Lembaran Khilaf
(Tahun 60an)
Apabila tiba waktunya, akan terbuka sebuah pintu yang tersembunyi. Maka akan muncul penghuni dari alam sana untuk mencari perapat dua bangsa ciptaan Illahi. Apabila terikat perjanjian, anak Adam haruslah tepati. Andai menafikan hal yang terpatri, maksudnya harus mati! Disongsangkan takdir, kutukan diburai melempahi bumi. Hawa dan keturunannya jadi galang ganti. Seluruh kampung dipaksa membalas budi. Hanya kerana kaum Adam yang salah berjanji.
منْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا هُ جَعَلَ لَكُم وَالل – surah an‐Nahl: 72
منْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم – surah ar‐Rum: 21
‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐
“Allahuakhbar! Allahuakhbar!” laung beberapa orang pemuda.
"Mustakim!" jerit Damar.
Mustakim yang sedang meraut kepingan buluh, berhenti mengerjakan bubu buatan tangannya dan bingkas bangun dari duduk. Dia bergegas menuruni anak tangga dan mendekati sekumpulan lelaki yang sedang melaung takbir memasuki halaman rumahnya.
"Apa hal ni Damar?" soal Mustakim.
Dalam samar‐samar cahaya api dari jamung, Damar menyeka peluh didahinya. Terkial‐kial lelaki tua itu menarik nafas.
"Aku rasa pintu yang tertutup dah terbuka! Orang di darat mengadu ada terdengar suara menyeramkan di dalam hutan sana. Bunyinya sama macam yang kita pernah dengar bila 'pintu' itu terbuka," jawab Damar.
Riak wajah Mustakim berubah serta merta. Bersegera dia mengatur langkah dan mendaki tangga. Sebentar hilangnya dari pandangan, Mustakim muncul semula bersama Sahil.
"Jangan bimbang, jangan takut. Berpagar rumah tak akan runtuh. Ambillah wuduk dan mengajilah. Abang akan pulang seberapa segera," pesan Sahil.
Gayah yang turut sama berdiri di serambi rumah sekadar mengangguk. Sahil yang hanya memerhati tingkah menantu dan anaknya diapit gusar.
"Tak payah ikut pun tak mengapa Sahil. Ayah pergi sebentar. Kau jagalah keluarga," kata Mustakim.
"Biar Sahil uruskan. Ayah yang patut tinggal di rumah," ujar Sahil.
"Ayah nak tahu apa yang terjadi. Sahil tak perlu risau ya. Lagipun janji kau telah terbatal."
"Janji boleh diperbaharui kalau ada yang membuka 'pintu' secara sengaja. Kutukan akan bermula. Sumpahnya mati, ayah. Berjanjinya mudah. Memutuskan janji ada pertukarannya."
Mustakim berkerut dahi.
"Pintu mana yang terbuka?" soal Sahil kepada pemuda‐pemuda kampung.
"Sebelah darat," balas Misdur.
"Hanya yang 'bersih' dirinya boleh mengikut kami," ujar Sahil sambil menyarung selipar, diikuti Mustakim.
Rombongan kecil mula bergerak, membelah kepekatan malam. Mereka berjalan kaki menghala ke darat. Selepas kanan, kawasan kampung Parit Haji Kadir digelar 'laut', termasuk kedudukan rumah Mustakim yang bersebelahan saja dengan sungai. Di darat lebih padat hutannya dan kurang penduduknya.
Gayah melangkah perlahan sempadan pintu usai menghantar Mustakim dan Sahil dengan pandangan mata. Dia tidak mahu berlama‐lamaan diluar. Malam kian larut. Mendengar 'pintu' di darat sudah terbuka, Gayah khuatir. Tipulah jika dia tidak takut ditinggalkan tanpa lelaki di rumah. Namun dia harus menurut kata.
Daun pintu ditarik dan diselak kunci. Keluhan Kastona menyapa pendengaran Gayah. Dia berlari anak menuju ke bilik yang terletak di kanan dapur. Gayah melabuhkan duduk dibirai katil bersebelahan Kastona yang baru saja merebahkan diri di atas katil kerana tidak sedap badan tadi. Dia terlelap sebentar sebelum terjaga semula.
"Kenapa mak?" soalnya.
Kastona membuka mata. Selimut yang membalut tubuhnya dibuang ketepi. Telapak tangan Gayah diletakkan di atas dahi Kastona. Panas!
"Mak sempat jengah tingkap tadi sebelum masuk tidur. Ada orang datang kan, Gayah?" soal Kastona.
"Orang kampung, mak."
"Hendak apa perempuan tu ke mari?" tanya Kastona.
"Semua pemuda kampung. Sahil dan ayah ikut mereka ke darat. Ada masalah sikit," kata Gayah tidak berterus terang.
"Tapi..."
"Tidurlah mak. Gayah nak ke bilik anak‐anak. Nak bawa mereka ke sini. Tidur dengan mak."
"Mak macam pernah nampak perempuan tu, Gayah. Walaupun mak tak nampak muka dia..."
"Sudahlah mak. Jangan difikirkan lagi. Dah tengah malam ni."
Gayah bangkit dan bergegas keluar dari bilik Kastona. Dia masuk ke dalam kamar Hisyam dan Fiza. Satu persatu anaknya dikendung dan diletakkan di sebelah Kastona. Sepasang mata orang tua itu merenung Gayah. Nampak tidak selesa tingkahnya.
Wanita itu berderu langkah ke dapur dan berhenti, mengadap pintu. Pintu kayu berwarna biru direnung seketika. Gayah menghela nafas beberapa kali. Rumah sudah dipagar. Tiada apa yang akan melangkah sempadan. Jangan khuatir, jangan gelabah. Yang tak diundang, tak akan masuk.
Gayah menoleh lalu mengambil lampu ayam yang bertenggek di atas dapur kayu. Selak dilepaskan dari pegangan. Daun pintu ditarik. Serta merta pemandangan gelap memenuhi ruang kornea mata. Gayah menjulur kepala. Dibawa lampu ayam mendekati kepalanya. Disuluh persekitaran. Apabila hatinya menyakini tiada apa diluar sana, Gayah bergerak ke halaman belakang rumah. Di sisi teratak, dua buah tempayan besar diletakkan. Bekalan air bersih disimpan di situ. Gayah menoleh ke kanan dan ke kiri sebelum meletakkan lampu ayam di tangga batu. Penutup dari dulang makanan diangkat. Mangkuk dicedokkan ke dalam tempayan. Gayah ingin mengambil wuduk.
"Bismillahirrahmanirrahim..."
"Assalamualaikum..."
Air yang sedang dituang ke telapak tangan berjejeran ke pakaian Gayah. Dia yang sedang membongkokkan diri, terkaku.
"Assalamualaikum..."
Lembut huluran salam. Serasanya mendayu‐dayu. Arah datangnya suara dari belakang Gayah. Anak mata Gayah bergerak ke kanan. Angin lembut mula berpuput menyentuh fizikal Gayah. Bahagian badan yang dibasahi air, terasa sejuknya. Gayah menegakkan badan perlahan‐lahan. Mangkuk yang digunakan sebagai gayung diletakkan di atas pemukaan penutup tempayan satu lagi.
"Gayahhh..." panggilnya berharkat.
Gayah menelan air liur.
"Lama tidak bersuaaa..." ucapnya lagi.
Gayah menggeleng beberapa kali. Dia segera mengambil wuduk walau suara itu terus bergentayangan di udara. Seramnya usah dipersoalkan. Pesan Sahil mahu dilaksanakan.
'Sempadan' berpagar tidak boleh dilepasi. Tiada apa yang patut ditakuti. Gayah bersegera mencapai tangkai lampu ayam. Tanpa menoleh ke belakang, Gayah segera mendaki tangga batu.
"Sampai hati..."
Gayah segera menutup pintu. Dia tidak peduli dengan suara sayu itu. Mahluk yang berjaya mencuri hati Adam dan mengikat perjanjian. Suara itu datang dari mahluk ghaib yang menakutkan. Mahluk yang pernah memisahkan jiwa antara manusia.
"Aku datang membawa dendam. Janji tak ditepati, anak Adam mungkiri. Malapetaka aku bawa ke sini. Matilah Hawa, matilah Hawa! Sebagai ganti si tubuh pengikat janji. Kutukanku buat mereka yang tak berpegang kata. Cercaanku buat mereka yang tidak tahu membalas budi."
Gayah menggeleng beberapa kali. Kutukan yang pernah dilafaz, mungkinkah telah bermula?
Pap! Daun tingkap terbuka. Terpacul wajah pucat. Terjengkil berbola matanya berurat merah.
Jeliran lidah menyapu permukaan rangka tingkap.
"Gayah... He... He... He..."
"Allahuakhbar!" jerit Gayah.
9 tahun yang lalu.
Perkampungan Parit Haji Kadir, Batu Pahat
Mustakim bergegas ke ruang tamu. Sebelum menutup tingkap, dia memerhatikan persekitaran yang tidak tenteram. Pokok‐pokok getah bergoyang ke kiri dan ke kanan selepas dibantai amukkan sang angin. Deru tiupan pawana mengusik daun pokok hingga menghasilkan siulan.
Sesekali tertangkap bunyi kayu tua dipatahkan seperti dipijak sesuatu atau seseorang. Melodinya jelas kerana serangga malam membisu seakankebun getah miliknya tidak berpenghuni.
Langit gelap gelita tanpa sinaran bulan. Bintang tidak menampakkan kehadirannya. Malam ini mengiringi cuaca yang tidak menentu. Mustakim merenung sampai ke hujung kawasan yang diterangi cahaya suram dari lampu ayam. Lelaki tua itu menghela nafas sambil menggaru belakang tengkuk. Dia berkeadaan begitu hinggalah Kastona tercegat di belakangnya.
“Tutup tingkap bang. Angin tak elok tu,” tegur Kastona.
Mustakim mengangguk namun dia membiarkan angin melintas masuk ke dalam rumahnya.
Kastona menggeleng sambil berpeluk tubuh. Sejuk sampai menikam tulang hitam. Namun, dia masih setia di sisi Mustakim sambil merenung wajah suaminya yang semakin dimamah usia.
“Aku tak sedap hatilah Kastona. Aku takut rundingan itu nanti tidak berpihak kepada kita,” ujar Mustakim, bimbang.
Tangan kanan Mustakim menggosok dadanya. Wajah berkerut menandakan Mustakim tidak senang hati.
“Mahu atau tidak, abang kena hadapi juga. Sudahlah bang. Tutup tingkap tu.”
Mustakim mengeluh lagi. Dia menarik daun tingkap namun pandangannya terbejat pada bayangan wanita di halaman rumah. Seperti Mustakim, wanita itu tidak melepaskan renungan ke arahnya.
“Kastona, pergi dapatkan Gayah. Khabarkan masanya telah tiba,” arah Mustakim.
Kastona menurut. Melihat riak wajah suaminya yang cemas, Kastona tidak bertanya. Dia sudah sedia maklum dengan kebimbangan Mustakim.
Mustakim segera membuka pintu. Pandangannya meluru ke arah wanita itu lagi. Mustakim menatapnya tanpa mengerdipkan mata. Dia melambai‐lambaikan tangan memanggil. Tetapi bayangan itu masih kekal dihadapannya.
“Assalamualaikum...”
Mustakim menoleh, “Waalaikumusalam, Damar.”
Mustakim menjemput Damar sekeluarga masuk ke dalam rumah. Kastona keluar dari bilik anak daranya selepas menyampaikan kata‐kata Mustakim. Damar mendudukkan Sahil di tiang seri. Sahil dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mustakim mengarahkan Damar dan Hamiya bersila di satu sudut. Sementara seorang gadis berdiri dimuka pintu. Dirinya terlindung dek langsir berbunga merah. Lama dia digawang sebelum melangkah keluar dari bilik. Lalu wajah sunggulnya ditatap Mustakim. Kasihan.
Ikutkan hati, Gayah tidak mahu mengambil tahu akan perihal keluarga Damar. Namun telah dipujuk Mustakim sejak sebulan lalu.
“Mustakim, aku ke sini seperti yang kau minta. Terpaksa aku bawa si Sahil ke sini walaupun budak tu tak berapa sihat. Ada apa ya Mustakim?” soalan itu terpacul keluar dari mulut Damar.
Dari petang tadi dia berteka teki dek kerana arahan Mustakim.
“Aku nak selesaikan masalah anak kau. Masalah Mawar...,” ujar Mustakim.
“Humm... Sahil ni saja yang berimaginasi lebih. Entah siapa Mawar yang dia kenal. Katanya anak engkau. Tapi mustahillah.”
“Mawar tu menumpang di kampung ini,” kata Mustakim.
“Ada orang yang bernama Mawar di kampung ini?” soal Damar ingin kepastian.
“Mawar tu kenalan aku. Aku tak pernah tayang dia pada sesiapa kerana dia bukan manusia," jelas Mustakim.
"Ha?" pelik Damar.
Angin yang bertiup kencang tadi semakin mengganas. Bunyi atap zink terhempas‐hempas memukul kayu penahan atap. Zink yang sudah uzur dan berkarat itu entah bila dapat ditukar.
Mustakim terlalu sibuk untuk memikirkan masalah ini. Sedari masalah semakin bertambah dan kerja semakin bertimbun, Mustakim sering keluar rumah di awal pagi. Dia pulang ke terataknya bila senja melabuhkan tirai malam.
Mustakim melepaskan pandangan ke muka pintu. Bayangan wanita yang dia lihat tadi, tidak mahu masuk ke dalam rumah walaupun sudah dipanggil. Pasti dia menanti tetamu lain. Beberapa ketika Mustakim terlihat sesuatu berjalan masuk ke halaman rumahnya.
"Assalamualaikum. Lama aku menanti," kata Mustakim.
Damar dan Hamiya saling berpandangan. Aneh pula bila melihat Mustakim memberi salam sedangkan tiada tetamu lain selainnya. Ketika itu datang pelbagai andaian yang kurang enak didengar jika ditutur keluar dari mulut.
Tiba‐tiba bau wangi menerjah ke rongga pernafasan. Perasaan seram mula menyelubungi diri Hamiya dan Damar. Tegak bulu roma di tangan.
“Hamiya, Damar... Aku nak mulakan rundingan. Kamu berdua lihat saja. Jangan menyampuk perbualan kami,” pesan Mustakim sebelum memperbetulkan kedudukan.
Hamiya dan Damar terpinga‐pinga namun mereka turutkan juga. Damar ke belakang sedikit dan merapati Hamiya.
Mustakim melihat Bakri dan beberapa orang lelaki di belakangnya. Dia memerhatikan wajah mereka satu persatu seperti mencari seseorang yang dia kenali. Tetapi hampa. Mereka semua bukan manusia! Bayangan wanita tadi, Si Mawar baru saja menjejakkan kaki ke dalam rumah.
Dia mengemam bibir.
“Sahil akan ikut Mawar,” kata Mawar tanpa sempat Mustakim membuka mulut.
“Tak boleh,” larang Mustakim.
“Bapak tak boleh halang urusan kami. Sahil dan Mawar dah berjanji. Hidup atau mati, kami mahu bersama,” tegas Mawar.
Mawar menggelar Mustakim 'bapak' walaupun Mustakim tidak menerimanya.
“Aku tetap tak izinkan. Mawar tak boleh bawa Sahil pergi. Dia tidak sesuai dengan dunia kamu. Tempat manusia adalah dikalangan manusia. Aku pasti Mawar tahu persis maksud aku. Jangan meminta hal yang bukan‐bukan. Sudahlah Mawar melanggar arahan. Sekarang Mawar libatkan Bakri.”
“Mawar datang ke sini membawa walik Bakri untuk meminta Sahil secara baik. Tapi bapak tak habis‐habis mengingatkan perbezaan darjat Mawar dengan Sahil."
“Aku akan jaga pemuda itu sebaiknya, Mustakim. Usahlah engkau risau tidak bertempat.” Bakri bersuara.
"Sebelum dia berjanji dengan Mawar, Sahil terikat dengan Gayah dulu. Antara mereka sudah seia sekata untuk hidup bersama. Janji Mawar tidak boleh diguna pakai," jelas Mustakim.
"Siapa kata? Janji kami temeterai sebelum mereka terikat dalam pertunangan. Sebelum bapak dipertemukan dengan Mawar, Sahil telah Mawar pilih sebagai pengikat dua bangsa. Apa bapak fikir semua ini percuma? Kampung yang makmur, subur tanahnya adalah kurniaan kami. Mawar hanya minta Sahil sebagai pertukaran janji yang anak‐anak Adam pernah tawarkan. Jadi, janji siapa yang boleh diguna pakai?" berang Mawar.
"Yang berjanji dengan kaum kamu itu orang lain!" bentak Mustakim.
"Usah bapak menegur! Walhal nikmatnya bapak tumpang sekaki."
"Kemakmuran kampung ini bukan dari kamu. Tapi dari Allah yang menciptakan kamu juga."
"Tidak guna bapak ajak berdebat. Bapak tahu akibatnya jika memungkiri perjanjian. Ingatlah bahawa kehadiran Mawar di sini ada maksud yang bapak sudah sedari dari dulu. Menolak bermakna menafikan. Menafikan bermakna satu kampung ini sedia menerima kutukan," ugut Mawar.
"Kami mahukan Sahil," ucap Bakri.
“Kau mahu Hamiya dan Damar menderita sakit rindu kerana berpisah dengan Sahil, sama seperti yang telah engkau lakukan kepada aku dan Kastona? Apa kau sudah lupa? Selama 9 tahun kami hidup dalam kesedihan gara‐gara kau ingin mencapai cita‐cita melalui anakku, Mansor.”
Kastona melepaskan pandangan pada Mustakim. Kerinduannya pada Mansor bangkit semula. Mahu ditangisi, sudah kering air matanya. Tapi itulah takdir Allah yang mengizinkan segalanya terjadi. Hamiya dan Damar pula saling berpandangan. Mereka orang luar, lagilah tidak faham situasi yang dilalui Kastona dan Mustakim sejak 9 tahun yang lalu.
“Kau hantar Mawar kepada aku sebagai galang ganti. Kau fikir aku reda?” Mustakim berdegus geram.
“Aku tidak mengambil Mansor dengan sengaja. Dia layak menerima ilmu dari warisan keluarga kami. Untungnya pada engkau juga kerana Mansor terpilih," kata Bakri.
“Untuk apa? Kalau bukan darjat juga yang kau kejar.”
“Mustakim!” jerkah Bakri.
Mustakim dan Bakri beradu mata.
“Mawar...,” panggil Sahil yang baru tersedar.
Mawar menghala pandang pada Sahil. Dia segera mendekati lelaki itu.
“Sekejap lagi Sahil ikut Mawar ya.”
“Sahil,” panggil Gayah.
Pandangan mata Sahil dan Gayah berlaga. Dia terbatuk‐batuk. Mawar segera mengeluarkan sesuatu dari uncang yang dibawa. Botol yang terisi ramuan herba disuakan ke mulut Sahil. Mawar bersusah payah menyiapkan ramuan itu supaya Sahil cukup tenaga untuk meneruskan perjalanan ke alam sana.
"Kita akan tinggalkan tempat ini nanti," bisik Mawar.
Sahir mengangguk.
“Suruh dia lupakan Sahil dengan segera. Mawar tidak mahu berurusan dengan Gayah jika terjadi apa‐apa kepadanya. Sahil kena ingat, kita tak akan kembali ke dunia manusia lagi,” pesan Mawar.
Sahil mengalih pandang pada Gayah. Wanita itu dipandang sayu. Bekas tunangnya yang setia. Entah bagaimana Sahil boleh mengubah keputusan dan menerima Mawar. Antara Bakri dan Mustakim pula, mereka masih bertegang urat.
“Damar, mereka mahluk halus.” Kastona berbisik.
Hamiya dan Damar terperanjat. Mata Damar dan Hamiya melilau ke sana sini. Dibenaknya diterjah imej‐imej hodoh dan menakutkan.
“Jadi, mereka nak ambil Sahil?” soal Damar.
Kastona mengangguk, “Mustakim sedang usahakan untuk kamu berdua.”
“Tak boleh!” jerit Mustakim.
Masing‐masing terkejut dengan suara lantang Mustakim. Mawar yang dari tadi sibuk memujuk Sahil segera mengalih kedudukan di sebelah Bakri. Mustakim naik angin. Sifat panas barannya terserlah apabila kesabarannya semakin tipis. Walaupun Bakri sudah berusia beribu tahun, itu bukan halangan untuk Mustakim bertegas.
Melihat wajah serius Mustakim, Sahil disapa kebimbangan.
“Apa kita nak buat Mawar?” soal Sahil.
Mawar menoleh, "Kalau begitu Sahil harus mati. Mati! Janji anak Adam kepada bangsa kami tidak boleh dibatalkan. Janji ikatannya nyawa."
“Sahil, fikirkan akibat yang bakal diterima sebelum bertindak. Ingat Mak cik Hamiya dan Pak cik Damar. Sahil nak jadi anak derhakakah?" Gayah cuba memujuk Sahil.
Mawar mengerling. “Dasar manusia!”
“Mawar...,” panggil Mustakim.
Wanita itu tidak mengalihkan titik fokus kepada Gayah.
“Sahil, jangan mungkiri janji kita. Satu langkah saja lagi, dan kita akan hidup bahagia. Di sana bagaikan Syurga. Dunia sana sangat indah. Sahil tidak akan merindui sesiapa," pujuk Mawar.
“Benarkah Mawar?” soal Sahil.
“Benar," jawab Mawar.
"Damar bawa Sahil berwuduk. Aku mahu mengelakkan dia dari terkena 'mata jahat'. Kemudian kau bawa dia ke bilik belakang. Suruh dia berzikir," arah Mustakim.
Damar bingkas bangun. Sahil segera dibawa ke ruang rumah dibahagian bawah, dibantu Hamiya. Sahil yang sudah bertenanga cuba untuk melepaskan pegangan Damar. Dia mahu bersama Mawar.
"Hatinya dihitamkan. Lupa Allah. Dirosakkan oleh 'mahluk' yang aku biarkan untuk tinggal di kampung ini kerana percaya janjinya untuk memulangkan Mansor, anakku. Mungkir janjinya kepada manusia tidak dikira tapi janji manusia kepada mereka, dituntut."
"Aku tidak akan pulangkan Mansor jika itu keputusanmu," tegas Bakri.
"Kau tidak pernah berniat untuk memulangkan Mansor. Malah kau bermain kata untuk mengambil Sahil. Tidak puas dengan menyeksa kami sekeluarga, kau tambah lagi bebanan kami."
Gayah yang menjadi pemerhati dari tadi belum lelah untuk mengesan kehadiran keluarga Mawar. Kadangkala saja dia terlihat kelibat perempuan yang disyaki Mawar. Itupun selepas dia bertunang dengan Sahil dan diganggu Mawar siang dan malam.
'Jin' yang bermakna terlindung dan tersembunyi. Jin adalah roh yang berakal, mukalaf namun tidak berjasad seperti manusia, tidak dapat dilihat, boleh berubah kepada bentuk yang dikehendaki. Unsur‐unsur manusia dan jin tidak banyak jurangnya antara asal kejadian namun tahap kesempurnaan itu berbeza.
Mawar bingkas bangun. Diperhatikan dari tempatnya berdiri ke ruang bilik yang menempatkan Sahil. Langkahnya dibuka dan berhenti disisi Gayah. Tapak tangannya diletakkan di atas kepala wanita itu. Bisik‐bisik halus mula kedengaran. Gayah mula merasakan kelainan di dalam dirinya. Perasaan yang sama ketika dia diganggu sehingga kemurungan. Dari satu kampung ke satu kampung menjadi buah mulut orang kerana kisahnya. Perasaan malu menyebabkan dia berkurung didalam bilik setiap hari.
"Weakk...."
Membuak darah merah keluar dari mulutnya. Mustakim bingkas berdiri apabila menyedari perbuatan Mawar. Bersegera dia melibas tangan ke arah Mawar sehingga menjerit nyaring mahluk itu. Bakri turut menyertai. Pantang anak pinaknya disakiti.
Mustakim mengangkat tangannya ke arah Bakri. Serta merta berundur langkahnya. Mustakim merenung wajah Bakri yang kelihatan tenang itu.
"Pintu di 'darat' dan di 'laut' harus ditutup. Tiada lagi yang akan masuk ke sini sesuka hati. Janji untuk penyatuan dua mahluk berbeza kejadian akan terbatal," putus Mustakim.
"Ada saja manusia yang berkahwin dengan kaum jin!" tegur Bakri.
"Tidak boleh walaupun bangsa jin pernah mengahwini manusia. Tidak boleh kataku kerana kau membawa niat lain. Tujuan persahabatanmu itu tersirat. Tapi aku tidak tahu apa niatnya selain darjat manusia yang didamba."
"Aku seagama sepertimu, Mustakim. Jangan fitnah kami," sayu Bakri.
"Salamku tidak pernah kau sambut!" jerkah Mustakim.
"Kau terlalu curiga."
"Kafir... jin kafir," sebut Gayah sebelum rebah.
"Gayah!" Bergegas Kastona mendapatkan Gayah.
Bum!
Bunyi hempasan pintu dapur mengejutkan seisi rumah. Damar dan Hamiya bergegas naik ke bahagian atas rumah. Wajah cemas beriak jelas. Mustakim pula tidak dapat melihat keluarga Mawar. Nyata mereka sudah pergi membawa Sahil.
"Dia hilang macam tu aje. Sekelip mata," adu Damar.
"Sebenarnya Mansor sudah meninggal dunia kan Ayah? Dia tergoda dengan perjanjian yang sama dengan Sahil. Seekor jin dihantar mewakili bangsanya untuk upacara pembaharuan ikatan perjanjian. Betul, kan?" soal Gayah yang kelihatan lemah. Mawar yang memberinya ilham.
Serta merta Kastona merenung Mustakim. Sang suami mengelak pandang. Dia sendiri baru tahu akan kematian Mansor pada hari Sahil dikesan sudah dipukau perjanjian dengan jin betina iaitu Mawar, sebulan yang lalu. Bunian katanya ketika berjumpa kali pertama. Penipuan paling sempurna.
"Tak akanlah kau tak sedar yang mahluk halus tu semuanya jahat," soal Hamiya.
"Aku juga manusia biasa. Kadang tak terlihat yang tersurat. Inikan pula mengecam dengan mudah apa yang tersirat. Aku jemput mereka masuk walaupun tahu mereka mahluk jahat dengan sisa harapan bila mengenangkan Mansor. Pada masa yang sama untuk berunding, walhal itu sesuatu yang tidak perlu dilakukan," keluh Mustakim.
"Betul ke, bang?" soal Kastona.
Mustakim tidak sampai hati untuk menjawab. Bergenang juga air mata.
"Di mana Sahil sekarang Mustakim?" tanya Hamiya, terdesak. Remuk perasaan suami isteri itu diabaikan sebentar.
"Kita ke belakang rumah. Salah satu pintu berada di 'laut'. Didalam rimbunan pepohon buluh dikebun aku. Di situ salah satu laluannya. Mari..." ajak Mustakim.
‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐Sekarang‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐‐
"Berpuluh tahun yang lalu ketika perkampungan ini baru dibuka, anak‐anak muda ghairah dengan kemewahan hasil perladangan. Tanahnya subur. Tetapi untuk pertanian buah‐buahan agak kurang membrangsangkan. Tanahnya masam. Pokok berbuah manis tak mahu hidup."
Damar membuka cerita.
"Jadi perjanjian dengan mahluk dari alam sana dipersetujui. Kemewahan bukan datang dari sumber pertanian saja, bahkan perlombongan dan pertukangan. Pertukarannya, sama ada lelaki mahupun perempuan, akan diambil untuk menghuni dunia sana. Bagaimana prosesnya aku sendiri tidak tahu walaupun pembuka tanah ini adalah aku. Kesilapan penduduk kampung membinasakan hidup orang yang tidak bersalah. Mansor salah seorang mangsanya. Mereka yang memilih. Aku fikir mereka ambil dia untuk diperturunkan ilmu yang bukan semua orang biasa dapat tapi baru aku sedar bahawa ada puak‐puak dalam bangsa mereka mempergunakan manusia.
Pintu yang tersembunyi akan terbuka apabila tiba masanya. Mereka yang mengawal keadaan, bila mahu menjejak ke alam manusia. Dalam catatan sejarah, kebolehan manusia untuk masuk ke alam jin tidak dimulakan oleh manusia. Ia berlaku jika jin membuka tabir alamnya untuk manusia tinggal bersama. Jika hendak keluar dari alamnya, perlukan keizinan," jelas Mustakim.
"Macam mana Sahil boleh terlepas?" tanya Misdur, ingin tahu.
Damar merenung Misdur, "Cara Sahil terlepas adalah secara paksaan dan sekaligus mendapat amaran..."
"... kutukan..." sambung Mustakim.
"Ayah, abah.... petanda pertama telah ditunjukkan," ujar Sahil, jarinya menunding ke pokok getah yang berada di tepi anak sungai.
Terbuai‐buai tubuh seorang lelaki, tergantung jasadnya. Rombongan kecil tu berhenti melangkah. Anak‐anak muda lain menyorok dicelah teman‐temannya. Perasaan tidak enak bertambah‐tambah.
"Orang ni bunuh diri dengan rela," kata Mustakim.
"Petanda pertama bermulanya kutukan ialah apabila jiwa yang rapuh memilih untuk menamatkan riwayatnya," kata Sahil, tenang.
"Macam kenal aje, kan? Warga asing ni. Pembantu kedai runcit depan sana," bisik‐bisik perbualan dibelakang.
Walaupun hanya bergantung dengan cahaya samar dari jamung, dapat dilihat pucatnya wajah
lelaki yang membunuh diri itu. Aneh. Terbuai‐buai tubuh lelaki itu tanpa ada penyebab
pergerakkan mayat tersebut.
Mereka meneruskan perjalanan, menyeberangi sungai. Terhenti sekali lagi langkah yang di
atur. Jamung dihala ke lantai jambatan.
"Petanda kedua, 'Korban petir'. Mati mengejut," ucap Sahil.
Padanlah berlaku ribut petir dalam beberapa minit sebelum rombongan Damar sampai ke
rumahnya. Bergelimpangan burung puyuh yang dikenali sebagai korban petir. Pantangnya
tidak boleh mendengar petir, pasti mati. Rombongan kecil itu menghampir tebing jambatan.
Masing‐masing tidak mahu melangkah bangkai.
Ketika itu Sahil terpandang anak sungai. Serta merta lelaki itu beristifar. Empat tubuh
terapung‐apung di atas permukaan air.
"Ayah, Sahil nak balik ke rumah," pintanya.
"Kenapa?" soal Mustakim.
"Petanda ketiga, ditunjukkan pada pemungkir janji akan wajah‐wajah orang yang akan menjadi
korban seterusnya. Sahil nampak Gayah, mak dan anak‐anak terapung di atas air. Mati dalam
trauma," jelas Sahil. Dia juga melihat dirinya didalam bayangan itu.
"Ayah ikut." Mustakim memegang lengan Sahil.
"Tapi salah seorang kena tutup pintu di 'darat' tu," tegur Damar.
"Kamu selesaikan masalah di 'darat'. Biar ayah tengok‐tengokkan apa yang jadi di rumah.
Kamu pergilah Sahil. Kutukan akan bermula selepas petanda ke lima ditunjukkan. Kalau boleh
berlarilah ke sana tanpa henti. Dah tak jauh tu," arah Mustakim.
"Apa petanda keempat dan kelima Sahil?" Misdur ingin tahu.
"Petanda keempat, satu‐satu nyawa kaum Hawa di kampung ini diragut berperingkat. Kerana
dalam kutukan Mawar, yang berjanji adalah Adam. Memungkiri, galang ganti adalah Hawa.
Petanda kelima, yang sudah mati, hidup semula," jelas Sahil.
"Allahuakhbar. Cepatlah Sahil!" Misbur gelabah.
Mustakim menepuk bahu Sahil dan segera berlari pulang ke rumah. Sahil dan rombongannya
turut bergegas ke pintu 'darat'. Setiap petanda ditunjukkan dalam jangka masa yang cepat.
Sahil tahu akibatnya apabila bangsa jin yang berdendam dengannya melancarkan serangan
balas kepada manusia. Kutukan Mawar ialah kematian. Bukan saja dirinya tetapi semuanya
pasti mati! Bukan penduduk kampung ini saja menerima balasan tetapi seluruh tempat yang
terjangkau. Merebak sumpahannya sampai tiada yang bernyawa.
Rombongan Sahil memasuki kebun getah dan menyelinap masuk kecelah hutan rimba. Mereka
berhenti apabila telah menemui sebuah tempat yang agak lapang. Sahil segera mengarahkan
rombongannya mengambil wuduk di anak sungai terdekat dan memulakan proses menutup
pintu yang tersembunyi, satu ruang yang membenarkan mahluk ini keluar masuk sesuka hati.
"Tiada sesiapa boleh mengatur ilmu untuk masuk ke alam jin. Kaedah‐kaedah kembara roh,
rawatan, teknik kembara atau apa saja cara tidak sama dengan kemasukkan ke alam jin," kat
Sahil sambil berjalan ke hadapan dan bersila.
Yang lain turut mengikut. Mereka duduk di belakang Sahil. Belum sempat Sahir memulakan
bacaan, terdengar sayup‐sayup suara jeritan kaum Hawa. Teman‐teman dibelakang Sahil
sudah bergelora perasaan. Petanda keempat telah ditunjukkan. Entah suara siapa. Adakah
isteri, kakak, anak atau cucu mereka. Seorang demi seorang bangun dari duduk.
"Belum terlambat selagi petanda kelima tidak ditunjukkan. Duduk dan bantu aku," pinta Sahil.
Sahil menyebut ikrar pemutus beberapa kali. Kemudian membaca beberapa surah dan berzikir
beramai‐ramai. Mengikut cerita ketika dia hampir masuk ke alam sana, Mustakim
menyedarkannya. Orang tua itu sempat memegang kepalanya dan membaca beberapa surah.
Sahil terus terbaring lesu di pintu 'laut'. Mustakim menghalau Mawar dan kerabatnya masuk ke
alamnya semula dan menutup pintu yang terbuka. Namun kutukan Mawar bakal terlaksana jika
ada yang membukanya semula dengan menumpahkan darah korban pilihan mahluk durjana.
"Aku yang membukanya..."
Sahil mendongak muka. Serta merta Sahil bangkit dari silanya namun didalam hati berterusan
berzikir. Kehadiran individu ini sangat mengejutkan.
"Assalamualaikum," ucap Sahir.
Hanya senyuman sinis diperolehi dari Mansor.
"Semuanya akan berakhir. Tiada sesiapa akan selamat. Melainkan kau masuk ke alam kami dan
bersatu dengan bangsa yang telah engkau curahkan janji. Tidak akan terbatal kata‐kata yang
dilafaz. Itu kau sendiri tahu," kata Mansor.
"Apakah petanda ketiga telah berlaku?" soal Sahil.
"Keluargamu sudah menemui ajalnya. Aku yang membenarkan Mawar masuk ke rumah kita."
Sahil menelan air liur. Rasa kembang dadanya. Kesedihan yang tidak terucap.
Jeritan kaum Hawa semakin jelas kedengaran. Serasanya wanita‐wanita yang tinggal
dibahagian darat terkena dahulu. Berselang seli pula suara kaum Adam. Kekecohan telah
berlaku. Semuanya kerana Mansor! Anak Mustakim yang disangka telah mati telah membuka
pintu yang sepatutnya terkunci. Darahnya yang diperah dimuka depan pintu ghaib. Darah
mangsa terpilih.
"Mari, ikut kami. Maka semua kutukan akan terbatal. Tiada lagi yang menderita. Percayalah...,"
pujuk Mansor.
Mansor berjalan ke depan perlahan‐lahan dan berhenti setelah 5 langkah. Sahil menoleh ke
belakang dan merenung Damar. Jeritan suara orang kampung menggugah hatinya.
"Damar akan pulang apabila selesai urusan," ucap Sahil sebelum mengikut Mansor. Mereka
berdua hilang sekelip mata dari pandangan.
Damar terkebil‐kebil sendirian. Suara jeritan masih kedengaran. Walhal katanya semuanya
berakhir apabila Sahil mengikut Mansor. Adakah semuanya penipuan supaya Sahil ke alam
sana? Rombongan kecil itu membatukan diri seketika.
Prakk... Prakk...
Semua pasang mata berpaling ke kanan. Kedengaran ranting pokok dipijak berkali‐kali. Dalam
kesamaran cahaya suram dan berkabus, muncul sesuatu. Damar menajamkan pandangan.
"Allahuakhbar!"
Petanda kelima muncul! Orang yang mati telah dihidupkan!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan