.
Senyuman lebar membahagiakan wajah tampan milik Fikri saat minda lelaki itu terimbau peristiwa petang itu. Petang yang yang sungguh mendamaikan dan menenangkan sedikit keresahan di jiwa Fikri pada saat itu tidak mungkin akan dilupakannya sampai bila‐bila, kerana pada petang itulah Fikri meluahkan hasrat hatinya untuk mengikat gadis itu dengan tali pertunangan. Biarpun pada mulanya terlihat keraguan diwajah Balkis untuk menerima lamarannya itu, namun kesyukuran terus dipanjatkan kepada yang Maha Esa kerana telah membuka pintu hati insan kesayangannya itu untuk bersetuju dengan perancangannya. Sujud syukur terus sahaja dilakukan Fikri sepulangnya dia ke rumah pada petang itu.
“Alhamdulillah.”
Tanpa sedar Fikri mengungkapkan kalimah mulia itu. Mata yang tadinya terpejam dibuka. Badannya jugak sudah ditegakkan.
“Kau dengar sini baik‐baik Fikri! Biar apa pun yang terjadi, kau harus bertahan untuk bekerja di
syarikat ini kerana pendapatan yang kau miliki di sini berlipat kali ganda berbanding di Malaysia. Jadi, kau harus pekakkan telinga setiap kali apek tua tu marah dan maki hamun kau! Kau harus bertahan demi Balkis! Demi masa depan kau bersamanya. Sebaik sahaja kehidupan mewah dapat kau sediakan untuk Balkis dan dirinya juga sudah sah menjadi milik mutlak kau, waktu itulah kau boleh angkat kaki dari syarikat ini! Tapi untuk waktu sekarang, kau harus bertahan! Semuanya demi Balkis!”
“Betul! Aku harus bertahan!”
Kata‐kata yang terpacul keluar dari mulut Fikri telah mengiakan kata‐kata yang terlahir di hatinya sebentar tadi. Kini sudah terjawab mengapa Fikri harus bertahan dengan sikap orang-orang atasannya yang sering mengherdik dan memaki hamun dirinya biarpun kesilapan yang dilakukannya sedikit cuma.
“Cepatlah jalan tu. Terhegeh‐hegeh.”
Kian panjang muncung di bibir Mashitah. Rasa bengangnya terhadap wanita tua di hadapannya ini masih bersisa. Andai diikutkan amarahnya tidak ingin dituruti kemahuan neneknya itu. Namun setelah dipujuk oleh mamanya barulah hatinya cair.
“Kalau tak disebabkan Balkis. Tak ingin aku datang ke pekan ni.”
Rungut hati Mashitah.
“Mak tak nak rehat dulu ke? Dah lama kita berjalan, keluar‐masuk dari satu kedai ke satu kedai.
Nanti kalau semput mak tu datang balik, susah saya.”
“Mak okey. Selagi kita tak dapat cari jubah yang mak berkenan untuk hadiahkan pada Balkis, selagi tulah mak tak nak berhenti. Dah, cepat sikit jalan tu.”
Zawiyah hanya menggeleng‐gelangkan kepalanya. Ternyata kepala batu emaknya itu tidak dapat dipecahkannya. Suami di sebelah ditoleh, tidak terlihat reaksi apa‐apa di wajah lelaki itu. Namun saat matanya terpandangkan kesayuan di wajah Mashitah, hatinya tersentuh. Simpati pada anak perempuannya itu hadir semula. Sememangnya dia tahu tekanan yang terpaksa dipikul oleh Mashitah akibat sikap emaknya yang suka membanding‐bandingkan anak perempuannya itu dengan Balkis.
“Mashitah, apa kata Mashitah bagi je pandangan tentang jubah yang nenek nak pilihkan untuk Balkis tu. Lagi cepat Mashitah dapat cari, lagi cepat kita boleh balik.”
“Bagi pendapat? Bukan ke memang itu sebabnya Mashitah sanggup ikut mama. Mama kata, nenek nak hadiahkan jubah untuk Balkis sebelum hari pertunangan dia dengan abang. Jadi, nenek perlukan pendapat Mashitah tentang fesyen sekarang. Tapi… Baru je Mashitah nak buka mulut, dah disuruhnya diam. Kalau dah kena diam, macam mana Mashitah nak percepatkan proses pemilihan jubah mak mama tu!”
Zawiyah tahu, anaknya itu sedang memerli emaknya.
“Sabar ya sayang.”
Dipaut lembut bahu Mashitah.
“Sabar. Sabar. Sabar.”
Rungut Mashitah. Namun rungutannya itu terhenti saat kakinya melangkah masuk ke sebuah lagi kedai menjual pakaian. Neneknya sudah mendahului mereka dan tangan tua itu cepat sahaja mencapai beberapa helai jubah yang sedang tergantung elok.
“Mashitah. Mari sini sekejap.”
Tidak diendahkan panggilan neneknya itu.
“Pergilah sayang. Tak elok buat nenek macam tu.”
Mashitah masih mematungkan tubuhnya, namun saat matanya bertembung pandang dengan renungan tajam papanya cepat sahaja kakinya melangkah ke hadapan sebelum berdiri betul-betul di sebelah neneknya. Dicapai jubah berpotongan moden yang disuakan kepadanya.
“Cantik tak?”
“Okey.”
Sepatah jawapan Mashitah. Kelihatan berang sedikit riak wajah tua di sebelahnya itu.
“Ni nenek malas nak tanya kau ni! Kau nikan tak habis‐habis nak menaikkan darah nenek. Nenek tanya kau baik‐baik, cantik tak jubah ni kalau si Balkis tu pakai?”
“Tak cantik.”
Jawab Mashitah jujur.
“Kenapa pulak tak cantik?”
Wajah yang sudah berkedut itu kian berkerut dan ditenung cucunya itu dalam‐dalam.
“Nenek. Sekarang ni zaman moden. Mana ada lagi orang nak pakai jubah macam ni. Kalau zaman‐zaman nenek dulu bolehlah orang nak pakai jubah kuno macam ni.”
“Kuno kau cakap?! Kau nikan!”
Cepat‐cepat Zawiyah mendapatkan emak dan anaknya. Ishak pulak laju mengikuti langkah isterinya itu.
“Mashitah. Apa cakap macam tu dengan nenek.”
Tegur Ishak.
“Betul apa Mashitah cakap. Cubalah papa dengan mama tengok jubah yang nenek pilih ni. Tak sesuai langsung dengan Balkis. Carilah yang cantik sikit.”
Selamba Mashitah memerli neneknya. Riak kemarahan dan kebencian di wajah Aiton tidak dapat disembunyikannya lagi. Entah mengapa semakin hari semakin bertambah bencinya terhacap cucu perempuannya ini.
“Mak… Zawiyah rasa, apa kata kalau kali ni… Kita bagi Mashitah yang pilih jubah untuk Balkis.
Bukan ke usia mereka tu sama.”
“Apa kena mengena usia Balkis dengan anak kau ni?!”
Sedikit kasar pertanyaan Aiton. Mashitah mencebik. Benci melihat telatah neneknya itu.
“Yelah, orang muda… Mesti seleranya sama. Mak kata, mak nak hadiahkan jubah yang paling cantik untuk Balkis. Jadi, pada pendapat Zawiyah biarlah Mashitah yang buat pilihan supaya jubah yang akan dikenakan oleh Balkis nanti bertambah berseri dengan pilihan yang tepat. Betul tak mak?”
Zawiyah tahu emaknya amat menyayangi Balkis. Malahan kasih sayang yang telah dicurahkan oleh emaknya tehadap bakal menantunya itu melebihi kasih sayangnya terhadap cucu kandungnya sendiri. Kadangkala simpati juga mengenangkan nasib Mashitah yang sering diperli dan diherdik oleh nenek sendiri.
“Emm… Baiklah. Nenek nak kau pilih jubah yang paling cantik untuk Balkis. Dengar tak?”
Akhirnya Aiton akur dengan kehendak anaknya itu. Apatah lagi sememangnya tujuan dia ke pekan pada hari ini semata‐mata mahu mendapatkan jubah yang tercantik dan terbaik untuk bakal isteri Fikri. Pertama kali dia melihat Balkis, hati tuanya sudah lembut. Kasih sayang terhadap gadis itu mencurah‐curah bagaikan air sungai yang menenangkan penghuninya.
“Mashitah tahulah.”
Selamba Mashitah meninggalkan neneknya dua tapak kehadapan sebelum jari jemari miliknya
mencapai sehelai jubah berwarna biru lembut. Sulaman dan manik‐manik yang membentuk corak di leher, dada dan pergelangan jubah itu menambahkan lagi kesempurnaan pakaian itu. Mashitah tersenyum puas. Dirasakannya apa yang dicari sudah ditemui.
“Jubah macam nilah baru sesuai untuk Balkis.”
Disuakan jubah berpotongan moden itu kepada neneknya yang sudahpun berada di sisinya. Aiton meraba tekstur kain yang membentuk pakaian yang sedang diteliti matanya.
“Lembut kainnya. Mesti selesa kalau Balkis pakai. Tak adalah panas budak tu pakai jubah ni nanti. “
“Lembut je? Habis tu potongan jubah tu tak cantik ke? Kalau tak cantik Mashitah letak balik.”
Cuba ditarik jubah yang sedang dipegang kuat oleh neneknya itu. Melihat dari gaya tubuh neneknya, Mashitah tahu yang orang tua itu amat berkenan dengan jubah pilihannya.
“Cantik.”
Perlahan. Namun, pujian dari neneknya itu masih mampu didengari oleh Mashitah dan kedua ibu bapanya. Zawiyah dan Ishak sudah tersenyum kecil melihat telatah kedua insan yang berada di hadapan mereka. Bagi Zawiyah biarpun emaknya itu agak keras kepala orangnya dan anak bongsunya itu suka membentak bila ditegur oleh orang tua itu, namun jalinan kasih yang termetrai antara mereka masih ada.
“Memanglah cantik. Sebab orang yang pilihnya pun cantik.”
Aiton hanya mencebik. Melihat reaksi itu, muncung Mashitah sudah memanjang.
“Nenek ni teruklah.”
Rungut Mashitah. Rungutan itu tidak diendahkan Aiton. Segera kakinya melangkah ke arah kaunter pembayaran sebelum dibuntuti oleh anak, menantu serta cucunya.
“Eh! Zawiyah. Aku ingat siapa tadi.”
Membulat mata Zawiyah. Debaran cepat sahaja hadir menggundahkan hatinya. Suami serta
anak di sebelah ditoleh. Reaksi sama diberikan oleh mereka.
“Mak Cik Be… Bedah.”
“Kenapa pulak tergagap‐gagap ni? Takkanlah anak baru nak bertunang dah jadi gagap pulak.”
Zawiyah terdiam. Cepat otaknya meneka siapakah gerangan yang mengkhabarkan berita
pertunangan anaknya itu kepada mulut celupar di hadapannya ini.
“Sampai hati kau tak jemput aku kan? Aku nikan jiran terdekat kau dengan Hajah Faaidah.
Sampai hati kau orang lupakan aku.”
Menyampah Mashitah melihat wajah perempuan tua yang bermulut jahat di hadapannya ini.
Andai diikut rasa hatinya, mahu sahaja dia menampal mulut Mak Cik Bedah sebelum
menendangnya keluar dari kedai ini. Segala kata cacian dan makian terhadap Balkis suatu
waktu dahulu masih diingatinya sehingga ke hari ini. Malahan dirinya serta Abang Fikri turut
terkena tempiasnya kerana persahabatan yang terjalin antara mereka dan Balkis.
“Lah… Yang kau tak jemput jiran kau ni kenapa Zawiyah?”
Aiton sedikit tidak senang dengan layanan yang diberikan oleh anak dan menantunya.
Bukankah dalam Islam jiran yang terdekat perlu di dahulukan sebelum menjemput ataupun
meraikan jiran lainnya?
“Ni… Mak Zawiyah ke?”
Cepat Bedah menghulurkan salam dan disambut senang oleh Aiton.
“Haah. Saya ni mak kepada Zawiyah. Maaflah sebab anak saya ni tak menjemput kamu ke
kenduri kesyukuran untuk meraikan pertunangan Fikri dan Balkis. Nanti minggu depan jangan
lupa datang ya. Jemput suami dengan anak‐anak sekali.”
“InsyaAllah. Saya rasa saya tak ada masalah kalau nak datang. Tapi… Suami dan anak‐anak saya
tu, rasanya tak mahu mereka datang ke rumah Hajah Faaidah dan Haji Wahab tu. Dia orang…
Jijik.”
Kali ini bukan setakat Ishak, Zawiyah dan Mashitah sahaja terkejut. Tetapi wajah tua Aiton
sudah bertukar berang akibat kemarahan yang sedang cuba ditahan. Terasa panas telinganya
mendengar perkataan ‘jijik’ yang baru keluar dari mulut perempuan yang beriak selamba di
hadapannya ini.
“Jijik! Apa yang kau cakap ni? Kenapa pulak laki dengan anak‐anak kau tu nak rasa jijik datang
ke rumah orang yang baik budi pekerti seperti mereka tu?!”
Tinggi nada suara Aiton. Tidak dipedulikan sorotan mata mereka yang lalu lalang berhampiran
dengannya. Cashier yang sedang merenungnya juga tidak diendahkan.
“Sabar mak. Sabar.”
Zawiyah cuba menyabarkan emaknya. Mashitah pula sudah menikam tajam ke arah wajah Mak
Cik Bedah.
“Baik budi pekerti kau kata? Takkanlah kau tak tahu tentang sejarah hitam keluarga tu?”
Bedah sudah mula mencucuk jarumnya. Dia sedar wanita yang sedang menahan amarah di
hadapannya ini mungkin tidak mengetahui tentang status Balkis. Andai dia tahu, masakan dia
boleh menerima wanita hina itu untuk dijadikan isteri kepada cucunya.
“Sejarah hitam?! Apa yang kau merepek ni?”
Bedah tersenyum dan senyumannya kian melebar saat melihat muka pucat di wajah Zawiyah
dan Ishak. Manakala renungan tajam daripada Mashitah diabaikan sahaja. Baginya budak
mentah itu takkan boleh menggagalkan rancangannya pada tika ini.
“Dahlah, nenek. Jom kita balik. Tak payah layan perempuan gila ni!”
Mashitah segera menarik lengan neneknya. Ishak dan Zawiyah pula sudah memulakan langkah
sulung.
“Balkis tu anak haram! Anak hasil hubungan mak dia dengan atuk saudara dia sendiri!”
Jubah yang masih belum berbayar tercampak dari pegangan Aiton. Serta merta tubuh kecil
miliknya berpusing dan merenung tajam insan di hadapannya ini. Laju langkahnya mendekati
tubuh perempuan yang masih beriak selamba itu dan tanpa dijangka pipi Mak Cik Bedah
menerima habuan. Kuat pipinya ditampar oleh Aiton. Berpinar sedikit pandangan Mak Cik
Bedah. Berlari Ishak anak beranak mendapatkan Aiton.
“Kau ulang lagi sekali! Aku nak dengar! Kurang ajar kau ni ya. Berani‐beraninya kau nak kutuk
Balkis!”
Tudung Mak Cik Bedah ditarik kasar dan rambut beruban yang sudah terdedah direntap. Sakit
hatinya mendengar kata‐kata fitnah daripada perempuan yang sudah mengerang kesakitan “Mak lepaskan dia. Lepaskan dia mak.”
Pinta Zawiyah dan suaminya pula sedang berusaha meleraikan pergaduhan antara mereka.
Mashitah pula sekadar membiarkan sahaja. Senang hatinya melihat perempuan jahat itu
digayang oleh neneknya. Sememangnya itulah yang hendak dilakukan oleh dirinya semenjak
dari dulu lagi.
“Mak takkan lepaskan dia. Perempuan jahat! Kurang ajar! Mati kau, aku kerjakan!”
Aiton benar‐benar naik hantu saat ini. Setelah mencuba akhirnya dapat juga Ishak memisahkan
emak mentuanya dari terus menghenyak Mak Cik Bedah yang sudah terkesan lebam di
wajahnya.
“Lagi sekali kau hina Balkis! Mampus kau aku kerjakan!”
“Aku tak hina. Aku cakap benda yang betul. Kalau kau tak percaya, kau tanyalah anak menantu
kau ni. Cucu kau tu pun tahulah semua ni! Satu kampung dapat aib akibat perbuatan sumbang
mahram anak Haji Wahab dengan adik dia sendiri. Balkis tu berbapakan atuk saudara dia.
Sebab tulah dia berbintikan Abdullah!”
Terlepas pegangan tangan Zawiyah di lengan emaknya. Melihatkan tingkah anaknya itu serta
pucat di wajah anak menantu dan cucunya, Aiton dapat merasakan ada sesuatu yang telah
lama dirahsiakan oleh ketiga‐tiga beranak ini dari pengetahuannya.
“Betul ke apa yang perempuan tu cakap Zawiyah?!”
Zawiyah terkedu. Tidak tahu untuk menjawab apa. Serta merta kesejukan yang kian
bermaharajalela menghadirkan gigil sedikit di tubuhnya. Wajahnya pula, usah dikatakan lagi.
Pucatnya bagaikan insan yang sudah tidak bernyawa dan akhirnya dia tertunduk saat suami
serta anaknya juga tidak mampu untuk menidak atau mengiakan pertanyaan emaknya itu.
“Faaidah! Faaidah! Keluar!”
Berlari‐lari anak Faaidah saat mendengar namanya dijerit‐jerit di halaman rumah. Tudung yang
tersangkut di tangga dicapainya.
“Eh. Aiton. Saya ingatkan siapa tadi yang terjerit‐jerit.”
Faaidah mendekati sahabatnya itu sebelum menghulurkan salam. Tetapi huluran jari‐jemarinya
ditepis kasar oleh Aiton. Membulat mata Faaidah.
“Tak payah nak salam‐salam aku! Aku jijik nak bersalam dengan perempuan kotor macam kau
ni. Mana cucu kau tu?!”
Hampir menitis air mata Faaidah ditengking dan dihina sedemikian rupa. Apakah salah dan
silapnya pada Aiton sekeluarga sehingga begini sekali layanan yang diberikan.
“Aku tanya kau. Mana cucu haram kau tu?!”
“Mak… Sudahlah tu. Kita boleh bincang benda‐benda macam ni. Tak baik jerit‐jerit. Malulah
kalau jiran‐jiran dengar.”
“Kau diam! Kau anak beranak sama je! Sampai hati, kau sembunyikan rahsia sebesar ini
daripada pengetahuan emak. Sampai hati kau!”
Kecut perut Zawiyah ditengking sebegitu. Sememangnya dia sudah arif dengan fiil emaknya.
Andailah emaknya itu sudah naik hantu, tiada siapa yang dapat melarang. Hatta arwah
bapanya sendiri. Malahan sewaktu hidupnya, arwah bapanya sering sahaja mengalah dan
beralah sedangkan bukan dirinya yang bersalah.
“Nenek. Dahlah tu.”
Hampir sahaja Aiton menampar muka Mashitah. Benci dirinya dinasihati cucunya itu. Namun
belum sempat penampar mengenai wajah mulus Mashitah, tangan tuanya ditahan oleh Ishak.
“Saya tak izinkan mak tampar muka anak saya.”
Agak tegas Ishak bersuara. Mashitah rasa dirinya terbela. Aiton memusingkan semula
tubuhnya menghadap Faaidah.
“Aku tanya kau. Mana cucu kesayangan kau tu?!”
“Dia sembahyang.”
Perlahan Faaidah bersuara. Air mata yang mengalir adalah petanda yang dirinya sudah mula
memahami situasi sebenar. Dia yakin, rahsia keaiban keluarganya sudah terbongkar. Andai tidak masakan wanita yang sedang memandang tajam ke arahnya ini bagaikan kerasukan
sifatnya.
“Sembahyang? Kau ingat kalau cucu kau tu sembahyang, sembah Allah. Dia boleh nak
bersihkan kekotoran yang telah ditinggalkan oleh anak kau tu. Anak kau tu berzina dengan
bapak saudara dia sampai melahirkan Balkis. Perempuan hina dan kotor macam Balkis tu kau
rasa sesuai ke nak dipadankan dengan cucu aku?! Tak pernah ada seorang pun dalam keluarga
aku berbinti dan berbinkan Abdullah kerana perbuatan zina. Anak kau tu bukan sahaja berzina,
malahan melakukan sumbang mahram dengan pak cik dia sendiri. Aku sendiri pun tak tahu
nak kategorikan cucu kau tu sebagai apa! Sama tarafnya macam binatang!”
Tersentak Faaidah menerima cemuhan dari insan yang masih memandang jijik ke arahnya. Air
mata sudahpun mencurah laju membasahi pipi tuanya. Tidak disangkanya wanita yang
dianggapnya mulia selama ini mampu mengeluarkan kata‐kata penghinaan dan cacian
sebegitu rupa. Cepat Mashitah mendapatkan Faaidah dan dipeluknya kuat. Rasa benci pada
nenek kandungnya benar‐benar menebal.
“Kalau saya disamakan dengan binatang yang akan mendapat balasan mulia di sisi Allah di
akhirat kelak. Apakah agaknya balasan dan tempat yang akan disediakan oleh Allah S.W.T
kepada insan seperti nenek yang sewenang‐wenangnya menjatuhkan hukum kepada insan
lainnya?”
Air mata yang sudah deras mengalir saat telingaku menangkap tiap butir penghinaan daripada
insan yang sudahku anggap seperti nenekku sendiri tidakku jadikan penghalang untukku
melahirkan kata‐kata itu. Telekung yang masih utuh membaluti tubuhku, kurasakan seperti
benteng yang dapat memberikan sedikit kekuatan pada diri ini. Sudah acap kali aku menerima
penghinaan seperti ini. Namun kali ini penghinaan itu kurasakan begitu berkesan di hati
kerana insan yang mengeluarkan kata‐kata hina itu bakal meruntuhkan kasih sayang yang
telah termetrai di antara diriku dan Abang Fikri!
Mencerlung mata tua milik Aiton memandang tubuh insan yang masih bepakaian putih itu.
Walau seputih dan sebersih manapun telekung yang membaluti tubuh gadis itu, tetapi tidak
sedikit pun baginya mampu untuk menyucikan kekotoran yang sudah lama mendak pada diri
insan yang sedang memandang lembut ke arahnya. Kelembutan itu sedikit pun tidak mampu
untuk memadamkan kebenciannya pada gadis itu dan kini nekadnya hanya satu. Dia harus
memisahkan Fikri dan Balkis!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan