Label

Ahad, 11 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab13a

Hutan Sigalia

SIGALIA adalah hutan yang panjang mengunjur ke utara, menghala ke pergunungan. Tumbuhnya melintasi dari Perkampungan Filia yang telah ditinggalkan sehingga ke hujung Wilayah Iremia. Hutan Sigalia tetap dipelihara atas arahan pemerintah yang lama.

Semenjak pemerintahan kuku besi Vasilias, hutan ini tidak lagi diteroka. Menyebabkan Musyrif
dan rakan‐rakannya dapat bergerak menggunakan jalan hutan tanpa dijejak. Cuma ada beberapa lorong yang disekat dengan semak perlu dipangkas.

Sebaik mereka masuk kembali ke Hutan Sigalia, mereka berehat sepuasnya. Masa yang ada
digunakan untuk mengubah suai senjata. Batang tombak yang dirampas telah dibelah menjadi
pendek. Kemudian bilah tombak yang agak lebar dan panjang ditempa. Diasah dengan batu sehingga leper dan tajam. Senjata baru mereka diubah suai menjadi pedang.

Musyrif cuba mendekati Hervey yang diperhatikan dari jauh secara perlahan‐lahan. Semenjak
gangguan ketika rampasan Permata Berdarah, Hervey kurang bercakap. Kalau dahulu, dialah yang paling lantang. Kini, masanya banyak dihabiskan sendirian. Termenung seperti sesuatu memberati kepala.



“Boleh aku tolong?”

Hervey sedang menyiang dan membersihkan ikan yang baru ditangkap untuk dibuat santapan petang.

Musyrif yang dari tadi memerhatikan Hervey kini menghampirinya yang sedang duduk di atas batu. Dia mengambil seekor ikan yang baru selesai disiang di atas batu leper. Isi perutnya dibuang lalu bahagian dalamnya dibasuh bersih‐bersih. Ikan dikocak di dalam sungai sebagai basuhan terakhir.

Kepala Musyrif menoleh ke sisi. Dia dapat merasakan Hervey mencuri pandang. Apabila dia
berkalih, mulut Hervey terbuka seperti mahu memulakan perbualan.

“Maaf... sebab aku layan kau dengan teruk sebelum ini,” ucap Hervey, segan.

Ayat itu ringkas tetapi begitu bermakna bagi Musyrif.

“Kau sihat? Kebelakangan ini, kau nampak muram sahaja. Dah tak macam dulu,” tegur Musyrif.

“Kalau kau ada masalah, aku sudi mendengar,” ucap Musyrif lagi. Dia memaniskan roman wajah.

Hervey mengeluh berat. Dia mencelup tangannya yang kotor dalam air sungai lalu mengelapnya pada pakaian. Seketika, mukanya diraup.

“Gangguan di rumah Favlos. Otak aku masih tak dapat lupa... segala yang aku nampak pada malam tu,” luah Hervey lalu memandang Musyrif di sebelahnya.

“Aku masih ingat, macam mana keadaan kau malam tu. Boleh aku tahu? Apa sebenarnya yang kau nampak? Itu pun... kalau kau tak kisahlah,” ucap Musyrif.

Hervey mengambil masa sedetik dua. Matanya dipejam seperti mengimbau peristiwa sebelum
kembali terbuka luas. Dia membuang pandang melihat aliran sungai yang jernih.

“Aku nampak masa silam aku. Aku nampak diri aku pada masa lalu dan keluarga aku. Kau
bayangkan, aku terpaksa lihat sekali lagi saat ibu dan ayah aku dibunuh. Menyaksikan peristiwa
tu seolah‐olah menyeksa aku dari dalam.” Hervey berkata dengan nada sayu.

“Jujur, aku tak nafikan. Memang aku bahagia dengan keluarga aku. Tetapi, aku tak boleh terima tindakan ayah. Segala yang aku buat, dari aku kecil, langsung tak dipedulikan. Aku nak jadi segagah ayah. Jadi aku tunjukkan dengan kebolehan bertempur sejak kecil. Supaya nanti aku cukup perkasa untuk sertai pasukan perisik. Tetapi, dia tak pernah sokong aku,” keluh Hervey. Dia menguis tanah dengan ranting kayu.

Musyrif mahu menjangkau tangan dan memeluk bahu Hervey. Namun, hasrat itu ditahan di dalam hati.

“Dalam bayangan tu, sampaikan semasa Minotaur menyerang pun aku tak dibenarkan masuk campur. Dia suruh aku pergi, Musyrif. Sampaikan ibu aku pun terkorban sama. Padahal kalau dia tak desak aku waktu tu, mungkin mereka boleh terselamat,” lanjut Hervey lagi.

Dia berjeda sebentar sambil merenung tanah. Luahannya kemudian dilanjutkan.

“Ayah aku selalu pukul aku seolah‐olah salah aku besar sangat. Ibu aku sahaja yang tak pernah
berhenti pertahankan aku. Sampaikan aku pernah rasa yang... ayah aku benci aku!” Hervey
mengangkat suaranya.

“Seorang ayah itu tak akan benci anaknya...”

“Tapi ayah aku lain...” sangkal Hervey. Tika ini, suaranya menjadi sugul.

Musyrif mengangkat kakinya yang dicelup dalam air sungai. Dia duduk berkalih ke tepi. Matanya memandang Hervey yang sedang menunduk.

“Pernah kau terfikir kenapa ayah kau halang kau sertai pasukan perisik?”

Hervey menggeleng. Dia mengangkat wajah lalu memandang Hervey tepat ke dalam anak matanya.

“Macam mana pun, aku tetap berpegang kepada satu benda. Seorang ayah mesti sayang anaknya walau macam mana pun keadaan kita. Aku rasa, ayah kau tak benarkan kau sertai pasukan perisik sebab... dia tak nak kau ditimpa bahaya. Dia mesti tak nak kau cedera atau hilang nyawa, Hervey,” nasihat Musyrif bersungguh‐sungguh.

Kemalangan lalu terlintas di fikiran Musyrif.

“Kau masih ingat, ketika kau terjerut di kayu semasa kita mula‐mula sampai di Wilayah Iremia ni? Itulah bahaya yang ayah kau cuba untuk elak daripada berlaku. Dia marah, sebab dia sayang. Orang tak akan peduli kalau dia benci pada kita.”

Lama Hervey terkedu. Dia kemudian mengukirkan senyuman kepada Musyrif. Senyuman paling
manis yang baru Musyrif lihat. Senyuman yang tidak pernah terukir sebelum ini.

“Terima kasih banyak, Musyrif. Terima kasih sebab sedarkan aku,” tutur Hervey sambil menyentuh lengan Musyrif.

Musyrif menunduk sedetik lalu kembali memandang ke arah Hervey.

“Aku pun ada benda nak cakap.”

“Apa dia?”

“Aku juga nak minta maaf pada kau. Tentang kematian ayah aku. Mungkin memang salah aku sebab tak selamatkan ayah dulu. Hari‐hari aku salahkan diri sendiri, Hervey. Aku betul‐betul minta maaf. Maaf sebab menyusahkan kau, kecewakan semua penduduk Nicanor,” luah Musyrif panjang lebar.

“Oh, tentang itu. Bukan salah kau, Musyrif. Aku tak sepatutnya salahkan kau. Ayah kau meninggal dunia sebab dibunuh oleh Vasilias dan Damian. Kau tak dapat menandingi kekuatan mereka sendirian. Aku nak... minta maaf sebab sakitkan hati kau sebelum ni,” ucap Hervey seikhlas hati.

“Bukan kau seorang yang terpaksa menyaksikan keluarga meninggal di hadapan mata, Hervey. Aku juga pernah rasa kehilangan. Memang sakit,” lanjut Musyrif lagi. Cetusan keluhan terhasil melalui garisan pada muka.

Hervey membalasnya dengan anggukan.

“Jadi kita kawan?”

“Kita kawan.”

Tangan mereka bersilang, berjabat tangan.

Musyrif terlebih dahulu mengangkat punggung. Tangannya dihulurkan kepada Hervey sebelum disambut. Lalu, mereka berjalan bersama‐sama ke tempat Lewis dan Lysandra duduk berkumpul sambil membawa ikan‐ikan untuk dibakar di unggun api yang telah disiapkan. Saiz ikan di sungai itu agak besar. Ikan‐ikan dicucuk pada ranting kayu dengan cermat lalu dikumpulkan. Ikan diraih seorang satu lalu diletakkan di atas tempat pemanggang dengan batu yang disusun di bawah unggun api. Sementara menunggu ikan masak dan membalikkannya, mereka berbincang tentang pelaksanaan Rancangan Syahadat seterusnya.

“Selepas ni kita akan ke Air Terjun Agios,” Lewis memulakan perbincangan.

“Betul. Kalau kita ikut aliran air sungai ni, insya‐Allah kita akan sampai ke Air Terjun Agios. Hutan Sigalia bersambung dengan kaki gunung di mana Air Terjun Agios mengalir. Kalau melawan arus air ni, aku rasa esok petang mungkin kita akan sampai ke sana. Itu pun kalau kita bertolak awal pagi esok,” beritahu Lysandra pula.

“Kemudian, kita akan rendam Permata Berdarah dalam air terjun tu, kan?” Hervey meminta
kepastian sebelum dibalas dengan anggukan daripada semua.

Musyrif menarik tali kain yang menggantung permata di sebalik Tunicnya. Semenjak mereka mula bercerita tentang rancangan untuk menghapuskan Permata Berdarah, permata itu terasa hangat walaupun dia baru sahaja memakainya selepas giliran Hervey. Bahangnya seperti menyucuk nadi di sekitar dadanya. Dan apabila permata dekat dengan jantung, bunyi nyaring yang halus kedengaran menjerit dalam telinganya.

“Bila kita sampai di Air Terjun Agios, permata ni akan aku hapuskan,” ujar Musyrif sambil
menunjukkan Permata Berdarah yang dikeluarkan.

Permata itu diangkat separas bahu. Lalu, mereka semua melihat Permata Berdarah yang sedikit 
berkutik ketika angin berhembus.

“Kenapa dengan awak, Musyrif? Muram sahaja. Kita dah nak hapuskan permata tu tak lama lagi, kan? Jadi awak sepatutnya lega. Gembira,” kata Lysandra.

Lysandra yang asyik memandang Musyrif di hadapannya diperhatikan oleh Lewis tanpa disedari. Kemudian, dirinya pula direnung lama oleh Hervey seolah‐olah sahabatnya itu mampu memahami gejolak cemburu di hatinya.

“Semakin hampir kita kepada kehancuran Permata Berdarah, permata ni semakin banyak ulah. Tadi dada saya rasa panas sangat. Kadang‐kadang, permata ini bergerak‐gerak. Berdenyut-denyut seperti jantung. Seolah‐olah ia memberontak... tidak mahu dibunuh,” beritahu Musyrif dengan wajah bingung. Permata itu kembali disimpan di dalam Tunic. Bimbang sekiranya ia hilang daripada mereka.

“Seperti roh Favlos masih menguasai Permata Berdarah,” Lysandra pula bergumam.

“Pelik. Sangat pelik.” Hervey yang dari tadi mendiamkan diri pula berkata‐kata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan