Label

Isnin, 12 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab22

“KURANG ajar! Memang kurang ajar! Eeiii…geramnya!” omelan Manissa masih lagi bersisa. Dia
memang tidak puas hati dengan perbuatan biadap pemuda itu tadi. “Memang biadap!”

“Sudahlah tu….perkara dah jadi Nisaa…,” nasihat Mak Intan dan hanya mampu geleng kepala.

“Mak Intan tengoklah ni…habis kotor pakaian Nissa. Pakaian yang bersih semua kat chalet!” gerutu Manissa lagi.

“Kejap lagi biar Mak Intan cucikan pakaian kamu tu…menjelang petang nanti keringlah…,”

“Errmm…bengang betul Nissa dengan orang gila tu!”

Rasa kasihan terbit juga di hatinya apabila Manissa diperlakukan begitu. Dalam hatinya mahu
tersenyum melihat gelagat Manissa yang macam kebudak‐budakan itu. Namun semuanya disimpan dalam hati. Mak Intan faham perasaan Manissa ketika itu. Bukan baru sehari dia mengenali gadis itu.

“Mungkin dia tak sengaja kot,” ujar Mak Intan mahu menenangkan perasaan Manissa.

“Banyaklah dia punya tak sengaja….kalau pertama kali itu mungkinlah tapi kali kedua tu apa? Tak sengaja juga?” soal Manissa kepada Mak Intan.

“Errmm….adalah tuu…,” seloroh Mak Intan.



“Ada apanya Mak Intan? Ermmm….mulalah nak usik Nissa!” katanya Manissa seakan mahu
merajuk.

“Saja nak usik Nissa….orang cantik macam Nissa ni memang ramai yang suka mengusik!”

“Eeeiiii…tengok muka dia pun dah meluat!”

“Masa marah memang rasa macam itu….tunggulah bila dah berbunga sayangnya…,”

“Mak Intan jangan nak perli Nissa pulak….Nissa tengah bengang ni!”

Mak Intan terkekeh‐kekeh ketawa. Manissa semakin panjang memuncungkan bibirnya. Masih lagi terbayang di mindanya raut wajah pemuda yang kurang ajar itu tadi. Siapakah gerangan pemuda yang bermisai nipis itu? Raut wajahnya mengingatkan Manissa kepada seseorang.

Namun saat itu fikirannya agak bercelaru dan tidak mampu mengingati di mana pertemuannya
dengan pemuda itu. Mengapa pemuda itu tidak pula mengenalinya. Mungkinkah pelanduk dua serupa? Mungkin juga!

“Muka saja nampak kacak tetapi perangai macam monyet!” tiba‐tiba terpacul ayat itu dari bibirnya.

“Sudah‐sudahlah tu Nissa….nah ambil tuala ni….pergilah bersihkan diri. Lepas itu boleh tolong Mak Intan di dapur. Kita masak sama‐sama….,” ujar Mak Intan sambil menghulurkan sehelai tuala mandi kepada Manissa.

“Ada ubi ada batas….nanti kalau jumpa Nissa mesti nak balas balik!”

Manissa nampak tidak selesa. Sempat juga dia mencium lengan bajunya yang masih lembab itu. Kemudian pandangannya melekat ke arah Mak Intan. Wajahnya masih nampak sebal. Dari air matanya bagai memohon simpati.

“Apa lagi yang Nissa tunggu….pergilah mandi. Dah kuat baunya ni!” usik Mak Intan lagi.

“Yelah…..lepas tu Nissa nak pakai apa? Mana ada Nissa bawa baju lebih?”

“Nissa jangan bimbang…..Mak Intan dah siapkan semuanya. Lepas mandi nanti kamu pakai pakaian yang ada atas katil dalam bilik depan tu….,” ujar Mak Intan dengan senyuman masih melekat di bibirnya.

Manissa akur dengan arahan Mak Intan. Bagaikan seorang anak yang terpaksa akur dengan arahan ibunya. Langkah kakinya nampak berat sebelum berlalu menuju ke bilik air. Sementara itu. Mak Intan berlalu ke dapur untuk menyiapkan makanan tengahari. Satu persatu bahan-bahan memasak seperti bawang merah, halia, kunyit dan lain‐lain dikeluarkan dari bawah dapur.

Sementara itu, Manissa sedang bersiap‐siap di dalam bilik. Baju kurung Kedah tersarung ke
badannya. Dia nampak tidak selesa berpakaian seperti itu. Seumur hidupnya tidak pernah berkain batik dan berbaju kurung Kedah. Dahinya nampak berkerut. Dia nampak pelik berpakaian begitu. Memang pelik sungguh!

“Hisssh….peliknya! Errmm…..,”

Berkali‐kali dia mencerminkan dirinya. Bagaikan ada yang tidak kena. Ke kiri ke kanan Manissa
berpusing. Dia nampak hodoh di dalam cermin. Dia mula mencemuh dirinya sendiri. Kain batik yang hampir terlondeh cuba diikat kembali ke pinggang. Namun simpulannya terburai semula.

Dia mula terasa rimas. Di mindanya berfikir‐fikir, macam manalah orang‐orang kampung boleh
berpakaian sebegitu, dan berkain batik sarung juga. Dia memang janggal berada dalam kostum sebegitu.

“Tak siap‐siap lagi Nissa?” terdengar teriakan Mak Intan dari arah dapur.

“Kejap lagi….sedang siap‐siaplah ni!”

Hakikatnya, Manissa masih lagi terkial‐kial mengikat kain batik di pinggangnya. Asyik terburai
sahaja dan dia bagaikan putus asa. Ikatannya bagaikan tidak kena. Bila mahu berjalan, kain batiknya mulalah terburai ikatannya. Dia benar‐benar memerlukan bantuan dari Mak Intan.

“Mak Intan….mari kejap!” teriak Manissa dari arah bilik.

Sambil mengupas bawang, kepala Mak Intan bergerak menangkap arah datangnya suara Manissa. Segera dia meninggalkan pisau dan bawang di atas meja menuju ke bilik.

“Mengapa pulak si Nissa ni?”

Mak Intan segera menolak daun pintu bilik. Apabila pintu terbuka kelihatan Manissa sedang terkial‐kial mengikat kain batiknya. Tersenyum Mak Intan melihat telatah anak gadis di hadapan matanya itu.

“Nak ketawakan Nissalah tu….benci tau!” omelan Manissa berterusan.

“Salah cara Nissa ikat kain tu….lain kali selitkan hujung kainnya macam ni..,” ujar Mak Intan sambil menunjukkan cara yang betul untuk berkain batik.

“Manalah Nissa tahu….tak sukalah pakai kain macam ni!”

“Habis tu….Nissa nak pakai apa? Kalau Mak Intan ada seluar jeans boleh juga bagi pinjam…,”
seloroh Mak Intan lagi.

Manissa merenung tajam ke arah Mak Intan. Mencebik mulutnya apabila terasa dengan ejekan Mak Intan itu. Dia tahu wanita itu hanya bergurau dengannya.

“Dah…jom kita ke dapur. Kita masak sama‐sama,”

“Nak masak apa hari ni Mak Intan?”

“Apa lagi masakan kegemaran Nissa….kalau bukan asam pedas!”

“Errmm…sedapnya….,”

Manissa mengikuti Mak Intan dari belakang. Kepala kainnya dipegang kuat supaya tidak terburai. Mak Intan tersenyum memanjang. Gelagat Manissa memang menghiburkan hatinya.

Namun bagi Manissa itu bukanlah situasi kelakar baginya.

“Mak Intan ajar Nissa masak asam pedas tau…,”

“Alah….bukan susah sangat pun nak masak sama pedas ni. Ada cili, bawang merah, sedikit halia…. kalau nak sedap letak belacan sikit…ermmm…mesti sedap punya!” ujar Mak Intan kepada Manissa yang leka melihat Mak Intan menumbuk ramuan asam pedas mengguna lesung batu. “Kalau nak letak sikit jintan manis dan jintan putih pun boleh jugak….tumiaskan sedikit halba, daun kari dan sikit hirisan bawang serta halia….air asam jawa jangan lupa…,” panjang lebar Mak Intan menerangkan kepada Manissa bagaimana untuk memasak asam pedas.

“Kenapa tak guna blender?”

“Kalau nak sedap masakannya….kenalah guna lesung batu. Orang dulu‐dulu mana ada guna mesin tu….,”

“Errmm…kalau Nissa nak guna lesung batu ni nampaknya tak masak lauk asam pedas ni….,”

“Orang sekarang nak senang saja….mana nak susah‐susah. Kalau boleh nak cepat….keluar duit
saja… tak payah nak masak‐masak..,”

“Memang betulah Mak Intan….orang sekarang sibuk…banyak kerja nak buat….kalau malas nak
sediakan ramuannya, beli saja pesnya….senangkan….,”

“Macam mana pun nak kena belajar juga….beli dengan masak sendiri tak sama rasanya..,” Manissa memandang seimbas lalu jam di tangannya. Sudah hampir dua petang sekarang.

Cuaca di luar nampak sedikit cerah berbanding cuaca pagi tadi yang agak mendung. Selepas
menikmati makan tengahari, Manissa memohon kepada Mak Intan untuk berehat sebentar. Perutnya terasa kenyang, angin laut pula bertiup nyaman. Terasa pula mengantuk matanya.

“Solat dulu sebelum tidur….telekung dan sejadah Mak Intan dah letak dalam bilik tu…,”

“Errr….Nissa tak boleh solatlah Mak Intan…uzur….,” Manissa memberi alasan yang munasabah.

“Ohhh….tak apalah….kalau macam tu pergilah rehat dulu. Nanti petang Mak Intan kejutkan…,”

“Ermm…baik Mak Intan…,” terasa kelegaan di jiwa Manissa apabila alasannya diterima oleh wanita itu tanpa sebarang bantahan.

Melangkah masuk ke bilik, matanya tertancap ke arah sehelai telekung dan sejadah yang terbentang kemas di satu sudut bilik itu. Lama dia merenung ke sudut itu. Lama kelamaan matanya terasa berair, terasa mahu menitik ke lantai.

ANGIN laut terus berpuput lembut. Pakaian Manissa yang kotor tadi sempat juga dicuci oleh Mak Intan. Kemudian disidai pada ampaian yang terletak di tepi halaman rumah. Namun cuaca petang yang mula mendung tidak memungkinkan pakaian itu akan kering sepenuhnya.

Manissa masih lagi lelap melayan mimpinya.

“Assalamualaikum….,” kedengaran satu suara memberi salam dari laman rumah.

Mak Intan menjengolkan kepala menerusi tingkap yang terbuka luas. Dia seakan mengenali suara halus yang memberi salam itu. Siapa lagi kalau bukan anak saudaranya, Mia Salmi.

“Mia….waalaikummussalam….naiklah,”

Mia Salmi segera mendapatkan Mak Intan di ruang tamu. Satu bungkusan plastik dihulurkan kepada Mak Intan.

“Apa benda yang Mia bawa ni? Susah‐susah saja…,”

“Kueh koci Maksu…..mana kak Nissa? Kata dia nak datang rumah Maksu semalam…,”

“Ada dalam bilik tu sedang melayan mimpi…,”

Tersenyum Mia Salmi bila Mak Intan mengatakan Manissa sedang melayan mimpi.

“Kenapa dengan Kak Nissa…macam keletihan saja..,” tanya Mia Salmi kepada Mak Intan.

“Letih berleter agaknya…..,” tutur Mak Intan sambil tersenyum meleret bila teringatkan omelan
Manissa pagi tadi.

Mia Salmi berminat dengan kata‐kata maksunya itu. Mesti ada cerita di sebaliknya. Dia benar-benar
ingin tahu.

“Nampak tak pakaian yang tersidai kat ampaian tu?”

Mata Mia Salmi terus menyorot pandang ke arah ampaian yang dimaksudkan oleh maksunya. Sehelai jeans berwarna biru dan sehelai baju blaus berwarna jingga tersidai di ampaian itu.

“Mia tak fahamlah Maksu….apa cerita yang sebenarnya?” Mia Salmi mohon kepastian dari Mak
Intan. “Bukankah itu pakaian Kak Nissa?”

Mak Intan cuma mengangguk. Memang benar telahan Mia Salmi. Memang itu pakaian milik
Manissa. Mak Intan mula mencerita apa yang menimpa Manissa pagi tadi kepada Mia Salmi.

Mula‐mula wajah Mia Salmi nampak biasa sahaja, mahu ketawa pun ada. Setelah mendengar
penjelasan daripada Mak Intan, wajahnya nampak serius pula. Raut wajahnya membayangkan
sesuatu.

“Kenapa pulak dengan kamu ni Mia? Macam terkejut kena sampuk saja!”

“Kesian Kak Nissa….memanglah Mia terkejut!”

“Mengapa?” kini giliran Mak Intan pula ingin tahu apa cerita di sebalik cerita yang sebenarnya.

“Errmmm….macam ada kaitan dengan cerita Along saja….,”

“Apa pulak kaitannya dengan Along kamu tu?” soal Mak Intan semakin berminat.

“Maksu nak tahu…hairan jugak masa Along balik rumah tadi….Mia tengok mukanya penuh tanah dan debu….bila Mia tanya mulalah dia mengomel…katanya ada perempuan gila telah lumurkan tanah tu ke mukanya….,”

“Mesti ada sebabkan…,”

“Along ada beritahu….semuanya berpunca daripada dia jugak….dia tak sengaja terlanggar lopak air….nak jadi cerita air kotor tu tersimbah pada seorang perempuan….dan Mia yakin perempuan itu adalah Kak Nissa….,”

Mak Intan memberi isyarat supaya Mia Salmi memperlahankan nada suaranya. Dia tidak mahu
Manissa terdengar perbualan mereka berdua.

“Sekarang baru Maksu faham….kita kena rahsiakan cerita ini daripada pengetahuan Nissa…. kalau dia tahu lelaki itu adalah Along, anak saudara Maksu….pasti dia akan mengamuk lagi….Mia janji dengan Maksu….,”

“Okey…Mia janji….macam kelakar pun ada cerita ni….errrmm…,”

“Kelakar memang kelakar tapi yang susah nanti Maksu jugak….puas pulak Maksu nak menjawab nanti!”

“Apa yang Maksu nak risaukan….mereka berdua yang berbalah…biarlah mereka selesaikan
sendiri…. mereka bukan budak‐budak lagi…,”

“Sebab mereka bukan budak‐budaklah nak kena selesaikan masalah ni….kalau berlarutan susah kita nanti. Maksu rapat dengan Kak Nissa…..Along kamu pulak bukan orang lain dengan Maksu…. errrmm…. pening kepala Maksu memikirkannya…,”

Mia Salmi menggaru kepalanya yang tidak gatal. Macam Maksunya, dia juga dalam keadaan serba salah sekarang.

“Ermmm…Along pun satu hal. Tak ada pasal cari pasal!” kini giliran Mia Salmi pula untuk
mengomel.

“Perkara dah jadi….nanti kita cari jalan macam mana nak damaikan dia orang berdua…,” balas Mak Intan.

“Errmmm…nak buat macam mana Maksu?”

“Sedang fikirlah ni….tak tahulah apa nak jadi lepas ni!”

Mak Intan bagaikan tersepit antara dua belah pihak. Mia Salmi hanya berdiam diri. Mak Intan pula mula memikirkan apa yang sepatutnya akan dilakukan. Antara Manissa dengan Luqman Adzlie, siapakah yang bersalah dalam hal ini? Otaknya terus ligat berfikir. Mata mereka berpandangan, dalam fikiran yang agak kalut sempat juga menguntum senyum di bibir masing‐masing. Jarum masa terus berdetik meneman petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan