Label

Jumaat, 16 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab15

MATANYA terangkat pantas tanpa terkebil. Vasilias bangun perlahan‐lahan dari pembaringan. 
Kakinya merasa panas suluhan cahaya mentari dari tingkap yang terbuka luas. Badannya diangkat perlahan‐lahan dengan kepala terpunduk. Rambut hadapannya yang kusut menutupi dahi. Vasilias terangguk‐angguk dengan rentak yang sama sehingga tubuhnya turut terhinggut. Kemudian, dia berjeda.

Bau busuk dari mayat lelaki di hadapannya mula menusuk hidung. Namun, ada sesuatu yang lebih menarik perhatian. Vasilias melihat dirinya di sebalik pantulan pada permukaan air dalam mangkuk besi. Lengannya lebih berotot daripada sebelumnya. Dia meraba mukanya yang berurat timbul. Menekan‐nekan dengan hujung jari sambil kepalanya tersenget seakan‐akan kehairanan.

Keningnya tampak lebih tebal manakala rerambut kasar mula merayapi bahagian dagu sehingga ke telinga. Wajahnya lebih bengis. Apabila dia menyeringai, kelihatan taringnya yang tumbuh tajam. Jari telunjuk menyentuh gigi taringnya dari pangkal gusi sehingga ke hujungnya yang runcing. Vasilias menguji ketajamannya. Sedikit goresan jari sahaja sudah mampu melukakannya.

Entah kenapa, bau hanyir darah yang terbit dari jari semacam begitu menyelerakan. Darah itu diusap dengan ibu jari. Dicalitkan sedikit pada hujung lidah.

“Mmm...” Bunyi itu merupakan terjemahan kepada kenikmatan yang dirasai.



Mata Vasilias dipicingkan pada telunjuk yang masih berdarah. Dia tidak dapat menahan dirinya. Darah merah dijilati dengan rakus sehingga alirannya berhenti. Kemudian, Vasilias merangkak lalu membuka kakinya luas seperti binatang buas berkaki empat yang mahu menyerang. Matanya melingas‐lingas ke persekitaran untuk seketika.

Akhirnya, Vasilias berdiri tegak. Dia melihat pemandangan di luar tingkap. Pandangannya
dilontarkan jauh seperti memerhatikan sesuatu berjarak sebatu dari Pantheon. Tangannya didepakan sebelum tempikan panjang keluar dari halkumnya.

SUARA tempikan itu menjengah cuping telinga Damian. Damian sedang bersendirian di bilik
peribadi. Terdengar sahaja bunyi tadi, dia sudah tahu bahawa ritual pemujaan Vasilias telah selesai. Semalaman tidurnya tidak lena. Dia memikirkan apa yang Vasilias lakukan di bilik pemujaan.

Jolokan oleh Zalanbuur kelmarin kuat mengacau hatinya. Namun, setiap kali prasangka itu muncul, Damian selalu menepisnya daripada terus menghurung fikiran. Selama ini, dia tidak pernah menyimpan syak terhadap Vasilias meskipun mereka bertelagah. Cuma kali ini sahaja
kepercayaannya tergugat.

Damian bangun lalu berdiri sambil memegang birai katil. Dia mahu menjenguk keadaan Vasilias. Ketika dia menoleh ke arah pantulan imejnya dari cermin sisi yang dilintasi, kelihatan Zalanbuur sedang menyeringai di belakang bahunya. Serentak, dia mendengar bunyi bisikan begitu dekat dengan telinga.

Apabila dia menoleh, Zalanbuur tersenyum sinis. Sengihannya berbaur ejekan. Apabila Damian
mahu berjalan meninggalkannya, Zalanbuur mencengkam lengannya begitu kuat.

Zalanbuur berjalan mengelilingi Damian yang berdiri terpacak. Pandangannya merayapi Damian sehingga Damian naik rimas. Kemudian, Zalanbuur berdiri dekat di tepi telinganya sambil kepalanya terteleng ke kiri. Mulutnya terbuka lalu desiran angin keluar darinya.

“Vasilias sudah bersedia untuk mengambil kitab sihir dan Permata Berdarah. Apabila dia sudah
mengawal semua makhluk kegelapan, tenaganya akan bertambah‐tambah kuat. Dan, sifat tamak akan merasuknya. Dia tentu tidak mahu mempunyai saingan dalam dunia sihir ini. Tak lama lagi, kau pasti terhapus, Damian!”

“Suka hati kaulah. Aku tetap yakin. Vasilias tak mungkin mengkhianati aku.” Damian mengulangi pendiriannya.

Mendengarkan balasan Damian, Zalanbuur tertawa berdekah‐dekah. Dia menjarakkan mukanya yang berbintil dari telinga Damian lalu menepuk bahunya perlahan‐lahan. Kemudian, Zalanbuur mencengkam bahu Damian lalu menariknya pantas ke arahnya.

“Kebenaran telah disembunyikan lama daripada kau, Damian. Sehingga kau buta dalam membuat keputusan. Tak dapat bezakan sama ada permata atau kaca yang kau puja. Biarkan aku tunjukkan kebenaran itu kepada kau, Damian. Kau yang nilai sendiri... sama ada keputusan kau untuk terus percayakan Vasilias adalah tindakan bijak atau bodoh!” Zalanbuur berbisik keras.

Zalanbuur menghantukkan kepalanya kepada Damian.

Serentak, kepala Damian terasa direnjat elektrik. Dia tidak mampu melawan kesakitan itu sehingga raungannya tercetus. Matanya terpejam rapat sehingga yang terlihat hanyalah tompokan merah dan hitam.

Beberapa minit kemudian, kesakitannya beransur‐ansur hilang. Damian mengangkat kelopak mata perlahan‐lahan. Melihatkan pandangan yang terbentang di hadapannya, matanya terbuntang luas. Pandangan ini terlalu biasa dilihat pada satu ketika dahulu. Dia kembali mengutip ingatan‐ingatan lampau yang disembunyikan dari jangkauannya.

Damian sekarang sedang berdiri di tengah rumahnya. Rumah tempat dia membesar ketika zaman kanak‐kanaknya.

Kakinya melangkah ke sebuah bilik. Pintu bilik terbuka luas. Kedengaran suara lelaki dan perempuan sedang bertelagah di dalamnya. Nada suara mereka kuat seperti sedang memarahi seseorang. Ada masanya, suara itu berselang‐seli dengan kata‐kata yang perlahan daripada seorang kanak‐kanak lelaki.

Apabila dia sampai di muka pintu, kelihatan seorang lelaki berpakaian Toga dan perempuan yang memakai Stola berdiri membelakanginya. Melihatkan sisi wajah mereka, dia tersentak. Damian berjalan sehingga berhadapan dengan mereka berdua. Wajah mereka ditatap silih berganti. Semakin lama dia menatap wajah lelaki dan wanita itu, semakin dia yakin akan gerangan mereka sebenarnya.

“Ayah... Ibu?”

Panggilannya tidak bersahut. Pandangan mereka tetap menghala kepada kanak‐kanak lelaki yang duduk terpuruk di sebelah tingkap. Daripada parasnya, kanak‐kanak itu menyerupai wajah Vasilias dengan usia kelahiran 12 tahun.

“Apa nak jadi dengan kau ni, Vasilias? Sampai adik kau, Damian pun kau nak bunuh. Penat kami sembunyikan mayat budak yang kau bunuh dulu, kau tetap tak berubah. Darah daging kau pun nak dijadikan mangsa?” tempik ayahnya. Dada ayahnya turun naik menahan amarah.

“Nasib baik ibu jumpa kau di tepi sungai tadi. Mujur Damian cuma lemas. Kalau dia sampai
meninggal dunia, ibu tak akan maafkan kau, Vasilias... Sampai bila‐bila!” marah ibunya pula.

“Mungkin kau ni memang kena diajar!”

Ayahnya menarik sehelai kain yang disidai di kepala katil. Kain itu dilipat menjadi dua sehingga
tebal. Kemudian, dia berjalan menembusi Damian yang berdiri di hadapannya sedari tadi. Vasilias bakal dijadikan tempat untuk melempiaskan kemarahan.

Kain dilibas kuat mengenai betis Vasilias. Rayuan Vasilias yang diiringi dengan air mata langsung tidak dihiraukan. Hukuman itu dirasakan wajar bagi budak berjiwa pembunuh seperti Vasilias. Isterinya yang berdiri membelakangi si ayah merelakan sahaja pukulan dan hambatan yang diberi.

“Ayah, kenapa bising‐bising? Ibu?”

Seorang kanak‐kanak lelaki berlari masuk ke dalam bilik. Kanak‐kanak itu adalah Damian pada masa silam. Lutut si ibu dipeluk manja. Menanti ibunya mengusap kepalanya seperti selalu.

Ibunya tunduk lalu memegang lengan si kecil Damian. “Adik dah bangun? Kan masih penat tadi. Rehatlah,” pujuk ibunya, lembut.

“Ayah, kenapa pukul abang? Kasihan abang. Nanti dia sakit.” Si kecil itu begitu polos. Dia berjalan mendekati Vasilias lalu mengelus bahunya.

“Ayah pukul abang sebab abang buat salah besar. Tadi dia nak lemaskan Damian di sungai tadi. Nasib baik Damian tak apa‐apa,” jawab ayahnya dengan suara yang mengendur.

“Bukan salah abang. Adik yang ajak abang mandi air tadi. Jangan marah abang lagi, tau?” rayu si kecil Damian. Dia kemudian memeluk Vasilias. Mempertahankannya dari sebarang pukulan.

Damian menyaksikan peristiwa silam tadi sambil berdiri di tepi dinding. Dia merenung si kecil
Vasilias. Vasilias dilihat mengecilkan anak matanya. Memerhatikan ibu dan ayahnya seperti
menyimpan dendam.

Sejenak, warna‐warna yang melatari suasana berserakan. Sekali kerlipan mata, pandangan di
hadapannya sudah berubah. Dia kini berada di dalam bilik tidur ibu dan ayahnya. Ibu dan ayahnya kelihatan sedang tenang dalam tidur mereka. Tidak lama kemudian, pintu bilik itu terkuak lalu terbuka luas.

Si kecil Vasilias masuk lalu berdiri lama di hadapan kaki katil. Dia merenung ibu dan ayahnya
dengan pandangan setajam belati. Kepalanya kemudian menunduk. Dia diam seperti dirasuk.
Kemudian, Vasilias mendekati ibunya lalu menggoyang‐goyangkan lengannya sehingga dia terjaga.

“Vasilias takut. Boleh tak Vasilias nak tidur dengan ibu dan ayah malam ni?” pinta Vasilias.

Wajahnya yang bermuram itu diusap lembut oleh ibunya.

“Boleh, naiklah,” jawab ibunya. Suaranya tidak lagi tegang seperti siang tadi.

Vasilias diangkat oleh ibunya ke atas katil. Dia berbaring di antara ayah dan ibunya.

“Ibu...”

“Emm?” Ibunya menjawab sambil matanya masih terpejam.

“Vasilias nak minta maaf dengan ibu,” ujar Vasilias.

“Kenapa?”

Pertanyaan itu dibiarkan tergantung tanpa dijawab. Perlahan‐lahan, Vasilias menyeluk pisau yang disisipkan pada pakaian di belakangnya. Lilitan kain dibuka lalu sebilah pisau berhulu kayu yang tajam berkilat dikeluarkan.

Ibunya yang masih belum nyenyak tidur terjaga. Dia mengesan pergerakan pada katil. Apabila dia membuka mata, kelihatan Vasilias dengan pisau yang terhunus melutut di sebelah pinggangnya. Baru sahaja dia mahu menjerit, pisau itu sudah dibenamkan menembusi kulitnya.

Tubuh si ibu tersentak‐sentak akibat ditikam berkali‐kali. Darah terpercik dan membasahi tilam. Vasilias hanya berhenti menikam apabila ibunya sudah berhenti bergerak.

Ayahnya yang nyenyak tidur kini mula berkutik. Sebelum ayahnya sempat membuka mata, ayahnya turut menerima nasib yang sama. Bahkan lebih teruk. Pisau ditekan dan ditarik agar membelah tubuhnya. Membentuk kesan torehan yang panjang menegak.

Damian yang dari tadi berdiri terkesima melihat pembunuhan yang begitu ngeri di hadapan matanya. Air matanya bergenang di tubir mata. Menanti untuk tumpah. Dia melihat Vasilias berusaha menarik kedua‐dua mayat ibu dan ayahnya keluar dari bilik. Dia mengikuti si kecil Vasilias dari belakang. Melihat ayah dan ibunya diheret dari bilik tidur sehinggalah ke tengah rumah. Dia berdiri dalam jarak sederhana jauh dengan Vasilias.

Dua tubuh tidak bernyawa itu dibaringkan bersebelahan. Vasilias kemudian dilihat duduk bersila di sebelahnya. Senyuman menghiasi wajahnya yang tadinya muram. Seolah‐olah pembunuhan ibu dan ayahnya adalah satu kejayaan buatnya. Mulutnya kelihatan berkumat-kamit dan sesekali mengangguk seperti membaca mantera.

Darah pada tubuh ayah dan ibunya dilumurkan pada tangan. Dengan menggunakan dua jari,
dia melukis simbol‐simbol pelik mengelilingi mayat mereka. Kedua‐dua belah tapak tangan
menampar lantai serentak. Seperti menyeru sesuatu dari alam ghaib. Setelah itu matanya
dipejam dalam keadaan duduk bersila.
Tiba‐tiba kelopak matanya dibuka. Mata hitamnya terangkat sehingga menampakkan warna
putih sahaja. Mulutnya melopong luas sambil mendongak.
Seketika kemudian, kepulan asap hitam bergumpal di sebelahnya. Gumpalan itu meniru tubuh
manusia. Rupa manusia daripada asap itu kesamaran.
“Aku tahu kau akan datang juga,” kata Vasilias yang kembali berkeadaan seperti biasa.
Senyumannya dilebarkan. Dia menoleh ke arah gumpalan asap hitam. Seakan‐akan menunggu
bicara yang hanya terdengar olehnya, keluar dari asap hitam tersebut.
“Aku dah lakukan apa yang kau suruh. Sekarang, tunjukkan aku lebih lagi. Bagaimana cara
untuk memiliki kuasa?” soal Vasilias.
Vasilias sekali‐kali mengangguk sambil menoleh ke sebelah kirinya. Dia membuka mulut.
Namun belum sempat dia meluahkan bicara, dia kembali menoleh ke hadapan. Cuping
telinganya bergerak‐gerak mengesan sesuatu.
Si kecil Damian kelihatan sedang berdiri kaku. Sebaik sahaja dia hadir, asap hitam tadi terus
hilang. Wajahnya tampak bingung. Kakinya melangkah perlahan‐lahan mendekati abangnya
sambil matanya tidak lepas daripada melihat ibu dan ayahnya yang terbujur kaku di atas lantai.
Lopak darah merah yang mengotori lantai dielak.
“Abang Vasilias. Apa dah jadi pada... ayah dan ibu?” soal si kecil Damian. “Banyak sangat
darah,” ucapnya. Dia cuma berdiri di sisi Vasilias.
Setelah itu, dia cuba menggoncangkan tubuh mereka berdua. Melihatkan tiada respon mesra
seperti biasa, si kecil itu terdiam sebentar. Mindanya kelihatan berkerut, cuba memahami
musibah sebenar yang menimpa ibu dan ayahnya. Tangannya dibawa menyentuh bahagian
perut ayahnya yang teruk ditoreh. Air matanya akhirnya berjuraian menuruni pipi.
Menyedari tapak tangan Vasilias dan bajunya yang penuh dengan kesan percikan darah,
Damian mula menguatkan suaranya.
“Abang bunuh ibu dan ayah? Abang yang buat?” tanya Damian lagi.
“Tidak, Damian. Bukan abang. Bukan...”
Si kecil itu kemudian ditarik lalu dipeluknya. Pada mulanya, kanak‐kanak itu meronta‐ronta.
Namun akhirnya dia menangis teresak‐esak di bahu Vasilias. Pelukan Vasilias dibalas.
“Tadi, ibu dan ayah bertengkar. Abang cuba selamatkan mereka... tapi terlambat. Ayah marah
sangat. Mereka bergaduh sampai berbunuhan. Bila abang nak tolong, mereka dah mati,”
beritahu Vasilias sambil mengelus rambut Damian ke belakang.
Cerita rekaan itu ternyata berjaya menipu si kecil Damian. Kepalanya diangguk‐angguk sambil
pelukannya semakin dieratkan.
Dengan tidak semena‐mena, Vasilias menghentam belakang badan Damian pada bahagian
tertentu. Menyebabkan Damian terkulai dalam pelukannya. Bibirnya bergerak‐gerak.
Kemudian, dia menghembus kepala Damian dengan asap hitam yang keluar dari mulutnya.
Vasilias mencempung Damian dan membawanya keluar dari rumah. Meninggalkan mayat ayah
dan ibunya dalam keadaan ngeri bersemadi di dalam rumah itu.
DAMIAN terjaga. Rupa‐rupanya dia pengsan di atas lantai. Damian kembali menutup matanya.
Tubuhnya mengengsot ke tepi dinding. Merekot. Tubuhnya kemudian terhincut‐hincut. Di
bawah lengan dan hud yang menutupi wajahnya, Damian menangis semahu‐mahunya seperti
anak kecil.
“Tak ada gunanya kau menangis.” Suara Zalanbuur datang dari arah belakang.
“Asap hitam itu yang buat kau lupa tentang pembunuhan ayah dan ibu kau. Kau tahu kau
kehilangan mereka, tetapi Vasilias tipu kau. Kononnya, ibu dan ayah kau yang buang kau
berdua di jalanan. Sebenarnya, dia yang rampas kasih sayang yang kau rindu sejak kecil. Dia
yang hapuskan zaman kanak‐kanak kau. Menghapuskan trauma yang kau alami daripada
jangkauan minda dengan asap sihir. Memang malang nasib kau, Damian,” sambung Zalanbuur.
Mendengarkan kata‐kata Zalanbuur, Damian mencakar lantai dengan kuku. Tangisnya bertukar
dengan raungan kekecewaan. Jiwanya berkecamuk. Lantai ditumbuk kuat sehingga
meninggalkan rekahan.
Apabila Zalanbuur menyentuh bahunya, barulah dia bangkit lalu duduk bersandar pada
dinding. Hudnya sudah terselak ke belakang. Menampakkan kawasan mata dan wajah yang
sembab. Bibirnya menggigil kerana menahan marah. Dia membeliakkan matanya, memandang
Zalanbuur sebelum bersuara.
“Beritahu aku, Zalanbuur. Cara untuk aku membalas dendam!”
Permintaan itu disambut dengan senyuman meleret pada bibir Zalanbuur.
Mereka saling berpandangan. Cincin merah pada kedua‐dua mata mereka membesar.
“Aku akan tunjukkan caranya!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan