Label

Sabtu, 31 Disember 2016

NOVEL Penyamar Bab7

‘’Macam ni la hidup kami Shah. Akak dengan abang nampak macam pasangan bahagia di mata orang lain, tapi hakikatnya akak yang banyak makan hati berulamkan jantung.’’ Aku memandang wajah tenang kak Senah yang sedang bercerita. Sesekali aku akan bersantai di rumah jiran sebelah. Ucu sudah keluar ke Bukit Mertajam selepas meminjam motor kak Senah tadi. Malas pula aku nak mengikut Ucu.

‘’Apa maksud akak? Shah tengok abang Syukri tu macam baik ja.’’ Aku cuba mencungkil rahsia rumah tangga kak Senah. Suami kak Senah tu kalau jumpa aku, dia hanya senyum saja. Macam pemalu sangat. Nampak tersipu‐sipu.

‘’Memanglah baik Shah. Baik sangat. Akak tak cakap laki akak tu jahat, cuma kadang‐kadang akak tak paham betoi dengan perangai dia. Akak ni isteri dia Shah. Tapi, cara dia layan akak macam akak ni orang asing. Payahlah Shah, nak cerita akak takut berdosa tapi kalau tak cerita, akak takut, lama‐lama akak kena sakit jiwa sebab selalu sangat dok pendam.’’ panjang lebar kak Senah meluahkan suara hatinya. Aku masih belum mengerti sepenuhnya. Keinginanku untuk tahu lebih lanjut semakin membuak‐buak.

‘’Akak ceritalah kak, mana tahu Shah boleh tolong apa yang patut,’’ aku cuba memujuk kak Senah meluahkan masalahnya. Mana tahu nanti boleh juga dijadikan modal dalam novel baru aku.



‘’Akak malu nak cerita..’’ kak Senah berubah laku tiba‐tiba. Dari wajah monyok kini kak Senah
sudah tersipu‐sipu pula. Aku semakin tidak memahami apa yang merusuh jiwa kak Senah.

Rumit sangat ke masalah rumah tangga dia?

‘’Lahh..malulah pula. Shah pun tak mau paksa tapi kalau kak Senah tak dapat nak mengawal perasaan tu, Shah boleh jadi pendengar yang baik.’’ Aku mencuba cara psikologi pula. Hati yang melonjak‐lonjak untuk tahu masalah dia aku kawal sekuat mungkin. Takkan aku nak paksa kak Senah untuk bercerita kalau dia belum bersediakan?

‘’Sebenarnya Shah, akak ni suka baca novel. Suka tengok filem hindi dan peminat drama Korea. Bila akak baca dan tengok watak‐watak lelaki yang romantik tu akak sedih sangat sebab abang Syukri tak macam tu. Dia pemalu sangat Shah walau dengan akak ni.’’ kak Senah mula bercerita dan wajahnya berubah lagi. Dia memandang aku dengan wajah yang sugul. Aku masih tidak faham intipati ceritanya.

‘’Ooo..’’ Aku kematian kata. Bila belum berumah tangga, aku tak dapat nak membayangkan apa maksud kak Senah tu.

‘’Laki akak tu, macam takut sangat dengan akak Shah. Kadang‐kadang akak teringin nak bermanja dengan dia atau nak dia anggap akak ni macam wanita idaman dia. Kalau tak ada akak dia akan rindu separuh mati. Kalau ada akak dia akan inginkan akak selalu, tapi..semua tu tak pernah lagi menjadi kenyataan.’’ Aku semakin blurr mendengar ungkapan kak Senah yang seterusnya. Kak Senah tu dah ada anak lima orang pun. Yang sulung dah remaja. Yang kecil baru lima tahun. Kalau betullah apa yang kak Senah cerita, anak‐anak dia tu anak siapa?

‘’Anak‐anak akak tu anak angkat ya?’’ spontan aku menyoal bila minda aku dihujani dengan perbagai kemuskilan. Kak Senah merenung tajam ke arahku. Aku tersengeh malu.

‘’Ehh..ada pulak anak angkat. Akak yang mengandungkan lima‐lima orang anak akak tu tau. Ni ha, parut di perut ni pun tak hilang‐hilang lagi. Sat,sat..pasai pa Shah tanya akak macam tu?’’ kak Senah bersuara tegas. Aku mengecilkan tubuh sebab takut kak Senah akan melenting. Apa nak buat, serkap jarang aku tak mengena. Hehe,.

‘’Errr..’’ Aku serba salah untuk menjawab. Akhirnya aku tayang gigi pada kak Senah.

‘’Shah salah paham dengan cerita akak la ni? Macam ni Shah, abang Syukri tu cuma tak reti nak romantik saja Shah, tapi kalau akak cuit menjadi saja dia tu. Cuma, kadang‐kadang akak perass﴾frust﴿ la dengan dia. Tangan akak ni pun kalau akak tak mulakan dulu sentuh dia, jangan haraplah dia nak belai‐belai akak ni.’’ wajah aku dah mula berbahang bila cuba membayangkan apa yang kak Senah cerita. Aku juga penulis novel. Rata‐rata watak lelaki dalam novel aku adalah lelaki romantik yang pantang berdua‐duaan dengan perempuan, lebih‐lebih lagi dengan isteri, mesti nak pegang‐pegang tangan. Tapi, cerita kak Senah ni benar‐benar menarik minatku.

‘’Ohh..’’ lidahku kelu lagi.

‘’Kadang‐kadang akak rasa macam badan akak ni pembawa virus bahaya pulak, sampai suami sendiri pun tak berani nak sentuh. Pernah akak tahan perasaan akak, sebulan akak tak sentuh dia. Selamba saja dia Shah. Sedih akak tau!’’ kak Senah menyambung cerita. Aku macam tak percaya mendengar cerita kak Senah. Ada ke lelaki macam tu?

‘’Shah jangan cerita kat sapa‐sapa ya, apa yang akak cerita ni. Sepatutnya akak tak perlu ceritakan kat sapa‐sapa, dah macam membuka aib sendiri pulakkan?’’ suara ragu‐ragu kak Senah kedengaran pula. Aku mengeleng perlahan. Rasanya aku adalah orang yang tepat untuk kak Senah bercerita. Bukan selalu aku dapat cerita begini sebab kebanyakan isteri tak suka membuka keburukan suami masing‐masing. Isteri selalunya penyabar dan menerima apa saja dalam rumah tangga mereka. Mungkin bukan semua isteri penyabar, yang tu aku tak nafikan.

Kalau tak, tentu tak berlaku kes penceraiankan?

‘’Ada ya kak lelaki macam tu? Shah pun suka juga kak baca novel dan watak‐watak lelaki dalam novel semuanya pantang ada peluang mesti nak pegang‐pegang tapi, Shah tak tahu sama ada akak ni beruntung atau sebaliknya. Maksud Shah beruntung sebab abang Syukri tu takkan mengorat perempuan lain kak, kalau dia pemalu macam tu..’’ aku tayang gigi , nak cakap lebih-lebih aku tak berani.

‘’Untung? Kadang‐kadang memang akak rasa akak ni beruntung sebab dapat abang Syukri tu, tapi akak ni manusia Shah. Akak juga ada keinginan. Shah cuba bayangkan kalau dapat suami yang takut nak sentuh Shah. Dulu, laki akak tak macam ni. Masa mula kahwin dia macam lelaki lain jugak. Cuma, bila dah ada anak ramai ni, baru dia berubah. Macam akak ni dah tak ada daya penarik lagi. Shah tengok akak ni macam mana?’’ aku macam nak garu saja kepala aku ni bila mendengar soalan kak Senah. Bagi aku kak Senah ni masih bergetah lagi. Umurnya mungkin baru 40‐an.

‘’Okey saja kak.’’ aku menjawab dengan tenang. Kak Senah melebarkan senyuman.

‘’Shah tahu tak, akak selalu berdiet dan jaga penampilan agar abang Syukri tu hanya pandang akak sorang saja. Tapi, akak hanya merancang, abang Syukri yang tak makan saman.’’

Terdengar keluhan kecil keluar daripada bibir kak Senah. Aku teringat buku‐buku motivasi yang aku baca. Rasanya tak salah kalau aku kongsi dengan kak Senah.

‘’Macam ni la kak Senah. Dalam hidup ni bukan senang nak menyenangkan hati orang lain, apatah lagi nak menyenangkan hati sendiri. Kak Senah masih ada Allah untuk mengadu. Dialah sebaik‐baik tempat mengadu yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Mengadulah kepada Allah kak! Dia akan beri akak kebahagiaan yang manusia tak dapat beri. Biarlah abang Syukri tu dengan sifat dia yang tak makan dek saman tu. Akak teruskan sikap akak sebagai isteri yang setia. Kalau kak Senah nak laki yang romantik, kak Senah tak payah tunggu dia jadi romantik atau mengharapkan dia akan jadi romantik tapi sebaliknya kak Senah yang perlu jadi romantik terlebih dulu. Apa macam? Akak berani?’’

Aku jungkitkan keningku berkali‐kali. Cara aku cakap macam orang berpengalaman, padahal semuanya itu hanya melalui bacaanku saja. Dan kebetulan aku ni kan penulis. Bukan sesuatu yang payah untuk aku rangka ayat sebegitu.

‘’Selama ni memang akak yang dah terlebih romantik Shah oii.. Tu, berderet tu sebab keromantikan akak la tu.’’ kak Senah berkata sambil memuncungkan bibirnya ke arah anak‐anaknya yang masih kecil, yang sedang bermain di padang permainan. Aku tersenyum lucu dengan gaya kak Senah. Macam nak angkat tabik saja untuk kak Senah.

‘’Teruskan kak Senah! Semoga rumah tangga akak bahagia hingga ke Jannah!’’ kata‐kata semangat yang aku ungkapkan buat kak Senah tersenyum lebar.

‘’Tapi..’’ kak Senah bersuara lagi dan aku terus diam, menunggu ayat‐ayat kak Senah yang seterusnya.

‘’Akak macam tak puas hatilah Shah. Akak teringin juga nak macam dulu‐dulu tu. Bestnya bila abang Syukri yang mulakan dulu.’’ Wajah aku berbahang lagi. Entah kenapa, aku yang terasa malu dengan pengakuan kak Senah. Kalau aku pun mungkin malu nak mulakan dulu.

Sepatutnya sifat malu ni milik mutlak orang perempuan dan lelaki lebih agresif. Ini memang kes satu dalam sejuta yang payah nak ditemui.

‘’Kak Senah berterus terang sajalah. Beritahu dia perasaan akak. Cakap kat abang Syukri tu apa yang akak nak.’’ aku cuba mengumpan kak Senah. Walaupun aku malu nak cakap macam tu sebab aku belum ada pengalaman tapi aku rasa menjadi tanggungjawab aku untuk memberi sedikit semangat buat kak Senah.

‘’Dah berbuih mulut akak ni cakap Shah. Tak jalan pun, macam mencurah air ke daun keladi saja. Langsung tak ada kesan.’’ Kak Senah mengeluh lagi. Berat juga kalau macam ni. Macam bebal sangat suami kak Senah ni.

‘’Kak, err..Shah ada sorang kawan. Dia ni penulis novel. Cerita akak ni tentu boleh dibukukan. Boleh tak kalau Shah ceritakan pada dia kisah akak ni? Nama akak nanti Shah rahsiakanlah.’’

Tiba‐tiba ilham menjengah dalam mindaku. Aku terus meminta izin kak Senah untuk menulis ceritanya. Cuma aku kelentonglah sikit.

‘’Apa nama kawan Shah tu? Akak pun peminat novel jugak.’’ Kak Senah menyoal dengan penuh teruja. Dapat aku lihat riak wajahnya yang sudah berubah ceria dalam sekelip mata.

‘’Ayang Mas Merah. Kak Senah pernah baca novel dia tak?’’ kak Senah mengelengkan kepala.

Ada rasa kecewa yang mengetuk pintu hatiku. Aku tahu nama Ayang Mas Merah taklah segah mana pun.

‘’Dia penulis baru ka Shah?’’ kak Senah menyoal lagi.

‘’Taklah kak. Dia sedang menyiapkan novel dia yang ke‐10 sekarang ni. Kalau akak nak baca novel‐novel dia nanti boleh Shah pinjamkan. Tapi, novel tu ada di rumah mak. Shah tak bawa pula.’’ Aku tayang gigi bila teringat novel‐novel milikku itu sebuah pun aku tak bawa. Ermm, apa kata aku cari di kedai buku, beli dan hadiahkan saja untuk kak Senah? Mentol dalam mindaku menyala‐nyala lagi.

‘’Best ka novel‐novel dia?’’ soalan seterusnya buat aku tercenggang. Macam mana aku nak jawab? Hanya pembaca yang dapat menjawabnya. Akukan penulisnya!

‘’Errr, kak Senah kena baca dululah. Baru tau best ke tak.’’ aku menjawab dengan selamba sambil terus tayang gigi.

‘’Lelaki dalam novel dia romantik tak? Kalau romantik, akak teringinlah nak baca.’’ kak Senah bertanya sambil ketawa ceria. Aku turut ketawa mendengar kata‐katanya sambil kepala aku jatuhkan berkali‐kali. Novel aku wajiblah ada watak lelaki romantik kerana, aku pun suka dengan lelaki romantik. Hehehe..tetiba saja ulat bulu naik daun.

‘’Mestilah romantik kak Senah. Sebenarnya kak, Shah pun suka kalau dapat lelaki romantik sebab Shah ni pemalu sikit. Lecehkan kak, kalau perempuan yang kena mulakan dulu?’’ soalan aku kepada kak Senah buat kak Senah mengangkat ke dua ibu jarinya. Kemudian kak Senah terbalikkan ke dua ibu jarinya dan mengelengkan kepala berkali‐kali.

‘’Orang perempuan pun ada egonya Shah. Bila ego akak mai, hmm..lantak hanglah. Apa nak jadi pun.’’ kak Senah bersuara tegas sambil bangun.

‘’Shafik! Shahrul! Shimah!...balik! Dah maghrib ni!’’ kak Senah melaung anak‐anaknya yang masih rancak bermain di padang. Aku pun bangun daripada kerusi batu yang sedang aku duduki. Kalau kak Senah dah laung anak‐anaknya suruh balik, takkan aku masih nak lepak lagi di sini kot?

‘’Okeylah kak, Shah pun nak balik dululah. Nak maghrib dah.’’ Aku terus meminta diri dan bersalaman dengan kak Senah.

‘’Shah, kalau novel kawan Shah tu siap bagitau akak ya.’’ aku angkat ibu jari kepada kak Senah sambil tersenyum. Minda terus merangka cerita. Yess! Aku dah dapat plot cerita novel baruku.

Hatiku Milikmu Selamanya, walau hakikatnya kau dingin macam ais. Hehe..boleh gitu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan