Label

Rabu, 28 Disember 2016

NOVEL Ps Cinta Itu Kamu Bab15

KERJA yang banyak tidak memberi peluang kepada Hana menikmati cahaya matahari dan udara segar di pagi hari. Malam tadi pun dia balik ke bilik jam dua pagi. Setelah selesai acara barbeku. Dia turut membantu mengemas supaya semua bergerak lebih pantas.

Kerjanya bertambah bila dia perlu berjumpa Mr. Eric setiap pagi sebelum briefing dan setiap kali waktu makan dihantar. Itu permintaannya pada General Manager dan dia terpaksa akur. Beberapa group besar dari luar negara terpaksa diambil alih oleh Shahrul dan Nabila. Tapi, dia tetap mengikuti perkembangan untuk memastikan semuanya berjalan lancar..

Dia bersiap lebih awal dari biasa. Niatnya ingin bersarapan terlebih dulu. Mengalas perut sebelum mula kerja. Jika dah bekerja, makan pun tak ada masa. Macam sebelum‐sebelum ni. Badannya pun dah semakin kurus.

Pintu biliknya diketuk. Sekali lagi Izwan berdiri di depan pintu Hana membawa makanan.

“Selamat pagi Cik Hana.” Tegur Izwan dengan wajah ceria dan senyuman lebar.

“Selamat pagi Izwan. Awak buat apa lagi kat sini.”

“Saya bawakan breakfast untuk Cik Hana.” Sambil menunjukkan dulang di depan Hana.

“Izwan... kenapa awak bawa lagi ke sini? Kan saya dah pesan, jika saya nak makan, saya akan pergi ke restoran. Awak tak perlu susah‐susahkan diri datang ke sini.”



“Tak apa... saya ingin membantu Cik Hana saja. Saya tengok Cik Hana makan pun tak menentu. Kadang‐kadang sampai tak makan. Kesian saya tengok Cik Hana.”

Ada benarnya kata Izwan. “Kali ini saja. Next time, tolonglah... jangan bawa makanan lagi ke bilik saya. Awak dibayar gaji untuk berkhidmat pada resort, pada guest, bukan pada saya. Jangan buat lagi ya... Izwan.” Hana menegur Izwan. Dia tidak mahu ada pula timbul cerita dari mulut‐mulut pekerja yang nampak Izwan sering hantar makanan ke biliknya. Dia bukan takut diperkatakan, cuma dia tidak mahu ditegur dalam briefing oleh GM. Itu sudah mencemar nama baik dia sebagai manager di situ. Kalau boleh, dia tak nak ada atau timbul gosip liar tentang dirinya. Dia ingin bekerja dengan tenang.

“Izwan. Awak jangan kecik hati dengan apa yang saya katakan tadi. Apa saya cakap adalah benar. Saya kena jaga reputasi kerja saya dan awak. Saya tahu niat awak baik dan kali ini saya terima tapi tidak untuk di lain kali.” Hana terangkan situasi sebenar bila Izwan merenung tajam dan wajah dia tidak seceria tadi.

“Dan lagi satu, saya nak memohon maaf atas kekasaran Sofea semalam. Mungkin dia tak bermaksud begitu. Sofea tu baik orangnya. Cuma kadang‐kadang mulut dia agak terlebih sikit. Niat dia baik, untuk menegur awak saja.” tambah Hana.

“Saya dah biasa dengan cacian daripada mereka. Cuma Cik Hana saja yang mampu bercakap baik‐baik dan memberi senyum pada saya.” Lantas Izwan bersuara bila kejadian semalam dibangkitkan Hana. Dulang diberi pada Hana.

“Saya pergi dulu.” Izwan meninggalkan Hana tanpa menoleh lagi.

Hana menarik nafas dalam. Kesian pula bila dengar kata‐kata Izwan tadi. Selain Sofea, telah beberapa kali dia nampak Izwan dimarahi oleh pekerja perempuan. Pekerja‐pekerja itu semua pekerja biasa sama seperti Izwan. Kadang‐kadang Hana kesian sangat melihat Izwan. Tapi apakan daya, Izwan sendiri tidak mahu berubah. Dia pasti, Izwan tahu kelemahan diri sendiri. Dia tidak boleh gadaikan prinsip untuk kegembiraan Izwan.

Hana masuk ke bilik dengan rasa bersalah. Bersalah bila Izwan pergi dengan wajah berkecil hati dengan kata‐katanya. Tapi dia dah cuba menyusun ayat yang paling halus dan terbaik. Intonasi suara juga sudah cukup lembut supaya Izwan tidak terasa. Apa yang dikatakan tadi adalah benar. Untuk fahamkan Izwan seperti tidak faham kehendaknya selama ini.

Dia tidak suka ada perasaan sebegini. Tambahan pula di pagi hari. Cukuplah dia perit dengan rasa bersalah pada Ridduan yang masih tidak terpadam lagi. ‘Ridduan! Ridduan! Ridduan! Kenapa dengan hati ni. Dah rosak ke?’ marah Hana sendiri. Setiap kali teringat Ridduan, hatinya rasa sakit sangat, dadanya rasa sesak. Berulang kali. Tangannya menghentak‐hentak perlahan di bahagian dada. Beberapa kali menarik nafas untuk melegakan dada. Itulah, dah sakiti hati orang yang telah menyelamatkan nyawa dia. Mood yang sepatutnya ceria telah hilang entah ke mana. Omelet dan roti bakar dibawa oleh Izwan tadi ditelan hingga habis.

AGENDA pagi yang biasa sejak Eric datang menginap. Sebelum briefing dia bersama waiter naik ke bukit menghantar breakfast untuk Eric.

“Alamak... Cik Hana, mustard sos tak bawa.” Waiter menggaru kepalanya.

“Macam mana awak boleh lupa? Itukan wajib ada time breakfast... ”

“Rasanya saya dah bawa sekali tadi. Siap saya letakkan di tepi makanan ni. Tapi sekarang tak ada pula...”

“Tak apa. Saya call minta siapa‐siapa hantar. ”

Hana segera telefon Kitchen Department meminta seseorang hantar ke vila. Ketika itu terdengar lif seperti turun ke bawah dan pintu lif terbuka.

“Selamat pagi Mr. Eric...”

“Selamat pagi semua...” Lantas Eric duduk di sisi meja. Perkara pertama dia akan meneguk kopi panas. Perkara kedua, dia akan ambil mustard sos dan diletakkan atas omelete. Pagi ni tiada. Hana tahu Eric pasti cari sos kesukaannya. “Maaf Mr. Eric, Mustard sos dalam perjalanan.”

“Ohh... kalau macam tu, sementara mustard sos saya sampai, awak duduk di sini. Boleh teman saya breakfast...” Kerusi di sebelahnya ditarik. Menunggu Hana duduk.

“Hah.. tak perlu Mr. Eric. Saya pun sekejap lagi nak masuk briefing...”

“Awal lagi ni.. duduklah.” Eric tidak bergerak dan masih berdiri menunggu Hana duduk.

Hana teragak‐agak, akhirnya melabuhkan punggung. Cara Eric sama seperti layanan Ridduan padanya. Tapi Eric mat salleh. Memang cara mereka begitu.

Izwan melangkah masuk ke vila bersama pesanan Hana. Dia sengaja mempelawa diri untuk berjumpa Hana lagi. Tidak puas rasanya menatap wajah Hana yang cantik dan bau Hana yang wangi. Wangi dengan bunga‐bungaan.

Dia tergamam melihat Hana duduk makan bersama lelaki mat salleh malah gelak ketawa keseronokan. ‘Dengan mat salleh tu boleh. Kenapa dengan aku tidak?’ getus hatinya. Wajah yang ceria dengan senyuman bertukar muram. Sos mustard yang dipegang, diambil waiter dan diberi pada Eric.

Hati Izwan panas. Marahnya memuncak. Merenung gelagat Eric dan Hana. Ingin saja dia belasah lelaki itu. ‘Siapa dia nak duduk makan dengan Hana. Aku pun tak dapat makan bersama Hana lagi’ hatinya bertambah bengang.

“Izwan.. kau boleh pergi...” tegur waiter melihat Izwan terdiam kaku.

Izwan merenung waiter sebelum melangkah keluar, meninggalkan Hana berseronok dengan lelaki itu.

IZWAN mundar‐mandir di depan pejabat pentadbiran. Menunggu Hana habis briefing. Selepas melihat kemesraan Hana dan Eric tempoh hari dan beberapa kali dia mendengar pelayan‐pelayan bergosip tentang Hana dan Eric. Mereka katakan‘Mr. Eric tu suka pada Cik Hana. Kemungkinan juga Mr. Eric nak memikat Cik Hana, disebabkan itu Mr. Eric request Cik Hana menemaninya dari pagi hingga malam. Setiap kali makan bersama. Nak mengenali Cik Hana lebih dalam la tu. Mereka berdua sangat sepadan bersama. Kan...’ terngiang‐ngiang kata dari beberapa orang pelayan. Pekerja dapur juga pernah bergosip begitu. Izwan jadi tak tentu arah. Dia takut kehilangan Hana.

Pagi ini dia tidak mahu buat kerja. Dia nak jumpa Hana sekarang juga. Cemburunya makin menjadi‐jadi. Dia tak akan biarkan Hana dirampas Eric.

“Cik Hana...” panggilnya selepas melihat kelibat Hana.

Tersentak Hana disapa Izwan di depan pejabat pentadbiran resort.“Astaghfirullahlah... Izwan. Apa awak buat kat sini lagi? Awak patut bekerja sekarangkan. Pergi balik dapur.” Arah Hana.

Izwan memegang bahu Hana tapi ditepis Hana.“Apa ni Izwan...”

“Cik Hana... saya risaukan Cik Hana.”

“Risau? Awak nak risau apa?”

“Saya... saya takut Mr. Eric tu buat sesuatu yang tak elok pada Cik Hana.”

“Apa... Izwan, Mr. Eric takkan apa‐apakan saya. Kenapa awak boleh fikir sejauh itu? Mr. Eric tu orang yang baik.”

“Mana Cik Hana tahu. Cik Hana kenal dia. Saya risaukan Cik Hana. Saya takut dia buat sesuatu pada Cik Hana. Saya takut dia larikan Cik Hana.”

“Izwan...”

“Saya tak kira, saya akan temankan Cik Hana jika nak ke sana.”

“Izwan... itu tugas saya. Tugas awak sekarang di dapur. Masa‐masa begini, dapur perlukan awak. Mereka semua bertungkus‐lumus buat kerja, awak ada di sini kisahkan saya dengan perkara yang tak mungkin terjadi. Baik awak balik Izwan sebelum Chef Mazuki marah kat awak dan awak tak perlu risaukan saya. Saya boleh jaga diri saya sendiri.”

“Saya tak kisah. Kena marah dengan chef pun saya tak takut. Jika saya dibuang kerja pun, saya
sanggup, asal Cik Hana bersama saya. Bukannya dengan Mr. Eric.”
Hana terkejut kata‐kata Izwan. Apa maksud Izwan?“Izwan... cukup. Apa yang awak cuba
sampaikan ni. Saya takkan bersama Mr. Eric dan saya takkan bersama awak juga.”
“Cik Hana.. ” Izwan cuba memegang tangan Hana pula.
“Hoi!!!” Sofea meluru arah mereka.“Kau ni kenapa Izwan. Asyik mengganggu Cik Hana. Kau nak
aku report pada Chef Mazuki, apa yang kau buat pada Cik Hana!” Sofea yang berada di dalam
pejabat melihat Izwan dan Hana dari tingkap sejak tadi. Melihat Izwan seperti mengganggu
Hana, Sofea segera keluar.
“Sofea... tak apa” Hana pula cuba tenangkan Sofea naik berang.
“Kau sibuk apa. Ini urusan aku. Kau jangan masuk campur! ” tengking Izwan.
“Kau ingat kau layak untuk Cik Hana. Badan pun tak terjaga. Bau busuk. Ada hati nak jaga Cik
Hana!”
Wajah Izwan merah padam, menahan amarah pada Sofea bila perkataan busuk disebut lagi.
“Saya kata sudah! Awak Izwan pergi balik ke dapur sekarang. Sofea, awak ikut saya tengok
perkembangan pelancong dari China tu.” Hana menarik tangan Sofea meninggalkan Izwan
keseorangan. Pening kepalanya.‘Sudahlah kerja banyak, Izwan pula merepek yang bukanbukan,
ditambah pula dengan pergaduhan antara Izwan dan Sofea. Apa nak jadi lagi ni... Tak
ada ketenangan langsung. Lebih baik duduk di Kl kalau terus macam ni’ Hana mengomel
sendiri.
“Kau tunggu dan lihat. Aku akan pastikan Hana jadi milik aku. Baru kau orang semua tahu
siapa aku.” Izwan berkata perlahan. Memaku dalam dirinya. Dia mula obses pada Hana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan