Label

Jumaat, 16 Disember 2016

NOVEL Kasih Yang Terindah Bab47

Mahu saja dijerit sekuat hati. Tapi mujur dia masih sedar yang dia berada di ruang pejabat. Sampul berisi gambar Maizura dan Zaidi yang baru diterima dicampak ke dinding menghamburkan isinya. Sakit hati tak dapat ditanggung lagi lantas tangan dipanjangkan menekan butang interkom.

“Shima, suruh Maizura datang ke pejabat saya sekarang!” jerit Amiruddin kepada Setiausahanya.

“Baiklah, Encik Amir.”

Seketika kedengaran pintu bilik diketuk sebelum dibuka. Amir yang bersandar di kerusi mengadap keluar langsung tidak menoleh. Maizura melangkah menghampiri meja suaminya.

“Abang panggil Zura?” tanya Maizura. Dia berdiri di depan meja. Senyuman manis sentiasa
menghiasi bibir.

Amir memalingkan kerusi yang diduduki. Wajah kelihatan cukup tegang. Maizura menyedari
kelainan wajah suaminya lalu dia mula menduga sesuatu. Perhatian tiba‐tiba teralih pada kertas‐kertas yang bertaburan di sudut kanan bilik. Terus dia mendekati untuk mengutip. Namun Maizura tersentak setelah melihat foto‐foto itu yang telah merakamkan dia sedang berpelukan dengan Zaidi.

“Abang, Zura boleh terangkan semua ni,” Maizura mula gugup.



Dia tertanya‐tanya sendiri bagaimana foto itu boleh dirakam. Bagaimana boleh berada di tangan Amir. Maizura berpaling memandang suaminya yang sedang mencerunkan pandangan tajam.

“Terangkan apa? Tak perlu awak nak buang masa mereka cerita. Baik awak mengaku saja! Jangan nak berpura‐pura tak tahu!!” jerit Amir lantang.

Maizura tersentak mendengar suara suaminya yang melengking kuat. Terasa hati seperti dihiris‐hiris halus lantas air mata terus mengalir.

“Zura... err... Semua ni bukan seperti apa yang abang fikirkan. Semua ni satu kemalangan.

Abang, percayalah pada Zura,” Maizura mendekati Amir.

“Sudah! Jangan nak reka macam‐macam alasan lagi. Aku dah tak nak dengar! Baik kau berambus dari sini sekarang!! Pergi!” Amir menjerit kuat. Maizura makin tersentak lebih‐lebih lagi mendengar panggilan suaminya.

“Abang... Zura...”

“Sudah!! Aku kata keluar dari sini! Keluar sekarang!”

“Abang! Zura tak bersalah. Kami tak buat apa‐apa!”

Maizura mendekati Amir yang sudah dikuasai nafsu marah. Namun suaminya itu tetap menjauhkan diri.

“Sudah! Jangan dekat dengan aku. Pergi! Pergi!” Amir terus menghalau Maizura.

Dia langsung tidak memandang wajah isterinya yang sudah berlinangan air mata. Hati Maizura 
merasa begitu kecewa.

“Abang!”

“Pergi!”

“Abang! Zura tak salah,” Maizura mencapai tangan Amiruddin tapi ditepis kuat.

“Aku kata pergi! Aku tak nak tengok muka kau. Bawa gambar‐gambar kau tu sekali. Keluar dari
bilik ni sebelum aku naik darah!!” suara Amir semakin melengking kuat.

Maizura menangis tersedu. Mahu atau tidak dia terpaksa melangkah keluar dari ruang itu setelah mengutip foto‐foto yang berteraburan di atas lantai.

Amir menumbuk meja geram. Sakit hati tak siapa yang tahu. Benar‐benar dia kecewa dengan
Maizura. Bukan sekali dua tapi sudah banyak rakaman yang diterima yang merakamkan isterinya bersama Zaidi. Tapi selama ini dia hanya diamkan diri.

Amir menganggap semua itu hanya fitnah yang mahu memecah belahkan hubungan mereka. Namun setelah menerima foto‐foto Maizura yang sedang berpelukan dengan Zaidi, amarahnya sudah tidak dapat dibendung lagi. Kesabarannya sudah hilang.

Maizura benar‐benar sudah melampau!

Imbas kembali..

Maizura meninggalkan bangunan yang menempatkan syarikat pembekal bahan mentah setelah kedua belah pihak mencapai kata sepakat. Langkah kaki dihala laju ke jalan raya mahu menahan teksi untuk kembali ke pejabat. Maizura terpaksa menaiki teksi ke situ memandangkan Amir telah membawa kereta mereka untuk untuk melawat tapak projek.

Langkah Maizura terhenti setelah mendengar namanya dipanggil. Dia berpaling ke belakang tapi tersentak terpandang Zaidi yang menuju ke arahnya. Lalu Maizura menyambung langkah. Tapi Zaidi berjaya mengejar dan menyekat.

“Zura, kita perlu bercakap. Saya nak minta maaf pasal kejadian hari tu. Zura, please,” Zaidi menarik tangan Maizura namun pegangannya disentap kuat.

“Sudah! Saya tak ada‐apa yang nak dicakapkan dengan awak. Tolong jangan ganggu saya lagi.” Maizura membentak kasar lalu terus melangkah ke arah jalan raya.

Dia langsung tidak melihat ke kiri dan kanan. Sebuah kereta yang meluncur laju membunyikan hon dengan kuat. Maizura tergamam dan terkaku.

“Zura!”

Zaidi menyentap tangan Maizura. Tubuh wanita itu terdorong padanya. Entah berapa lama Maizura kaku dalam dakapan Zaidi. Apa yang pasti Maizura benar‐benar berada dalam kejutan setelah hampir dilanggar sebentar tadi.

“Zura, awak tak apa‐apakan?” Zaidi menjarakkan tubuh mereka memandang Maizura atas ke bawah.

Maizura yang baru tersedar mula menangis. Dia merasa benar‐benar gerun. Dia hanya mampu
mengikut Zaidi setelah lelaki itu membawanya ke sebuah restoren.

Zaidi berusaha memujuk Maizura yang masih berada dalam keadaan terkejut. Maizura tiba-tiba
merasa fobia. Dia hanya terus menangis memaksa Zaidi menghantar dia pulang.

Maizura menangis tersedu. Foto‐foto itu masih berada dalam genggaman. Entah bagaimana foto itu dapat dirakam. Apa yang pasti semua yang berlaku adalah satu kemalangan. Bukannya mereka sengaja berbuat begitu.

Maizura menangis lagi. Teksi yang dinaiki sudah menghampiri banglo mewah kepunyaan bapa
mertuanya. Ketika dia bertengkar dengan Amir di ruang pejabat tadi, semua kakitangan syarikat mendengar. Begitu juga bapa mertuanya.

Setelah dia keluar dari bilik Amir dengan langkah longlai, Dato’ Mokhtar segera mengarahkan Pak Usin menghantar dia pulang. Namun Maizura menolak. Dia mahu pulang menaiki teksi.

Mahu atau tidak Dato’ Mokhtar terpaksa akur.

Dua bulan berlalu, hubungan Amir dan Maizura masih tetap dingin. Amir langsung tidak
menghiraukan isterinya walaupun Maizura berusaha mendampingi. Tidur malam mereka juga
berasingan. Amir lebih suka tidur di bilik tetamu.

Keadaan itu merungsingkan Dato’ Mokhtar lebih‐lebih lagi Mak Senah. Wanita itu yang selama ini menyaksikan tahap hubungan Amir dan Maizura. Sejak awal perhahwinan sehingga mereka mula mengalami krisis rumahtangga. Namun begitu tiada apa yang mampu dilakukan Mak Senah selain hanya memandang dan bersimpati pada Maizura.

Sejak kebelakangan ini Amir sering keluar malam. Pulang pula setelah hari menjengah pagi dalam keadaan yang tak terurus. Amir selalu lewat ke pejabat. Mak Senah pernah menegur Amir tapi dia pula yang dimarahi. Lalu Mak Senah hanya dapat menegur di dalam hati.

Maizura semakin hari makin kelihatan tidak bermaya. Tapi Mak Senah tidak dapat menduga adakah Amir turut memukul isterinya. Bila ditanya, Maizura hanya tersenyum lantas menidakkan semua itu. Akhirnya Mak Senah hanya menjadi pemerhati yang setia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan