Label

Isnin, 12 Disember 2016

NOVEL Pemerintah Bayang Bab13b

PERUT sudah diisi. Musyrif dan Hervey mengambil masa untuk meninjau di dalam hutan. 
Memastikan laluan untuk mereka selamat dan ditebas supaya perjalanan mereka pada esok hari lebih lancar. Cuma tinggal Lysandra dan Lewis sahaja yang mengemas tempat panggang ikan.

Sebarang kesan ditutup dengan tanah dan debu. Lysandra mahu mengalih batu leper yang disusun sebagai tempat pemanggang. Ketika dia menyentuh batu yang paling atas, dia tiba-tiba terjerit kesakitan.

“Aduh!”

Lewis yang tadinya menguis pasir pada sekeliling tempat pemanggang kini beralih kepada Lysandra yang sudah terduduk di atas tanah.

“Kenapa ni?” tanya Lewis, prihatin.

“Batu tu panas lagi. Aku cuba pegang tadi,” jawab Lysandra lalu menunjuk ke arah batu yang
dimaksudkan. Jari telunjuk yang masih merah ditiupnya lembut‐lembut. Menggeletar jarinya akibat menahan kesakitan.

“Melecur ni...” Lewis berkata‐kata perlahan.



Lewis terus berlari ke tepi sungai. Dua tapak tangan dibuka luas, menadah udara. Kemudian,
tangannya dicelupkan lalu menakung air di dalam sungai. Lewis lantas berjalan laju lalu duduk
mencangkung di sisi Lysandra. Perlahan‐lahan, air itu ditumpahkan sedikit demi sedikit. Dia berharap agar kedinginan itu mampu mengurangkan sakit Lysandra.

Seketika, pandangan mereka bertaut. Lysandra lekas‐lekas menundukkan pandangan. Dia kemudian menuju ke tepi sungai, melutut dan merendamkan jarinya. Lewis ditinggalkan sendirian di belakang.

Lewis menolak tubuhnya ke atas dengan kaki. Dipandangnya Lysandra dengan mata yang redup. Dia memberanikan diri untuk meluahkan hasrat hati yang sudah lama terbuku di hati. Disimpan demi menanti masa yang tepat. Lalu diluahkan melalui perkataan bernada indah.

“Aku sebenarnya... sangat cintakan kau, Lysandra. Dari hari pertama kita bertemu sampai sekarang. Perasaan aku tak pernah berkurang. Demi Allah, Lysandra. Izinkan aku memiliki kau secara halal.”

Lysandra terkesima mendengar kata‐kata Lewis. Inilah sisi yang belum pernah dia lihat ada pada Lewis. Kesibukan dengan Rancangan Syahadat membuatkan Lysandra terlepas pandang akan hasrat Lewis yang terbias melalui tindakan dan bicara Lewis selama ini.

“Jangan harapkan cinta daripada aku. Aku tak mahu kau dikecewakan. Lagipun, kita tak ada masa untuk melayan perasaan,” ujar Lysandra dengan tegas lalu bingkas berdiri. Dia berjalan pergi dan melintasi Lewis di sisinya.

Mendengarkan kata‐kata Lewis di belakangnya, langkahannya terhenti.

“Aku sanggup tunggu sampai kau bersedia. Apabila Rancangan Syahadat sudah selesai dan kejahatan sudah kita hapuskan, aku berhajat untuk... memperisterikan kau, Lysandra.” Lewis berterus terang. Dia sudah tidak mampu berselindung dengan Lysandra. Kehilangan pengarang jantungnya itu amat ditakuti.

“Suka hati kau. Aku dah beri amaran.”

Lewis ditinggalkan terpinga‐pinga di belakang. Dia tersenyum‐senyum sendiri. Baginya, Lysandra mungkin malu untuk mengungkap perasaan yang ada di dalam hati. Dia mahu memberikan Lysandra masa untuk berfikir.

Gadis itu merupakan cinta pandang pertama. Insan yang telah berjaya mencuri hati Lewis. Cinta remaja berputik di dalam hati dan terus berkembang setiap kali matanya menyapa wajah suci itu.

Imbas Kembali

Lewis menawarkan diri untuk mengikuti pasukan pahlawan, Stratos untuk meninjau di kawasan luar Kem Epizon. Mereka mahu mencari sekiranya ada penduduk yang terselamat daripada serangan Minotaur.

Igetis berjalan di hadapan, mengepalai semua Stratos sementara Lewis pula berada di bahagian sayap kumpulan itu. Tiba‐tiba, satu jeritan kedengaran dari dalam hutan. Mereka bergegas ke arah punca tersebut.

“Lysandra...” gumam Lewis.

Lysandra, gadis yang selama ini sering diintai dari jauh. Dia mengenali namanya dari rakan
perempuannya sebelum ini. Lysandra dilihat sedang diperangkap oleh Minotaur‐minotaur.

Melihatkan jeritan kesakitan oleh Lysandra, hatinya semakin dirundung resah.

“Igetis, di sana! Ayuh selamatkan dia!” laung Lewis lalu menghalakan jarinya pada kerumunan
Minotaur.

“Mari, cepat!” Perintah Igetis dituruti lalu mereka segera menghunuskan pedang. Mereka menyerbu Minotaur‐minotaur itu dengan laungan garau yang bertenaga.

Stratos yang lebih dewasa daripada Lewis berusaha sedaya upaya berlawan dengan Minotaur. Pedang dan tombak berlaga dengan kuat. Kelihatan kekuatan Stratos dapat menyaingi Minotaur sehingga mereka dilihat terundur‐undur.

Dari jauh kelihatan Damian berjalan mendekati kumpulan Minotaur. Damian yang menyaksikan
pertempuran itu bertindak mahu membunuh Lysandra. Dia membuka telapak tangannya. Pusaran asap hitam keluar dari urat tapak tangan lalu disasarkan kepada Lysandra.

Lewis yang melihat keadaan itu segera melindungi Lysandra dengan tubuhnya. Merelakan diri
disakiti. Namun, Igetis pula meluru laju lalu melindungi dua remaja itu dengan belakangnya pula.

“Igetis!”

Igetis terbongkok‐bongkok menahan kesakitan yang menjalari urat saraf. Dia kemudian jatuh
terduduk di tepi sambil mengusap dada kirinya. Seksa hambatannya sehingga sukar untuk Igetis membuka mata. Kelihatan asap hitam tadi meresapi ke kulitnya. Urat darahnya menjadi hitam sebelum menghilang dalam salur darah.

Lewis mendekati lalu menyambut Igetis dalam ribaannya.

Lysandra pula mengengsot sehingga berhenti di belakang Lewis. Seluruh tubuhnya jadi menggigil. Nyawanya hampir‐hampir diragut oleh kerakusan Damian. Walaupun dia telah diselamatkan oleh Igetis dan Lewis, namun rasa bersalah membebani diri. Kerana mahu menyelamatkannya, Igetis pula yang tersakiti.

Damian pula tertawa berdekah‐dekah. Dia terhibur melihatkan kesakitan yang dialami oleh Igetis. Dia mengisyaratkan agar semua Minotaur menghentikan hambatan. Minotaur‐minotaur yang banyak tercedera pula segera berkumpul dan berdiri di belakang Damian. Menantikan arahan susulan daripada tuan mereka.

“Dasar kamu semua bodoh! Sanggup mengorbankan diri semata‐mata kerana satu nyawa. Tapi terima kasihlah sebab menghiburkan aku. Nikmatilah penderitaan kau, orang tua. Tubuh kau akan lumpuh. Dan bisa sihir itu akan kekal sehingga ke penghujung usia kau!”

Tempikan Damian bergema sebelum dia dan tenteranya menghilang dalam udara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan