Label

Rabu, 4 Januari 2017

NOVEL Rimau Di Tepi Tasik Bab2

SEMINGGU KEMUDIAN.

Sebuah Alfa sport model terbaru dengan spoiler setinggi enam inci mengepak condong di atas but, membelok ke kanan tanpa signal berkelip‐kelap. Hon memanjang diikuti jerkahan keras dan terpecah makian yang segera menyusul. Secepat Alfa sport warna serba putih itu membelok, cepat pula pemandunya mengilas masuk parking. Begitu mudah baginya kerana ada dua tempat kosong di antara deretan panjang kereta dan pelbagai kenderaan lain yang parking di sepanjang deretan rumah kedai dua tingkat itu.

Seorang lelaki yang segak, tinggi kira‐kira lima kaki sembilan, hidung mancung, kulit cerah, dalam lingkungan umur pertengahan empat puluh, menolak pintu kereta dengan kepala lutut, dalam keadaan dia berusaha untuk mengimbangi dirinya mendakap tiga empat fail tebal dan sebahagian isinya terjulur. Di bahunya pula tersangkut tali sandang sebuah beg warna hitam agak besar yang nampak sendat dan berat, menyengetkan badan dan menegangkan urat lehernya. Nampak benar dia menggagahkan diri untuk mengimbangi badan dan segera berlalu.

Punat central locking ditekan, langkahnya tergesa‐gesa melintasi tiang meter parking yang tidak dipedulikannya. Dalam keadaan sebegitu, masih sempat dia berusaha untuk melonggarkan tie. Dia melintasi kedai tomyam, kedai alat tulis, seven eleven, kedai dobi, kedai oftamatris, kedai elektrik dan sebuah butik. Dia berhenti sebentar membetulkan duduk fail yang terdakap di dadanya ketika sampai di anak tangga di antara butik itu dengan sebuah kopitiam di unit paling hujung.



Di tingkat satu, pada sebuah papan tanda ﴾panjangnya separuh sahaja daripada penanda kopitiam﴿ tertulis: TENGKU SOLIHIN, ZAKI RAHIM & ASSOCIATES. PEGUAMCARA & PEGUAMBELA. Lelaki yang sekilas pandang nampak iras‐iras Arab itu menapak naik anak tangga yang pertama agak hati‐hati mengimbangi badannya, dan apabila telah terasa selesa dan lebih yakin, lebih deras dia melangkah semacam menghambat anak tangga teratas.

Ketika berdiri di depan pintu, saku seluarnya bergegar, dek segeranya dia menyeluk badannya sudah tidak seimbang lagi. Lantas terlepas segala fail daripada dakapannya. Dia mendengus namun tidak berusaha pula untuk mengutip fail‐fail itu dengan segera. Baru sahaja telefon dapat digenggam, dan ditarik keluar, gegarannya sudah berhenti. Dia memeriksa skrin telefon.

Ditekan ikon miss call.

‘Ugh, Tengku lagi! dah lima kali. Apa yang penting sangat ni?’

Dengat cepat dia menyauk fail dan isi yang agak bersepah, kemudian segera pula menekan kotak kod. Dia mendecit dua tiga kali. Ditekan sekali kod itu. Masih tidak berjaya. Jarinya beralih arah. Ditekan punat loceng di atas kotak kod kunci. Tiga kali berturut‐turut. Sambil berdecit lelaki berambut ikal mencecah kolar kot, menoleh ke belakang. Dia mengintai‐ngintai pintu bercermin gelap yang tertulis dalam tiga baris dengan huruf putih di atas panel segi empat tepat bertanah hitam:

TENGKU SOLIHIN, RAHIM ZAKI & ASSOCIATES.

segala urusan kes mahkamah syariah,
sila berurusan di pejabat sebelah (501‐1A).

Sekarang dia berdiri di depan pejabat bernombor 501‐1A itulah. Pintu bercermin gelap sepenuhnya itu, yang diintai‐intainya, kepunyaan firma itu juga. Cuma diasingkan operasinya khas untuk kes sivil.

Lelaki itu menekan sekali lagi punat loceng. Seorang pemuda belasan tahun menjulur mukanya di daun pintu yang sengaja dibuka sempit, semacam mahu menutupnya dengan cepat pula jika yang disambut itu tetamu tidak diundang, tidak punyai apa‐apa relevansi dengan pejabat itu.

“Maaf, Tuan Zaki! errr...lupa kod lagi?”

Lelaki yang berpakaian sut serba hitam itu mematikan langkahnya setelah pintu tertutup. Dia mengadap pemuda yang hitam manis berambut crew cut, yang berdiri penuh hotmat hampir tersandar dengan pintu.

“Rashid, tukar kunci pintu.!Tak payah guna kod. Err...nanti. Tukar pintu kayu ni. Leceh. Guna pintu cermin. Senang nak jenguk bila loceng berbunyi. Pasang shutter. Orderhari ini juga. Buat serupa dengan office sebelah. Sama standard. Office kita belaka. Moleknya sama saja.”

Rashid hanya mengangguk kepatuhan. Tetapi tiada kata susulan yang mengiakan arahan Tuan Zaki. Nampaknya Rashid tidak sabar‐sabar mahu memberitau sesuatu.

“Tuan Zaki, baru sekejap Tengku...”

Tuan Zaki pantas memintas.

“Aku tau. Usah tercegat sahaja. Telefon kontraktor. Kalau boleh, startkerja hari ini juga! Sebelum hujung minggu mesti beres!”

Rashid mengangguk, dan dia masih cuba menyampaikan hasratnya yang terbantut tadi.

“Baik tuan Zaki! Tapi sekejap tadi Tengku...”

Tuan Zaki tidak memberikan sebarang reaksi ketika dia mencelah di antara dua kerusi lebar di ruang tamu itu. Dia menelengkan kepala melihat cepat akhbar yang terdampar di atas meja.

Dengan fail yang masih terdakap di dada dan beg yang memberat tersandang di bahu, dia mengetuk kecil tetapi cepat di pintu yang tertulis: BILIK KONSULTASI PELANGGAN.

Tanpa menunggu pelawaan, Tuan Zaki terus memulas tombol dan menjenguk ke dalam. Tanpa menuturkan apa‐apa, dia hanya mengangguk kepada seorang wanita yang berpakaian kemas, berkaca mata, selendangnya melingkar di atas bahu.

Wanita yang hanya mengangkat kening dan melemparkan kuntuman manis bibirnya yang merah, di depannya duduk diam seorang lelaki yang bersongkok, seorang lagi botak licin kepalanya, yang ketiga seorang wanita bertudung labuh. Tuan Zaki mengangkat sebelah tangan dan mengatup pintu dengan perlahan sebaik sahaja lelaki botak itu berpaling dengan wajah kehilangan ceria.

@@@@@@@@@@

Tuan Zaki terus melintasi cepat dua cluster empat meja tiap satu yang terpisah oleh pendinding yang bahagian atasnya cermin berbingkai. Di situ semua pekerjanya perempuan.

Dia berhenti sekejap ketika tiba di partition berasingan bentuk ‘L’, warnanya biru laut, yang mengepung sebuah meja yang kemas tersusun barangan di atasnya. Sekuntum bunga ros kembang galak di dalam balang kaca. Tuan Zaki mahu menyapa, tetapi suara tidak melepasi kerongkong kerana kuntuman senyuman segera kembang dari seorang gadis yang bangun penuh sopan. Tuan Zaki memegang birai partition, tidak jadi dia membalas sapaan manis itu kerana dalam mindanya memintas bayangan yang lain. Dia segera berpaling kepada pemuda belasan tahun rambut crew cut yang bersedia mengenakan topi keledar.

“Termizi mana?”

Rashid nampak agak tergamam. Tuan Zaki mengalihkan pandangan ke arah sebuah bilik berdinding kaca semuanya, blinder tertutup rapat. Tiada ternampak sebarang cahaya menerjah keluar daripada bilik itu.

“Errr...sebenarnya saya baru balik dari hospital besar. Bawa LA Zainal kenal‐kenal dengan staf E&A. Lagipun ada kes baru. Drebar kontena mabuk. Lori langgar pekerja kilang tunggu bas. Empat mati, enam cedera parah.”

Rashid berhenti sekejap. Dia cuba menyusun ayat sebaik mungkin. Dia mahu segera menudung kesalahannya kerana tidak boleh menjawab pertanyaan Tuan Zaki. Dia tidak tahu di mana Termizi.

“Encik Termizi yang telefon minta kami ke sana tadi. Katanya, urgent.Katanya, total tuntutan insurans kira‐kira tiga juta ringgit.”

Rashid berhenti lagi. Dia menarik nafas lega. Barulah nampak Tuan Zaki menunjukkan minat kepada tuturannya.

“Masa di hospital besar, tak jumpa pun. Dia suruh kami bereskan dengan staf E&A saja. Saya tak tahu pun dia di mana. Saya tak tahu pun dia telefon dari mana.”

Nada kecewa itu tidak pula menyebabkan Rashid menjadi gelisah kerana Tuan Zaki mengangkat ibu jari. Bersungguh‐sungguh menunjukkan tanda bagus kepadanya.

Gadis yang berselindung di sebalik partition bentuk ‘L’, berdiri dengan sopan. Agak tinggi orangnya. Bentuk badannya yang persis seorang model begitu menyerlah. Dia berkebaya merah jambu. Maka kuntuman kembang sebelum bicaranya pun tercetus. Lunak sekali.

“Tuan Zaki, tadi saya dapat mesejnya. Encik Termizi beritau, dia ada temujanji dengan pegawai kebajikan banduan di Penjara Marang. Dia tak masuk pun lagi hari ini. Terus pergi ke sana. Katanya, mungkin lewat petang dia balik. Itupun kalau sempat.”

Gadis yang terkepung partition bentuk ‘L’ mengunjukkan telefon mobilnya. Lirikan mata bertanya khabar, senyuman minta balasan segera.

Tuan Zaki cuba mengenyit matanya tetapi tidak menjadi. Senyumannya juga tidak terjadi kerana si gadis berkulit putih kuning, rupa parasnya umpama perawan Korea, sudah menguntumkan kelopak yang lebih manis dan menggegar perasaan.

“Salina, kopi macam biasa untuk saya.”

Ketika dia sudah memegang pagar tangga kayu itu dan mahu melangkah, si gadis datang mendekat. Suaranya direndahkan. Seakan‐akan mahu berbisik lakunya.

“Tengku datang. Dah hampir setengah jam. Dia tunggu di atas!”

Segera Zaki mengunjukkan apa sahaja yang terpegang ﴾fail‐fail serta beg galas﴿ kepada gadis yang bersedia menerima bebanan itu. Paling akhir, kut ditimbun di atas tadahan Salina. Sambil mengetatkan semula tali lehernya, Zaki berdehem kecil.

“Tolong berikan air mineral. Saya nak kasi lega sikit tekak ni. Kering rasanya.”

Salina berlenggang persis berjalan di atas catwalk, semacam cukup bangga membawa segala beban yang dilonggokkan Zaki Rahim kepadanya. Kedengaran Rashid bersiul‐siul kecil ketika kakinya hilang di sebalik pintu utama. Dari celahan partisen yang lain, soksek dan ketawa kecil pun mula kedengaran di dalam pejabat itu.

Zaki Rahim buat‐buat tidak dengar. Dia tak mahu ambil peduli yang remeh‐temeh. Mahu fokus, dan cuba meneka rasional kehadiran Tengku di pejabatnya tanpa notis lebih awal.

Lagipun, jika tiada urusan penting, Tengku tidak akan tunggu lama begitu. Menunggu setengah jam, sudah dikira terlalu lama untuk orang macam Tengku!

@@@@@@@@@@

Di ruang tamu tingkat kedua pejabat Tuan Zaki, seorang lelaki berumur dalam lingkungan enam puluh tapi susuk tubuhnya tampak masih tampan, sedang asyik memerhati sekeping lukisan warna penuh saiz separuh pintu yang terlekat di dinding ruang tamu itu. Ayam jantan sedang berkokok mendabik dada yang terakam dalam lukisan itu tampak begitu hidup. Di penjuru kanan bahagian bawah lukisan itu terlakar tanda pengkaryanya: Jaafar Taib.

Sebaik mendengar tapakan yang semakin mendekat, lelaki itu membetulkan duduknya, dia menyandar selesa di atas wingback Chesterfield. Sebelah kakinya berlipat, menyerlahkan kasut kulit hitam berkilat jenama bally. Jari kirinya mengepit curut yang belum terbakar. Jari‐jari kanannya mengetuk‐ngetuk andas lengan wingback itu dalam rentak sekata, dan cincin berbatu hijau bercahaya jelas gewangnya, memberikan sinar yang memikat naik turun mengikut rentak ketikan jari tuannya. Dia mengerling sebentar Raymond Weil yang menggelangi tangannya.

“Maaf banyak‐banyak, Tengku. Saya tidak sempat nak jawab. Selepas hearing, terus ke kamar hakim. Kes dadah dalam kebun pisang. Dah nak sampai klimaks. Rasa‐rasanya boleh lepas daripada tali gantung!”

Lelaki bergaya budiman dan terasa hadir aura kebangsawanan bersamanya yang dipanggil Tengku itu seolah‐olah tidak berminat dengan penjelasan Tuan Zaki. Dia sengaja mengalih topic.

“Usah berdalih, Zaki. Bukan tak sempat nak jawab. Diri sudah tidak terurus. Aku kasi peluang kamu pikat Salina, buat malu kucing pulak. Bukan main susah aku pujuk dia berhenti dulu. Kamu jugak yang kata terpikat dengan bekas pramugari ni. Itu yang aku sungguh‐sungguh pujuk. Sebab aku kenal bapak saudaranya. Aku guna kabel tu betul‐betul. Pujuk ajak Salina kerja di sini. Jadi PA kamu. Kemudian, kamu jugak yang beriya‐iya cadang syarikat taja dia. mbil diploma pengurusan pejabat. Kemudian ambil kursus HRD. Tekukur dah makin jinak. Dah ada depan mata, tapi tak nampak pulak kamu nak jerat!”

Zaki ketawa kecil. Dia bersedia untuk memperahankan diri. Dia tahu gurauan Tengku itu sebenarnya serius sekali. Kerana dia tahu Tengku tidak mudah bersedia untuk bergurau begitu.

“Tidak rugi kita taja, Tengku. Orangnya ada potensi. Cekap. Teliti. Professional.”

Giliran Tengku ketawa kecil.

“Tidak ada sebab‐sebab istimewa? Setahu aku, ada besi berani yang mengikat dia di sini. Dah lima tahun aku perhatikan. Ada sebab amat konkrit beyond reasonable doubts. Jangan nak berselindung dengan aku. Dah lima tahun dia di sini. Kalau kerana duit dan glamur, dah terbang semula Salina tu.”

Kali ini Zaki tidak membalas dengan ketawa lagi. Dia tahu jika dilayan, maka panjanglah bicara Tengku tentang topik yang cuba dielakkannya terbuka di depan orang lain. Zaki buat‐buat terbatuk kecil. Dia mahu segera menukar topik bicara.

Tengku, lelaki budiman yang punyai luas pengalaman. Dia terus menyakat.

“Ayam jantan terbatuk macam itu pun, aku dah tahu apa mahunya!”

Zaki tidak terdaya menahan lagi. Kedua‐duanya tertawa serentak. Tapi tidak panjang kerana bunyi tapakan di atas tangga menyebabkan kedua‐duanya segera meredakan ketawa.

@@@@@@@@@@

“Satu teh kosong untuk Tuan Zaki. Satu kopi kucing galak untuk Tengku!”

Dengan penuh sopan gadis putih kuning rambut hitam lebat lurus jatuh sama paras cuping telinga itu duduk berlutut, mengambil pinggan yang terisi dua keping roti bakar yang tertangkup dan dibelah menjadi tiga segi.

“Roti bakar disapu butter dan cheese untuk Tengku juga.” Manja dan sopan si gadis mempersilakan kedua‐dua lelaki itu menjamah hidangan.

“Bravo, Salina! Ini yang buat saya sayang kat kamu. Tahu saja selera saya. Kalau saya masih muda macam Zaki ni, dah lama masuk meminang!”

Zaki nampak peluang, dia cuba menggiat. Sebenarnya dia sengaja mahu menduga. “Kalau dah sama‐sama mau, perlu apa dipinang lagi, Tengku!”

“Zaki, anak dara jangan dibuat mudah! Protokolnya lain. Itulah kamu, lama sangat menduda. Melayan wanita lawa dan sopan macam ini pun tak reti! Tengku ketawa lagi. Segera kemerahan menyimbahi muka bujur sirih si gadis putih kuning itu. Dia mengerling ke arah Zaki. Walaupun senyuman menyimpul jua, geram hatinya tidak terkira!

@@@@@@@@@@

Ketika bunyi kasut menapak di tangga sudah betul‐betul hilang, dan terdengar kekehan kecil dan soksek di tingkat bawah, Tengku menggeliat.

“Ugh, petang ini nak pergi tunggang kuda semula! Pagi tadi tak sempat. Baru keluar dari kereta, pejabat MB telefon. Setiausaha sulit pesan MB ajak main golf lusa. Di Kijal. Staysatu malam. Kamu ikut sekali.”

Zaki mengeluh. Tengku segera dapat mentafsir riak di air dan keruh yang terpercik ke muka rakan kongsinya itu.

“Aku tahu kerja kamu banyak. Dah lama aku cadang ambil seorang lagi LA. Khas untuk bantu kamu sahaja. Bagus juga kalau boleh latih budak baru. Kamu tak boleh harapkan Termizi lagi. Dia pun banyak kerja siasatan kena buat. Sesuailah dengan dia. Bekas inspector. Ambil LA baru lagi satu. LA Jamsiah head another four junior lawyers. Biar dia focus kes syariah sahaja. Suruh dia naik ke atas ni. Pindah ke bilik kamu. Bilik aku tu, kamu guna. Baru padan dengan prestige kamu sekarang. Zaki Rahim. Loyar jenayah terhangat di Terengganu. Tidak tewas dalam lima tahun ini!”

Zaki Rahim tersenyum. Senyum kambing sebenarnya kerana sudah acap kali dia mendengar pujian itu daripada Tengku. Telapak tangannya merasa mug terisi air teh. Masih agak panas. Tidak jadi dia menghirupnya.

“Elok sangat sebahagian tugas kamu pindah kepada orang lain. Kamu tengok‐tengoklah siapa yang layak. Yang sudah bersedia. Yang remeh‐temeh usah dipedulikan. Sudah sampai masa kamu guna pemandu peribadi. Banyak boleh relief tension tu. Lagipun, aku rasa sebahagian masaa kamu itu kenalah bahagi untuk PR Exercise. Sesekali ikut aku tunggang kuda. Ikut main golf dengan the rich and the famous. Hadir majlis penting jika aku tak dapat pergi, dan...”

Tengku berhenti di situ apabila dilihatnya tiada reaksi yang bagus daripada anak didiknya, yang dilatih sejak chambering,jadi LA,dan kini senior partnerfirma Tengku Solihin, Zaki Rahmi & Associetes. Sebelum kehadiran Zaki Rahim di firma itu, dalam tempoh 20 tahun, sudah empat senior partner yang cabut dan buka syarikat guaman sendiri. Mereka datang mencuba nasib dan membina kareer di sebuah firma milik anak bangsawan yang punya wibawa, dan yang kemas kejap rangkaian social dengan dunia multi dimensi – korporat, politik, perundangan, kraton, dan perdagangan – koridor kuasa ekonomi, politik dan sosial.

“Bilik kamu, kasi LA Jamsiah. Ada privasi sikit dia. Lagipun, macam kamu cadang juga, kita akan lantik dia jadi junior partner dalam tempoh setahun. Kamu perhatilah prestasi dia ketuai bahagian syariah. Aku mahu bahagian ini berkembang dan sukses. Kamu perhati, dan bantu dia.”

Tengku menghirup dari mugnya.

“Aku tak perlu opis di sini. Pejabat baru firma kita di Bangunan Sultan Sulaiman tu, dah siap betul. Itu akan jadi our corporate office. Pejabat ini aku serah seratus‐peratus kepada kamu. Senior lawyers dalam real estate, aku dah kira. Mansor, Luqman, Hisham dan Junaidah akan ikut sekali. Aku akan bawa juga empat LA junior untuk khusus dalam banking and real‐estate cases.”

Kali ini Zaki Rahim menghirup juga daripada mug itu walaupun hanya sedikit. Kesegaran segera menyelinap dalam kepala. Tengku menukar lipatan kaki. Kini yang kiri menindih yang paha kanan pula. Tangannya menggosok perlahan stokin kelabu terjahit lambang lelaki berkuda bermain polo.

“Kita guna idea kamu dulu. Sebenarnya, aku guna seratus‐peratus cadangan kamu itu. Di sini, kamu akan pimpin baki enam peguam lagi untuk criminal cases. Jamsiah dan empat LA dalam pasukan dia, setupbetul‐betul syariah department. Tapi semua itu direct under you. Macam you cadang juga, Termizi tidak terikat. Dia lebih bebas. Also report directly to you. Orang lama dalam polis macam dia sangat penting. Dalam kes homosid bodyguard Dato’ Azman ni, aku ingat dia sangat berguna. Kita manipulate pengalaman dan kemahiran dia betul‐betul.”

Zaki menghirup teh. Tengku memamah perlahan‐lahan roti bakar bersapu cheese dan butter.

“Dato’ Azman Jaafar? CEO Azman Consultancy Group? pejabat MB telefon kerana ini juga?”

Zaki Rahim menggantung pertanyaan. Dia tidak mahu mengganggu Tengku yang nampaknya betul‐betul menikmati roti bakar yang disediakan Salina. Tengku mengunyah cepat‐cepat dan menelan habis. Dihirupnya dalam senafas dari mug Old Country Roses. Dia memejamkan mata sekejap dan melepaskan nafas kelegaan.

“MB request kamu ambil kes homosid di Hutan Belara. Ini kes paling penting. Mesti beri keutamaan. Wajib menang! Integriti MB di hujung tanduk!”

Zaki Rahim tidak jadi menghirup. Dia meletakkan semula mug di atas meja mahogany yang kakinya melengkung tanda soal.

“Patutlah PA Dato’Azman telefon saya berkali‐kali. Pesanan dalam voicemail saja, tiga kali. Apa kaitannya dengan MB?”

Zaki Rahim menulis sesuatu di dalam diari. Tengku mencekak Raymond Weildi pergelangan tangan dan melihat sepintas lalu.

“His reputation is on a very thin line. Semua orang politik tahu. Orang bisnes jugak. Kawan dan lawan. Dato’ Azman poket terbesar MB. Pilihan bahagian dah dekat ni! MB tak boleh diganggu rumours tak masuk akal ni. Dah timbul macam‐macam cerita liar! Yang kait nama MB. Yang kait Dato’ Azman jugak! Ada orang tengah mengendap. Nak jatuhkan MB. Intai peluang macam ni nak tikam MB!”

Zaki Rahim menyelak cepat helaian‐helaian yang lain. Dia gerutu kecil tanpa angkat kepala.

“Very, very interesting! kes mahkamah jadi benteng orang politik!”

Tengku menarik nafas. Dia berdehem. Seperti mahu segera matikan getusan Zaki Rahim yang sarkastik itu. “Kamu tahu projek fishermen’s villagedi Seberang Takir?”

Zaki Rahim berhenti menyelak. Dia mengigit bibir seperti ingin mengingati sesuatu dengan segera.

“PM pecah tanah minggu lepas. Kampung baru untuk nelayan.”
Tengku angguk. Dia menyandar. Keduanya‐dua lengannya berehat di atas Chesterfield warna
merah darah. Tiada lagi roti bakar untuk dimamah. Kopi kucing galak berbaki suku mug. Dia
menyambung maklumat. Kali ini tidak diberikan peluang kepada Zaki Rahim untuk mencelah
dengan apa‐apa pertanyaan.
“Kehidupan nelayan gaya baru. Lengkap dan canggih. Banyak guna teknologi baru. Bukan
sekadar kilang keropok. Kilang sardin pun ada. Semua centralised.Tak ada lagi duduk buat
keropok di belakang rumah. Sekolah. Pejabat pos. Masjid. Dewan komuniti. Kompleks
mendarat dan proses ikan yang serba lengkap. Ada hospital baru, balai bomba dan balai polis.
Kawasan tradisional tu akan dibangun semula. Yang paling bagus, pembangunan semula
rumah‐rumah nelayan yang sudah turun‐temurun di situ. Rumah lama dirobohkan. Bukan
dibina flet, tapi rumah‐rumah baru. Di tempat yang sama, dengan sistem longkang dan
infrastruktur tip top. Aku dah tengok master plan. Very convincing. Akan ada tiga lagi yang
serupa. Di Dungun, Besut dan Marang. Total pelaburan cecah dua billion.”
Tengku mengambil remote control.
“Ugh, sejuk sangat. Extra dingin. Boleh tertidur ni.”
Tengku menghirup cepat. Kopi kucing galak tiada berbaki di pantat mug.
“Pet project MB yang baru. Kalau sukses, aku yakin MB kekal lagi dua penggal. Main
contractor...”
Terloncat celahan daripada Zaki Rahim, “Dato’ Azman?”
Tengku buat‐buat tidak mendengar. Zaki Rahim segera faham. Soalan yang tidak memerlukan
jawapan daripada Tengku.
“Kamu tidak boleh kalah kes ini. Kamu mesti guna semua sumber dan kemahiran. Guna apa
sahaja. Kamu tak boleh kalah. Kes ini membabitkan reputasi MB.”
Tengku mencabut sehelai tisu dengan cepat. Disapu sisa di bibirnya.
“Tapi, sebelum tu, kamu mesti hadir di Kijal. MB nak jumpa. Dia nak kenal kamu personally! The
top criminal lawyer in Terengganu!”
Tengku mengangkat sedikit pergelangan tangannya dan digoyangkan perlahan. Dikerling
sejenak jam tangan Raymond Weil warna perak, talinya lebar dan muka bentuk hexagon
sebesar kepala plug memantulkan kilatan cahaya lampu ketika ditelengkan. Dia membetulkan
semula lengan baju tangan kirinya. Diambil sehelai tisu. Dilap tiga empat kali butang warna
keemasan yang mengacip lengan baju itu.
“Ugh, hampir terlupa! Aku perlu pergi sekarang. Kena batal niat nak tunggang kuda. Ada lunch
datedengan Tan Sri Ibrahim di Tanjung Jara Beach Resort. Kawan lama. Classmate di Kolej dulu.
Dia nak firma kita terlibat dengan pembangunan bandar baru di Dungun. Mega projek dia
yang pertama di Terengganu!”
Tengku tekan punat autodial.
“Sidek. Aku nak turun sekarang. Kita ke Tanjung Jara.”
@@@@@@@@@@
Intercom berbunyi. Gadis berambut paras cuping telinga, leher jinjang itu menekan punat
sambil membetulkan duduk balang bunga ros merah galak. Sambil sengaja menjeling staf
wanita yang lain, dia menjawab lembut, tapi sengaja dilengguk panjang iramanya, dan
suaranya diangkat tinggi daripada kebiasaan sebolah‐bolehnya semua staf wanita dan lelaki
yang bekerja di tingkat itu jelas menangkap siapa yang disambutnya di telefon. Ayatpun
disusun lebih kemas daripada biasa.
“Ya, Tuan Zaki. Ada apa‐apa yang boleh saya tolong?”
“Salina, please contact Wan Faisal. Urgent!”
Apabila terdengar bunyi ‘errr’, dia tidak membenarkan soalan mencelah kerana sudah dijangka
bentuk dan isinya. Zaki Rahim segera menambah, “Student UIA. Yang habis chambering
dengan kita tiga bulan lepas.”
Suara yang sudah lembut, mula ditambahkan serbuk manja. Gadis itu sengaja berdiri dan
mengadap staf yang lain. Dia mahu semua orang bukan sahaja mendengar, tetapi terasa
kemesraan yang terzahir.
“Kemarin dia sms. Katanya dah dua minggu jadi tutor di UUM.”
“Counter offer. Tambah seribu daripada apa‐apa yang dia dapat sekarang. Perks lain‐lain,
macam kita bagi kat junior LA. Janji kat dia, bank‐in hari ini juga, advance separuh gaji. Kos
perpindahan kita tanggung. Kereta ofis bagi juga. Kita nak dia di sini segera. Jadi my personal
LA.” Jelas dan tegas suara macho itu menyapu telinga Salina.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan