Label

Khamis, 8 Disember 2016

NOVEL Kasih Yang Terindah Bab39

MEREKA menjamu selera setelah hidangan tiba. Terkecur air liur masing‐masing melihat hidangan yang disediakan Azman.

Sup daging kambing bersama kentang, ikan kerapu tiga rasa, ikan siakap bakar dengan air asam, ayam masak lada hitam, kacang buncis telur, sambal belacan, telur dadar dan ulam-ulaman. Benar‐benar mengangkat selera mereka berempat lebih‐lebih lagi Arianna. Tapi kerana adanya lelaki di sisinya itu membuatkan hanya sedikit yang mampu dijamah.

“Rian, tambah lagi,” Lisa menghulurkan nasi tambah kepada Arianna.

Arianna menggeleng perlahan. Menolak sopan. Kalau bukan kerana lelaki di sisinya, pasti dia tak akan segan menambah.

“Err... dah kenyang.”

“Sikitnya makan. Riez, tambah lagi?” bekas nasi tambah beralih.

“Boleh lagi. Dah lama tak makan malay foods ni,” sempat dijeling pada Arianna. Arianna berpura‐pura tidak menyedari.

Fariez cuba mengambil bekas berisi nasi tambah yang dihulurkan Lisa tapi tangan tak kesampaian. Arianna menyambut bekas tersebut lalu menghulur pada Fariez. Ketika itu Fariez merenung wajahnya. Cuba mengubati kerinduan yang bersarang di hati.



Arianna sedikit gementar setelah tangan tersentuh jemari Fariez. Segera dia menarik tangan lantas memalingkan wajah. Mujur Lisa dan Norman tidak menyedari tingkah mereka. Selesai makan, Norman membawa mereka bersiar‐siar. Arianna tidak mampu menolak memandangkan dia hanya menumpang kereta Lisa. Lebih tepat lagi dia tak mampu untuk melarikan diri dari Fariez. Mahu atau tidak Arianna terpaksa akur. Dan dia menyedari sekuntum senyuman melebar di bibir Fariez.

ARIANNA memandang tasik yang beriak tenang. Membiarkan angin petang menyapa wajah.
Perasaan sukar untuk digambarkan. Sudah pasti gembira dengan kemunculan lelaki yang sentiasa diingati. Tapi tetap tertanya‐tanya kenapa Fariez langsung tidak menghubungi dia jika lelaki itu sudah sampai ke Malaysia. Kenapa tidak dihubungi selama ini, semenjak dia terpaksa kembali ke Malaysia. Rasa sangsi kian hadir di hati bila mengenangkan semua itu.

Fariez menghampiri Arianna yang bersendirian di kerusi kayu. Norman dan Marlisa sedang asyik berborak di atas kerusi di bawah sebatang pokok.

“Hai,” tegur Fariez sepatah.

Arianna yang asyik melayan perasaan tersentak. Dia sekadar tersenyum nipis menutup rasa gugup setelah dihampiri tiba‐tiba.

“Boleh saya duduk,” Fariez sengaja menduga.

“Duduklah. Kerusi ni bukan saya punya pun,” balas Arianna sebelum mengesot sedikit memberi ruang. Pandangan di bawa ke tengah tasik yang membiru.

“Marahkan Riez?” duga lelaki itu.

“Tak!” jawab Arianna tanpa berpaling.

“Habis tu kenapa tak pandang Riez? Tak rindu?”

“Entah. Agaknya hanya orang kat sini yang rindu,” Arianna langsung tak menoleh.

“Orang kat sini pun rindu jugak.”

Fariez tersenyum. Wajah Arianna ditatap. Wajah yang amat dirindui selama ini.

Arianna menoleh menyedari Fariez asyik merenung wajahnya. Pandangan mereka bertemu. Fariez tidak mengalihkan pandangan begitu juga Arianna. Mereka saling bertentang mata.

“Riez minta maaf sebab…”

“It’s okay. Saya tak kisah.”

“Sebenarnya Riez nak buat kejutan pada Rian.”

“Actually saya memang terkejut.”

“Arianna, are you angry with me?”

“What do you think?” Arianna memakukan pandangan.

“Riez mengaku semua ni salah Riez. I’m sorry. Really sorry, okay.”

“Tak apa. Kan saya dah kata saya tak kisah.”

“Arianna, janganlah cakap macam ni. Or you really never miss me?”

“Apa yang ada pada rindu jika ia tak dihargai,” Arianna bermadah. Merajuk. Lalu membawa
pandangan ke depan.

“Rian, please don’t say like that. Actually memang Riez nak hubungi Rian. After this. Tapi Riez tak sangka boleh jumpa Rian kat sini. Riez tak sangka yang Rian ni kawan girlfriend Norman.”

“Oh! Really? Berapa lama Riez nak tunggu untuk call Rian? Dah berapa lama Riez balik Malaysia? Bila nak balik US?” Arianna masih merajuk.

“Untuk apa Riez nak balik sana kalau ‘matlamat’ hidup Riez ada kat sini,” Fariez bermadah indah membuatkan Arianna mengeluh halus.

Bukan dia tak suka. Tapi hati masih kecewa. Arianna memandang Fariez. Lelaki itu terus tersenyum sebelum mengangguk mengiyakan apa yang dikata sebentar tadi.

Arianna kembali memandang ke depan. Hati benar berbunga keriangan tak mampu mengusir
kekecewaan. Namun dia berlagak tenang. Berusaha untuk kelihatan bersahaja.

“Kenapa? Rian tak suka?”

“Saya tak kata pun.”

“So, why do you look upset?”

“Tak!”

“Arianna... please. Okeylah. Riez mengaku salah Riez sebab tak call Rian lepas Riez balik. Riez
mengaku Riez nak suprisekan Rian. Riez nak…” Fariez menyeluk poket jeans yang dipakai.

“Apa?” Arianna berpaling kerana agak lama Fariez mahu menyambung ayat.

Fariez sekadar tersenyum sambil mengunjukkan genggaman tangan. Dahi Arianna jelas berkerut.

“I have something for you. Sejak balik ke Malaysia Riez tak pernah tinggalkan benda ni. Riez akan sentiasa bawa walau ke mana Riez pergi.”

Fariez meraih jemari Arianna lalu meletakkan sesuatu di atas tapak tangan . Arianna tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.

“You...”

“Ehem... ehem...”

Fariez segera beranjak menjauhi. Arianna pula cepat‐cepat menyembunyikan sebentuk cincin yang berada di atas tapak tangan. Norman dan Marlisa tiba‐tiba muncul dari belakang.

“Amboi! Dah declare ke? Hebat kau, Riez. Aku pun tak boleh buat macam kau. Mentang-mentanglah
muka hensem senang aje nak ayat awek,” Norman mengusik membuatkan Arianna tertunduk malu. Fariez hanya ketawa kecil.

“Ha’ah! Betul tu. Tapi tak apa. Aku lagi suka kalau kau orang jadi couple,” celah Lisa sambil
menepuk bahu Arianna. Arianna mencebik marah.

“Kau jangan nak mengarutlah!” Arianna bangkit dari kerusi. Merona wajahnya menahan malu.

“Iyelah. Habis tu dari tadi aku panggil kenapa tak dengar? Aku tanya nak balik ke tak? Ke nak tidur kat sini?” tempelak Lisa.

“Iyelah. Mentang‐mentang aku ni menumpang suka‐suka hati kau nak kata apa?” marah Arianna.

“Ala... rilekslah kawan. Gurau sikit pun dah nak marah. Tak rocklah,” Lisa memeluk bahu Arianna. Memujuk teman yang berpura‐pura merajuk tu.

“Jom. Balik,” mereka mengorak langkah. Norman dan Fariez mengekori dari belakang “Eh! Kau bercakap apa dengan Fariez tadi. Intim semacam aje aku tengok?” Lisa berbisik di telinga Arianna. Mata menjeling Fariez di belakang.

“Kau jangan nak labuhkan serkap jarang kau tu. Langsung tak mengena,” marah Arianna sedang apa yang ada di dalam hati tak siapa yang tahu. Jemari masih menggenggam sebentuk cincin pemberian Fariez.

“Ala... kereklah kau ni.”

“Kerek tak kerek. Eh! Aku hairanlah dengan kau ni? Macamana Norman tu boleh suka kat kau?
Perangai macam budak‐budak!”

“Iye ke? Ala... depan kau aje aku jadi macam ni. Kalau depan Norman gerenti lembut habis,” kata Lisa lalu ketawa kecil.

“Oo... kira hipokritlah ni?”

“Syhh... bukan hipokrit. Ini menjaga status namanya,” bisik Lisa perlahan sambil ketawa lagi.

Arianna hanya mencebik.

Kedua mereka terpisah sebelum memasuki kereta masing‐masing. Sebelum masuk ke kereta, Arianna sempat melihat isyarat tangan Fariez membawa masuk lelaki itu akan menelefon nanti. Arianna hanya tersenyum membalas.

Di dalam kereta, Arianna diam melayan rasa walaupun riuh mulut Marlisa berbunyi. Cerita Lisa
langsung tak didengari. Asyik dia melayan perasaan yang berbunga indah.

Arianna membuka genggaman tangan. Sebentuk cincin platinum kelihatan berkilau dipanah mentari.

Arianna tersenyum. Cincin itu pernah dilihat di sebuah kedai ketika dia dan Fariez bercuti di Paris suatu ketika dahulu. Dia hanya berdiri di luar melihat ia dipamerkan. Setelah Fariez menghampiri sambil menghulurkan kopi, mereka berlalu dari situ. Tidak disangka lelaki itu menyedari tingkahnya.

Arianna tersenyum lagi. Kenangan sewaktu di Paris bersama Fariez menguasai fikiran membuatkan dia tersenyum sendirian. Seketika Arianna tersentak setelah bahu ditepuk teman sebelah. Marlisa marah kerana dia hanya diam sedang temannya itu tak henti bercerita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan