Label

Jumaat, 16 Disember 2016

NOVEL Abang Mekanikku Bab31

Adham pandang muka Aira. Aira pandang muka Adham. Mulut pasangan muda itu melopong
mendengar kata‐kata Tan Sri. Wajah masing‐masing penuh keliru.

“Kami dah jangka yang korang berdua akan buat keputusan untuk berkahwin. Di Jepun, mahupun di dalam kapal terbang semasa penerbangan balik tadi, memang itu yang berlegar-legar dalam kepala kami berdua. Cuma, tak sangkalah pulak yang si Aira ni dah tak menyempat‐nyempat hendak memberitahu. Hesy, anak dara ni, memang tak tahu malu, ya?”

Puan Sri mengusik setelah memecahkan tembelang yang kini mula difahami anak dan bakal menantu. Sengihan Aira Syuhada semakin melebar. Wajah yang cantik merona kemerahan apabila ibunya mengusik. Malulah pulak!

Adham berdeha. Rasa liur tersekat di kerongkong. Dalam hati, masih ada rasa tidak percaya
mendengar kata‐kata Puan Sri idayu. Apakah itu bermaksud...?

“Kami restu niat baik korang berdua,”

Bulat sepasang mata Adham Faiz. Kepala tergeleng‐geleng. Dahi sedikit berkerut.

Dan, bagai memahami apa yang bersarang dalam fikirannya, Tan Sri segera mengusik, “Hah, tu mesti tengah fikir sama ada kamu tu mimpi ke tidak, kan?”


Aira segera mencubit lengan Adham menyebabkan lelaki itu terjerit kecil. mengundang tawa yang melihat.

“Adoiii! Awak? Kenapa cubit saya?”

“Awaklah! Dah macam‐macam emak dengan ayah cakap tapi awak diam tak jawab. Sepatutnya, ucaplah terima kasih pada dia orang. Ni tidak! Macam orang ‘blur’ aje!” bebel Aira.

“Kenapa pulak saya nak kena ucapkan terima kasih?”

Sepasang mata tajam memandang raut wajah manis di sebelah.

“Sebab ayah dengan mak dah bagi lampu hijau kepada kita. Jadi, kita dah boleh kahwin!” balas Aira sambil tersengih‐sengih lagi.

“Huh, saya kena ucapkan terima kasih sebab saya bakal dapat isteri yang mulutnya suka berleter? Yang jarinya macam ketam, suka mengetip? Tak lama kahwin dengan awak, mahu kurus badan saya ni, tahu?” ujar Adham, sengaja hendak membuat Aira marah. Melihat bibir Aira yang muncung, dia segera berkata lagi, “Dah, jangan nak buat perangai. Sekarang, boleh tak awak tinggalkan saya dengan Tan Sri dan Puan Sri. Ada perkara yang saya nak cakap dengan mereka.”

“Tapi,”

Ayat terhenti melihat kesungguhan di wajah lelaki idaman. Memandang wajah ayah dan ibu pula, Aira tahu bahawa, kedua‐duanya juga mahu menyampaikan sesuatu kepada Adham. Aira segera bangun. Hati dan perasaan bagai berada di awang‐awangan. Sungguh bahagia.

Akhirnya, tidak lama lagi Adham Faiz bakal menjadi suaminya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan