Label

Jumaat, 9 Disember 2016

NOVEL Kasih Yang Terindah Bab40

ARIANNA melambai sehingga kereta yang dipandu Lisa hilang dari pandangan. Jam sudah 
menghampiri pukul tujuh setengah malam. Arianna melangkah ke halaman membawa beg-beg kertas di tangan. Masih juga tersenyum sendirian.

Melihat kereta milik Shahril terpangkir di halaman, spontan dia mengeluh. Serta‐merta peristiwa tengahari semalam menerjah ingatan. Arianna masih ingat selepas semua itu berlaku, dia mula segan untuk bersemuka dengan Shahril. Semalam mereka langsung tidak bercakap.

Bersikap dingin antara satu sama lain. Arianna mengaku dia sebenarnya malu kerana lelaki itu
mampu menduga apa yang cuba dilakukan.

“Assalamualaikum,” Arianna melaungkan salam lalu menolak daun pintu dan melangkah masuk.

“Waalaikumussalam,” jawab tiga beranak itu serentak yang sedang bersantai di ruang tamu sambil menonton televisyen.

“Baru balik, Rianna? Wah! Banyaknya memborong,” usik Mak Senah yang menghampiri.

“Sekali sekala, Mak Senah.”

“Rianna dah makan? Kalau belum Mak Senah siapkan. Err... kami semua dah makan. Maaflah sebab tak tunggu Rianna.”



“Tak apalah, Mak Senah. Rian dah makan tadi. Rian naik bilik dulu. Nak mandi,” Arianna melangkah ke tangga.

“Tak nak tegur abang ke?” Shahril tiba‐tiba bersuara. Arianna yang baru hendak menginjak anak tangga pertama menjadi kaget. Kalut seketika.

“Err... Eh! Lupa pulak. Hai, Abang Shah. Tengah menonton ke?” tegur Arianna. Suaranya jelas
kedengaran gugup.

“Taklah. Tengah main golf,” balas Shahril bersahaja. Arianna mencebik.

“Seronok pergi shopping. Tak ada belikan something untuk abang?”

“Err... lupa pula Rian. Sorrylah. Lain kali okey.”

“Tak apalah. Abang gurau aje.”

“Emm... Rian naik bilik dulu, Abang Shah,” pinta Arianna lalu berlari ke tingkat atas.

Dia masuk ke bilik. Tersandar seketika pada daun pintu sebelum memetik suis di dinding. Keluhan halus dilepaskan. Kepala tergeleng spontan. Langkah longlai menuju ke katil. Beg‐beg kertas diletak atas lantai beralas permaidani. Tubuhnya dilayang ke atas tilam.

‘Abang Shah? Kadang‐kadang malu untuk aku bersemuka dengannya. Tapi soal hati dan perasaan tidak boleh dipaksa. Aku harap abang akan faham.’

Arianna membalikkan tubuh, meniarap dia atas tilam. Genggaman jemarinya dibuka. Terserlah
sebentuk cincin platinum yang kelihatan berkilau. Arianna tersenyum lebar. Wajah Fariez muncul di mata.

‘Apakah maksud pemberian ini? Sekadar hadiah atau…? Entahlah!’

Telefon bimbit Arianna berbunyi. Pantas dia menyelongkar beg tangan. Satu nombor yang tak
dikenali tertera pada skrin telefon.

“Hello.”

“Sayang?” satu suara menerjah pendengaran. Arianna dapat menduga siapa pemanggil itu. Dia
tersenyum lebar.

“Sorry. Wrong number,” balas Arianna bersahaja.

“Rian masih marahkan Riez?”

“Siapa ni?” Arianna sengaja menduga.

“Honey, please don’t be like this.”

“Encik, salah nomborlah. Kat sini tak ada orang nama Hani,” balas Arianna yang sudah ingin
tergelak.

“Okay, sorry. Bye.” Fariez juga mengacah.

“Bye.”

Arianna menahan gelak. Mulut ditutup agar tawa tak kedengaran. Dia mahu lihat setakat mana
kesungguhan lelaki itu.

“Err... Hello. Rian?”

Arianna tetap tak bersuara. Telefon masih terpekap di telinga.

“Hello, Rian. Sorry. Riez gurau aje.”

Fariez mula menggelabah. Tidak disangka Arianna bersungguh. Namun dia tahu Arianna masih
belum menamatkan panggilan.

“Hello... Arianna. I know you still there. I just want to say ... I really miss you. I love you so much.”

Arianna tergamam. Tidak menyangka Fariez akan mengucapkan kata‐kata itu. Kata‐kata keramat yang selama ini tak pernah dilafazkan.

“Arianna?”

Arianna tak mampu untuk bersuara.

“Sayang?”

“Yes. I’m still here,” Arianna bersuara akhirnya sambil mengawal rasa sebak yang menguasai dada. Jemari memainkan cincin pemberian Fariez yang sudah tersarung di jari.

“Riez benar‐benar maksudkan. Riez terlalu cintakan Rian. Riez sanggup tinggalkan US kembali ke sini hanya kerana Rian. Just because of someone that I love. I just want to be with you.”

Fariez mula berterus terang walau secara tidak langsung. Biar Arianna tahu betapa pentingnya gadis itu buat dirinya. Fariez juga akan segera melaksanakan rancangannya untuk melamar Arianna. Dia tak mahu menangguh lagi. Mungkin itulah kesempatan yang ditunggu‐tunggu selama ini.

Arianna kembali tergamam. Lidahnya kelu untuk terus berkata‐kata.

“Rian, Riez nak jumpa Rian. Terlalu banyak perkara yang Riez nak beritahu. Boleh kita jumpa malam esok?”

Arianna masih membisu. Sebenarnya dia begitu terharu.

“Arianna? Are you still there?”

“Yes, I’m here.”

“Boleh kita jumpa malam esok?”

“Emm... okey.”

“Cincin tadi merupakan hadiah dari Riez untuk Rian. Bukti betapa tulus cinta Riez pada Rian. Riez minta maaf sebab selama ni sengaja bermain teka‐teki dengan Rian. Dan perpisahan kita membuatkan Riez sedar yang Riez terlalu perlukan Rian di sisi. Riez sedar yang Riez terlalu menyintai Rian,” ujar Fariez perlahan.

Ketika itu dia berdiri dibalkoni, mengadap suasana malam Bandaraya Kuala Lumpur yang dilimpahi cahaya neon.

Arianna kembali diam.

“Arianna, kenapa tak bersuara? Atau Rian.…”

“No! Actually I’m so... shock,” pantas Arianna mencelah. Tak mahu Fariez salah faham. Arianna
merenung cincin di jari manisnya.

“Riez faham. Riez tahu Rian terkejut. Memang salah Riez pun. Riez nak jumpa Rian sebab masih
banyak benda yang Riez nak beritahu. Tentang diri Riez yang Rian tak tahu. Emm... Kita jumpa
malam esok, ya. Riez datang ambil Rian sharp nine p.m. Okay?”

“Okay. I’ll be waiting for you.”

“Okey, sayang. I have to go now. Nanti Norman terdengar pulak. Bye, Arianna. Sleep tight. Sweet dream. I love you.”

“Err... Bye.”

Arianna kembali gugup mendengar ayat terakhir Fariez. Ternyata lelaki itu makin berani
mengucapkannya. Telefon masih terpekap di telinga, mendengar bunyi ton memanjang. Arianna kembali berkeadaan terlentang. Cincin di jari manisnya ditatap lagi. Hati makin berbunga keriangan.

“Of course Fariez. I love you too, three... four... five,” Arianna tergelak riang sebelum berlari ke bilik mandi.

SHAHRIL memandu dalam kelajuan sederhana menuju ke apartment yang kini didiami sendirian. Anuar sudahpun pindah keluar dan menyewa di Damansara Utama bersama isterinya, Fazira. Shahril sedar walaupun dia mampu untuk menyewa sendirian tapi dia tetap perlukan teman. Sekurang‐kurang ada seseorang untuk dia berbual‐bual.

“Hai... susahnya hidup sorang ni. Kalau dah sunyi mulalah rasa nak cari teman. Bilalah aku nak
kawin?” Shahril ketawa kecil setelah menyudahkan ayat.

“Kawin? Betul ke Shah?” dia menyoal diri sendiri.

“Betul! Sampai bila aku nak mengharap pada orang yang tak sudi.”

“Betulkah aku cintakan Arianna selamanya? Tapi siapalah aku ni? Setakat anak orang gaji,” Shahril seakan berkecil hati.

‘Arianna... entah. Mungkin abang tak mampu untuk membuang rasa cinta di hati ini. Mungkin abang perlu pergi jauh dari Arianna. Tapi bagaimana?’

Shahril kembali buntu. Kereta dipandu memasuki ruang tempat letak kereta di perkarangan apartment sewaan.

TENGKU EZAN terlentang di atas sofa di tengah ruang tamu. Lengan melintang di dahi. Malam masih muda untuk dia melelapkan mata.

Tengku Ezan mengeluh halus. Hatinya bergalau dengan tiba‐tiba. Wajah anak gadis Dato’ Mokhtar masih terbayang di ruang mata. Tengku Ezan akui dia menyintai gadis itu walaupun dia tahu Arianna tak pernah tahu siapa dia yang sebenarnya.

Ah! Perlukah aku terus hidup dalam kepura‐puraan ini? Sampai bila aku harus menunggu untuk berterus terang? Mahukah dia menerima aku jika aku berterus‐terang?

Oh! Kenapa sukarnya perasaan ini?

“DARI mana?” tegur Shahril sewaktu bertembung jirannya yang menuju ke arah lif.

“Oh! Abang. Ingatkan siapa? Emm... dari kedai beli rokok,” balas Norman sambil tersenyum.

Pintu lif terbuka. Mereka memboloskan diri dalam ruang kosong itu.

“Merokok membahayakan kesihatan, tau,” ujar Shahril, lebih kepada menasihati.

“Iye. Tapi tak boleh nak berhenti,” akui Norman.

“Cubalah. Dengar kata dah plan nak kahwin.”

“Insha‐ALLAH, bang. Panjang umur, murah rezeki,” balas Norman.

“Insha‐ALLAH. Emm... Merokok tu elok cuba berhenti dari sekarang. Buat perubahan sebelum
kahwin.”

“Iye. Insha‐ALLAH. Abang pulak bila nak kahwin? Anuar pun dah kahwin, kan?”

“Iye. Insha‐ALLAH abang pun akan kahwin. Tapi tunggu orang pinang dulu,” balas Shahril lalu
ketawa.

Norman turut ketawa. Mereka melangkah keluar dari lif, menuju ke arah pintu apartment masing‐masing yang terletak bersebelahan.

“Masuk dulu, bang,” Norman berbasa basi sebelum melangkah masuk.

“Iye,” Shahril mengangguk.

Norman mengunci pintu. Fariez kelihatan bersandar di sofa sambil menghirup milo.

“Kau cakap dengan siapa?” tanya Fariez.

“Jiran sebelah,” jawab Norman pendek.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan