Label

Sabtu, 17 Disember 2016

NOVEL Andai Itu Takdirku Bab24

Kerdipan permata di dada langit berserta simbahan cahaya sang rembulan bagai mengusir jauh kesuraman malam. Tiupan angin pula seolah‐olah sedang memainkan melodinya yang indah. Disapanya tubuh yang utuh berdiri sedari tadi. Terdongak kepalanya menghayati keindahan ciptaan Allah S.W.T. Sesekali senyuman terukir di wajahnya berserta bayangan seseorang yang sentiasa menari di tabir matanya. Bayangan itu kian jelas saat mulut menuturkan…

“Balkis…”

Bisik Adiib perlahan. Senyuman yang terukir kian melebar. Namun senyuman itu bagaikan termati saat minda mengingati cara layanan wanita yang sudah bertakhta di hatinya itu. Dingin… Ya! Layanan Balkis dirasakan sungguh dingin terhadapnya sejak kebelakangan ini. Sejak Adiib memulakan langkah untuk mengenali Balkis secara lebih dekat, dapat dilihat dengan jelas betapa wanita itu cuba untuk menjauhkan dirinya. Andai dahulu ada juga senyuman manis yang menyulami bicara Balkis, namun kini segalanya itu bagaikan sudah menghilang. Andai sepatah yang Adiib persoalkan kepada Balkis, maka sepatah jugalah jawapannya. Tiada bicara lanjutan apatah lagi tawa riang yang mengindahkan setiap perbualan mereka.

Apa yang peliknya, itu semua hanya akan berlaku andai dirinya berdua‐duaan dengan Balkis. Di hadapan rakan sekerja yang lain, pandai pula wanita itu memainkan wataknya sebagai seorang yang ramah dan murah senyumannya. Tetapi mengapa? Mengapa dengan dirinya Balkis bagaikan hilang semua ramah mesranya itu? Bencikah Balkis terhadap dirinya?



Terpacul keluhan di bibir Adiib dan wajahnya yang suram tertunduk ke lantai. Keindahan yang
terpampang di dada langit sudah tidak mampu untuk menarik hatinya bernyanyi riang bersama tiupan angin yang seakan tidak memberikan kesan apa terhadap tubuhnya.

“Mengeluh je. Kenapa ni?”

Cepat Adiib mengurut dada dan dikerlingnya insan yang sudah tersengih di sebelahnya.

“Papa.”

“Yelah. Papalah ni. Takkan hantu kot.”

Gurau Maajid. Direnung sekilas wajah Adiib. Jelas terpampang kegusaran di wajah anak tunggalnya itu.

“Ni kenapa pulak ni? Lain macam je papa tengok muka kamu ni. Macam ayam berak kapur je.”

“Tak ada apa‐apalah, papa.”

“Kalau tak ada apa‐apa. Takkanlah kamu mengeluh tadi.”

Maajid menepuk perlahan bahu anaknya. Sekali lagi keluhan didengari.

“Kenapa ni Adiib? Kamu ada masalah ke?”

Adiib masih mendiamkan diri. Hanya riak wajahnya yang kian gusar menjadi santapan mata tuanya.

“Masalah cintalah ni.”

Tembak Maajid. Sepantas kilat Adiib memusingkan kepalanya. Mata yang tadinya menghadap ke lantai sudah membulat memandang papanya.

“Dah sah! Memang betul anak papa ni dah bercinta.”

Tawa kecil membahagiakan wajah tua Maajid. Sudah lama dirinya menantikan perubahan ini pada diri Adiib. Selepas anaknya itu kehilangan bekas tunangnya itu, terasa dirinya turut kehilangan satu‐satunya anak yang dimilikinya di dunia ini. Perubahan Adiib amat ketara. Dari seorang yang riang dan kuat berceloteh Adiib bertukar menjadi seorang yang muram dan pendiam. Namun sejak kebelakangan ini terasa anaknya itu sudah kembali. Keceriaan dan keriangan mudah sahaja mendampingi diri Adiib. Naluri tuanya kuat menyatakan yang anaknya itu sedang dilamun cinta. Tetapi siapakah insan istimewa yang telah memulihkan kecederaan di hati anaknya itu?

“Siapa nama dia?”

Adiib mengerutkan dahinya.

“Pura‐pura tak faham pulak. Maksud papa dengan siapa kamu bercinta?”

“Belum.”

“Belum? Namanya belum?”

“Bukan. Maksud Adiib… Adiib belum bercinta dengan dia.”

Maajid terdiam seketika sebelum senyuman menyusuli.

“Kenapa pulak papa senyum ni?”

Soal Adiib kurang senang.

“Senyum pun tak boleh?”

“Bukan tak boleh. Tapi senyuman papa tu lain macam. Macam tengah perli Adiib je.”

“Eh… Mana ada papa perli Adiib. Papa cuma terfikir, puteri kayangan manalah agaknya yang telah menolak cinta anak papa ni.”

“Tolak? Excuse me. Balkis tak tolak cinta Adiib okey. Adiib cuma…”

Saat merasakan yang dirinya sudah terperangkap, Adiib pantas menumbuk perlahan bahu papanya.

“Pandai papa ya. Nak perangkap Adiib.”

Tawa Maajid kian bergema. Adiib pula kian mencuka wajahnya. Hampir seminit Maajid mengambil masa untuk menstabilkan dirinya sebelum mulut dibolehkan untuk berbicara semula.

“Balkis… Sedap nama tu. Mesti cantikkan orangnya?”

Andailah kecantikan yang dipersoalkan tidak terbuka mulut Adiib untuk mengiakannya. Kerana
baginya kecantikan itu hanyalah sesuatu yang melengkapkan lagi kesempurnaan wanita itu. Balkis benar‐benar mengenalkan Adiib terhadap wanita yang berstatuskan Islam. Aurat wanita itu sentiasa terjaga dengan sempurna. Dadanya sentiasa dilindungi oleh tudung yang sederhana panjangnya dan pakaian yang membaluti tubuhnya pasti akan menutupi segala auratnya. Apa yang terlihat pada diri Balkis hanyalah muka dan telapak tangannya. Kepintaran dan ketegasan Balkis dalam mengendalikan sesuatu situasi kadangkala mencabar kelakiannya, tetapi ternyata itu jugalah daya penarik dirinya.

“Boleh pulak dia termenung. Papa tanya ni, cantik tak orangnya?”

“Cantik. Cantik sangat. Tapi…”

“Tapi kamu masih tak dapat nak pikat dia? Macam tu?”

Sekali lagi Adiib mengeluh.

“Entahlah papa. Balkis ni tak sama dengan perempuan‐perempuan yang Adiib pernah kenal. Balkis ni lain sikit... Sorry. Bukan sikti. Tapi, lain sangat.”

“Banyak‐banyak perempuan? Setahu papa dari dulu kamu tu hanya bercinta dengan bekas tunang kamu tu je.”

Maajid terus menutup mulutnya dan tiada sepatah perkataan pun keluar saat merasakan dirinya sudah tersilap dalam menuturkan kata.

“Aku tak sepatutnya ungkit pasal perempuan tu!”

Marah hati Maajid pada dirinya sendiri. Dikerling sekilas ke wajah Adiib. Terlihat anaknya itu sudah tertunduk semula.

“Papa… Papa nak minta maaf sebab ungkit pasal”

“Tolong jangan ungkit pasal perempuan tu lagi.”

Adiib pantas memotong percakapan papanya. Maajid kian dilanda rasa bersalah. Selama ini dia yang mengingatkan Adiib untuk tidak menyebut ataupun mengungkit perihal insan yang telah melukai anaknya itu. Tetapi mengapa saat ini mulutnya pula yang lancang dalam melahirkan kata‐kata?

“Papa minta maaf.”

“Tak perlu minta maaf. Papa tak salah.”

Suasana bisu menyelubungi seketika sebelum Maajid berusaha menjernihkan semula suasana.

“So, storylah dekat papa pasal Balkis tu.”

Senyuman terukir kembali di wajah Adiib. Perlahan dia mengangkatkan kepalanya dan wajah papanya yang sedang teruja direnungnya perlahan sebelum mulutnya lancar menceritakan perihal wanita yang telah berjaya mengembalikan rasa cinta di hatinya.

“Hari ni aku mesti berjaya!”

Tegas Adiib memacakkan keyakinan di hatinya. Penghawa dingin masih terpasang dan enjin masih belum dimatikan. Sudah hampir lima belas minit dia menantikan kembar keretanya, namun masih juga belum tiba.

“Mungkin aku datang awal sangat kot.”

Ujar Adiib perlahan. Dari dalam kereta Adiib memerhatikan sekelilingnya. Sah! Memang dia datang terlalu awal pada hari ini. Buktinya, tiada sebuah kereta pun yang terparkir di sekitarnya.

Kebosanan mula melanda. Dikuatkan sedikit radio yang telah disetkan pada frekuensi Radio ERA. Lagu yang sedang berkumandang tidak diendahkan oleh telinga. Hanya melodinya sahaja yang kadangkala dapat mengurangkan sedikit kegelisahan di jiwa.

“Lambatnya dia datang ni datang.”

Gusar hati Adiib.

“Sabar. Kau kena sabar. Kejap lagi datanglah tu.”

Bahagian hati yang sebelah lagi cuba memujuk kegusaran agar merendahkan gendang irama yang sedang berentak hebat di dada. Namun ternyata debaran itu kian memuncak saat mata Adiib melihat kelibat kereta yang sedang dinantikan kehadirannya. Si pemandunya sedang memarkirkan keretanya di sebelah kereta Adiib.

Adiib meletakkan jari jemari tangan kanannya di dada. Debaran masih dirasai. Diurut perlahan
bahagian itu. Nafas ditarik dan dilepaskan perlahan dan air mineral yang sememangnya menjadi tetamu tetap keretanya itu dicapai dan diteguk sedikit. Terasa sedikit ketenangan saat kegusaran dapat dikurangkan pengaruhnya.

“Ya Allah, permudahkan urusanku saat ini.”

Bismillah didahului sebelum kaki kanannya melangkah keluar.

“Balkis!”

Laung Adiib.

Aku pantas memusingkan tubuhku. Terkejut melihat Dr. Adiib sedang berdiri di belakangku.

Terukir senyuman di wajahnya.

“Selamat pagi, Balkis.”

“Assalamualaikum.”

Ucapku tidak berniat memerli. Terlihat memerah wajah Adiib. Malukah dirinya?

“Err… Waalaikumussalam.”

“Awal Dr. datang?”

Sekadar berbasa basi.

“Haah. Ada urusan sikit.”

Aku sekadar menanggukkan kepala. Sesungguhnya berhadapan dengan lelaki ini di pagi hari
membuatkan moodku sedikit terganggu. Entah mengapa semakin hari, aku menjadi semakin rimas dengan lelaki yang masih tersenyum di hadapanku ini. Mungkinkah kerana sikapnya yang terlihat seperti hendak mendampingiku menyebabkan hadirnya rasa itu?

“Dr. Saya ada urusan yang hendak saya segerakan. Jadi, saya minta diri dululah.”

“Nanti! Nanti dulu Balkis.”

Belum sempat aku melangkah, Adiib terlebih dahulu menghalangku. Terkejut aku dengan tingkahnya. Terukir riak ketidaksenangan di wajahku.

“Maaf… Saya tak bermaksud apa‐apa. Cuma, ada sesuatu yang saya nak cakapkan pada Balkis.”

Aku masih mendiamkan diriku. Sekadar memandang Dr. Adiib dengan perasaan yang pelbagai. Marah yang sudah digauli dengan rasa rimas, maka hadirlah suatu perasaan aneh yang tidak menyenangkan.

“Balkis. Tengah hari ni awak free tak?”

“Kenapa?”

“Sebenarnya saya… Saya…”

“Saya apa? Dr. Adiib, masih banyak lagi kerja yang sedang menanti saya. Saya harap Dr. Adiib faham. Jadi, tolong jangan buang masa saya.”

“Baiklah. Saya minta maaf. Sebenarnya… Saya ingat, saya nak ajak Balkis… Nak ajak Balkis…”

Aku kian rimas dengan lelaki di hadapanku ini. Seingatku Dr. Adiib bukanlah seorang yang gagap.

“Dr… Kalau Dr. tak ingat apa yang Dr. nak cakapkan dengan saya, tak apa. Nanti kalau Dr. dah ingat, Dr. boleh datang ke bilik saya.”

Aku sudah berkira‐kira untuk melangkah. Namun, Dr. Adiib yang masih berdiri tegak di hadapanku kelihatan enggan melepaskan aku. Langkahku masih dihalangnya.

“Dr. tolonglah”

“Sudikah awak keluar lunch dengan saya?”

Dr. Adiib pantas memotong percakapanku. Aku termangu. Tidak menyangka persoalan itulah yang telah menyekat kerongkongnya sebentar tadi.

“Lunch?”

“Yes. Lunch. Sudikah Balkis keluar lunchdengan saya?”

“Lupakah dirinya hari ini hari apa?”

Bersama bisikan di hati, aku menggelengkan kepala.

“Tapi kenapa? Kenapa Balkis tak nak keluar lunch dengan saya? Hari ni bukannya hari Isnin ataupun Khamis.”

Aku mengerutkan dahiku.

“Apa kena mengena hari Isnin dengan hari Khamis pulak?”

“Yelah. Selalunya Balkis kan, akan berpuasa sunat pada kedua‐dua hari tu.”

“Macam mana Dr. tahu?”

Membulat mataku saat menyoal dirinya.

“Err… Saya agak je.”

Terlihat benar penipuan menabiri kata‐katanya itu.

“Ya ke? Setahu saya Dr. ni bukanlah ahli nujum sampai boleh meneka dengan begitu tepat sekali. Tapi tak apa. One day saya akan tahu jugak dan satu lagi, saya tak nak keluar lunchdengan Dr. bukannya sebab hari ni hari Isnin atau hari Khamis. Tetapi kerana hari ni hari Jumaat. Takkan Dr. tak nak Solat Jumaat pulakkan?”

Spontan Dr. Adiib menepuk perlahan dahinya. Terlihat lucu pula aksinya itu.

“Saya lupa.”

“Tak apa. Sekarang dah ingatkan?”

Kali ini langkah terusku atur meninggalkan Dr. Adiib yang masih dalam mamai barangkali sehinggakan hari ini hari Jumaat pun tidak diingati.

Tuk… Tuk… Tuk…

“Masuk!”

Laungku sedikit kuat. Tersembul kepala Mak Cik Tina di balik pintu. Laju wanita tua itu melangkah.

“Mak cik. Panjang umur mak cik.”

“Lah… Kenapa pulak? Dr. Balkis ada sesbut‐sebut nama mak cik ke?”

Terlihat giginya sedikit tidak teratur saat Mak Cik Tina tersenyum.

“Bukan sebut. Tapi fikir.”

“Dr. fikirkan pasal mak cik? Alhamdulillah. Bertuah rasanya.”

Aku bangkit dari dudukku. Menghampiri wanita yang sedang memegang plastik berwarna hitam. Plastik itu akan digantikan dengan plastik yang sudah dipenuhi dengan sampah. Sudahku ikatkan siap‐siap plastik sampah yang mempunyai muatan itu danku letakkan di sisi bakul bersaiz kecil itu.

“Dah berapa kali mak cik pesan dengan Dr., tak payah ikatkan plastik sampah ni. Biar mak cik sahaja yang buat. Ni… Siap letakkan dekat sebelah tong sampah lagi.”

“Mak cik. Balkis nak tanya mak cik sikit boleh tak?”

“Apa dia?”

Soal Mak Cik Tina yang sudah berdiri dari bongkoknya setelah memasukkan plastik bersih ke dalam tong sampahku itu.

“Mak cik rapat dengan Dr. Adiib ke?”

Perubahan jelas terpamer di wajah tua itu.

“Mak cik rapat dengan Dr. Adiib ke?”

Ulangku sekali lagi.

“Rapat? Rapat macam tu jelah. Kenapa? Kenapa tiba‐tiba Dr. tanya ni?”

“Ya ke?”

Aku memandang tepat ke mata Mak Cik Tina. Cepat sahaja dialihkan pandangannya.

“Sah! Ada yang tak kena ni.”

Getus hatiku.

“Mak cik. Balkis dah anggap mak cik lebih daripada seorang rakan sekerja. Kita dah jadi terlalu rapat. Mak cik pun dah arifkan tentang perangai Balkis?”

Mak Cik Tina masih mematungkan dirinya. Mulutnya juga sudah dikunci rapat.

“Balkis tak suka kalau orang luar tahu terlalu banyak tentang Balkis. Tentang apa yang Balkis
suka, tak suka, gemari dan benci. Itu semua tak perlulah dihebahkan. Apatah lagi andai orang
yang ingin mengambil tahu itu bukanlah sesiapa pada Balkis.”
Lembut aku melahirkan kata‐kata. Diharap agar hati tua ini tidak akan terguris.
“Tapi Dr. Adiib tu bukanlah orang luar. Diakan kawan Balkis.”
Perlahan Mak Cik Tina memberikan pendapatnya. Aku tersenyum. Nampak benar yang Mak
Cik Tina lah orangnya. Orang yang memberikan segala maklumat yang diingini oleh lelaki itu.
Tetapi untuk apa lelaki itu mengetahui terlalu banyak tentang perihal diri ini?
“Kawan?”
Detik hatiku. Detik di hati akhirnya membawa imbauan. Imbauan tentang diriku dan Dr. Adiib
yang sedang menikmati makan tengah hari. Di saat itulah lelaki itu meminta aku untuk menjadi
kawannya.
“Kawan…”
Tanpa sedar mulutku menzahirkannya.
“Dr… Dr. okey ke?”
“Okey… Okey.”
Sedikit bergetar suaraku. Mak Cik Tina sudah tersenyum. Lain benar cara senyumannya itu.
Entah mengapa hatiku berdebar sedikit saat senyumannya kian melebar.
“Kenapa mak cik senyum?”
“Tak ada apa‐apa. Cuma…”
“Cuma apa?”
Aku memandang tepat sepasang mata redup milik Mak Cik Tina. Senyuman yang kian melebar
itu telah merekah saat bibir tua itu melahirkan kata‐kata.
“Cuma mak cik tak rasa apa yang mak cik lakukan ini salah.”
Dipungut sampah yang sudahku letakkan di sisi tong sampah sebelum kakinya melangkah.
Langkah laju itu disebatikan dengan keyakinan. Keyakinan yang turut dipertontonkan
kepadaku saat dia menuturkan kata‐katanya sebentar tadi. Aku hanya mampu memandang
Mak Cik Tina yang memboloskan dirinya sebaik sahaja kakinya sudah melalui daun pintu itu.
“Tak bersalah?”
Detik hatiku sambil minda ini cuba mencerna setiap patah kata yang membarisi bicara Mak Cik
Tina sebentar tadi.
Tergopoh‐gopoh aku menghampiri keretaku. Jam di tanganku kerling.
“Dah pukul 8.00. Patutlah dah gelap semacam je.”
Ngomel mulutku bersama langkah yang masih laju. Kesibukan hari ini menyebabkan aku
terpaksa menunaikan Solah Maghrib di pejabat dan perut yang sedang menangis kelaparan ini
juga perluku hentikan tangisannya.
“Makan dekat luar jelah.”
Ujar hatiku.
“Assalamualaikum. Balkis.”
“Astaghfirullahal azhim.”
Cepat‐cepat aku mengurut dadaku. Aku berasa teramat terkejut saat melihat lelaki di
hadapanku ini sudahpun mengukirkan senyuman sumbingnya.
“Waalaikumussalam.”
Balasku perlahan sambil tangan sedang cuba untuk membuka pintu kereta.
“Dr. nak balik dah ke?”
“Eh. Tak adalah. Baru nak datang kerja.”
Perliku. Kian lebar pula senyuman lelaki itu.
“Sakit ke apa dia ni? Dah kena perli pun boleh senyum‐senyum lagi.”
Getus hatiku.
“Tak sangka pulak saya, Balkis ni pandai buat lawak juga rupanya.”
Aku tidak mengendahkan bicara lelaki itu. Pintu kereta sudahku buka.
“Saya balik dululah Dr.”
Sekadar berbudi bahasa untuk meminta permisi.
“Nantilah dulu. Saya ada hal nak cakap dengan Balkis ni.”
“Hal apa?”
Terasa malas hendakku layan.
“Emm… Boleh tak kalau kita bincang dekat tempat lain. Apa kata kalau kita pergi makan dulu.
Balkis pun belum makankan?”
“Hal apa?”
Persoalan yang samaku ulang. Sedikit tegas nadaku. Aku tidak berniat melayaninya seperti itu.
Tetapi aku mahu dia tahu betapa kepenatan seharian memustahilkan untukku menikmati
makan malam bersamanya.
“Sebenarnya saya… Saya…”
“Saya apa? Dr. kalau betul Dr. ada alasan yang kukuh serta permasalahan yang memerlukan
pertolongan saya. InsyaAllah saya akan bantu. Tetapi andai sekadar hendak berbual kosong,
saya tak rasa perlu untuk kita menikmati makan malam bersama.”
Kunci kereta sudahku masukkan ke ‘rumahnya’. Enjin sudahku hidupkan. Terlihat kegusaran di
wajah lelaki yang sedang tertunduk kini. Benarkah dirinya sedang dibebani permasalahan
sehingga begini sekali riak wajahnya?
Di waktu yang sama, otak Adiib sedang memikirkan apa yang telah diperkatakan oleh Balkis.
“ Alasan yang kukuh? Permasalahan? Permasalahan apa yang begitu kukuh untuk aku
perbincangkan dengan Balkis. Ah! Cepatlah fikir. Fikir Adiib. Kau perlu fikir sebelum Balkis
memboloskan dirinya ke dalam kereta. Fikir!!!”
Desak hati Adiib dan saat desakan itu diterima cepat sahaja otaknya memberikan cadangan
gila. Debaran mula hadir menyejukkan tubuhnya sebelum penipuan terlahir di bibirnya.
“Saya… Saya perlukan Balkis.”
“Perlukan saya untuk apa?”
Aku masih membuka peluang kepada lelaki ini agar tidak terlihat kejam apabila penolakanku
nanti diceritakan oleh Dr. Adiib kepada Mak Cik Tina.
“Saya perlukan Dr. Balkis untuk memberikan pendapat tentang masalah yang ditimbulkan oleh
Datin Sally. Hanya Balkis sahaja yang benar‐benar arif tentang perempuan tu.”
“Dia masih mengganggu Dr. lagi?”
Membulat mataku. Tidakku sangka wanita yang bersuamikan Dato’ itu masih mengejar dan
mengganggu lelaki yang masih tertunduk di hadapanku ini. Simpatiku jatuh jua saat anggukan
lemahku terima.
“Maafkan aku Balkis.”
Bisikan lahir di hati seorang pesalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan