Label

Jumaat, 16 Disember 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab23

Menggeletar tanganku. Kotak yang berada di ribaan masihku pandang kabur akibat genangan air mata. Air mata yang sedari tadi mengalir masih tidak mampuku hapuskan sehingga ke titisan terakhir yang belum tiba. Desakan hati serta kerinduanku kepada lelaki itu menyebabkan aku mengeluarkan kembali kotak yang telahku simpan rapi. Rapinya simpananku ini akhirnya menjangkau ke usia enam tahun bersama episod duka yang pernah tercipta hingga memisahkan diriku dan dirinya.

Ya Allah kenapa hari ini ingatanku begitu kuat mengingati dirinya? Adakah kerana kehadiran Dr. Adiib? Hadirnya lelaki itu di hadapanku pada hari ini begitu berkesan di hati. Mungkinkah kerana rajuknya petang tadi menyebabkan perasaan itu hadir semula? Perasaan cintaku pada seseorang. Seseorang yang cubaku hapuskan bayangannya semenjak enam tahun yang lalu, namun masih tidak mampuku jayakan sehingga ke saat ini.

Otakku masih membuat pertimbangan untuk membuka atau menyimpan kembali kotak kecil itu ke tempat asalnya. Andai diikutkan kerinduanku pada lelaki itu, laju sahaja rasanya jari jemari yang sedang menggeletar ini membuka dan mengeluarkan isinya. Tetapi andai diikutkan pula pertimbangan akal, sudah lama ditegahnya diri ini dari mendekati apatah lagi membuka kotak ini sehingga menampakkan isinya. Sekeping gambar yang memerangkap imej dua orang wanita dan seorang lelaki itu pasti akan mengembalikan aku kepada nostalgia lama. Nostalgia yang akan membuka kembali balutan duka dan sengsara.



Kedukaan dan kesengsaraan yang pernah hadir malahan masih tetap utuh mengambil tempat di hatiku sehingga ke saat ini adalah kerana diri pernah dicaci maki serta dihina oleh seseorang yang akhirnya berjaya memisahkan aku dengan lelaki itu.

“Ya Allah, apakah yang harusku lakukan saat ini? Haruskah aku membuka kotak ini atau
menyimpannya kembali?”

Soal hatiku dan jari jemariku cepat sahaja menyeka air mata.

“Balkis. Selama enam tahun kau telah menahan diri dari membuka kotak ini dan dalam tempoh itu jugalah kau berusaha untuk melupakan dirinya! Tetapi kenapa kini? Kenapa kini kau hendak
memusnahkan segala usaha kau itu? Kenapa perlu kau membuka kembali balutan duka di hati kau? Kenapa perlu kau menangisi dirinya sedangkan tidak mungkin untuk kau bertemu dengannya kembali setelah neneknya memusnahkan segala‐galanya! Sedarlah Balkis! Tindakan kau saat ini adalah tindakan yang bodoh! Tindakan yang hanya akan memusnahkan diri kau sendiri!”

Begitu tajam kata‐kata yang berbaur peringatan dilontarkan oleh suara hatiku.

“Astaghfirullahal azhim… Apa yang aku buat ni? Apa yang aku buat ni?”

Soalku berkali‐kali. Bagaikan baru tersedar dengan tindakan bodohku itu, pantas kotak yang masih tertutup ituku letakkan ke sisi.

“Balkis. Sedarlah Balkis. Kau harus melupakan segala‐galanya. Lupakan Fikri dan rasa cinta kau
terhadap dirinya. Selagi kau masih berbintikan Abdullah dan taraf kau sebagai anak haram tidak diiktiraf oleh neneknya, mustahil kau dapat mendekati Fikri. Selagi bapa kau adalah atuk saudara kau sendiri, mustahil kau akan dipandang suci oleh nenek tua itu. Sedarlah Balkis, duduk dan berdirinya kau tetap sahaja tidak setanding dengan Fikri di mata tua itu.”

Kali ini peringatan di hati sudah bertukar lembut nadanya, namun tetap sahaja menghadirkan deras air mata sehingga menghadirkan sendu yang tidak berbicara.

“Ya Allah… Kuatkanlah diriku. Kuatkanlah hatiku, Ya Allah.”

Rintih hatiku.

Saat aku melayan tangisan dan kesedihan, tiba‐tiba aku dikejutkan dengan jeritan handphoneku. Pantasku urut perlahan dada dan mengesat linangan air mata. Sendu yang berbunyi juga sedaya upayaku bisukan. Aku mencapai perlahan handphoneku. Tertera nama Ustazah Halawah di atas skrin. Aku menarik nafas seketika sebelum menjawabnya.

“Assalamualaikum, umi.”

“Waalaikumussalam. Akak, ni Dalila lah. Bukannya umi.”

“Dalila? Akak ingatkan umi. Dalila pakai handphone umi ya?”

“Haah.”

Sepatah sahaja jawapan Dalila. Selepas itu suasana sunyi menyusuli. Tidak betah dengan keadaan itu. Pantas…

“Dalila okey ke? Dalila ada sesuatu yang nak dikongsikan dengan akak?”

Aku cuba memancing gadis di hujung talian.

“Akak… Dalila takut.”

“Takut? Dalila takut? Takut apa?”

“Takut untuk menghadapi hari esok.”

Aku mengerti apakah maksud yang ingin disampaikan oleh gadis ini.

“Dalila… Akak minta maaf ya sebab akak tak dapat nak temankan Dalila esok.”

Rasa bersalah cepat sahaja menerpa diri.

“Akak tak perlu nak minta maaf. Dalila telefon akak ni bukannya nak buat akak rasa bersalah, tapi Dalila perlukan seseorang untuk Dalila kongsikan ketakutan yang sedang Dalila rasakan saat ini.”

“Akak faham. Dalila takut untuk berhadapan dengan ayah Dalila atau…”

“Tak. Dalila langsung tak takut untuk berhadap dengan lelaki tak guna tu! Dalila cuma takut… Takut andai Dalila kalah.”

“Kalah? Maksud adik?”

“Macam mana kalau lelaki tak guna tu tak nak mengaku yang dia dah merogol Dalila? Macam mana kalau mahkamah tidak dapat membuktikan tentang kesahihan kes ini? Macam mana kalau lelaki tu terlepas?”

Aku mengerti kegusaran yang sedang bersarang di hati Dalila.

“Dalila. Bukankah Inspektor Alvin Yee telah memaklumkan bahawa peluang untuk Dalila menang dalam kes ini adalah besar. Segala bukti telah terkumpul. Lagipun, Inspektor ada memberitahu akak bahawa Timbalan Pendakwa Raya yang akan mengendalikan kes Dalila ni bukannya calang‐calang orang. Sudah banyak kes‐kes rogol dan liwat yang telah berjaya dikendalikannya. Apa yang penting sekarang ni… Akak nak Dalila banyakkan solat, berdoa dan setelah itu berserahlah kita sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Allah yang lebih mengetahui bilakah masanya seseorang itu layak untuk menerima hukuman dariNya.”

Dalila terdiam seketika dan aku tetap sahaja memberikan masa kepadanya untuk mencerna setiap butir bicaraku itu.

“Betul kata akak tu. Terima kasih ya kak. Akak dah banyak sangat tolong Dalila.”

“Tak perlu ucapkan semua tu. Bagi akak Dalila sudah menjadi tanggungjawab akak sejak kali
pertama kita bertemu. Tapi, akak betul‐betul rasa terkilan sebab tak dapat temankan Dalila ke mahkamah esok.”

“Tak apa. Lagipun esok Dalila bukannya keseorangan. Umi akan temankan Dalila. Nanti kalau akak lapang akak datanglah ke sini. Dalila rindukan akak.”

Tersentuh hatiku mendengar ungkapan rindu itu.

“InsyaAllah. Akak pun rindu sangat dekat Dalila.”

Jujurku.

“Baiklah kak. Dalila nak masuk bilik dah ni.”

“Baiklah. Selamat malam Dalila. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam… Eh! Akak, nanti dulu!”

Jeritan kecil itu mematikan niatku untuk memutuskan talian.

“Dalila lupa nak tanya. Kenapa suara akak serak? Akak tak sihat ke?”

Bergenang kembali air mataku dan pandanganku sudah terarah ke kotak kecil itu.

“Balkis. Nanti dulu.”

Berlari anak Dr. Adiib mendapatkan aku.

“Ish! Dia ni lagi.”

Getus hatiku.

“Lajunya Balkis jalan. Nasib baik saya dapat kejar.”

“Nak buat apa kejar?”

“Nak dapatkan Balkis lah. Tu yang saya kejar tu.”

“Loyar buruk betullah dia ni.”

Bisikan di hati hanya aku yang mendengari.

“Balkis baru masuk pejabat ke?”

“Taklah dari pagi lagi.”

Perliku. Sudah tahu bertanya lagi. Sajalah tu, hendak memanjangkan bicaranya tu.

“Janganlah marah. Saya tanya baik‐baikkan.”

“Merajuk pulak dia ni. Aduhai…”

Bingung hatiku.

“Dr. Adiib kejar saya tadi, ada apa?”

“Emm…”

“Emm… Je? Kalau tak ada apa‐apa lagi. Saya masuk pejabat dulu. Masih banyak kerja yang saya nak selesaikan.”

Aku sudah memulakan langkahku kembali. Namun saat namaku dipanggil semula, aku pantas
menoleh. Kali ini senyuman mekar terukir di bibir lelaki berbadan tegap di hadapanku ini. Lelaki itu melangkah mendapatkan aku. Aku sebenarnya sudah berkira‐kira untuk menghubungi lelaki ini, tetapi tidak sangka pula yang aku akan menemuinya saat ini.

“Inspektor Alvin Yee. Saya baru je ingat nak hubungi Inspektor.”

“Wow! Ingat juga you pada I ya.”

Inspektor Alvin Yee mengeyitkan matanya padaku. Pantas Dr. Adiib memasamkan wajahnya. Pelik aku dengan tingkah rakan sekerjaku itu. Ah! Lantaklah. Sememangnya Dr. Adiib kian sukar untukku mengerti akan perwatakannya sejak kebelakangan ini.

“Inspektor. Saya kenalkan, ini Dr. Adiib. Rakan sekerja saya.”

Kedua‐dua lelaki di hadapanku ini berjabat tangan. Namun, riak kurang selesa jelas terpamer di wajah Dr. Adiib. Aku yakin Inspektor Alvin Yee turut mengesannya.

“Inspektor. Apa kata kalau kita berbicara di dalam bilik saya.”

“Baiklah.”

Segera aku dan Inspektor Alvin Yee melangkah menghampiri bilikku dan meninggalkan Dr. Adiib dengan pandangan tajamnya.

“Hai, Dr. Lain macam je cara Dr. pandangan Dr. Balkis tu.”

Ramah Mak Cik Tina yang kebetulan lalu di sisi Dr. Adiib menyapa.

“Emm… Bila saya nak ajak menyembang, kata busy. Tapi kalau dengan lelaki tu, boleh pulak dia
luangkan masa.”

Mak Cik Tina tersenyum. Sudah lama dia mengetahui isi hati lelaki muda ini.


“Siapa?”

Sengaja Mak Cik Tina bertanya.

“Tu. Balkis dengan lelaki tu.”

Mulutnya dimuncungkan ke arah Balkis dan Inspektor Alvin Yee.

“Ooo… Kalau Dr. Adiib nak tahu, lelaki Cina tu namanya Inspektor Alvin Yee. Dia tu dah lama dah berkawan dengan Dr. Balkis. Dah rapat sangat.”

“Dah rapat sangat? Mereka bercinta ke?”

Pucat muka Dr. Adiib. Hampir sahaja Mak Cik Tina menghamburkan tawanya.

“Tak adalah. Inspektor tu, tak silap mak cik dah ada isteri dah.”

Pucat di muka Dr. Adiib beransur pergi.

“Macam mana lelaki tu boleh rapat dengan Balkis?”

“Tak silap mak cik mereka tu jadi rapat sebabnya Balkis ni banyak membantu pihak polis dalam
mengendalikan kes‐kes rogol dan juga masalah‐masalah yang berkaitan dengan remaja.”

Kian tertarik Dr. Adiib mendengar cerita Mak Cik Tina.

“Emm… Tak sangka.”

“Apa yang Dr. Adiib tak sangka?”

Soal Mak Cik Tina.

“Tak. Maksud saya, tak sangka yang Balkis tu begitu berlainan dengan wanita‐wanita yang pernah saya temui sebelum ni.”

“Tu baru sikit yang Dr. Adiib tahu pasal Dr. Balkis.”

“Ada bayak lagi ke yang saya tak tahu?”

Mak Cik Tina tersenyum mendengar persoalan itu.

“Kenapa mak cik senyum?”

“Tak ada apa‐apalah Dr. Mak cik minta diri dulu ya. Banyak lagi kerja yang mak cik nak kena
siapkan.”

Baru selangkah Mak Cik Tina kehadapan, Dr. Adiib sudah menghalang.

“Nantilah dulu mak cik. Beritahulah saya tentang Balkis.”

“Dr. nak tahu apa?”
“Apa‐apa sahaja. Asalkan maklumat tu boleh saya gunakan untuk mendekati Balkis.”
Saat ini gambaran perasaan Adiib terhadap Balkis benar‐benar sudah ketara.
“Baiklah. Mak cik akan beritahu satu perkara. Kalau Dr. nak ajak Dr. Balkis keluar makan. Jangan
ajak Dr. Balkis pada hari Isnin dan Khamis.”
“Kenapa pulak?”
“Sebab selalunya pada hari Isnin dan Khamis Dr. Balkis akan berpuasa sunat.”
Langkah Mak Cik Tina yang tadinya terhenti diteruskannya, kian jauh meninggalkan si
pengganding bicara yang sudah tersenyum mengatur rancangan di mindanya.
“What? Inspektor kata Dalila boleh menang kes ni?”
“I pun tak sangka boleh jadi macam ni. Tapi kita bukannya kalah.”
“Ya. Tapi kita pun tak menang.”
Berubah riak wajahku.
“Rileks Balkis. Kes ni cuma ditundakan. Itu sahaja.”
“Cuma ditundakan? Senangnya Inspektor cakap.”
Sedikit memerli.
“I tahu youkecewa. Tapi trust me, kita boleh menang kes ni.”
Aku menghelakan nafas. Sedikit berat. Tidakku sangka jawapan ini yang akanku terima
daripada lelaki di hadapanku ini mengenai perbicaraan kes Dalila di mahkamah pagi tadi.
“You tahu tak, I sanggup datang sini semata‐mata nak berjumpa dengan you. Tapi you layan I
macamlah Ini yang rogol Dalila.”
Rasa bersalah menjengah diri.
“Saya minta maaf. Saya tak bermaksud…”
Ayatku terhenti. Pandangan Inspektor Alvin Yee bagai memintaku meneruskan bicaraku.
“Betul ke Inspektor datang ke sini semata‐mata hendak bertemu dengan saya?”
Pantas pula lelaki di hadapanku ini tersenyum lebar.
“Tak adalah. I main‐main je. Sebenarnya I ada urusan sekitar kawasan sini tadi. So, I datanglah
sini jumpa you sekejap.”
Terasa lapang dada ini. Rasa bersalahku nyah pergi.
“Balkis. I tak nak you fikirkan sangat pasal kes Dalila. Iyakin for next perbicaraan kita boleh
menang kes ni. Trust me.”
Ku anggukkan sedikit kepalaku.
“Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes ni okey ke?”
“Okey? Maksud you?”
“Maksud saya, Inspektor yakin yang dia mampu mengendalikan kes ni dengan baik?”
“I yakin. You jangan risau okey.”
“Mustahillah saya tak risau. Terlalu banyak perkara yang merisaukan saya. Bukan setakat kes
Dalila, malahan banyak lagi kes‐kes yang berkaitan rogol dan liwat yang tertangguh. Saya tak
bermaksud hendak memperkecilkan mana‐mana pihak. Cuma…”
“Cuma apa?”
Laju Inspektor Alvin Yee bertanya. Matanya tepat ke wajahku.
“Cuma saya semakin risaukan keadaan Negara kita sekarang. Terlalu banyak kes rogol. Hampir
setiap hari ada sahaja kes rogol ataupun kes liwat yang berlaku. Apa yang lebih menyedihkan
ada di kalangan ahli keluarga sendiri yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk ni. Contoh
yang paling dekat, kes Dalila. Ada juga kes di surat khabar mengenai seorang bapa merogol
anaknya yang merupakan seorang OKU. Itu tidak termasuk lagi seorang datuk yang berusia
lebih lima puluh tahun sanggup merogol cucunya yang baru berusia sekitar sepuluh tahun.
Selepas didakwa di mahkamah, mereka akan dibicarakan. Andai nasib mangsa‐mangsa rogol
itu baik, maka si penjenayah akan dikenakan hukuman. Tapi hukuman penjara dan sebat yang
dikenakan langsung tidak setimpal dengan kesan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa
sehingga ke hujung nyawa mereka. Kebanyakan mangsa akan menghidapi Sindrom Renjutan
Emosi Rogol ﴾Rape Trauma Syndrome﴿ ﴾RTS﴿ yang dianggap sebagai sejenis penyakit psikologi.
Setiap hari mangsa‐mangsa ini akan hidup dalam kesedihan, kekecewaan dan penderitaan.
Masa depan mereka gelap dan yang lebih menyayat hati… Ada sesetengah masyarakat
sekeliling yang memandang serong kepada mangsa‐mangsa rogol ini kerana melahirkan anakanak
luar nikah.”
Tidak sesaat pun Inspektor Alvin Yee melepaskan pandangannya ke arahku. Dadaku berombak.
Apa yangku katakan sebentar tadi ada sedikit mengimbasi nasib diri. Nasib diri kerana dilahirkan oleh seorang ibu yang berkasihkan atuk saudaraku sendiri. Hasil hubungan
sumbang mahram itulah aku menerima aibnya sehingga kini.
“Inspektor ada terbaca mengenai kes seorang lelaki warga Arab Saudi dan dua orang lelaki
warga Kanada yang dihukum pancung di Jeddah selepas didapati bersalah kerana merogol
dan meliwat seorang pembantu rumah perempuan dan dua orang lelaki?”
“Ada.”
“So, apa pendapat Inspektor?”
“Emm… Bagi pendapat I sememangnya mereka layak dikenakan hukuman pancung sampai
mati. Binatang macam tu memang tak layak untuk hidup.”
Aku tersenyum. Puas hatiku mendengar pendapat sebegitu.
“Ketiga‐tiga mereka dihukum pancung kerana merogol serta meliwat pembantu‐pembantu
rumah. Iaitu orang‐orang yang tiada kaitan dengan mereka. Jadi, agak‐agaknya apakah
hukuman yang lebih berat daripada pancung yang boleh dijatuhkan kepada mereka yang
merogol darah daging mereka ataupun ahli keluarga mereka sendiri?”
Inspektor Alvin Yee memandang wanita di hadapannya ini dengan pandangan bermacam.
Kagum bercampur dengan gementar untuk menjawab persoalan wanita itu. Apakah jawapan
yang selayaknya diberikan kepada wanita yang masih menantikan jawapan daripadanya
sedangkan dia sendiri sedia maklum bahawa di Malaysia, hukuman yang dikenakan ke atas
perogol serta peliwat tidak kiralah sama ada mangsa terdiri daripada ahli keluarga mereka
ataupun tidak tetap jua tidak sampai ke tali gantung apatah lagi pancung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan