Label

Jumaat, 30 Disember 2016

NOVEL Ps Cinta Itu Kamu Bab17

USAI menemani Eric, Hana segera mencari Ridduan. Diketuk berulang kali pintu bilik Ridduan tapi masih tidak dibuka. Seorang housekeeping lalu di situ.

“Kak... ada nampak Mr. Ridduan tak?”

“Tadi ada Cik Hana. Mungkin dia ke pantai kot. Saya nampak dia seperti ke arah sana.” Sambil menuding jari arah pantai yang dimaksudkan.

“Oh... okey terima kasih kak.”

Hana berlari anak lagi. Kakinya yang panjang tidak cukup besar melangkah dengan lebih cepat. Hana mencari di sekitar tepi pantai berdekatan biliknya tetap tidak nampak bayangannya.

Di hujung pantai sebelum bukit terdapat batu‐batuan pantai di situ. Hana ingin pergi tapi terasa takut. Dia pun tidak pernah sampai sejauh itu sejak duduk di situ. Jika sesuatu terjadi, dia menjerit pun pasti tak ada yang mendengarnya. Tapi untuk mencari Ridduan, dia tawakal, dia cekalkan hati mencari di celah batu‐batuan yang besar. Hana ternampak kelibat seseorang di atas batu. Susuk tubuhnya seperti Ridduan. Hana memanjat satu persatu batu pantai hingga ke puncak. Dia duduk di belakang Ridduan senyap‐senyap.



“Jauh mengelamun,” suara Hana yang lembut memecah kesunyian.

Ridduan tersentak. Menoleh pada Hana sudah duduk di belakangnya.“Hana... mana awak tahu saya di sini?”

“Instinct,” Hana gelak sendiri.“Tak lah. Akak cleaner yang bagi tahu.” Jelas Hana bila Ridduan merenung tajam. Tiada sepalit senyuman.

“Awak pun dah pandai berlawak sekarang. Mesti ada orang yang mengajar awak berlawak.”

Dia memandang jauh ke laut. Wajahnya muram. Kecewa terkenangkan Hana gembira bersama lelaki lain. Bukannya dia.

“Mana ada. Jauh Mr. Ridduan mengelamun tadi. Teringat orang jauh ke?” Hana mengubah topik.

“Orang dekat pun tetap terasa jauh.”

Hana terdiam.‘Apa maksud Ridduan?’ Hana mampu tanya dalam hati saja.“Cantik pemandangan kat sini ye. Tenang... sunyi... saya tak tahu pemandangan laut dari sini lebih cantik.” Dia memandang persekitaran di situ.

“Tapi cantik lagi awak,” celah Ridduan. Dia mengerling arah Hana. Kali ini matanya berpusat pada Hana. Dia tidak mampu menoleh lagi. Wajah yang dirindunya selama ini betul‐betul berada di depan matanya. Ikutkan hati mahu saja dia menyentuh muka Hana yang gebu kemerahan dek kerana panas dan memeluk tubuh Hana melepaskan perasaan rindu, kecewa dan dendam selama ini.

“Ciptaan Allah sebenarnya tiada cacat celanya. Hanya manusia yang tidak pandai hargai pemberian yang telah Allah SWT berikan. Begitu juga manusia, tiada yang dilahirkan sempurna. Kerana kelemahan manusia lain akan menjadi kelebihan kepada kita sama ada ke arah jalan yang baik atau buruk dan jika kita nak hidup harmoni, kita perlu menerima setiap kelemahan manusia lain. Kita sebagai manusia kerdil juga terlalu kecil untuk mempertikaikan kelemahan manusia lain. Akal... akal dan hati dipinjamkan kepada kita untuk menentukan jalan yang kita pilih. Jadi saya manusia yang mempunyai kelemahan. Saya harap Mr. Ridduan dapat maafkan kelemahan saya yang tidak dapat menilai kebaikan Mr. Ridduan selama ini.”

“Apa maksud awak?” Ridduan melihat Hana pelik. Dia faham apa yang diperkatakan Hana tadi.

Cuma dia tidak faham maksud perkataan terakhir itu.

“Terima kasih telah selamatkan nyawa saya dan saya ingin mohon maaf atas kekasaran saya pada Mr. Ridduan tempoh hari.” Hana kuatkan hati memandang tepat anak mata Ridduan.

Bibirnya tersenyum tanpa diduga.“Saya tolak Mr. Ridduan sampai jatuh. Maaf atas kekasaran saya dan maaf kerana saya telah memalukan Mr. Ridduan di khalayak ramai. Sofea telah ceritakan segalanya pada saya. Jika tiada Sofea, sudah pasti saya tidak tahu perkara sebenar hingga hari ini.”

“Dan pasti awak tidak akan duduk di sebelah saya sekarang ini. Tidak bercakap selembut ini dan tidak akan melayan saya.” Lantas Ridduan mencelah. Jadi dia faham kenapa Hana duduk di sebelahnya sekarang ini.

Hana menundukkan kepala. Memandang jari‐jemarinya yang bermain sesama sendiri. Dia sedikit terasa dengan sindiran Ridduan. Tapi apa yang dikatakan itu adalah betul.“Maafkan saya. Saya tidak pandai menilai orang sebaik Mr. Ridduan dan terima kasih sekali lagi. Nampaknya saya telah terhutang nyawa dengan Mr. Ridduan. Tidak mampu terbalas seumur hidup saya. Apa yang saya mampu lakukan hanya mengucapkan terima kasih berulang kali.”

“Sama‐sama... awak tidak perlu balas sampai seumur hidup awak. Cukuplah awak tidak mengelakkan diri daripada saya. Kalau boleh, layanlah saya lebih dari guest‐guest lain di sini.”

Ridduan tersenyum lebar.“Ohhh... tapi hasil tolakan awak hari tu,menyebabkan seminggu saya sakit pinggang. Kuat juga awak ni. Nampak aje halus. Kudrat awak, cukup kuat menolak badan saya yang sasa ni.” Sambil menayangkan otot di lengannya. Kemudian dia gelak besar.

Hana melarikan pandangan bila Ridduan menunjukkan otot yang timbul. Segan... tapi dalam masa Hana turut ketawa. Hatinya berasa lucu dengan reaksi Ridduan.“Apa kata kita mulakan semula. Hai... saya Hana Maliqa Binti Izwan, merangkap Manager Marketing di sini.” Sambil menghulur tangan pada Ridduan.

Ridduan tersenyum dan melirik tangan dihulur, lantas disambutnya tanpa berfikir panjang.“Hai... saya Ridduan Lee Bin Rafiee Lee. Pelancong di sini, merangkap kawan kepada Hana Maliqa sekarang.” Sambil menundukkan sedikit kepala tanda hormat.

“Ridduan Lee? Mr. Ridduan kacukan Cina?”

Ridduan menganggukkan kepala dan tersenyum bangga. Sebenarnya dia bukan bangga, tapi lucu melihat wajah Hana yang terkejut, seakan baru mengetahui dia kacukan Cina. Dari wajahnya juga telah terpancar, dia darah kacukan Melayu Cina.

“Emmm.... patutlah....”

“Patutlah apa?” tanya Ridduan yang mencelah.

Hana pula menggeleng.

Ridduan tersenyum lagi. Dia tahu apa yang ingin dikatakan Hana tapi tidak kesampaian.

“Maafkan saya telah memalukan Mr. Ridduan tempoh hari.” Hana memohon maaf sekali lagi.

Dalam masa yang sama dia melepaskan tangannya tapi masih dipegang Ridduan.

“No.. no.. no...” jari telunjuk digerakkan perlahan di depan Hana.“Awak tak boleh panggil saya Mr.. Mr. lagi. Awak boleh panggil saya Ridduan. Baru kedengaran mesra seperti kawan‐kawan.

Tapi kalau awak panggil saya sayang, lagi mesra tahap ekstravaganza. Boleh?”

Hana hanya mendiamkan diri.

“Dan saya terima maaf dari awak. Sebab awak, saya tidak kisah dimalukan kerana saya sukakan awak Hana. Tapi kalau bukan awak, saya pasti marah.” Sambung Ridduan lagi.

Mendengar kata‐kata Ridduan, hatinya mula berdebar lagi. Badannya terasa sangat panas. Bahang panas naik hingga ke muka. Peluh merenik di dahi. Hana cuba mengawal perasaan dan nafasnya. Suka! Dia dapat rasa dirinya juga suka dengan pengakuan itu. Tapi fikiran masih waras. Dia tidak patut rasa begitu. Diakan tunangan orang. Bakal isteri kepada Aman. Ridduan tak patut luahkan cakap begitu. Tapi... mungkin juga Ridduan suka sebagai teman. Bukan sayang, kasih atau cinta. Ini tak boleh jadi, sebelum Ridduan pergi lebih jauh dan sebelum dirinya hanyut dengan Ridduan, dia perlu beritahu status dia sebenar.

“Boleh saya tanya. Siapa lelaki bersama awak tadi?” cemburunya masih menyelubungi hati. Dia tidak mampu menyimpan soalan yang berulang kali timbul di lubuk hatinya. Dia ingin tahu.

Siapa...

Pertanyaan Ridduan mengejutkan Hana. Perkara penting yang perlu diberitahu Hana telah melayang jauh.“Lelaki? Siapa yang Mr. Ridduan maksudkan?”

Mr. Ridduan lagi! dia ingin betulkan panggilan itu, tapi soalan yang diajukan lebih penting daripada panggilan itu. Dia tidak mahu tukar topik. Dia perlu tahu siapa gerangan lelaki yang mampu buat Hana ketawa gembira.“Lelaki yang makan bersama awak tadi.”

“Siapa? Mr. Eric... dia pun sama seperti Mr. Ridduan.”

“Sama? Apa... dia pun sukakan awak juga.” Lantas Ridduan mencelah. Dia sedikit gelabah. Itu saja yang mampu dia fikirkan. Tapi, daripada rona wajah mat salleh itu jelas kelihatan sepertinya dia juga sukakan Hana.

“Eh... Mr. Ridduan ni ke situ pula. Dia juga regular guest di sini, sama seperti Mr. Ridduan. Dia di
bawah jagaan saya.”

“Daripada pandangan dia, saya tengok dia macam sukakan awak. Saya tahu, sebab saya lelaki. Pandangan lelaki pada orang yang dia suka, seperti saya pandang awak.”

“Ishhh... Mr. Ridduan ni ada‐ada aje la. Tak mungkin dia begitu, saya pasti.”

“Ridduan... saya nak awak panggil saya Ridduan. Bolehkan...”

Hana hanya mendiamkan diri. Dia tidak membalas ya atau tidak. Kerana dia tidak pasti. Jika dia memanggil nama sahaja pasti orang staf di situ akan pelik dan seperti tidak profesional. Hana semakin tidak selesa bingkas bangun meninggalkan Ridduan.

“Hana nak ke mana?”

“Saya nak balik pejabat. Ada kerja yang masih tertangguh.”

“Kita balik sama.”

Ridduan mendahului Hana turun satu persatu batu‐batuan besar kemudian menghulurkan tangan untuk membantu Hana. Hana tidak mengendahkan cuba turun sendiri. Oleh sebab batu agak curam dan berlumut, Hana hampir tergelincir dan sempat disambut oleh Ridduan.

Hana kini dalam dukungan Ridduan. Mata mereka bertaut beberapa saat. Jantungnya berdegup laju seperti ingin pecah. Segera kakinya jejak ke tanah dan berjalan laju meninggalkan Ridduan.

Ridduan mengejar Hana. Berjalan di belakang Hana. Bila Hana tidak mengendahkannya, dia memercikkan air laut ke arah Hana. Hana cuba mengelak tapi Ridduan lebih pantas. Hana tidak dapat mengelak lagi dan membalas serangan Ridduan. Mereka berlari di pesisiran pantai dan bermain ombak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan