Label

Jumaat, 16 Disember 2016

NOVEL Akhirnya Bab26

ANAK rambut yang berjuntaian di dahi Manissa bagaikan menari‐nari apabila ditiup angin laut. Sambil memejamkan mata, ada rasa kedinginan mula menujah ke pipinya. Dia merasa kelegaan yang amat sangat. Hampir seminggu berada di Ombak Bidara Chalet itu, hatinya mula diterkam kerinduan. Rindu pada wajah‐wajah yang sering hadir dalam hidupnya.

Sementara menunggu kedatangan Mak Intan, Manissa kembali melayan perasaannya. Angin petang terus berhembus perlahan menyapa wajah. Satu‐persatu wajah insan yang sangat dekat di hatinya mula bermain di kotak fikiran. Datangnya silih berganti. Perginya juga memunggah selautan memori. Rasa suka dan duka berbaur menjadi satu. Sepi terus memasung suka dukanya di situ. Ruang rasanya kembali memukat kenangan dan cerita yang pernah singgah di laman hidupnya. Seketika segalanya berpusar dan berlegar memenuhi layar ingatan.

Dia teringat kepada Suzy dan Cindy. Dua gadis periang itu memang sudah lama menjadi sahabat baiknya. Sejak masa bersekolah lagi. Sebelum terjebak ke dunia liar, Manissa hanya duduk di rumah sahaja. Apabila timbul permasalahan dalam keluarga, fikirannya mula bercelaru. Dia cepat menjadi bosan. Juga sering marah‐marah sehinggakan tidak dapat mengawal perasaannya.

“Jomlah Nissa … buat apa nak fikir‐fikir lagi. Masa muda inilah kita nak enjoy puas‐puas!” Suzy
cuba mengumpan perasaan Manissa yang semakin bercelaru sejak akhir‐akhir ini.



“Duduk rumah bukan ada apakan? Cindy pun ada … apa yang kau nak takutkan? Kami berdua dah lama buat kerja ni … tak ada apa‐apa masalah pun.”

Ketika itu Manissa tidak banyak bercakap. Hanya ingatan berputar jauh. Memang sejak akhir-akhir ini fikirannya berserabut. Macam‐macam yang difikirkan. Bermula dengan hubungan dingin ibu bapanya hinggalah kerenah ayahnya yang menambah benci di hati.

“Itu masalah mereka … biar mereka yang selesaikan. Sebagai anak apa yang boleh kita buat. Hakikatnya kita kena terima dan telan bulat‐bulat apa‐apa pun keputusan mereka.” Cindy pula cuba menyakinkan Manissa agar tidak ambil peduli permasalahan yang sedang berlaku di dalam keluarganya.

“Mana boleh macam itu Suzy, Cindy … mereka itu keluarga aku! Baik buruk tetap keluarga aku!”

Cindy dan Suzy berpandangan. Bebola mata mereka bertemu. Mereka akan tetap memancing
Manissa supaya akur dengan pendapat mereka berdua.

“Betul kata kau tu … aku dan Cindy pun setuju tapi buat apa nak sakitkan kepala? Fikirkan masalah mereka, lebih baik kau buat hal sendiri.”

“Kau cakap senanglah Suzy … yang menanggungnya aku. Hari‐hari aku balik rumah ada saja yang tak kena … ada saja yang menyakitkan hati … aku bosan … aku tertekan!” Manissa berterusan meluahkan rasa hatinya.

“Sebab itulah kami nak ajak kau ke kelab tu … di situ kau boleh lupakan segala masalah. Kosongkan fikiran … bebaskan diri dari perkara yang menyesakkan kepala … kau percayalah cakap aku,”

Manissa hanya terdiam. Fikirannya terus buntu. Sama ada mahu pergi atau tidak bukan soal utamanya sekarang. Biar didesak mahupun diasak dengan pelbagai soalan, namun fikirannya masih waras untuk membuat keputusan. Apa yang lebih penting sekarang, dia mahu keharmonian keluarganya tetap utuh macam sebelum ini. Macam sebelum hadirnya perempuan gedik, Sarah Aqilah dalam hidup ayahnya. Kini wajah ibu, ayah dan Sarah Aqilah bersilih ganti mengapung di hadapan mata. Ingatan kepada Suzy dan Cindy semakin menjauh.

“Sejauh mana Nissa pergi … setinggi mana ilmu di dada … jangan lupa agama dan akar budaya
bangsa. Apa‐apapun berlaku Nissa ingat kata‐kata ibu tu,” ujar Datin Sharifah pernah menasihati anak gadisnya itu.

“Nissa cuma ada ibu dan ayah saja … Nissa sayangkan kalian berdua … Nissa akan ingat ibu!”

Satu pelukan Manissa erat ditubuh ibunya. Pautan erat itu melekat seketika. Suasana turut sepi dan hening. Mata terpejam, hanya kasih dan sayang bertambah abadi.

“Terima kasih ibu … terima kasih.” Manissa cuba menahan sebak.

“Ermm … jangan sedih‐sedih. Ibu akan selalu ada untuk Nissa.”

“Nissa tak sanggup kehilangan ibu … Nissa sayang ibu!”

“Ibu pun sayang Nissa … sayang sangat‐sangat!”

Manissa kembali tersenyum kecil. Tanda faham kata‐kata ibunya itu. Baginya, kedua‐dua orang
tuanya adalah segala‐galanya. Tanpa mereka apalah ertinya hidup ini. Tanpa mereka segalanya
tawar dan hambar. Segalanya tetap indah. Seindah mekarnya bunga‐bungaan di taman, sentiasa harum mewangi. Namun pepatah ada mengatakan, langit tidak selalunya cerah. Ada ketikanya mendung pasti menginjak tiba. Bahagia ada di mana‐mana namun duka tetap ada menjenguk rasa.

Anak sungai pun selalu berubah. Apa lagi hati dan perasaan manusia. Detik demi detik berlalu pergi. Perubahan demi perubahan emosi oleh Datuk Zulkifli akhirnya dapat ditangkap oleh ibunya, Datin Sharifah. Kehadiran orang ketiga menjadi punca retak segala. Akhirnya yang indah hilang serinya. Bahagia bertukar derita. Benci menidakkan rasa sayang yang tumbuh subur selama ini. Denai kehidupan yang lama dibina mula dipenuhi duri. Dicubit terasa perit, dipijak terasa sakit. Badai datang tidak terduga. Bila pergi meninggalkan petanda. Saat ketawa mula beransur berteman air mata.

“Saya tetap dengan keputusan saya abang!” Datin Sharifah terus mendesak.

“Berfikir sebelum bertindak, bukan bertindak baru nak berfikir!” Datuk Zulkifli menjawab bagaikan memberi satu peringatan.

Datin Sharifah mula hilang pertimbangan. Fikirannya semakin kusut. Semuanya habis bercelaru. Air mata sudah terlalu murah baginya. Hinggakan dia sudah tidak larat untuk memuntahkanya. Pedih dan perit menambahkan lagi sakit di hati.

“Saya tak main‐main bang! Saya serius!”

“Adakah abang pun cakap main‐main?”

“Sudahlah bang … saya dah tak sanggup lagi hidup macam ni. Tak sanggup saya bermain dengan bayang‐bayang. Selama hari ini, segala pengorbanan saya hanya sia‐sia saja. Abang seorang saja yang ada hati dan perasaan … orang lain tidak!”

“Itu hak abang! Jangan pertikaikan!”

“Hak saya macam mana pulak abang?”

Datuk Zulkifli hanya berdiam. Setiap persoalan pasti ada jawapannya. Bukan semakin merungkai masalah tetapi semakin kusut jadinya. Jalan penyelesaian sementara yang terbaik hanyalah berdiam diri. Pertengkaran demi pertengkaran semakin memanaskan cuping telinga Manissa. Pantang bertemu pasti ada permasalahan yang timbul. Ibarat anjing bertemu dengan kucing, dunia tidak akan aman.

Sarah Aqilah, satu‐satunya wanita yang sangat dibenci ketika itu. Perasaan marah dan meluat terus melingkar menjalar apabila Manissa teringatkan wanita gedik itu. Wanita yang menjadi titik mula ketidakharmonian keluarga bahagianya. Terdetik di hatinya, agaknya memang perempuan suka menyakitkan hati perempuan. Sanggup berbuat apa sahaja walaupun terpaksa mengguris hati dan perasaan kaum sejenisnya. Pantang ada kesempatan, peluang tidak akan dilepaskan. Manakala orang lelaki pula, pantang nampak perempuan muda mulalah nak menggatal. Termasuklah ayahnya, walaupun sudah berusia dan banyak pengalaman hidup tetap juga rebah di kaki perempuan yang mahu mengambil kesempatan.

“Yang awak cemburu sangat kenapa?”

“Saya ada hak untuk cemburu abang … memang abang tak boleh nak nafikan!”

“Abang juga ada hak! Keputusan tetap di tangan abang!”

Terdiam Datin Sharifah. Lemah terasa seluruh anggota badan ababila jawapan itu dilemparkan
kepadanya. Apa dayanya seorang wanita. Dirinya umpama sebiji mentimun sedangkan suaminya itu adalah durian. Apa‐apa yang dilakukan, jawapannya tetap tidak akan menyebelahinya. Jalan terakhir hanya pasrah. Pasrah kepada ketentuan takdir dari‐Nya.

“Kalau itu sudah pilihan abang … maka terserahlah. Buatlah apa yang abang suka. Janji abang
bahagia. Kalau abang tetap dengan keputusan abang, keputusan saya pun tetap muktamad!”

“Boleh tak awak jangan merepek? Abang banyak kerja lain yang tak selesai. Jangan nak tambah beban di kepala ni … abang tahu apa yang abang buat!”

“Saya dah tak kesah abang … air mata ni pun dah tak mampu nak gugur lagi. Menangis pun dah tak guna, buat sakit mata dan hati saja. Cuma satu pinta saya, izinkan saya pergi seketika untuk mencari ketenangan. Saya tahu redha isteri tetap bersama suami … melangkah keluar rumah tanpa izin, tetap isteri berdosa. Izinkan saya abang…,”

“Abang tak menyuruh dan tak akan menahan. Tepuk dada tanyalah hati!” tukas Datuk Zulkifli sebelum meninggalkan Datin Sharifah yang masih terkedu di ruang tamu.

Mengenang ibunya, Manissa segera menjadi sebak. Wanita yang sangat dirinduinya itu sangat jauh dari mata. Rajuk wanita itu membawanya pulang semula ke tanah kelahirannya, kota London. Hanya doa dan air mata sering menemannya saat terkenang ibunya yang tercinta itu. Lima bulan lalu, sebelum Datin Sharifah meninggalkan keluarga bahagianya wanita kelahiran Inggeris itu ada berpesan kepada Manissa.

“Biarkan ibu pergi sendirian. Nissa jaga ayah di sini. Ibu pasti dan yakin boleh menjaga diri. Tanpa Nissa, ayah akan lebih terumbang‐ambing. Kekuatannya tetap ada pada Nissa walau hakikatnya perasaan benci ada padanya lantaran hadirnya perempuan itu. Ibu tak akan berubah dan akan tetap seperti ibu Nissa yang dulu juga. Cuma bagilah ibu sikit ruang dan masa untuk memujuk hati ibu yang pecah dan retak ini. Ibu sangat sayang Nissa dan impikan keluarga bahagia kita yang dulu. Ibu akan cuba bersabar menunggu saat itu muncul semula, biar bertahun‐tahun lamanya. Bantu ibu untuk mengubah sikap ego ayah kamu itu,” panjang lebar pesan yang ditinggalkan kepada Manissa.

Mengimbas detik lalu membuatkan Manissa semakin faham dan bertambah sayang kepada ibunya. Biar perpisahan ini sementara namun hakikat penantian itu amat menyiksakan. Terasa lambat masa berlalu, terasa penat kerana lama menunggu.

Mengenang ayahnya, perasaannya kembali bercelaru. Rasa benci semakin tumbuh menebal di dalam dirinya terhadap lelaki yang dipanggil ayah itu. Geramnya semakin membukit.

Semuanya angkara Sarah Aqilah. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dibunuhnya perempuan itu.
Bencinya bukan kepalang!

“Ini urusan ayah! Jangan jadi anak yang kurang ajar!”

“Memang ayah tak sayang Nissa … ibu juga! Nissa dah tak bererti buat ayahkan?”

“Ayah kata diam! Diam!”

Hanya air mata yang mampu mengalir di pipi tanpa dipaksa. Marah benar ayahnya petang itu kepada Manissa. Sejak ibu pergi, Manissa semakin menyendiri. Hidupnya semakin berkalung sepi. Tidak ada tempat untuk mengadu. Segalanya terpaksa ditelan sendiri, pahit atau manis.

Akhirnya, Cindy dan Suzy menjadi tempatnya mengadu nasib. Itu antara punca dia mula terjebak dengan dunia hitam kelab malam. Namun niatnya cuma mahu melarikan diri dari belenggu masalah yang dihadapi.

“Aku tak paksa kalau kau tak mahu jadi perempuan GRO tu … aku mahu kau seronok‐seronok dan lupakan semua masalah tu … terpulanglah pada kau,” Suzy kembali memancing minat Manissa untuk turut sama‐sama bekerja di kelab malam yang dimaksudkan.

“No big deal Nissa! Yang penting kau enjoy dan lupakan perkara yang mengusutkan fikiran. Di sini kau bebas … bebas buat apa saja!” Cindy menokok kata, membuatkan Manissa tidak berfikir panjang untuk menyertai mereka berdua.

“Okeylah … tapi aku nak rilek‐rilek saja kat situ. Pasal kerja tu nanti aku fikirkan,”

“Errmm … macam itulah kawan!” Cindy gembira sambil senyum melebar.

Seminggu tidak pulang ke rumah, Datuk Zulkifli sedikit pun tidak kesah. Perginya tidak dihalang, pulangnya juga tidak ditagih. Jauh di sudut hati, dia mengimpikan keluarga bahagianya yang dahulu. Semuanya yang indah‐indah, sebelum munculnya Sarah Aqilah.

Langit petang semakin kelabu. Ada tanda‐tanda hujan akan turun pada awal malam nanti. Mak Intan tertinjau‐tinjau di chalet penginapan Manissa namun penghuninya tidak ada. Dari kejauhan Mak Intan terpandang sesusuk tubuh menyamai orang yang sedang dicarinya. Siapa lagi, kalau bukan Manissa.

“Di sini rupanya … puas Mak Intan cari.”

“Saja nak tengok ombak petang berdebur … puas rasanya bila ombak menghempas ke pantai.
Rasa semacam kelegaan buat Nissa. Macam ada rindu yang memanggil‐manggil Nissa untuk
pulang.”
“Wah … apa kata orang muda sekarang … ayat jiwang. Rindu orang jauh ke?” Mak Intan sahaja
mahu mengusik Manissa.
“Errr … tak adalah Mak Intan. Siapalah yang nak rindukan Nissa. Cuma Nissa terkenangkan ibu.
Apa khabar agaknya ibu sekarang? Nissa rindukan ibu sangat‐sangat!”
“Sabarlah Nissa, Mak Intan rasa mesti Datin sihat. Satu hari nanti pasti Nissa akan bertemu
dengan Datin semula. Biarlah ibu Nissa gembira dengan ketenangan yang dicari. Mak Intan
yakin sangat‐sangat … percayalah!”
“Harap‐harap macam itulah Mak Intan. Memang tak sabar nak peluk ibu!”
Perlahan‐lahan terasa ada air mata mula merembes keluar dari mata Manissa. Tiba‐tiba dia
terasa sebak. Rindu kepada pelukan ibunya tiba‐tiba menggunung. Rasa sayu memang tidak
dapat ditahan‐tahankan lagi. Berderai lagi air matanya. Mak Intan turut menahan sebak.
“Jangan dilayan sangat perasaan tu, semakin menjadi‐jadilah nanti. Jomlah kita … dah makin
petang ni. Dah kemas semua pakaian dan apa‐apa yang patut? Biar Mak Intan tolong
angkatkan,”
“Sudah semuanya Mak Intan. Marilah … tak sabar pulak nak ikut Mak Intan balik,”
Manissa dan Mak Intan melangkah kemas menuju ke deretan chalet Ombak Bidara. Manissa
telah mengambil keputusan untuk bermalam di rumah Mak Intan. Itupun selepas didesak dan
diajak oleh Mak Intan beberapa kali. Akhirnya Manissa terpaksa akur dengan Mak Intan, yang
telah dianggap sebahagian daripada keluarganya juga. Susah payah dan penat lelah Mak Intan
menjaganya dahulu, terlipat kemas di lopak ingatan. Sekurang‐kurangnya ada juga tempat
untuk dia mengadu. Ketika itu, Mak Intan adalah segala‐galanya tempat dia mencurahkan rasa
hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan