Label

Jumaat, 9 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab12a

Pantheon, Wilayah Iremia

VASILIAS dan Damian sedang menikmati juadah tengah hari mereka di meja makan yang besar
memanjang. Sementara Armen pula berdiri tegak di penjuru bilik itu. Sambil menikmati hidangan, mereka bercakap‐cakap tentang keadaan di Kota Iremia.

Seketika kemudian, suapan Damian terhenti. Dahinya berkerut seperti menahan perit. Timbul titik keringat pada dahinya. Tangannya menekan dada sebelah kiri sebelum terbatuk‐batuk.

“Armen, bawakan air untuk Tuan Damian!” arah Vasilias.

Armen berjalan laju lalu menuang air dari bekas air ke dalam gelas besi dengan ukiran mewah. Gelas besi dihulurkan penuh hormat kepada Damian namun masih belum bersambut. Tangan kiri Armen teragak‐agak mengusap belakang Damian yang masih terbatuk.

Gelas besi ditepis sehingga tercampak ke lantai. Air dinginnya tumpah.

Tergesa‐gesa Armen mengelap air yang tumpah dengan sehelai kain.

Damian menolak kerusinya ke belakang lalu berdiri. Batuknya berhenti. Kini, Damian menderam marah.

Selera makan Vasilias putus melihatkan tingkah laku Damian. Dia mematikan suapannya lalu
menepuk meja sehingga bergegar.


“Kenapa dengan kau ni?” bentak Vasilias. Dia pening melihat Damian mundar‐mandir di
hadapannya.

“Ramai Minotaur‐minotaur aku sudah terbunuh. Kita sedang diserang!” beritahu Damian. Hud yang melindungi kepalanya ditolak ke belakang. Bentuk cincin merah pada bebola matanya semakin menyala‐nyala.

Armen yang melutut mengelap sisa minuman dijadikan tempat melepaskan geram. Damian 
menendang kepala Armen yang hampir pada kakinya sehingga Armen jatuh tergolek. Seperti biasa, Armen langsung tidak bereaksi. Dia bangun dari pembaringannya sambil kekal menunduk lalu berdiri di tempat asal. Seperti langsung tidak terkesan dengan hambatan tadi.

Darah yang terbit di hujung bibir dibiarkan mengalir tanpa dikesat.

“Tak mungkin. Angkara siapa?” Vasilias menyoal diri sendiri. Dia cuba berfikir tentang kemungkinan wujudnya konspirasi dalaman yang cuba menjatuhkannya. Namun, akalnya sukar menangkap perihal siapa dalang di sebalik permasalahan ini.

Vasilias bangkit berdiri. Namun, belum sempat lututnya tegak, tubuhnya terhuyung‐hayang. Nadi pada kepalanya berdenyut‐denyut. Punggungnya terhenyak pada kerusi. Kepala ditongkat dengan tangan sehinggalah peningnya mereda.

“Leviath...” gumam Vasilias.

Matanya terkebil‐kebil tidak percaya. Dia dapat merasakan bahawa Leviath yang diselaputi dengan roh jahat turut tidak bernyawa lagi. Seolah‐olah dia turut tercedera dengan musibah yang menimpa Leviath.

“Kau betul, Damian. Tetapi masalahnya, siapa yang menyerang kita?” Vasilias bingung.

“Orang yang terpilih?” duga Damian.

“Rafiqin?” Vasilias meludah ke tepi. “Tak mungkin. Tangan aku sendiri yang bunuh dia dulu. Dia
sudah lama mampus!” senggak Vasilias.

Vasilias termenung mencari jawapan sebelum bersuara lirih. “Atau mungkin kita sudah tersilap?”

Damian meramas penumbuknya di atas meja.

“Apa‐apa pun, lebih baik kita meninjau keadaan di Kota Iremia segera. Kita tengok, sekuat mana serangan mereka. Mungkin di situ, ada petunjuk untuk kita cari tahu siapa mereka,” ucap Damian.

Damian meratib mantera yang menggerakkan sihir. Sekali kerlipan mata, dia menghilang dari
pandangan.

“Aku harus segera mendapatkan Permata Berdarah. Ketika itu, aku pasti berkuasa. Tiada sesiapa pun yang dapat menewaskanku!” Vasilias bersuara penuh keyakinan. Penumbuknya digenggam. Tangannya melibas mantel sebelum ikut menghilang di udara.

Seluruh bilik bertukar menjadi sepi. Cuma tinggal Armen sahaja yang menghuninya. Darah yang meleleh ke dagunya dikesat dengan belakang tangan. Bibirnya kemudian dilihat menggariskan senyuman.

Dia tahu pada ketika itu, Permata Berdarah sudah berada pada Musyrif.

Kota Iremia

UDARA di hadapan Penjara Agonia bergumpal sebelum satu tubuh keluar darinya. Jubah hitamnya bergerak‐gerak akibat ditiup angin. Hudnya kembali ditarik agar menutup kepala. Tidak lama kemudian, dia ditemani oleh seorang lelaki berpakaian besi dan berbut kulit. Vasilias dan Damian berjalan sambil membusungkan dada yang bidang. 

Vasilias melingaskan pandangan ke sekeliling. Tiada satu Minotaur pun kelihatan melintas. Kota itu persis bandar membangun yang ditinggalkan. Teater Sabratha dibina di bahagian timur. Manakala di bahagian tenggara pula, Basilica Ulpia dan Aqua Virgo yang berada di tahap akhir pembinaan juga turut lengang. Padahal kebiasaannya banyak Minotaur yang berkawal di situ.

Apabila mereka menoleh ke hadapan, kelihatan Minotaur‐minotaur dan mayat beberapa Asfalis bergelimpangan di atas tanah. Mereka lalu di celah‐celah timbunan itu. Ada sebahagiannya yang sengaja dipijak dan disepak dengan geram.

Di tepi dinding Penjara Agonia, kelihatan mayat dua manusia dalam keadaan mengiring. Darah hitam melimpah di bawah tubuh dan terserap pada tanah. Vasilias menolak tubuh mereka dengan kaki sehingga badan mereka berkalih.

“Tak boleh diharap!” bentak Vasilias. Dia jijik melihat wajah orang suruhannya yang mengeras.

Tombak sengaja dibiarkan melekat pada tubuhnya tanpa dicabut.

Setelah itu, langkah kaki diangkat menuju ke Penjara Agonia. Pintu penjara di kiri dan kanan mereka dilihat terkuak luas. Keadaan di dalam begitu lengang. Benarlah menurut agakan Damian berdasarkan kesakitan yang dialami tadi. Ada hambatan yang datang menerjah ketika mereka terlepas pandang.

“Kita tak boleh berdiam diri, Vasilias. Kita mesti cari siapa angkara yang membuat onar di sini.
Mereka tak boleh menghina kekuasaan kita!” Damian mengacau api kemarahan yang sudah marak di dada Vasilias.

“Kau jangan risau, Damian. Selepas aku dapatkan Permata Berdarah, semua masalah ni akan selesai. Tak ada sesiapa lagi yang berani menentang kita,” ucap Vasilias. Dia begitu yakin bahawa permata itu akan jatuh ke tangannya.

“Kau tetap nak cari permata tu seorang diri? Habis aku macam mana? Mana pergi janji kau dulu untuk kita berkongsi kuasa?” Damian menyoal bertubi‐tubi.

“Kau jaga sahaja Kota Iremia ni. Aku tahu apa aku nak buat,” ucap Vasilias.

Damian mengalihkan badan, enggan menatap wajah Vasilias. Keraguannya terhadap Vasilias semakin menempel tebal pada dada.

“Kau tak percayakan aku, Damian? Aku abang kau. Aku sedar dan tahu apa yang aku buat. Dalam hal ni, kau tak usah masuk campur,” lanjut Vasilias lagi. Dia tetap bertegas mahu mempertahankan keputusannya.

Damian menyimpan rasa tidak puas hati di dalam benaknya. Nafas yang dielus menjadi kencang.

“Ingat, Vasilias. Aku boleh hapuskan sesiapa sahaja yang mengkhianati aku. Termasuk kau!”

Damian bertempik mengulangi kata‐kata yang pernah diungkap dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan